Kemiripan Adat dan Peribahasa Melayu Dengan Al-Quran dan As Sunnah

1,202

Biasa dengar tak perkataan macam ni? “Eh kau kena ikut Islam, bukan ikut Melayu”. Saya kerap sekali melihat perkataan seumpama ini dilontarkan apabila sesuatu berkisarkan adat kita dipertontonkan. Kalau kita perhatikan perkara 160(2) perlembagaan Malaysia.

Orang Melayu mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu, bertutur menggunakan bahasa Melayu dan lahir sebelum hari merdeka samada di persekutuan atau Singapura atau pada hari merdeka telah bermastautin di Persekutuan atau singapura dan dia merupakan keturunan daripada seseorang tersebut.

Cuba perhatikan butiran pertama dan kedua perlembagaan Malaysia tersebut. Kalau seseorang itu hanya diertikan sebagai Melayu sekiranya dia beragama Islam. Tak mungkin seluruh adat dan budaya Melayu yang diamalkannya itu bercanggah dengan Islam bukan? Sebenarnya pada saya, adat kita yang merangkumi tingkah laku dan tutur bicara kita seharian banyak yang sudah diadun dengan agama Islam.

Ok, saya tak nak sentuh pasal falsafah baju Melayu kita kerana semua sudah tahu kaitannya dengan Islam. Kita pergi kepada adab dulu .Dahulu sewaktu kita kecil, ingat tak mak ayah kita ajar kita agar membongkokkan badan dan kepala sedikit ketika lalu di hadapan orang tua? Jika kita perhatikan surah As- Shuara ayat 215

وَٱخۡفِضۡ جَنَاحَكَ لِمَنِ ٱتَّبَعَكَ مِنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ

“ Dan hendaklah engkau merendah diri kepada pengikut-pengikutmu dari orang-orang yang beriman.”

جناح terjemahan secara harfiah membawa maksud sayap, kita sedia maklum bahawa sayap merupakan anggota paling mulia bagi Malaikat dan muka merupakan sayap untuk manusia.

Bukanlah saya ingin bermain – main dengan tafsiran ayat al Quran, cuma saya ingin mengatakan bahawa perbuatan yang kita pusakai daripada nenek moyang kita paling tidak merupakan inspirasi daripada al Quran dan as Sunnah.

Kalian perasan tak? Kita bangsa Melayu ni ada kecenderungan untuk menyandarkan waktu kita dengan waktu solat? Umpamanya apabila diajak keluar untuk makan, kita akan menggunakan “Jom lepas zohor?” Begitulah tingkah laku kita yang sudah mendarah daging dalam jiwa kita tanpa kita sedari.

Dari segi bahasa kita dapat lihat kepada penggunaan peribahasa orang tua yang sangat mirip dengan maksud hadith baginda Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى الْبِرِّ وَإِنَّ الْبِرَّ يَهْدِي إِلَى الْجَنَّةِ وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَصْدُقُ حَتَّى يَكُونَ صِدِّيقًا وَإِنَّ الْكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الْفُجُورِ وَإِنَّ الْفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ كَذَّابًا

 Hadith no6094  Sahih Bukhari

Daripada Abdullah (Abdullah bin Mas’ud) RA daripada Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya kebenaran akan membawa kepada kebaikan yang akan menuju ke syurga. Sesungguhnya jika seseorang itu sentiasa berlaku benar sehingga dia akan dikenali sebagai orang yang benar. Sesungguhnya kedustaan itu akan mendorong kepada kejahatan yang akan menuju ke neraka. Sesungguhnya jika seseorang yang selalu berdusta sehingga dia akan dicatat di sisi Allah SWT sebagai seorang pendusta.”

Apakah peribahasa yang amat mirip dengan Hadith Nabi ini? Ya!

Siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama lama mencuri

Terkadang, apa yang terpancar daripada mulut orang tua kita dahulu mungkin kerana mereka sudah sebati dengan al Quran dan Hadith.

Kalau peribahasa tadi tidak cukup jelas. Saya datangkan lagi peribahasa lain yang menunjukkan kemiripan nya dengan hadith Nabi :

عن أَبي موسى الأشْعريِّ رضي اللَّه عنهُ قال : قال رسولُ اللَّهِ صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم : « مثَلُ المؤمنِ الَّذِي يقْرَأُ القرآنَ مثلُ الأُتْرُجَّةِ : ريحهَا طَيِّبٌ وطَعمُهَا حلْوٌ ، ومثَلُ المؤمنِ الَّذي لا يَقْرَأُ القُرْآنَ كَمثَلِ التَّمرةِ : لا رِيح لهَا وطعْمُهَا حلْوٌ ، ومثَلُ المُنَافِق الذي يَقْرَأُ القرْآنَ كَمثَلِ الرِّيحانَةِ : رِيحها طَيّبٌ وطَعْمُهَا مرُّ ، ومَثَلُ المُنَافِقِ الذي لا يَقْرَأُ القرآنَ كَمَثلِ الحَنْظَلَةِ : لَيْسَ لَها رِيحٌ وَطَعمُهَا مُرٌّ » متفقٌ عليه

Dari Abu Musa al-Asy’ari رضي اللَّه عنهُ, katanya: “Rasulullah صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم. bersabda:

“Perumpamaan orang mukmin yang suka membaca al-Quran ialah seperti buah jeruk utrujah, baunya enak dan rasanya pun enak dan perumpamaan orang mukmin yang tidak suka membaca al-Quran ialah seperti buah kurma, tidak ada baunya, tetapi rasanya manis. Adapun perumpamaan orang munafik yang suka membaca al-Quran ialah seperti minyak harum, baunya enak sedang rasanya pahit dan perumpamaan orang munafik yang tidak suka membaca al-Quran ialah seperti rumput hanzhalah, tidak ada baunya dan rasanyapun pahit.” (Muttafaq ‘alaih)

Peribahasa yang mirip dengannya ialah Umpama bunga dedap, merah menyala tidak berbau yang membawa maksud orang yang hanya cantik luaran dan tidak pada adab dan budi.

Sebenarnya banyak lagi adat budaya kita yang mirip dengan agama Islam. Hentikanlah naratif bahawa adat kita semuanya tak selari dengan Islam. Dalam setandan pisang takkan semuanya buruk.

RUJUKAN:

-Al Quran surah As Syuara

-Sahih al Bukhari

-At Tibyan fi Adab Hamalatil Quran Imam Nawawi

– Peribahasa Melayu penelitian Makna dan Nilai terbitan UPM press Zaitol Azma Zainon Hamzah, Ahmad Fuad Mat Hassan

Artikel kiriman Hang Nudin untuk The Patriots.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.