Musim panas ketika ini melanda kebanyakan negara termasuk Malaysia. Tetapi ia juga mengakibatkan cuaca panas dan kemarau di sesetengah negara bertambah buruk terutama di Itali. Akibat situasi ini, ia turut mendedahkan pelbagai artifak yang sebelum ini ditenggelami air termasuk tinggalan kapal lama era Perang Dunia Kedua (WWII).

Perkara ini disedari oleh penduduk yang menetap di Gualtieri, wilayah Emilia-Romagna, sebuah bandar yang terletak di tebing Sungai Po. Mereka tahu di sungai berkenaan, terdapat sebuah kapal kargo lama berukuran 50 meter panjang yang karam semasa WWII. Kapal yang bernama Zibello itu berulang-alik membawa kargo gandum dan bijirin dari Cremona, Lombardy ke Laut Adriatik.

Takkan mungkin kita boleh bincang pasal kapal karam tanpa fikir tentang Titanic. Kepada peminat di luar sana, kami ada buku khas tentang RMS Titanic:
https://shopee.com.my/The-Patriots-Titanic-Di-Hujung-Jari-i.238336777.4238247449

Zibello tenggelam ke dasar Sungai Po pada 1943 akibat kempen pengeboman pihak Bersekutu di Itali. Ini berikutan rejim ketika itu merupakan sekutu Jerman dan Jepun. Pakatan tiga negara ini mendominasi sebahagian besar Eropah, Afrika Utara dan Asia Pasifik semasa WWII. Itali kemudiannya jatuh ke tangan pihak Bersekutu pada 1943 (kecuali utara Itali) sebelum disusuli oleh kejatuhan kedua-dua sekutunya pada 1945.

Sejak itu, Zibello terus berada di dasar sungai dengan bahagian haluan kapal saja yang kelihatan. Tetapi dengan kemarau yang mengakibatkan paras air sungai semakin rendah, ini memberi peluang kepada penduduk tempatan melihat sendiri kapal berkenaan buat kali pertama.

Paras air Sungai Po yang semakin rendah meresahkan pihak berkuasa tempatan sekitarnya. Sumber: Piero Cruciatti/AFP/Getty Images

Tetapi kemarau yang melanda Emilia-Romagna, Lombardy, Piedmont dan Veneto ketika ini semakin menggusarkan pihak berkuasa wilayah-wilayah ini. Jika keadaan ini berterusan, ia bukan saja akan memberi kesan kepada aktiviti ekonomi yang wujud di situ seperti pertanian dan perkapalan. Malah, ia mengakibatkan penduduk kehilangan sumber air minuman bersih dan gangguan kepada tenaga elektrik.

Ketika ini, kedalaman sungai berada pada paras 2.7 meter di bawah tolok anjakan sifar – jauh di bawah purata air yang direkodkan setiap bulan Jun saban tahun. Manakala kadar air Sungai Po yang mengalir ke laut pula kini sekitar 300 meter padu atau seperlima daripada purata air sungai yang direkodkan.

Ini bukan kali pertama Lembah Po yang merangkumi empat wilayah itu dilanda kemarau. Lembah tersebut mengalami kemarau pada 2007, 2012 dan 2017. Tetapi untuk tahun ini, ia dianggap yang terburuk pernah direkodkan dalam tempoh 70 tahun. Kemarau yang melanda terjadi akibat gabungan dua faktor iaitu kekurangan hujan dan peningkatan suhu yang tinggi.

Kemarau yang melanda Lembah Po merangkumi Emilia-Romagna, Lombardy, Piedmont dan Veneto merupakan yang terburuk dalam tempoh 70 tahun. Sumber:  Piero Cruciatti/AFP/Getty Images

Bagi penduduk tempatan, mereka merasakan seolah-olah berada pada akhir bulan Julai. Ini kerana pada ketika itu, salji tidak banyak ada di kawasan Pergunungan Alps dengan bekalan air bersih semakin sedikit. Kebiasaannya pada Jun, salji setebal dua meter masih ada di kawasan pergunungan yang terkenal dengan aktiviti percutian musim sejuk.

Tetapi pada tahun ini, itu tidak berlaku dengan bunga didapati sudah mekar tumbuh di situ. Lebih menggusarkan, ramalan kaji cuaca meramalkan cuaca panas dan kering akan berterusan sekurang-kurangnya untuk beberapa bulan lagi.

Di Itali, Lembah Po dianggap nadi kepada aktiviti pertanian utama negara itu dan Eropah. Selain itu, ia juga turut menempatkan aktiviti-aktiviti ekonomi penting termasuk perindustrian di kota-kota seperti Milan, Brescia dan Turin. Tanpa bekalan air yang mencukupi di empangan-empangan, kota-kota sekitar Lembah Po terpaksa mencari jalan lain untuk menjana tenaga elektrik dan bekalan air bersih.

Sumber gambar: Alessio Bonin

Gualtieri merupakan contoh komuniti kecil yang bergantung kepada sungai sebagai nadi kehidupan mereka. Selain berperanan sebagai rizab alam semulajadi, ia juga tempat buat bekas tentera Itali yang pernah menjadi tawanan Jerman semasa WWII membina kehidupan baru sebagai pembalak dan pembina infrastruktur sekitarnya. Atas sebab itu, Gualtieri dikenali juga sebagai Isola Degli Internati (Pulau Banduan).

Mungkin ada yang merasa takjub melihat imej bangkai kapal kargo di Sungai Po – sama seperti imej rangka-rangka manusia yang ditemui di Tasik Mead, Amerika Syarikat. Tetapi ia sebenarnya petanda malapetaka ekologi yang akan terus berlaku selagi mana manusia enggan berdamai dengan alam. Jika itu berlaku, makanya generasi hari ini secara tidak langsung membunuh generasi-generasi seterusnya. Dan itu satu hakikat pahit yang akan membayangi manusiawi untuk satu tempoh yang lama.

Kami juga ada karya-karya fiksyen khas untuk para peminat pelbagai genre. – https://shopee.com.my/thepatriotsasia

RUJUKAN

Giuffrida, A. (2022, 17 Jun). ‘We worry about it disappearing’: alarm grows over Italy’s drought-hit Po River. The Guardian.

Fraga, K. (2022, 21 Jun). A Devastating Drought Just Revealed A Sunken World War II Shipwreck In Italy’s Largest River. AllThatsInteresting.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply