Kemarau Di Iraq Menemukan Istana Kemune Yang Berusia 3400 Tahun

5,852

Berikutan kemarau yang melanda Iraq pada tahun lalu, Empangan Mosul mengalami kesusutan paras air yang agak tinggi. Hal ini membawa kepada penemuan semula reruntuhan sebuah istana berusia 3400 tahun. Usaha menggali tapak arkeologi ini kemudiannya dijalankan dan diketuai oleh Dr. Hasan Ahmed Qasim dan Dr. Ivana Puljiz menerusi kerjasama antara University of Tübingendan Kurdistan Archaelogy Organization.

Sebenarnya, kewujudan istana yang dikenali sebagai Istana Kemune ini kali pertama disedari pada tahun 2010. Namun, paras air yang tinggi di empangan tersebut di samping ancaman bahaya dari militan ISIS menyukarkan kerja-kerja ekskavasi. Menurut Dr. Hasan Ahmed Qasim, penemuan istana ini merupakan salah satu penemuan yang paling penting di wilayah tersebut dalam dekad-dekad kebelakangan ini.

Istana yang dikenali sebagai Istana Kemune ini terletak hanya 65 kaki dari tebing timur Sungai Tigris. Binaannya diperbuat daripada bongkah-lumpur – bahan binaan yang digunakan secara meluas di Timur Dekat pada Zaman Gangsa. Dinding istana ini memiliki ketebalan kira-kira 6 kaki (2 meter) dan berketinggian 6.5 kaki. Keluasan menyeluruh Istana Kemune pula dianggarkan sekitar 20 000 kaki persegi.

Turut ditemukan sejumlah bilik berdinding mampat yang agak luas. Lebih mengagumkan, pasukan arkeologis ini menjumpai sejumlah lukisan dinding atau mural bercorak biru dan merah, menandakan ciri kemewahan yang tinggi pada binaan ini.

Menurut Dr. Puljiz, mural sebegitu mungkin adalah ciri lazim bagi istana-istana di Timur Dekat pada zaman purba. Namun, ianya amat jarang ditemui dalam keadaan elok dan terpelihara. Oleh kerana itu, beliau menambah bahawa, “Penemuan lukisan-lukisan di dinding Kemune ini merupakan satu penemuan arkeologi yang gempar.”

Penemuan yang amat mengagumkan ini merupakan relik Empayar Mittani yang pernah memerintah sebahagian besar wilayah Syria dan utara Mesopotamia pada abad ke-14 hingga 15 SM. Berdasarkan manuskrip lama yang ditemui di tapak-tapak arkeologi di Mesir, raja-raja Mittani diyakini menyandang reputasi yang sama tinggi seperti firaun-firaun Mesir dan raja-raja dari Hatti dan Babylonia. Pun begitu, tidak banyak informasi yang dimiliki perihal Empayar Mittani dan ia kekal sebagai salah satu empayar dari Timur Dekat di zaman purba yang paling kurang dikaji.

Jadinya, mari kita bersama Dr Pulji, Dr. Hasan Ahmed dan pasukannya memasang harapan supaya 10 buah tablet tanah liat yang mengandungi tulisan cuneiform yang turut ditemui dalam ekskavasi berkenaan dapat memberikan maklumat tambahan berkenaan Empayar Mittani – perihal keagamaannya, pentadbirannya, politiknya, sejarahnya dan hubungannya dengan kuasa-kuasa jiran. Tablet-tablet tersebut kini berada di Jerman untuk dianalisa dan diterjemahkan oleh pakar.

RUJUKAN:

Natasha Ishak. (28 Jun 2019). Drought Reveals Stunning Ancient Palace In Dried-Up Water Reservoir In Iraq. All That Interesting.
https://allthatsinteresting.com/kemune-palace-iraq

Jack Guy. (29 Jun 2019). Ancient Palace emerges from drought-hit Iraq reservoir. CNN.
https://edition.cnn.com/travel/article/iraq-palace-drought-scli-intl/index.html

Ed Whelan. (28 Jun 2019). 3400 Year-old Palace From a Mysterious Civilization Revealed by Drought. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/kemune-palace-0012207

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.