Sebut saja keluarga-keluarga terkaya di dunia, nama seperti Carnegie dan Morgan tidak dapat dipisahkan bak irama dan lagu. Tetapi tidak sah jika nama Rockefeller tidak diselitkan dalam keluarga-keluarga terkaya dan berpengaruh ini.

Ini kerana sumbangan mereka dalam pelbagai bidang memberi kesan besar kepada dunia hari ini sama ada ianya bersifat positif atau negatif. Semua ini terjadi dengan asas yang dibina oleh jutawan pertama dunia, John D. Rockefeller.

John D. Rockefeller

Setiap kisah pasti ada watak yang hebat untuk menghidupkan perjalanan kisah itu. Sebelum dikenali sebagai jutawan minyak yang hebat, Rockefeller atau nama sebenarnya John Davison Rockefeller datang dari sebuah keluarga yang miskin. Sebut berkenaan bapanya, terdapat pelbagai teori tentang siapa dirinya.

Bagi yang pernah menonton minisiri The Innovators: The Men Who Build America, pasti sudah masak dengan teori bapanya merupakan seorang penipu dan kaki judi. Tidak diketahui teori mana yang tepat tetapi yang pasti kehidupan keluarganya ketika itu amat susah. Untuk mengubah nasib mereka, mereka berpindah ke Cleveland, Ohio dari Richford, New York ketika Rockefeller berusia 14 tahun.

Anak kedua dari enam adik-beradik, beliau sudah menunjukkan bakat dalam bidang perniagaan dan menceburkan diri dalam pelbagai bentuk bisnes pada usia remajanya. Semasa berusia 16 tahun, Rockefeller diambil bekerja sebagai pembantu penjaga buku sebuah firma bernama Hewitt & Tuttle. Bakat semulajadinya dalam perniagaan menyaksikan dirinya mendapat kenaikan pangkat sebagai juruwang dan penjaga buku firma berkenaan dalam tempoh beberapa bulan.

Selepas menimba pengalaman dan pengetahuan di Hewitt & Tuttle selama empat tahun, beliau menubuhkan sebuah syarikat yang mengedarkan jerami, daging dan bijian bersama seorang rakan. Hasilnya pada tahun pertama syarikat itu beroperasi, mereka berjaya meraih keuntungan sebanyak $450,000 (RM1.85 juta).

Tidak mahu berhenti di situ saja, Rockefeller sedar minyak merupakan komoditi berharga pada masa depan dan mengubah Amerika Syarikat untuk selama-lamanya. Dengan kadar penghasilan minyak di Pennsylvania meningkat, ini membawa kepada pembukaan sebuah loji penapis minyak berhampiran Pittsburgh pada tahun 1863.

Dan dalam tempoh dua tahun, ia menjadi loji penapis minyak terbesar di kawasan berkenaan. Industri minyak menjadi saksi kepada permulaan gergasi minyak pertama di dunia, Standard Oil yang ditubuhkan pada tahun 1870. Syarikat ini sentiasa meraih keuntungan sejak dari hari pertama ia dibuka bukan saja kerana keadaan pasaran yang baik tetapi juga bakat Rockefeller yang sentiasa memanfaatkan sumber syarikatnya sebaik mungkin.

Tetapi bagi memastikan pertumbuhan syarikatnya terus meningkat, strategi agresif dilaksanakan untuk memaksimumkan keuntungan syarikat. Pertama, dalam tempoh dua tahun, Standard Oil mengambil alih dan mengawal kebanyakan loji penapis minyak di Cleveland sekaligus memberinya monopoli dalam soal bekalan. Kedua, beliau mengadakan perkongsian dengan syarikat keretapi untuk mengedarkan minyak ke seluruh negara.

Selepas pengenalan teknologi saluran paip minyak, ia membuka peluang kepada syarikat mengambil alih saluran paip dan terminal-terminal minyak yang dimiliki para pesaingnya. Menurut Profesor Emeritus Michael Cox dari Sekolah Ekonomi London (LSE), apa yang dilakukan Rockefeller amat efektif kerana beliau mengawal hampir keseluruhan industri minyak dari melombong hinggalah soal pengedaran.

Ini bukan saja mewujudkan situasi monopoli membabitkan Standard Oil tetapi juga menjadikan beliau antara orang yang paling berkuasa dan kaya di Amerika Syarikat. Kedudukan ini dipergunakan sebaik mungkin untuk melindungi empayarnya termasuk menyokong ahli politik yang pro-perindustrian seperti dalam kes Presiden William McKinley.

Namun, tatkala kuasa dan kekayaannya semakin bertambah, ia turut mencetuskan rasa kurang senang dan kritikan keras ramai pihak terhadap Rockefeller dan Standard Oil. Cox menambah, “Pengkritik-pengkritik berpandangan kaedah-kaedah yang digunakan beliau sebagai tidak bermoral dan adakalanya memberi kesan buruk kepada negara.

Kongres dengan tegas berpandangan dengan mewujudkan situasi monopoli membabitkan syarikatnya, Rockefeller sebenarnya menjejaskan unsur persaingan dalam pasaran. Jadi, amalan monopolinya itu dipandang ramai bukan saja sebagai satu taktik keras tetapi mewujudkan monopoli yang buruk untuk Amerika dan kapitalisme negara berkenaan.”

Sebagai tindak balas terhadap aktiviti monopoli Standard Oil, Kongres menggubal Akta Anti-Gabungan Firma Sherman 1890 yang menjadikan aktiviti monopoli perdagangan di Amerika menyalahi undang-undang. Dua tahun selepas itu, Mahkamah Agung Ohio memutuskan Standard Oil melanggar undang-undang negeri berkenaan yang menyaksikan Rockefeller membahagikan syarikat dan menyerahkan pengurusan kepada semua subsidiari syarikatnya.

Bagaimanapun, hierarki syarikat masih kekal dengan kawalan semua divisyen masih diletakkan di bawah pengawasan lembaga pengarah yang diuruskan olehnya sendiri. Malah sembilan tahun kemudian, Rockefeller berjaya menyatukan semula semua subsidiarinya di bawah satu bumbung. Namun, tindakan tersebut mengundang kemarahan Kongres dan pada tahun 1911, mereka mengarahkan semua subsidiari dipecahkan semula.

Kemurahan hati Rockefeller

Di sebalik sisi negatifnya membabitkan aktiviti monopoli melampau dalam industri minyak, tiada siapa boleh menafikan kemurahan hatinya sebagai dermawan. Menurut Cox, sumbangannya pada tahun 1890-an menjadi asas kepada permulaan Universiti Chicago. Rockefeller turut menubuhkan Institut Penyelidikan Perubatan Rockefeller (kini dikenali sebagai Universiti Rockefeller) di mana kajian dan penyelidikan yang dijalankan institusi berkenaan memberi sumbangan besar dalam bidang perubatan dan biokimia seperti rawatan pneumonia dan meningitis.

Pada tahun 1902, beliau turut menubuhkan Lembaga Pendidikan Awam (General Education Board) pada tahun 1902 untuk menyokong usaha pendidikan di Amerika tanpa mengira agama, bangsa atau jantina dengan penekanan kepada pendidikan tinggi. Pada tahun 1913, Rockefeller turut menubuhkan Yayasan Rockefeller bagi mempromosikan kebaikan manusia sejagat di seluruh dunia dengan menderma jutaan dolar kepada organisasi-organisasi berorientasikan kebajikan, penyelidikan, kesenian, pendidikan dan sebagainya.

Mungkin bagi sesetengah orang, apa yang dilakukannya itu bertujuan mengelak dikenakan cukai. Tetapi menurut Cox, apa yang dilakukan Rockefeller didorong atas sebab keagamaan kerana merasakan itu merupakan tanggungjawabnya untuk berkongsi kekayaannya dengan orang lain dan membantu mereka.

Cox menambah, “Beliau melambangkan nilai-nilai Protestan iaitu bekerja keras, bangun awal, monogami (seorang isteri), keluarga standard, beragama dan mempunyai sisi kedermawanan yang kuat. Beliau sentiasa memperkatakan ini, ‘Orang kaya tidak seharusnya mati dalam keadaan kaya, orang kaya seharusnya mati dalam keadaan melakukan banyak kebaikan dengan kekayaan yang dihasilkannya.’”

John Jr dan legasinya

Usaha Rockefeller diteruskan oleh anak lelakinya, Rockefeller Jr. Lahir pada tahun 1874, beliau mengikut jejak langkah bapanya dan meninggalkan kesan berkekalan kepada dunia. Dibesarkan di Cleveland bersama tiga orang kakaknya, beliau langsung tidak tergugat dengan kekayaan luar biasa yang ditinggalkan bapanya. Selepas berjaya menamatkan pengajian dengan Universiti Brown, Rockefeller Jr pernah bekerja di markas Standard Oil untuk beberapa ketika sebelum memilih memfokuskan usaha kepada aktiviti kedermawanan.

Persepsi orang ramai terhadap Standard Oil berubah pada tahun 1913 apabila 9,000 pelombong arang batu yang bekerja untuk Syarikat Besi dan Minyak Colorado mengadakan mogok untuk mendapatkan gaji, tempat tinggal dan waktu bekerja yang lebih baik.

Bagaimanapun, krisis tersebut mencalar arang pada Standard Oil apabila keluarga-keluarga pelombong dihalau keluar dari kediaman mereka dan dipaksa tinggal dalam khemah sementara semasa musim sejuk serta pembunuhan 40 orang termasuk 11 kanak-kanak oleh pasukan keselamatan swasta. Akibatnya, Rockefeller Jr dipersalahkan atas apa yang berlaku dan dipanggil ke Kongres untuk memberi keterangan sekaligus merosakkan nama keluarga hartawan terkenal itu.

Untuk tahun-tahun seterusnya, di sebalik pelbagai kontroversi yang terus melanda dirinya, Rockefeller Jr berusaha memulihkan kembali nama keluarganya melalui usaha-usaha kedermawanan. Usaha-usaha itu ialah penubuhan Pusat Rockefeller, mendermakan beberapa bidang tanah yang menjadi lokasi markas Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan memulihkan kembali Muzium Kolonial Williamsburg. Selain usaha kedermawanan, impak terbesar Rockefeller Jr ialah impak yang dibawa anak-anaknya kepada dunia dalam pelbagai sudut.

Sementara Abby Rockefeller memilih meneruskan aktiviti kedermawanan yang digerakkan oleh bapanya dan datuknya, abang-abangnya menempa nama masing-masing dalam bidang politik, perniagaan dan kedermawanan yang bersifat lain dari yang lain. Abang sulungnya, Rockefeller III mendedikasikan hidupnya kepada hal ehwal luar dan aktiviti kedermawanan. Selepas menamatkan pengajian di Universiti Princeton, beliau menggunakan masa tersebut untuk mengembara ke luar negara termasuk negara-negara Asia.

Minatnya terhadap benua berkenaan membawa kepada penubuhan Asia Society and the Council on Economic and Cultural Affairs. Selain itu, beliau juga bertanggungjawab menubuhkan Majlis Populasi (untuk mengkaji isu populasi termasuk populasi berlebihan) dan Pusat Lincoln (pusat seni persembahan utama dunia) serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan lain. Bagaimanapun, Rockefeller III meninggal dunia pada usia 72 tahun selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Mount Pleasant, New York.

Sementara bagi yang meminati sejarah presiden Amerika Syarikat, nama Nelson Rockefeller sentiasa meniti di bibir. Sejak dari kecil lagi, beliau sudah menunjukkan minat menjadi presiden. Selepas berkhidmat beberapa ketika di Chase Manhattan Bank, Nelson mengetuai usaha pembangunan Pusat Rockefeller dalam satu tempoh yang dianggap bergelora termasuk sebagai presiden.

Beliau kemudian menyertai bidang politik dan bertanggungjawab mengubah pemandangan langit New York melalui projek-projek pembinaan yang dicetuskan semasa berkhidmat sebagai Gabenor New York selama empat penggal dari 1953 hingga 1973. Nelson juga menjadi pilihan Gerald Ford sebagai Naib Presidennya dari 1974 hingga 1977.

Tatkala abangnya memberi kesan kepada perubahan fizikal New York, Laurence pula meninggalkan kesan kepada Wall Street sebagai pelopor kapitalis usahasama. Semasa tahun-tahunnya berada di Bursa Saham New York, bukan sekali dua beliau melabur dalam banyak syarikat yang meningkat naik yang memfokuskan kepada bidang elektronik, penerbangan, komputer dan bioteknologi seperti Apple dan Intel. Beliau juga merupakan seorang pencinta alam dan bertanggungjawab meluaskan lagi kawasan-kawasan yang diklasifikasikan sebagai taman negara dari Wyoming hingga Hawaii.

Walaupun mengikut jejak langkah abangnya, Nelson dalam dunia politik, Winthrop pula lebih gemar bermula dari bawah dan tidak mahu bergantung kepada nama keluarganya. Semasa hendak memulakan kariernya dalam dunia perniagaan, beliau bermula sebagai pelatih yang bekerja di lapangan minyak milik keluarga Rockefeller. Selepas tamat Perang Dunia Kedua, beliau menyertai dunia politik dan diangkat sebagai Gabenor Arkansas pada tahun 1967. Dari situ, beliau melaksanakan pelbagai reformasi seperti perlaksanaan gaji minimum, akta kebebasan maklumat dan mengetatkan undang-undang insuran.

Sementara si bongsu, David pula mempunyai cerita menarik. Selepas menamatkan pengajian dari LSE, beliau kemudian menyambung pengajian di Universiti Chicago dan berjaya mendapat ijazah Doktor Falsafah pada tahun 1940. Antara pekerjaan pertamanya ialah sebagai penulis surat untuk Pejabat Datuk Bandar New York tetapi selepas WWII meletus, beliau menukar pen dengan raifal dengan berkhidmat dalam tentera. Pada mulanya, David bermula sebagai prebet sebelum berjaya mendapat kenaikan pangkat sebagai kapten selepas tamat perkhidmatan pada tahun 1945.

Selepas tamat perang, beliau menyertai Chase Manhattan Bank yang ketika itu dipengerusikan oleh bapa saudaranya, Winthrop Aldrich. Dan bagi ramai pekerja di situ, David hanyalah seorang lagi anak orang kaya yang terlalu dimanjakan dan berpeluang bekerja di situ melalui kenalan keluarganya. Namun, sikap rajinnya di tempat kerja dan gemar menaiki keretapi bawah tanah mengubah persepsi mereka terhadapnya dan menyediakan asas baginya untuk berada di puncak, sebagai CEO bersama pada tahun 1960 sebelum menjadi CEO penuh sembilan tahun kemudian.

Semasa tempohnya sebagai CEO, beliau menggunakan rangkaian kenalannya di seluruh dunia untuk meningkatkan bilangan cawangan bank di luar negara. Dengan kenalan sebegini, David berjaya meningkatkan bilangan cawangan bank dari 11 kepada 73 bank dengan menjadi bank luar pertama membuka cawangan di China dan Rusia sekaligus menjadikan ia sebagai institusi kewangan utama antarabangsa. Beliau juga bertanggungjawab melaksanakan reformasi dalam bank bagi menjadikan ia terus relevan dengan perkembangan zaman termasuk pengenalan jabatan sumber manusia, jabatan perancangan dan jabatan pemasaran selepas terpengaruh dengan idea Peter Drucker.

Peranan CEO terus dipegang sehinggalah beliau bersara pada tahun 1981. Semasa menyertai Chase Bank pada tahun 1946, ia merupakan institusi bernilai $4.8 bilion (RM19.8 bilion). Selepas bersara pada tahun 1981, David meninggalkan institusi tersebut pada nilai $76.2 bilion (RM314.9 bilion). Semasa berkhidmat sebagai CEO, beliau juga pernah ditawarkan jawatan sebagai Pengerusi Rizab Persekutuan dan Setiausaha Perbendaharaan sebanyak beberapa kali tetapi menolak semua usaha berkenaan. David juga bertanggungjawab memujuk Presiden Jimmy Carter mendapatkan perlindungan di Amerika Syarikat atas sebab perubatan.

Pengaruh dan kekayaan Dinasti Rockefeller

Untuk mengetahui sejauh mana kekayaan keluarga Rockefeller sehingga hari ini, agak sukar untuk menentukan jumlah sebenar kekayaan yang dimiliki. Ini kerana kekayaan keluarga ini diuruskan oleh satu tabung amanah bersama beberapa entiti lain bagi memastikan anggota keluarga ini dapat terus menikmati gaya hidup mereka. Tabung amanah ini dikawal oleh waris-waris lelaki Rockefeller dan juga pemegang-pemegang amanah lain yang mengeluarkan sejumlah besar amaun wang kepada ramai waris keluarga berkenaan.

Hari ini, kebanyakan kekayaan keluarga berkenaan diuruskan oleh Rockefeller & Co tetapi ratusan tabung amanah dan syarikat diuruskan oleh JPMorgan Chase (sebelumnya dikenali sebagai Chase Manhattan). Berdasarkan anggaran nilai yang dibuat oleh Forbes, kekayaan keluarga ini berjumlah $10 bilion (RM41.3 bilion) hari ini berbanding kekayaan Rockefeller sendiri yang berjumlah $30 bilion (RM124 bilion).

Walaupun agak susah mengetahui nilai sebenar kekayaan mereka, tetapi pengaruh mereka masih tetap dirasai sehingga hari ini. Wujud satu teori bahawa keluarga Rockefeller merupakan salah satu dinasti yang menolak isu perubahan iklim. Namun, itu terbukti sebagai tidak benar pada tahun 2004, 73 daripada 78 waris Rockefeller berusaha memujuk lembaga pengarah ExxonMobil (salah satu syarikat legasi Standard Oil) mengubah pendirian mereka terhadap isu perubahan iklim.

Selain tekanan melalui lembaga pengarah, mereka turut menggunakan tekanan awam dan politik untuk memaksa syarikat mengubah pendirian. Pada tahun 2006, Jay Rockefeller yang ketika itu berkhidmat sebagai Senator West Virginia (Demokrat) bergabung tenaga dengan Senator Maine, Olympia Snowe (Republican) untuk mendesak bakal Setiausaha Negara Amerika dan pengerusi ExxonMobil, Rex Tillerson untuk tidak menyalurkan dana kepada penafi isu perubahan iklim. Namun, usaha mereka menemui kegagalan dan syarikat terus mengekalkan pendirian mereka sehingga hari ini.

Selain dikaitkan mempunyai komplot berkenaan isu perubahan iklim, keluarga Rockefeller turut dituduh terlibat dalam beberapa teori konspirasi:

  1. Dikatakan terlibat dengan pembunuhan Presiden John F. Kennedy di mana David Rockefeller memberi lampu hijau kepada pembunuhan berkenaan. Menurut pengamal teori konspirasi, kebenaran tersebut diberi dalam satu mesyuarat membabitkan golongan elit dan berkuasa seperti bakal presiden Lyndon Johnson dan Richard Nixon, Pengarah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), J. Edgar Hoover dan pembunuh Lee Harvey Oswald, Jack Ruby pada 21 November 1963. Dalam mesyuarat sama, Johnson menyifatkan selepas hari esok (22 November/tarikh pembunuhan JFK), keluarga Kennedy tidak akan menjadi duri dalam daging untuk dirinya. Namun, tiada bukti yang mengesahkan teori ini.
  2. Teori konspirasi menyatakan Rizab Persekutuan sebenarnya dikawal oleh keluarga-keluarga elit seperti Rockefeller, Rothschild, Morgan, Lehman dan Goldman Sach. Namun jika melihat dari sudut sejarah, rizab ini ditubuhkan untuk membantu negara itu mengelak dari terjebak dari krisis kewangan yang dialami pada dekad pertama 1900 sebelum dikembangkan lagi peranannya selepas peristiwa Great Recession 1930-an dan Great Recession pada awal dekad 2000. Tetapi, wujud tuduhan bahawa Akta Rizab Persekutuan yang menjadi asas kepada penubuhan rizab ini dilihat terlalu bias kepada institusi perbankan elit seperti Morgan dan Lehman. Tuduhan sebegini berkemungkinan menjadi asas kepada teori rizab dikawal oleh keluarga-keluarga ini.
  3. Penyertaan dalam organisasi rahsia seperti Kumpulan Bildeburg di mana kumpulan ini dituduh cuba mengatur orde dunia baru melalui integrasi Eropah-Amerika sebelum diluaskan ke seluruh dunia. Antara pemimpin dunia dan jutawan yang dijemput mengikut mesyuarat Bildeburg ialah pengasas Paypal, Peter Thiel, pengasas Amazon, Jeff Bezos, Donald Rumsfeld (bekas Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat) dan David Cameron (bekas Perdana Menteri Britain). Organisasi dituduh mengatur perjalanan tokoh politik seperti Barack Obama, mencetuskan api perang di Kosovo dan dianggotai oleh makhluk asing. Namun, kebanyakan tuduhan ini dianggap kosong apabila individu yang mengeluarkan tuduhan berkenaan, David Icke pernah mendakwa dirinya sebagai anak Tuhan pada tahun 1991.

Di sebalik semua ini, ada rahsia bagaimana mereka berjaya mengekalkan kekayaan yang sudah mencecah generasi kelima dan keenam. Rahsia ini didedahkan oleh anak David yang juga pengerusi Rockefeller & Co, David Jr:

1. Mesyuarat keluarga membabitkan hampir 100 ahli keluarga berumur 21 tahun ke atas. Mesyuarat ini bukan sekadar membincangkan isu kekeluargaan tetapi juga hala tuju dan projek terbaru yang diusahakan mereka. Semua diberi peluang bersuara termasuk yang bergelar menantu.

2. Sentiasa memastikan sejarah keluarga sentiasa diketahui semua lapisan ahli keluarga bagi memastikan nilai keluarga yang ditanam terus kekal dan dibawa ke generasi seterusnya.

3. Tidak membabitkan diri dalam perniagaan keluarga. Menurut David Jr, langkah kerajaan memecahkan Standard Oil dianggap satu rahmat kerana mengelakkan berlakunya perpecahan dalam keluarga berkenaan hala tuju sesebuah syarikat dan secara tidak langsung, menyediakan asas kepada kekayaan dinasti itu melalui penubuhan tabung-tabung amanah, saham dan pegangan kewangan yang mudah diwariskan kepada waris tanpa perlu mengharungi kerumitan undang-undang berkenaan syarikat.

4. Sentiasa berpegang kepada nilai keluarga termasuk kedermawanan. Ini kerana menurut David Jr, kekayaan yang dimiliki itu bukan sekadar hak tetapi juga tanggungjawab di mana ia harus diagihkan kepada mana-mana pihak yang memerlukannya.

RUJUKAN:

1. O’Donnell, Carl. (2014). The Rockefellers: The Legacy Of History’s Richest Man. Forbes. https://www.forbes.com/sites/carlodonnell/2014/07/11/the-rockefellers-the-legacy-of-historys-richest-man/#649b72103c26

2. Conspiracies.net. Rockefeller Conspiracy – An Introduction to the Rockefellers. https://www.conspiracies.net/rockefeller-conspiracy-theories/

3. Matsangou, Elizabeth. (2017). The history of the Rockefeller family. World Finance. https://www.worldfinance.com/markets/the-history-of-the-rockefeller-family

4. Frank, Robert. (2018). 4 secrets to raising wealthy kids, according to the billionaire Rockefeller family. CNBC. https://www.cnbc.com/2018/03/26/david-rockefeller-jr-shares-4-secrets-to-wealth-and-family.html

5. O’Reilly, Sean. (2016). How Rich Is the Rockefeller Family Today? Fox Business. https://www.foxbusiness.com/markets/how-rich-is-the-rockefeller-family-today

6. Goldenberg, Suzanne. (2015). Rockefeller family tried and failed to get ExxonMobil to accept climate change. The Guardian. https://www.theguardian.com/environment/2015/mar/27/rockefeller-family-tried-and-failed-exxonmobil-accept-climate-change


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.