Kelebihan Ibadat Korban

0
589
views

Hari Raya Aidiladha amat signifikan dengan ibadat korban. Malah, antara nama lain sambutan Aidiladha di negara selain Aidiladha dan Hari Raya Haji ialah Hari Raya Korban kerana pada hari tersebut dan tiga hari Tasyriq, binatang-binatang korban seperti lembu, unta, kambing dan kibas (kambing biri-biri) disembelih sebagai tanda meraikan Aidiladha.

Seperti mana semua tahu, ibadat korban dilakukan sempena memperingati peristiwa Nabi Ibrahim a.s yang sanggup menyembelih anak kesayangan baginda, Nabi Ismail a.s atas sebab mematuhi perintah-Nya. Namun dengan izin Allah s.w.t, berkat kesabaran dan ketaatan mereka berdua kepada-Nya, sebelum sempat pisau itu sampai ke leher Nabi Ismail a.s, Allah menggantikan baginda dengan kibas. Peristiwa ini direkodkan Allah s.w.t dalam Al-Quran menerusi ayat 101-108, Surah As-Saffat, “Lalu Kami berikan kepadanya berita yang mengembirakan, bahawa ia akan beroleh seorang anak yang penyabar. Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”. Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami), serta Kami menyerunya: “Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu”. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar. Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian.”

Bagi melihat keutamaan ibadat korban, mari kita terlebih dahulu firman Allah s.w.t dalam ayat 36-37, Surah Al-Haj, “Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur. Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.”

Berdasarkan dua ayat Surah Al-Hajj ini, para ulama mensyarahkan:

a) ibadat korban mengeratkan lagi hubungan sesama manusia terutama dengan kelompok yang tidak bernasib baik. Bila mana daging-daging korban diagihkan pada kelompok ini, mereka merasakan diri mereka tidak terpinggir dan nasib mereka terbela. Secara tidak langsung, kasih sayang yang disebarkan melalui inisiatif sebegini menjadikan sesebuah masyarakat itu harmoni dan saling menyayangi antara satu sama lain.

b) mengajar manusia untuk mensyukuri nikmatnya. Bukan senang bagi seseorang itu mengeluarkan sejumlah besar wang untuk satu ibadat yang memerlukan kos yang tinggi tetapi bila mana aspek iman melebihi segala-galanya, maka kos yang dikata besar itu kecil pada matanya. Ini kerana tujuan kita melakukan korban ialah mendekatkan diri kepada Allah dan memanfaatkan rezeki yang kita terima di jalan yang diredhai-Nya. Dan ini disokong oleh firman Allah s.w.t dalam ayat 2, Surah Al-Kauthar, “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).”

c) mengajar manusia bersikap ikhlas dalam beribadat. Jika anda perasan, bila mana kita hendak mengorbankan sesuatu bermakna, kita pasti memilih perkara yang terbaik dan bagus kualitinya. Ini kerana bila kita berbuat sedemikian, kita mahukan ia menjadi sesuatu yang bermakna dan memberi manfaat dalam kehidupan kita dan orang lain. Keikhlasan sebegini yang ditunjukkan ini menambahkan lagi kualiti kemanusiaan seseorang dan mengelakkan mereka melakukan sesuatu untuk kepentingan tertentu. Lihat korban yang dilakukan dua anak Nabi Adam a.s, Qabil dan Habil bila mana mereka diperintahkan menyediakan korban. Qabil tidak bersungguh-sungguh dalam soal ini dan memilih hasil pertanian yang busuk dan tidak elok kualitinya. Sementara Habil pula berusaha mencari kibas yang gemuk, sehingga ke saat akhir bagi memastikan korbannya benar-benar yang terbaik. Kesungguhan Habil ini diberi ganjaran oleh Allah s.w.t bila mana Dia memilih korban beliau berbanding korban saudaranya, Qabil.

d) ibadat korban merupakan bukti ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t. Jika kita meletakkan diri kita dalam situasi Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s, bapa mana yang akan tergamak menyembelih darah dagingnya sendiri. Bagi bonda Nabi Ismail merangkap isteri Nabi Ibrahim, Hajar, pasti bila perintah tersebut disampaikan, ibu mana yang tidak sedih. Namun cinta mereka kepada Tuhan mengatasi segala-galanya kerana mereka percaya apa yang diatur Allah s.w.t itu pasti ada hikmah-Nya. Setiap amalan yang dilakukan atas dasar taat dan cinta kepada-Nya, pasti Tuhan akan beri ganjaran selayaknya akan apa yang kita kerjakan. Benarlah janji Tuhan berdasarkan firman-Nya dalam ayat 108-110, Surah As-Saffat, “Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian: “Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!” Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.”

e) mendapat pahala yang banyak di sisi Allah s.w.t. Terlalu banyak hadis Nabi s.a.w yang menceritakan kelebihan korban. Antaranya, sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a, “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).” (Riwayat Tirmizi) Dalam satu hadis lain yang diriwayatkan Imran bin Husain r.a, Nabi s.a.w memerintahkan anak perempuan baginda, Fatimah datang semasa sesi penyembelihan binatang korban kerana bila darah pertama binatang tersebut jatuh ke bumi, Allah memberi pengampunan pada dosa-dosanya yang lalu. (Riwayat Hakim)

Sumber:

  1. MyKorban IKRAM. (2010) Fadilat dan Kelebihan Melaksanakan Korban. http://qurban-aqiqah.ikram.org.my/blog/fadhilat-kelebihan-melaksanakan-ibadah-qurban/
  2. Ahmad Ayoup @ Ayub, Muhammad Mushfique. (2017). Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Irsyad Hadis Siri Ke-211: Kelebihan Ibadah Korban. http://www.muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/irsyad-al-hadith/1752-irsyad-al-hadith-siri-ke-211-kelebihan-ibadah-korban
  3. Abu Samah, Salehuddin. Bank Islam. Kuliah Feqah: Hukum Berkaitan Ibadaht Korban Berpandukan Kitab Al-Fiqh Al-Manhaj. http://www.bankislam.com.my/mobileapps/zulhijjah/kuliahfeqah-korban.pdf
  4. Mohd Yunus, Mohd Yaakob. (2008). Hukum dan Ibadat Ibadat Korban. http://akob73.blogspot.my/2008/12/hukum-dan-hukum-ibadah-korban.html

 

Previous articleKhalifah Umar Abdul Aziz: Jelmaan Umar Al-Khattab Ketika Dinasti Umaiyyah
Next articleGhaibnya Emas 4 Tan Milik Johor
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.