Moving Forward As One

Kelasi Terkandas Di Kapal Hantu Empat Tahun Akhirnya Pulang…

3,193

Seorang kelasi yang dipaksa tinggal di sebuah kapal hantu atas perintah mahkamah Mesir selama empat tahun akhirnya dapat kembali ke kampung halamannya di Syria. Bila ditanya perasaannya selepas dapat meninggalkan kapal MV Aman oleh BBC, Mohammed Aisha merasakan dia seperti baru saja dibebaskan dari pen.ja.ra.

Aisha menyertai kapal kargo MV Aman pada Mei 2017 sebelum ia ditahan oleh pihak berkuasa Mesir di pelabuhan Adabiya dua bulan kemudian. Kapal tersebut ditahan kerana mempunyai sijil pengelasan dan peralatan keselamatan yang sudah tamat tarikh luput. Ia sepatutnya dapat diselesaikan dengan mudah tetapi malangnya, itu tidak berlaku. Kontraktor-kontraktor dari Lubnan enggan membayar kos bahan api sementara pemilik kapal di Bahrain pula dibelenggu masalah hutang.

Dengan kapten kapal yang berstatus warganegara Mesir sudah berada di daratan, maka segala tanggungjawab kapal jatuh ke tangan Aisha. Mahkamah mengisytiharkan dia sebagai penjaga kapal yang sah sekaligus memaksanya kekal di MV Aman selama empat tahun. Bagi mengelakkan Aisha melarikan diri, pengawal kadang-kadang muncul membuat pemeriksaan bagi memastikan perintah mahkamah itu terus dipatuhi.

Rajah 1: Ruang dalaman kapal MV Aman yang dijadikan kediaman sementara Aisha. Sumber: BBC

Dia memberitahu dia hanya perlu menandatangani satu dokumen mahkamah tanpa menyedari kepentingan dokumen tersebut. Aisha hanya tahu selepas rakan-rakannya mula meninggalkan kapal beberapa bulan kemudian. Sejak itu, rutin hariannya ialah memerhati pergerakan kapal dengan majoriti menuju ke Terusan Suez. Malah, semasa insiden kapal besar Ever Given terkandas di terusan berkenaan, Aisha mengakui insiden tersebut mengakibatkan kapal-kapal menunggu sementara kapal berkenaan dapat dialihkan.

Bukan sekali dia berselisih dengan abangnya yang juga seorang kelasi di sebuah kapal lain. Sekiranya kedua-dua kapal berselisih, kedua-duanya saling berhubung menerusi telefon bimbit. Tetapi detik paling melemahkan moralnya ialah apabila Aisha mendapat tahu ibunya, seorang guru Bahasa Inggeris meninggal dunia pada Ogos 2018. Dan itu hampir-hampir mendorongnya mengambil nyawanya sendiri.

Dia turut mengakui bila berada dalam MV Aman, ia dirasakan seperti berada dalam kubur kerana gelap dan sunyi. Ini kerana menurut Aisha, ia tidak mempunyai bekalan bahan api sekaligus tidak boleh menjana tenaga elektrik untuk benda asas seperti lampu. Selain itu, dia juga merasa tidak sihat dari segi fizikal dan mental.

Pada Mac tahun lepas, kapal terkeluar dari kedudukan ia berlabuh selepas dilanda ribut. Ini mengakibatkan ia beralih sejauh 8 km sebelum terkandas beberapa ratus meter dari gigi air. Walaupun mengakui merasa takut akibat peristiwa berkenaan, ini membolehkan Aisha berenang ke pesisir pantai selang beberapa hari untuk mengecas telefon dan mendapatkan makanan.

Rajah 2: Contoh situasi Aisha berenang ke pesisir pantai untuk membeli makanan dan mengecas telefon. Sumber: ITF.

Pembebasan Aisha mula direalisasikan selepas kesnya diuruskan oleh Mohamed Arrachedi dari Persekutuan Pekerja Pengangkutan Antarabangsa pada Disember lepas. Bagi Arrachedi, kes sebegini tidak sepatutnya berlaku sejak dari awal lagi. Ia boleh saja dielak sekiranya pemilik kapal memenuhi tanggungjawab mereka dan membawa pulang Aisha lebih awal.

Malangnya, kes Aisha bukan kes terpencil. Mengikut laporan Pertubuhan Buruh Sedunia (ILO), terdapat 250 kes serupa dilaporkan di seluruh dunia dengan 85 kes baru dilaporkan pada tahun lepas. Antara kes yang menonjol ialah kisah kumpulan 19 orang kelasi India yang terkandas di atas kapal Ula di Assaluyeh, Iran sejak Julai 2019. Semasa ditemubual jurnal perkapalan Lloyd’s, mereka mengadu mengalami tekanan perasaan dan berdepan risiko kehabisan wang.

RUJUKAN:

Adams, P. (2021). Stranded sailor allowed to leave abandoned ship after four years. BBC News.

Ibbetson, R. (2021). ‘I feel like I’ve got out of prison’: Sailor forced to live alone on a ghost ship in Egypt for FOUR YEARS due to red tape is finally allowed to go home. Daily Mail.

Ruangan komen telah ditutup.