Seljuk ialah sebuah Empayar yang asalnya hanyalah suatu puak iaitu puak Kinik daripada keluarga Turk Oghuz dalam konfederasi Oghuz-Yagbu Khaganate. Pada kurun ke-10M, kerajaan-kerajaan Islam menguasai laluan sutera di Asia Tengah iaitu Kerajaan Samaniyyan, Ghaznawiyyan dan Kara-Khanid (Al-Afrasiyab) menjadikan empayar mereka kaya-raya.

Di Utara kerajaan Ghaznawiyyan dan Samaniyyan, iaitu di bahagian utara Laut Aral, Kerajaan Oghuz-Yagbu ini dibentuk oleh bangsa Turki Oghuz. Bangsa inilah yang kelak akan menjadi bangsa yang dominan di Asia Barat dan menubuhkan Kerajaan Khalifah Uthmaniah di Anatolia (Negara Turki moden).

Seljuk Bey merupakan seorang tentera dalam kerajaan Oghuz-Yagbu. Bapanya, Duqaq merupakan pegawai tentera yang sangat disegani dalam kerajaan tersebut. Bangsa Turki Oghuz ketika itu hidup secara nomad untuk menghindari cuaca sejuk melampau pada musim sejuk. Mereka mendiami kawasan Yengikent di pinggir Sungai Syr Darya, yang mengalir dari Laut Aral ke Lembah Ferghana.

Pada suatu ketika, terjadilah perselisihan faham antara Seljuk Bey dengan Khan Oghuz-Yagbu sehinggakan Seljuk Bey membawa semua puak Kinik berhijrah ke Cent yang terletak di Kawasan Maveraunnehir. Maveraunnehir terletak ke Selatan Yengikent, tetapi menjadi sempadan dengan Kerajaan Islam Samaniyyan. Oleh sebab tertarik dengan ajaran islam, Seljuk dan semua ahli puak Kinik memeluk ajaran islam sekitar Tahun 960 M.

Di Cent inilah Kerajaan Seljuk bermula. Seljuk Bey seorang pemimpin yang bijaksana. Beliau menjemput ramai orang islam untuk menetap di Cent. Pejuang-pejuang bangsa Turki yang telah memeluk islam daripada Bukhara dan Khwarezmi bernaung di bawah wilayah Seljuk ini. Pada awalnya, Kerajaan Seljuk perlu membayar cukai kepada Kerajaan Oghuz-Yagbu dua kali setahun. Namun, setelah kerajaan Seljuk berkembang dengan ramainya Pejuang Turkmen Islam, Seljuk mengisytiharkan jihad terhadap negara Oghuz-Yagbu dengan alasan mereka adalah negara kafir. Setelah Seljuk Bey menolak untuk membayar cukai, beliau mewujudkan negara Seljuk yang merdeka di Cent.

Seljuk Bey menghantar anaknya, Arslan dan tenteranya (Alps) ke Kerajaan Samaniyyan yang memerlukan bantuan ketenteraan. Langkah ini juga dapat meningkatkan pengiktirafan negara sekeliling akan kewujudan Kerajaan Seljuk yang merdeka di Maveraunnehir. Walaupun Seljuk membantu Samaniyyan, namun pergolakan politik dalaman dan serangan berterusan daripada Kerajaan Ghaznawiyyan dan Kara-Khanid menyebabkan Kerajaan Samaniyyan mengalami kemunduran di kawasan tersebut. Percaturan politik Seljuk bermula selepas kemunduran Kerajaan Samaniyyan.

Rajah 1: Wilayah Turki Oghuz (Warna Kuning), Yengikent dan Cent

Pada Tahun 1009, Seljuk Bey mangkat dalam usianya menjangkau 100 tahun meninggalkan empat orang anak sebagai legasi pemerintahannya. Mereka ialah Mikail, Arslan (Israfil), Yusuf dan Musa. Anaknya yang kedua iaitu Arslan mengambil tampuk pemerintahan disebabkan abangnya telah terkorban sebelum kemangkatan bapa mereka.

Beliau bergelar Arslan Yagbu. Kerajaan Samaniyyan mengalami kemunduran menyebabkan wilayah Maveraunnehir jatuh ke tangan Kara-Khanid. Ilig Nasr Han merupakan Gabenor Kara-Khanid di Maveraunnehir. Beliau tidak menggemari Kerajaan Seljuk di sana.

Oleh yang demikian, Tughril Bey dan Cagri Bey yang berusia belasan tahun pergi ke Kawasan Sungai Talas untuk bertemu dengan Bugra Khan membincangkan berkenaan sikap gabenor Kara-Khanid terhadap Seljuk. Namun begitu, Bugra Khan juga mengambil sikap ingin bermusuhan dan menangkap Tughril Bey. Cagri Bey dikepung oleh tentera Bugra Khan, namun beliau berjaya menumpaskan tentera Bugra Khan dan menawan komandernya. Bugra Khan terpaksa melepaskan Tughril Bey sebagai pertukaran dengan komandernya.

Rajah 2: Kawasan Maveraunnehir (Uzbekistan moden)

Selepas kepulangan mereka dari Talas, Arslan Yagbu membuat pakatan dengan Ali Tigin, pewaris kerajaan Kara-Khanid di Maveraunnehir. Ali Tigin memegang kuasa sebagai penguasa Maveraunnehir tetapi beliau tidak mempunyai tentera. Ali Tigin perlu berpakat dengan Seljuk untuk mengekalkan kuasanya. Walaubagaimanapun, penguasa Kara-Khanid yang dilantik iaitu Yusuf Kadir Khan bertindak untuk menghapuskan adiknya, Ali Tigin daripada Maveraunnehir.

Raja Ghaznawiyyan, Mahmud juga manhu menghapuskan Ali Tigin kerana mahu menguasai wilayah tersebut. Tughril Bey dan Cagri Bey risau dengan perkembangan politik yang tidak sihat itu. Mereka mencari kawasan baharu sebagai kawasan kediaman mereka. Tughril Bey membawa kanak-kanak dan wanita ke tempat yang selamat untuk menghindari serangan dan jarahan pihak musuh.

Cagri Bey pula membawa 3,000 orang Alps melepasi Khorasan dan memasuki Anatolia daripada kawasan Azerbaijan pada Tahun 1018. Cagri Bey dan tenteranya sampai ke Tasik Van dan menewaskan tentera Armenia di sana. Setelah beberapa ketika, Cagri Bey pulang ke Maveraunnehir dan melaporkan bahawa Anatolia merupakan wilayah yang sesuai untuk dijadikan tanah air mereka.

Yusuf Kadir Khan berpakat dengan Mahmud dari Ghazwaniyyan untuk menghapuskan pengaruh Seljuk di Maveraunnehir. Pada Tahun 1025, Ghaznawi membuat helah dengan membawa Arslan Yagbu ke Samarkand. Beliau ditangkap di sana dan dihantar ke penjara Ghaznawi di Kubu Istana Kalinjar, India (Uttar Pradesh). Berlakulah pertukaran pemerintahan dalam kawasan kem Seljuk. Walaupun Tughril Bey dabn Cagri Bey yang berkuasa, mereka tetap melantik bapa saudara mereka iaitu Musa sebagai Yagbu yang baharu mengikut tradisi Turki Oghuz.

Setelah itu, Ali Tigin menghantar utusan untuk menjalinkan hubungan dengan Kerajaan Seljuk, namun permintaannya ditolak mentah-mentah oleh Tughril Bey dan Cagri Bey. Ali Tigin yang berang dengan penolakan tersebut bertindak menyerang kem Seljuk dan Seljuk mengalami kekalahan teruk sehingga memaksa mereka berundur ke Wilayah Khwarezmiah yang ditadbir oleh Ghaznawiyyan.

Harun yang memerintah Khwarezmiah pada ketika itu mahu memerdekakan wilayahnya daripada Ghaznawiyyan. Beliau membuat perikatan ketenteraan dengan Ali Tigin dan Seljuk untuk mengalahkan Ghaznawiyyan. Namun, Ghaznawiyyan terlalu kuat sehinggakan Seljuk dijarah oleh Ghaznawiyyan menyebabkan 8 hingga 10 ribu warga Seljuk meninggal dunia.

Pada Tahun 1035, Ali Tigin dan Harun terkorban menyebabkan Seljuk bersendirian di Maveraunnehir, dalam menghadapi gelombang jarahan tentera Ghaznawiyyan. Seljuk perlu berhijrah keluar dari Wilayah Maveraunnehir tersebut.

Pada Tahun 1034, sultan Ghaznawiyyan iaitu Sultan Mahmud mangkat meninggalkan kerajaan ke tangan Sultan Mas’ud. Sultan Mas’ud mengarahkan Turkmen bekerjasama dengan Komandernya, Hacib Humar Tash. Namun, Hacib Humar Tash bertindak kejam dengan membunuh komander-komander Turkmen. Tindakannya menyebabkan Turkmen dari Turkistan memberontak dan datang ke Maveraunnehir untuk membalas perbuatan Hacib Humar Tash. Hacib Humar Tash akhirnya dibunuh oleh pemberontak. Keadaan di Kem Ghaznawiyyan, Maveraunnehir seperti padang jarak padang terkukur.

Setelah itu, Turkmen yang sudah tiada komander mengikuti Tughril Bey dan Cagri Bey. Tugril Bey dan Cagri Bey bersama Musa Yagbu disertai lebih kurang 10,000 pejuang Turkmen bergerak dari Maveraunnehir ke Wilayah Khorasan yang ditadbir oleh Ghaznawiyyan. Seljuk menghantar surat kepada Sultan Mas’ud mengatakan mereka mahu bernaung di bawah Kerajaan Ghaznawiyyan dan menjadi penjaga sempadan Wilayah Ghaznawiyyan. Seljuk akan membayar cukai dan mengaku sumpah setia di dalam mahkamah.

Namun begitu, Sultan Mas’ud menolak permintaan Seljuk ini. Oleh yang demikian, Tughril Bey dan Cagri Bey mengarahkan tentera mereka keluar dari Khorasan, menuju ke Kota Nisa yang terletak di Utara Khorasan. Dalam masa yang sama, Sultan Mas’ud menghantar ekspedisi ketenteraan termasuklah batalion tentera bergajah ke Nisa untuk menghapuskan Seljuk yang semakin kuat.

Dalam pertempuran di Nisa, Seljuk yang sedikit bilangannya berbanding Tentera Ghaznawiyyan berjaya memenangi perang tersebut dan menjadi titik permulaan perluasan kuasa kerajaan tersebut. Ghaznawiyyan terpaksa menyerahkan Nisa dan kawasan sekitarnya sebagai tanah air kepada Seljuk sebagai ganjaran bagi gencatan senjata.

Namun begitu, pada Tahun 1038, Sultan Mas’ud menghantar tenteranya ke India untuk memperluaskan wilayahnya ke sana. Peluang yang ada digunakan oleh Seljuk untuk memperluaskan kuasanya di Khorasan. Mereka mengumpulkan pejuang-pejuang Turkmen dan menyerang Kota Ferave, Cuzcan dan Serahs. Sultan mengarahkan tenteranya mengepung dan menghalau keluar semua tentera Seljuk dari Khorasan, namun Seljuk memenangi perang tersebut dan wilayahnya bertambah luas ke Khorasan.

Menyedari kekalahan yang teruk kepada Seljuk, Sultan Mas’ud menghentikan ekspedisi ke India, malahan menghantar keseluruhan tenteranya ke Khorasan pada Tahun 1039. Mengikut riwayat, 100,000 tentera Ghaznawiyyan bergerak ke Khorasan, dengan 300 tentera bergajah. Tentera Seljuk yang sedikit bilangannya memusnahkan semua telaga dalam perjalanan ke Khorasan dari Utara India menyebabkan Tentera Ghaznawiyyan kehausan tanpa air.

Akhirnya, pada Bulan Mei 1040, kedua-dua tentera bertemu di hadapan istana Dandanaqan. Dalam pertempuran Dandanaqan ini, Tentera Seljuk ternyata sangat ampuh dan dapat menewaskan Ghaznawiyyan walaupun bilangan tentera Seljuk sangat sedikit berbanding Ghaznawiyyan.

Pada hari ketiga pertempuran, Sultan Mas’ud mangkat dibunuh oleh orangnya sendiri dan mengakhiri perang tersebut. Maka, setelah pergelutan panjang, Seljuk membentuk Kerajaan yang bebas dan merdeka, serta mewarisi wilayah Ghaznawiyyan di Asia Tengah. Tughril Bey diisytiharkan sebagai Sultan pertamanya dengan nama negaranya, Negara Seljuk Agung diasaskan.

Rujukan:

Hamit Pehlivanli(Kirikkale University), Origin of Seljuks and Appearance in History’s Stage, http://www.selcuklumirasi.com/selcuklular, dilayari pada 14 Oktober 2019.

The Parthian Fortresses of Nisa, Turkmenistan (2005), Government of Turkmenistan, https://whc.unesco.org/uploads/nominations/1242.pdf, dilayari pada 16 Oktober 2019

Conrad Justin Harter (2016), Narrative and Iranian Identity in the New Persian Renaissance and the Later Perso-Islamicate World, Irvine; University of California.

Ibn Al-Athir (1218), The Annals of The Saljuq Turks , Selections from Al-Kamil Fi’l-Tarikh of ‘Izz Al-Din Ibn Al-Athir (translated and annotated by D.S. Richards in 2002), London; Taylor & Francis Group.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Nornizam Jamal merupakan seorang guru di sebuah sekolah menengah yang mempunyai minat dalam menulis. Penulisan beliau lebih cenderung kepada Sejarah Melayu, Marcapada Dunia, Isu-isu pendidikan dan Sains

Comments are closed.