Kekejaman WWII Briged Dirlewanger

0
1236
views

Penggunaan banduan sebagai askar tambahan bukanlah sesuatu yang asing dalam sejarah. Semasa kempen perang Napoleon, kerajaan baginda menggunakan banduan mempunyai reputasi ganas ditempatkan di koloni-koloni Perancis yang mencabar. Dan tatkala Perang Saudara berkecamuk di Amerika Syarikat, tentera Konfederasi yang ditawan adakalanya menolak pemberontakan negeri-negeri di sebelah selatan, mengisytiharkan taat setia kepada kerajaan Kesatuan dan bertempur bagi pihak mereka. Bagi rejim Nazi Jerman pula, mereka terlalu liberal dalam soal ini sehingga mewujudkan satu mimpi ngeri dipanggil Briged Dirlewanger atau Hitler’s Dirty Dozen.

Nama rasmi unit tersebut ialah Divisyen 36 Grenadier Waffen Schutzstaffen (SS) di mana ia diletakkan di bawah kawalan seorang lelaki bernama Oskar Dirlewanger. Unit ini terdiri daripada penjenayah dari pelbagai latar belakang seperti pembunuh, perogol dan perompak. Dan ironinya, Dirlewanger sendiri bukanlah seorang yang terhormat tetapi juga seorang penjenayah seksual yang mempunyai kecenderungan mencabul kanak-kanak. Pada mulanya, unit ini hanya digunakan untuk membanteras pemberontakan yang dilancarkan oleh pemberontak-pemberontak Poland yang anti-Nazi. Tetapi pada tahun-tahun berikutnya, unit ini dikembangkan dan dijadikan sebagai senjata keganasan ke atas orang awam dan askar musuh.

Figure 1: Oskar Dirlewanger

Kumpulan ini pada mulanya terdiri daripada pemburu-pemburu haram. Rejim Nazi Jerman mahu menggunakan kemahiran mereka sebagai pemburu dan penjejak untuk memburu pemberontak-pemberontak yang bersembunyi di dalam hutan. Sekiranya mereka terselamat, mereka diberi pelbagai ganjaran termasuk pengampunan penuh dan kerakyatan Jerman mereka dikembalikan. 55 individu menerima tawaran tersebut dan menjadi anggota pertama unit 36. Mereka dilatih dengan kemahiran menembak tepat dan empat pegawai SS ditempatkan dalam unit tersebut untuk memastikan mereka patuh pada arahan. Bagi mengekalkan disiplin dalam unitnya, Dirlewanger memukul dan kadangkala menembak anggota unitnya sendiri. Ini mendorong sesetengah yang tidak tahan meninggalkan unit tersebut.

Tetapi mengapa lelaki kejam bernama Dirlewanger ini diberi peluang mengetuai unitnya sendiri? Kita hanya perlu lihat sejarah hidupnya sendiri. Dirlewanger lahir pada tahun 1895 dan mendaftar sebagai askar pada usia 18 tahun. Semasa Perang Dunia Pertama (WWI) meletus, dia bertindak sebagai pengendali mesingan di Barisan Barat. Di sinilah, dia merasai nikmat keganasan buat kali pertama dan memberi pengalaman yang membentuk persepsinya pada dunia. Pada akhir perang, Dirlewanger terperangkap di Romania tatkala rakan-rakannya menyerah diri dan bergerak ke kem-kem tahanan. Enggan membiarkan dirinya menjadi tawanan perang, Dirlewanger bersama 700 tentera bergerak dari Romania ke Jerman untuk kembali ke tanah air mereka. Menurut sejarawan, Peter Longerich, insiden ini yang menyebabkan Dirlewanger membenci peraturan dan kehidupan sivil.

Beberapa tahun selepas itu, dia melanjutkan pelajaran di sebuah kolej dan mendapat ijazah kedoktoran dalam jurusan sains politik. Pada masa ini jugalah, Dirlewanger menyertai Parti Nazi dan melakukan pelbagai aktiviti jenayah seperti memukul anggota-anggota komunis Jerman, mencuri dari majikannya dan merogol seorang remaja perempuan yang berusia 14 tahun. Berikutan itu, Dirlewanger ditahan dan didakwa di mahkamah atas tuduhan rogol bawah umur. Selepas didapati bersalah oleh mahkamah, dia dipenjarakan selama dua tahun dengan statusnya sebagai ahli Nazi ditarik balik. Sementara kolej lamanya pula menarik balik ijazah kedoktoran yang dianugerahkan kepadanya. Menurut satu laporan polis tahun 1942, Dirlewanger dianggap tidak stabil dari segi mental, kaki botol dan mampu bertindak ganas lebih-lebih lagi sekiranya dia di bawah pengaruh dadah.

Semasa di penjara ini juga, Dirlewanger menghantar satu petisyen kepada ketua SS, Heinrich Himmler untuk membenarkannya menyertai SS. Dia memberi alasan semua tuduhan yang dilemparkan ke atasnya itu berbaur politik dengan niat merosakkan nama baik dirinya. Jika tidak kerana petisyen ini, kita mungkin tidak akan mendengar nama ini lagi selama-lamanya. Sebaliknya, seorang pegawai SS merasakan Dirlewanger patut diberi peluang kedua. Pegawai SS yang dimaksudkan ialah rakan perang lamanya, Gottlob Berger. Kedua-duanya pernah sama-sama berkhidmat semasa WWI meletus.

Figure 2: Gottlob Berger

Kini, Berger membawanya keluar dari penjara dan menghantar Dirlewanger jadi sebahagian unit Jerman yang menyokong rejim Francisco Franco yang terjerumus dalam Perang Saudara Sepanyol. Sepanjang tempoh perkhidmatannya, dia menunjukkan pencapaian cemerlang dan tidak hairanlah selepas sekembalinya ke Jerman, parti Nazi menerima semula Dirlewanger sebagai ahli. Berger turut bertanggungjawab merekrut dia ke SS dan memberinya unit untuk diketuai. Unit inilah yang kita akan ketahui sebagai Briged Dirlewanger.

Mengikut peraturan tentera, penjenayah tidak sepatutnya dibenarkan memiliki senjata api. Namun larangan tersebut dikecualikan kepada Divisyen 36. Selepas kebanyakan anggota asal melarikan diri kerana tidak tahan dengan rejim Dirlewanger, divisyen tersebut dikembangkan kepada beberapa ratus orang di mana mereka datang dari pelbagai latar belakang. Menurut George H. Stein, penulis buku Waffen SS: Hitler’s Elite Guard at War, hanya 10-15% saja anggotanya ialah anggota Waffen SS yang diletakkan di bawah pemerhatian. 30% anggota merupakan bekas tahanan kem-kem tahanan dan selebihnya merupakan bekas anggota Wehrmacht.

Dengan perilaku keji Dirlewanger, kita tidaklah terkejut dengan arahan-arahan yang dikeluarkan olehnya. Dirlewanger memberi kebebasan kepada anak-anak buahnya untuk menjarah dan merogol di sesebuah kawasan. Jika ada yang menimbulkan ketidakpuasan hatinya, individu tersebut akan ditembak pada bahagian tangan. Dan jika ada yang mengambil barang rampasan yang diingininya, anggota tersebut akan dibunuh di situ juga. Dan kerenah Divisyen Ke-36 ini menimbulkan rasa tidak puas hati bukan saja dalam kalangan anggota Wehrmacht dan SS tetapi juga barisan kepimpinan tertinggi Jerman.

Ada yang cuba mengheret mereka ke mahkamah tentera dan mahukan rejimen ini dibubarkan. Tetapi campur tangan saat akhir Berger menyebabkan perkara tersebut tidak berlaku.Untuk mengelak moral di medan perang jatuh, divisyen tersebut dipindahkan dari Poland ke Belarus. Semasa di Belarus, rejimen ini bertanggungjawab membunuh 30,000 orang awam. Kebanyakan mereka dikumpulkan dalam satu bangsal dan dibakar hidup-hidup. Jika ada yang berjaya melepaskan diri, mereka akan ditembak dengan mesingan.

Satu insiden yang menyebabkan mereka dibenci oleh semua ialah insiden pembunuhan beramai-ramai Wola semasa Pemberontakan Warsaw tercetus. Berdasarkan rekod insiden tersebut, 40,000 orang awam dibunuh dalam tempoh dua minggu. Rejimen ini tidak mempedulikan undang-undang antarabangsa dengan menyerang hospital dan membunuh kakitangan yang ada. Dan pada satu ketika, mereka menemui 500 kanak-kanak yang bersembunyi di mana kesemuanya dibunuh. Salah seorang askar yang terlibat memberitahu dia terdengar Dirlewanger mengarahkan mereka membunuh 500 kanak-kanak dengan bontot raifal dan bayonet untuk menjimatkan bekalan peluru yang ada. Dan di sini jugalah menurut seorang saksi, Dirlewanger memuaskan serakahnya dengan merogol ramai wanita dengan ganas dan tanpa belas kasihan di Warsaw. Semasa Pemberontakan Warsaw berlaku, Rejimen Ke-36 mengalami kehilangan 2,700 orang termasuk bantuan tambahan. Bagaimanapun, itu tidak menghalang kepimpinan Nazi memberi pingat Iron Cross kepada Dirlewanger atas jasanya menumbangkan pemberontakan tersebut.

Figure 3: Antara mangsa Briged Dirlewanger semasa insiden pembunuhan beramai-ramai Wola berlaku.

Selepas Warsaw, Briged Dirlewanger dihantar ke Slovakia untuk mematikan pemberontakan warga Slovakia tetapi pada ketika itu, Perang Dunia Kedua juga semakin hampir ke penghujung. Dan itu juga bermakna pengakhiran kepada kekejaman Dirlewanger dan anak-anak buahnya. Pada 1 Mei 1945, Tentera Merah Soviet menghapuskan sebahagian besar anggota Divisyen 36 dengan ketua mereka, Dirlewanger ditembak di dada tetapi masih hidup. Selepas Dirlewanger menghilangkan diri, timbalannya Fritz Schmedes mengambil alih kepimpinan dan mengetuai anak-anak buahnya menyerah diri kepada tentera Amerika Syarikat pada 3 Mei.

Bagi Dirlewanger pula, selepas beberapa lama, tentera Perancis berjaya menahannya di Altshausen, sebuah bandar kecil di selatan Jerman. Selepas ditahan, dia ditahan di sebuah pusat tahanan dan mati dalam keadaan misteri antara 5-7 Jun 1945. Berdasarkan sijil kematian yang dikeluarkan pihak berkuasa, kematiannya merupakan kematian biasa. Tetapi tidak menurut seorang banduan yang menjadi rakan sel Dirlewanger, Rolf Michaelis. Michaelis yang berkhidmat sebagai leftenan dalam Luftwaffe (Tentera Udara Jerman) menceritakan rakannya itu dibelasah sampai mati oleh pengawal-pengawal Poland yang berkhidmat dalam tentera Perancis. Kenyataan Michaelis bagaimanapun sukar disahkan ramai pihak sehingga hari ini. Sumber Poland mengaakan teori pengawal-pengawal ini berkemungkinan direkrut dari kalangan tahanan yang dipaksa bekerja sebagai buruh paksa tetapi dinafikan oleh seorang bekas tahanan Poland yang ditahan di kem tahanan Altshausen.

Ada juga berteori Dirlewanger sebenarnya berjaya melarikan diri dari tahanan seperti mana yang pernah dilakukan oleh pegawai-pegawai Nazi seperti Otto Skorzeny. Dan ini membawa kepada khabar keberadaannya di serata dunia dari berkhidmat sebagai anggota Legion Asing Perancis (French Foreign Legion) di Vietnam sehinggalah berkhidmat sebagai penasihat kepada Gamal Abdel Nasser di Mesir. Dan berikutan itu juga, kerajaan Poland masih meletakkannya dalam senarai penjenayah paling dikehendaki kerana jenayah perangnya semasa insiden pembunuhan beramai-ramai Wola. Untuk memadamkan terus khabar ini, kuburnya digali semula untuk mengesahkan identiti penjenayah kejam ini pada tahun 1960. Hasilnya, mayat tersebut memang milik Dirlewanger sebelum ianya dilupuskan.

Bagi pelindung Penyembelih Wola ini pula, Berger ditahan di Berchtesgaden berhampiran Salzburg oleh pihak tentera Amerika. Berger kemudiannya dibicarakan atas pelbagai tuduhan seperti jenayah perang dan jenayah kemanusiaan. Dan pada akhir perbicaraan, Berger dipenjarakan selama 25 tahun sebelum ianya dikurangkan kepada penjara 10 tahun. Berger dibebaskan pada tahun 1951 dan menghabiskan sisa hidupnya bekerja sebagai pengurus kilang rel langsir. Dia menghembuskan nafas terakhirnya pada 5 Januari 1978 tatkala berusia 78 tahun.

SUMBER

  1. Gault, Matthew. (2015). War Is Boring. The Vile Story of the Nazis’ ‘Dirlewanger Brigade’. https://warisboring.com/the-vile-story-of-the-nazis-dirlewanger-brigade/
  2. Winston, George. (2018). War History Online. Hitler’s “Dirty Dozen”. https://www.warhistoryonline.com/war-articles/hitlers-dirty-dozen.html

Previous article10 Faktor Kekalahan Melaka Kepada Portugis
Next articleEA: Dari Artis Ke Kapitalis
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE