Kekejaman Terhadap Haiwan Waktu Kecil Tanda Seorang Psikopat?

451

Baru-baru ini, tular di media sosial kisah kanak-kanak datang beraya ke rumah telah bertindak memukul, malah membunuh haiwan peliharaan seperti kucing dan sebagainya.

Oh ya, yang dekat twitter tu dah kantoi berita palsu. Pemilik akaun twitter tersebut mengambil gambar kucing orang lain yang telah lama mati, kemudian mereka-reka cerita.

Namun begitu, penderaan dan kekejaman terhadap haiwan ini bukanlah satu bahan ketawa. Ia adalah perkara yang sangat serius dan memang seringkali berlaku di dunia sebenar.

Dan dengan hanya berbekalkan carian selama beberapa minit di Google, dapat kita baca pelbagai artikel yang mengaitkan pembunuh bersiri dan kecenderungan mereka untuk menyakiti haiwan.

Persoalannya, adakah kanak-kanak yang bertindak melakukan kekejaman terhadap haiwan ini, bakal menjadi seorang psikopat atau sosiopat apabila dia dewasa?

Lets us delve into this.

Pengenalan.

Sains berkenaan “behavioral / criminal profiling” mempunyai sejarah yang lama. Ia telah mula diperkenalkan kepada dunia sejak dari tahun 1880-an lagi. Semuanya bermula apabila dua orang doktor iaitu George Philips dan Thomas Bond, bertindak menggunakan petunjuk dan klu yang diperolehi dari tempat kejadian, untuk membuat jangkaan atau ramalan berkenaan personaliti pembunuh bersiri terkenal dari British, iaitu “Jack The Ripper”.

Seterusnya, sains dalam membangunkan profil penjenayah mula bertapak di Amerika Syarikat. Dan dalam tempoh sedekad yang lalu, pelbagai kemajuan telah dicapai. Tidak seperti sebelum ini, yang mana “profilers” (penyiasat/pengkaji) itu hanya bergantung kepada gerak hati dan pengajian secara tidak formal.

Harvey Scholessberg, seorang ahli psikologi dari Jabatan Polis Bandar New York, yang bertanggungjawab membangunkan profil ramai penjenayah, ini termasuklah profil pembunuh bersiri bernama David Berkowitz atau lebih dikenali sebagai “Son of Sam”, menjelaskan pendekatan yang beliau gunakan pada tahun 60-an dan 70-an;

“Apa yang saya akan buat ialah, saya akan duduk dan meneliti kembali kes-kes jenayah yang telah diselesaikan, yang mana penjenayah itu juga telah ditangkap. Akan saya senaraikan pelbagai perkara seperti umur penjenayah, jantina, tahap pendidikan, adakah mereka dari keluarga yang berpecah belah, mempunyai masalah di sekolah dan sebagainya. Saya akan senaraikan pelbagai perkara yang mungkin menjadi faktor, kemudian saya akan menilai sendiri sama ada mana-mana faktor itu, sentiasa dimiliki atau dipamerkan oleh penjenayah lain.”

Pada tahun 1974 pula, Federal Burueau of Investigation, lebih mesra dikenali sebagai FBI, telah membentuk sebuah unit khas, iaitu Behavioral Science Unit untuk menyiasat siri jenayah rogol dan juga pembunuhan kejam.

Dan dari tahun 1976 sehingga tahun 1979, beberapa agen FBI yang terkenal dalam jenis siasatan ini, seperti John Douglas dan Robert Ressler, telah menemubual seramai 36 orang penjenayah yang terdiri daripada pembunuh serta perogol bersiri bagi membangunkan teori dan kategori berbeza bagi setiap pesalah.

Pasukan pengkaji menghasilkan senarai yang terdiri daripada 24 perkara, untuk menilai dan menaksirkan sejarah sewaktu kanak-kanak dan remaja para pesalah di dalam kajian itu. Senarai mengandungi elemen-elemen 3 kelakuan “Macdonald Triad” dan pelbagai lagi informasi kelakuan antaranya seperti berikut;

– Sering mengelamun
– Desakan untuk sentiasa beronani
– Mimpi buruk
– Sakit kepala

Informasi-informasi ini didapatkan sama ada daripada sesi temubual, atau rekod rasmi (jenayah, guaman, dan penilaian psikologi) pesalah, yang kemudiannya diisi ke dalam senarai tersebut.

Para pengkaji kemudian bertindak menghuraikan informasi yang didapatkan daripada pengisian senarai ini, sebagai satu bentuk ‘senarai standard’. Menjadikannya kayu ukur, dan turut digunakan dalam kajian psikososial serta dimasukkan ukuran corak pemikiran dan kelakuan berdasarkan pemahaman ‘profiler’ FBI (pengkaji) itu sendiri tentang kelakuan penjenayah.

Hasil daripada kajian mereka mendapati bahawa, terdapat hubungkait di antara tindakan kekejaman terhadap haiwan itu semasa kanak-kanak, dan penjenayah sama ada perogol atau pembunuh bersiri.

Walau bagaimanapun, terdapat kepincangan dalam kajian FBI ini. (Akan dijelaskan lebih lanjut di bawah).

Macdonald Triad

Pakar psikiatri forensik yang dikenali sebagai John Macdonald, telah dikreditkan dengan ‘penemuan’ triad atau tiga kelakuan ini.

Menurut artikel beliau yang diterbitkan pada tahun 1963, di dalam “American Journal of Psychiatry” bertajuk “The Threat to Kill”, beliau memberikan diagnosis klinikal bahawa;

“Sejarah hitam berhadapan kekejaman atau penderaan dari ibu bapa, maternal seduction yang ekstrem, atau triad kelakuan semasa kanak-kanak seperti sukakan pembakaran, kekejaman terhadap haiwan, dan enuresis (kencing malam) juga , memberi tanda awal (prognostic) bahawa mereka akan mengancam untuk membunuh.”

Bagaimanapun, anda perlu tahu bahawa artikel itu adalah hasil kerja Macdonald berhadapan atau bekerja dengan 100 orang pesakit mental di Colorado Psychopathic Hospital, yang pernah mengugut atau mengancam untuk membunuh, tetapi tidak semestinya bertindak melakukan jenayah tersebut di kemudian hari.

Tiga kelakuan ini kemudian telah dikenali sebagai “Macdonald Triad”. Bukan Ronald Mc’Donalds maskot rangkaian restoran makanan segera ya! Ia juga turut dikenali dengan nama lain, seperti “Homicidal Triad” atau “Hellman and Blackman Triad”.

Menariknya, triad atau kumpulan 3 kelakuan ini juga telah dimasukkan di dalam pengajian bidang kriminologi dan psikologi, dan digunakan oleh pengamal forensik untuk menentukan tahap risiko jenayah itu dilakukan, serta sangat terkenal kepada aficionados (peminat) topik pembunuh bersiri.

Sesetengah ahli kriminologi dan ahli psikologi berpendapat bahawa, untuk mempunyai dua daripada tiga tingkah laku ini, meningkatkan risiko seseorang itu untuk melakukan pembunuhan apabila dewasa kelak.

Tetapi…

Kajian Empirikal Lebih Lanjut Membuktikan Sebaliknya.

1. Kajian Hellman dan Blackman.

Dua orang ahli psikiatri bernama Hellman dan Blackman antara yang terawal membuat kajian empirikal lebih lanjut bagi menilai “Macdonald Triad”. Empirikal bermaksud satu kajian yang berdasarkan pemerhatian dan pengalaman, bukan teori semata-mata.

Dalam kajian mereka terhadap 84 orang pesalah yang telahpun dipenjarakan mendapati bahawa, wujud hubungkait antara “Macdonald Triad” semasa kanak-kanak dengan keganasan pada masa akan datang. Kajian ini seterusnya mempopularkan fenomena ini sebagai “Hellman and Blackman Triad”.

Bagaimanapun, cubaan seterusnya untuk menghasilkan kembali hasil kajian Hellman dan Blackman ini tidak berjaya. Oleh itu, hasil kajian tersebut boleh dipertikaikan.

Sebagai fakta tambahan;

Untuk pengetahuan anda, setiap dapatan dari mana-mana kajian sains, wajib memiliki faktor yang sangat penting, iaitu “reproducibility”. Juga bermaksud, kebolehan mengulangi atau mendapatkan hasil yang sama, dari cara yang sama, sebelum ia diangkat sebagai bukti kukuh.

2. Kajian Lanjut John Macdonald.

Seterusnya, John Macdonald sendiri, (pelopor kepada Macdonald Triad) turut berasa ragu-ragu terhadap teori Triad yang telah diusulkan beliau. Ini berlaku selepas beliau laksanakan kajian terhadap teori “Macdonald Triad” ‘ciptaan’ beliau sendiri.

Dalam artikel beliau yang berjudul “Homicidal Threats”, juga diterbitkan di dalam “American Journal of Psychiatry” pada tahun 1967, beliau mendapati bahawa, tiada sebarang bukti statistik signifikan mengaitkan seorang pembunuh itu dengan kelakuan di dalam “Macdonal Triad” iaitu kelakuan sukakan pembakaran (pyromania), kekejaman terhadap haiwan, dan juga kencing malam (enuresis).

3. Kepincangan Dalam Kajian FBI

Seperti yang dinyatakan di atas, terdapat kepincangan dalam kajian dilaksanakan pihak “profiler” FBI, kerana ia lebih kepada bukti anekdot sahaja (berdasarkan pemahaman “profiler” itu sendiri) berskala kecil, tanpa analisis statistik dan kumpulan kawalan.

*Kumpulan kawalan ini sangat penting dalam mana-mana kajian. Dan ia perlu terdiri daripada individu atau mereka yang bukan perogol dan pembunuh bersiri. Ini bagi menentukan bahawa, sama ada kelakuan “Macdonald Triad” itu benar-benar hanya ekslusif dimiliki atau dipamerkan oleh perogol / pembunuh bersiri, atau tidak (bermaksud ia turut dilakukan mereka yang bukan penjenayah).

Seterusnya, dalam informasi senarai terhadap 36 orang subjek (penjenayah), pengkaji mendapati bahawa;

– 68% peratus daripada pembunuh dan perogol berisiri ini menghidapi masalah kencing malam (enuresis) semasa kanak-kanak.

– 56% daripada mereka pula mengakui pernah obses melakukan pembakaran.

– Manakala 46% daripada mereka pernah melakukan kekejaman terhadap haiwan semasa kanak-kanak atau remaja.

Malangnya, dapatan dari kajian ini tidak dilaporkan dalam satu bentuk yang menunjukkan faktor atau kelakuan mana pernah dibuat seseorang penjenayah tertentu.

Justeru itu, tiada cara bagaimana untuk menentukan berapa ramai dari mereka benar-benar mempamerkan kelakuan ini.

4. Kajian Prentky dan Carter

Hasil yang sama juga telah didapatkan berdasarkan pemeriksaan psikologi terhadap 206 individu yang merupakan pesalah seks, di Massachusetts Treatment Center for Sexual Dangerous Persons.

Menurut kajian Prentky dan Carter berjudul “The Predictive Value of the Triad for Sex 
Offenders” yang diterbitkan pada tahun 1984 mendapati bahawa, tiada bukti kukuh bahawa 3 kelakuan dikenali sebagai “Macdonald Triad” itu menjadi tanda bahawa pelaku akan menjadi penjenayah di kemudian hari.

Walau bagaimanapun, kajian tersebut memperoleh maklumat baru, iaitu komponen atau (salah satu daripada kelakuan Macdonald Triad) sangat biasa dimiliki oleh individu yang dibesarkan dengan suasana penderaan di rumah. Atau secara mudahnya, kanak-kanak yang mempamerkan salah satu atau ketiga-tiga kelakuan yang termasuk dalam “Macdonald Triad”, sebenarnya menghadapi penderaan atau suatu pengalaman yang traumatik di rumah.

Menurut Kori Ryan, yang mengkaji fakta dan bukti kukuh di sebalik “Macdonald Triad”, beliau memberi amaran bahawa penggunaan triad ini sewenang-wenangnya bakal memberi label yang salah (falsely-labeled) kepada kanak-kanak terganggu, walaupun mereka mempamerkan hanya salah satu daripada komponen atau kelakuan dalam triad tersebut.

Dalam erti kata lain, dengan menganggap kanak-kanak itu “bakal menjadi psikopat atau pembunuh pada masa akan datang”.

Seperti yang telah dinyatakan di atas, tiada sebarang bukti kukuh mengaitkan kelakuan-kelakuan di dalam Macdonald Triad dengan individu itu bakal menjadi pembunuh atau psikopat. Ini kerana, kanak-kanak yang didera itu lebih biasa dilihat mempamerkan kelakuan-kelakuan tersebut.

Contoh perkara ini dapat disaksikan melalui kes Beth Thomas. Beth telah didera secara seksual oleh bapa kandungnya sendiri untuk masa yang sangat lama sebelum kejadian jelik itu dihidu pihak berkuasa. Kemudian, apabila Beth dan adik lelakinya diambil sebagai anak angkat, peristiwa penderaan menghantui Beth menyebabkan dia bermimpi buruk pada waktu malam, mula mendera adik lelakinya, dan juga mula membunuh haiwan peliharaan.

Menurut Kori Ryan lagi, pakar sepatutnya memahami lebih mendalam tentang kelakuan-kelakuan yang dimiliki oleh kanal-kanak tersebut. Dan bukan hanya terus menghukum mereka.

Ini kerana mungkin kelakuan ganas ini salah satu akibat atau cara kanak-kanak tersebut berhadapan atau mengatasi trauma (coping mechanisms) akibat didera semasa kecil, dan bukan hanya satu tanda bahawa dia akan menjadi ganas apabila dewasa.

Mungkin anda tertanya, mengapa mangsa dera bertindak mendera haiwan?

Individu yang mendera, mendapatkan satu sensasi atau merasakan diri itu berkuasa terhadap hidupan yang lemah. Kerana sebelum ini, beliau lah yang lemah kerana telah didera.

Oleh itu, penderaan haiwan memberikan individu tersebut satu kepuasan, atau satu cara untuk melepaskan amarah dan membalas balik perbuatan derita penderaan yang dihadapi selama ini.

Kesimpulannya

Kanak-kanak seperti kanvas atau kain putih. Yang mencorakkan atau memberi warna kepada kehidupan mereka, adalah tanggungjawab ibu bapa, dan orang-orang dewasa di sekeliling mereka.

RUJUKAN:

Macdonald, John M. The Threat To Kill. American Journal of Psychiatry. (1963).

Hellman, D.S., & Blackman, N. Enuresis, Firesetting, And Cruelty To Animals: A Triad Predictive of Adult Crime. American Journal of Psychiatry. (1966).

Macdonald, John M. Homicidal Threats. American Journal of Psychiatry. (1967).

Prentky, Robert A., Daniel L. Carter. The Predictive Value of the Triad for Sex 
Offenders. (1984).

Ryan, Kori. The Macdonald Triad: Predictor Of Violence Or Urban Myth? [Thesis] Master of Science in Criminology in the College of Social Sciences California State University, Fresno.

Legare, Michael Joseph. When Things Seem Odd: Polly and the Internal Guardian. FriesenPress 2016.

Ressler, Robert K. Ann Wolbert Burgess, John E. Douglas. Sexual Homicide: Patterns and Motives. The Free Press, 1996.

Criminal profiling: The Reality Behind The Myth by Lea Winerman. Retrieved from: https://www.apa.org/monitor/julaug04/criminal

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.