Kekejaman Dilakukan Oleh Dua Beradik

67

Pada tarikh 4 April 2009, seorang budak lelaki berumur 11 tahun, bersama adik lelaki beliau yang berumur 10 tahun, memulakan rancangan jahat mereka dengan membawa dua orang lagi budak lelaki, masing-masing berumur 11 dan 9 tahun, ke sebuah anak sungai yang agak terpencil.

Dua beradik pendera

Perisitwa hitam ini berlaku di sebuah pekan dinamakan Edlington, South Yorkshire, England.

Licik

Kedua-dua mangsa yang sedang mengayuh basikal mereka di sebuah taman permainan berhampiran, telah ‘dipancing’ untuk mengikuti dua beradik tersebut dengan alasan, bahawa mereka ingin menunjukkan sesuatu.

Tempat kejadian

Setibanya di lokasi kejadian, kedua-dua mangsa telah ‘dipow’ oleh dua beradik tersebut. Mangsa yang berumur 11 tahun itu diambil telefon bimbit beliau, manakala mangsa yang berumur 9 tahun itu pula, diambil duitnya.

Seksaan kejam

Walau bagaimanapun, tragedi malang tersebut tidak berakhir begitu sahaja. Dua beradik itu kemudiannya bertindak mendera kedua-dua mangsa samun mereka, dengan perlakuan yang tidak kita sangka boleh dilakukan oleh kanak-kanak.

Kedua-dua mangsa tersebut telah digigit, dipukul, serta dibaling oleh batu dan telah dijerut leher mereka menggunakan gegelung besi. Seterusnya, kedua-dua mangsa telah dibalut oleh sebidang kain yang kemudiannya dibakar.

Penderaan semakin rancak dilakukan, apabila dua beradik itu telah bertindak menikam tubuh badan kedua-dua mangsa yang mempunyai kesan lecur pada badan, menggunakan sebatang kayu yang telah ditajamkan.

Luka tikaman yang sangat teruk terhasil pada lengan salah seorang mangsa yang berumur 9 tahun itu, apabila terhasil sebuah luka yang berlubang, mencapai sehingga ke permukaan tulang.

Tidak puas hati lagi, luka-luka yang terhasil akibat penderaan itu telah dicucuk-cucuk pula menggunakan kayu tajam itu tadi, serta dicucuh oleh api rokok.

Kedua-dua mangsa kemudian telah diarahkan untuk membuka seluar masing-masing dan dipaksa melakukan perbuatan seksual di antara satu sama lain.

Ketika kedua-dua mangsa sedang berbaring kepenatan serta tidak berdaya akibat didera itu, sebuah sinki porselin yang secara kebetulan ditemui, telah dijatuhkan ke kepala mangsa yang berumur 11 tahun itu. Dua beradik pendera itu kemudian bertindak memijak wajah, kemaluan serta membakar telinga dan kelopak mata kedua-dua mangsa.

Sebahagian daripada perlakuan seksaan ini diketahui telah dirakamkan oleh salah seorang daripada pendera tersebut.

Jalan menuju ke tempat kejadian

Ditinggalkan untuk mati

Apabila dua beradik tersebut mula bosan serta berasa ‘lenguh tangan’ akibat perbuatan kejam mereka, mereka hanya berlalu pergi begitu sahaja, meninggalkan kedua-dua mangsa yang berlumuran darah untuk mati di tepian anak sungai terpencil itu.

Bagaimanapun, perkara menakjubkan terjadi apabila mangsa yang berumur 9 tahun itu dapat bergerak, merangkak dan akhirnya mampu berjalan untuk meminta pertolongan.

Mangsa yang berumur 11 tahun itu dilaporkan berkata, “Saya tak boleh melihat, saya tak boleh menggerakkan badan. Awak pergilah, saya mati di sini.”

Selepas mangsa berumur 9 tahun berjaya meminta pertolongan, perkara pertama yang beliau minta adalah supaya mereka menyelamatkan kawan beliau.

Tidak lama selepas itu, mangsa 11 tahun itu dijumpai. Keadaan beliau pada ketika itu sangat kritikal, sehinggakan pasukan kecemasan mengambil masa yang agak lama untuk menstabilkan beliau.

Ilustrasi situasi dua baradik di mahkamah ketika sedang dibicarakan.

Ditahan & Dihukum

Keesokan harinya, iaitu pada 5 April 2009, dua beradik durjana itu telah ditahan oleh pihak berkuasa. Rakaman video sebahagian daripada penderaan yang diambil mereka juga telah dijadikan bahan bukti di dalam mahkamah.

Dua beradik itu kemudian disabitkan kesalahan berikut: kelakukan yang mendatangkan kecederaan kepada mangsa, dan pelbagai kesalahan lain termasuklah melakukan serangan seksual.

Mereka dijatuhkan hukuman penjara dengan tempoh minimum penjara selama 5 tahun. Bagaimanapun, berikutan kedua-dua mereka masih dibawah umur, identiti mereka berdua tidak didedahkan.

Pada Disember tahun 2016, mahkamah memberikan perlindungan identiti sepanjang hayat kepada mereka berdua di atas alasan untuk melindungi daripada perbuatan balas dendam.

Mereka kini telah dibebaskan dari penjara apabila jawatankuasa parol mendakwa dua beradik ini telah direhabilitasi dan tidak lagi menjadi ancaman kepada masyarakat.

Semasa perbicaraan, ia telah didedahkan bahawa, dua beradik ini baru sahaja tiba di rumah keluarga angkat mereka di pekan Edlington ini, tiga minggu sebelum kejadian penderaan berlaku.

Mereka datangnya dari sebuah keluarga yang pincang dan bermasalah. Salah seorang daripada mereka juga mengaku pernah menghisap ganja ketika berumur 9 tahun lagi, selain daripada menonton DVD lucah serta filem-filem yang ganas.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.