Kekayaan Luar Biasa Ferdinand Marcos

0
1132
views

Pada awal pagi Februari 1986, Imelda dan Ferdinand Marcos bersama ahli keluarga dan sekutu rapatnya melarikan diri ke Amerika Syarikat dengan menaiki dua pesawat pengangkut C-141. Selepas berkuasa selama 21 tahun di Filipina, tiada apa yang dapat membendung amarah rakyat terhadapnya. Tentera tidak lagi mahu menyokong mereka dan ribuan rakyat turun ke jalanan untuk membantah rejim berkenaan. Bagi Marcos, semua petanda ini sudah cukup untuknya meninggalkan Manila dan bersedia menyediakan rancangan melepaskan diri. Oleh sebab itu apabila mereka tiba di Pangkalan Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) Hickham, Hawaii, mereka turut membawa bersama banyak barang.

Mengikut laporan rasmi Kastam Amerika Syarikat, laporan setebal 23 muka surat itu merekodkan keluarga Marcos dan sekutu mereka membawa 23 peti kayu: 12 beg dan beg bimbit serta pelbagai jenis kotak, di mana kandungan pakaiannya cukup untuk mengisi 67 rak pakaian, 413 barang kemas termasuk 70 kaflin bertatahkan permata, sebuah patung bayi Jesus yang diperbuat daripada gading dan kain perak serta rantai leher berlian, 24 jongkong emas yang ada ukiran ‘Untuk suami saya pada ulang tahun ke-24 perkahwinan’ dan lebih dari 27 juta peso yang baru dicetak. Kesemua barangan yang direkodkan pihak kastam berjumlah $15 juta dolar. Kalau ikut standard biasa, itu sebenarnya sudah cukup untuk membiayai kehidupan mereka dalam buangan di Amerika Syarikat tetapi bagi kerajaan Manila baru yang diketuai Presiden Corazon Aquino, apa yang direkodkan hanya sekelumit kecil saja daripada kekayaan sebenar Marcos.

Hakikatnya semasa pemerintahan Marcos, beliau sebenarnya mengumpul kekayaan lebih daripada 650 kali ganda dan berdasarkan anggaran yang dikeluarkan Mahkamah Agung Filipina, Marcos mengumpul kekayaan sebanyak $10 bilion dolar semasa berkuasa. Dan dengan gaji presiden sebanyak $13,500 setahun, satu-satunya cara beliau boleh berbuat demikian ialah dengan mencuri pada skala yang mengagumkan. Maka tidak hairanlah bagi sebuah negara di mana 40% populasinya mempunyai pendapatan kurang daripada $2 sehari, mereka mahukan kekayaan yang dikumpul secara haram ini dikembalikan semula kepada kerajaan dan rakyat Filipina.

Dan inilah agenda pertama yang dilakukan Aquino selepas dilantik sebagai Presiden dengan mengeluarkan arahan eksekutif penubuhan Suruhanjaya Presiden untuk Kerajaan Baik (PCGG). Matlamat PCGG satu saja iaitu mendapatkan semula semua kekayaan dikumpul Marcos, ahli keluarga dan kenalannya serta diberi kuasa merampas mana-mana aset yang dikatakan datang dari sumber jenayah. Selepas 30 tahun penubuhannya, PCGG masih bekerja seperti biasa untuk memenuhi matlamatnya, Suruhanjaya ini terdiri daripada 94 peguam, penyelidik dan pentadbir dan diberi belanjawan tahunan kerajaan sebanyak $2.2 juta. PCGG berjaya mengesan aliran duit Marcos di negara-negara tertentu dan memfailkan tuntutan di mahkamah untuk mendapatkannya semula. Tetapi malangnya, apa yang diraih PCGG masih lagi sedikit berbanding kekayaan Marcos di luar sana. Dan sehingga kini, tiada siapa dari kalangan orang berkenaan yang diheret ke mahkamah dan menerima hukuman setimpal atas jenayah mereka.

Kekayaan yang direkodkan ini bukan lagi melibatkan koleksi kasut Imelda yang terlalu banyak walaupun tabiat membeli-belahnya itu memang benar. Beliau membeli minyak wangi bukan kadar aun tapi dalam jumlah yang banyak. Dan bagi yang mengenali Old Master atau lukisan yang dihasilkan pelukis-pelukis Eropah sebelum tahun 1800, Imelda juga mempunyai minat yang sama dan mahu membolot semua termasuk cuba membeli syarikat barang kemas Tiffany & Co. Tapi apa yang dilakukan beliau hanyalah sekadar gangguan dari pihak berkuasa melihat skala sebenar jenayah kewangan yang dilakukan diktator Filipina itu.

Satu keterangan menarik PCGG berkenaan harta Marcos datang dari keterangan bersumpah seorang kakitangan awam bernama Chito Roque. Pada malam keluarga Marcos meninggalkan Filipina, dia bersama bosnya pergi ke Istana Malacanang tatkala kawasan itu dipenuhi orang ramai. Memandangkan istana masih dikawal pihak tentera, dia dan bosnya diberi kebenaran masuk dan sedar mereka meninggalkan Filipina dalam keadaan tergesa-gesa. Pandangan ini dibuat selepas memasuki kawasan kediaman peribadi keluarga Marcos di mana makanan masih panas atas meja makan, kotak kosong, kertas bertaburan di atas lantai, mesin dan mesin pencincang disumbat banyak kertas. Selepas bosnya pulang, Chito memutuskan untuk kekal dan berjalan masuk ke bilik tidur diktator berkenaan. Dalam keterangannya, dia menambah, “Saya melihat sebuah kabinet fail dan buka laci pertama. Di situ, saya melihat sebuah peti dan kombinasi nombor untuk membuka peti berkenaan. Selepas menggunakan kombinasi nombor berkenaan, saya dapat membukanya.” Hasil penemuan Chito itu ialah beberapa rekod akaun bank di Switzerland dan Kanada, sijil saham dan beberapa surat yang ditandatangani Marcos sendiri.

Sekarang, jika anda fikir Amerika Syarikat tidak tahu-menahu berkenaan tingkah laku Marcos dan isterinya, anda salah. Amerika tidaklah senaif itu malah turut mengadakan pelbagai perjanjian rahsia termasuk menyimpan senjata nuklear di Filipina pada tahun 1960-an. Malah semasa tahun-tahun awal pemerintahannya, Marcos bertindak naif dengan menyimpan wang di sebuah bank di New York di bawah namanya sendiri. Berdasarkan rekod PCGG, beliau dan Imelda mula lebih kreatif menyimpan wang dengan menggunakan nama palsu semasa mendeposit $950,000 dalam empat akaun Credit Suisse di bawah nama William Saunders dan Jane Ryan. Dan pada Februari 1970, apabila akaun tersebut sudah penuh, pemilikannya dipindahkan kepada beberapa yayasan di Liechtenstein.

Marcos semakin bijak dengan menguatkuasakan undang-undang darurat dan ini diketahui bukan saja oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA) tetapi juga presiden yang terkenal dengan skandal Watergate, Richard Nixon. Dengan restu Nixon, beliau menutup Kongres, menahan semua musuh politiknya, mengawal media dan mahkamah serta menggantung semua hak sivil. Dalam kesibukannya membuat pelbagai langkah yang dianggap ‘reformasi’, Marcos sempat membuat satu lagi akaun bank di Switzerland berdasarkan catatan diarinya yang kini dimiliki PCGG. Untuk sembilan tahun berikutnya, 34,000 ahli kesatuan pekerja, pemimpin pelajar, penulis dan ahli politik diseksa dengan pelbagai jenis seksaan seperti kejutan elektrik, besi panas dan ancaman rogol. Sementara 3,240 mayat lelaki dan perempuan dicampak di tempat awam dengan 398 lagi masih lagi diklasifikasikan sebagai hilang. Dengan mempunyai kuasa politik penuh, Marcos mula mahu memonopoli kekayaan Filipina untuk kepentingan dirinya, keluarganya dan sekutu-sekutunya.

Figure 1: Nixon (dua dari kiri) mengetahui rancangan Marcos melancarkan undang-undang darurat untuk mengukuhkan kuasanya di Filipina.

Senarai jenayah kewangan yang dilakukan Ferdinand Marcos:

  1. Memfitnah anak Eugenio Lopez dengan mendakwa anak pemilik syarikat elektrik Meralco terlibat dalam cubaan pembunuhan ke atasnya. Tujuan sebenar ialah memiliki sepenuhnya syarikat elektrik berkenaan. Lopez menyerahkan syarikat kepada kerajaan dengan harga hanya $220 dan bukan $440 juta mengikut nilai ketika itu.
  2. Mengambilalih sektor gula dengan membentuk syarikat-syarikat dan mengeluarkan dekri-dekri yang membenarkan syarikat-syarikat ini mendominasi hak penanaman, pengilangan dan pemasaran gula Filipina ke peringkat antarabangsa. Marcos turut bertanggungjawab menubuhkan Syarikat Pertukaran Filipina yang membolehkannya membeli gula dari kelompok petani dengan harga murah dan menjualnya untuk mendapat margin keuntungan tinggi. Keuntungan tersebut digunakan untuk membeli syarikat Northern Lines yang diberi kontrak membawa gula ke luar negara. Marcos juga bertanggungjawab mengecualikan sektor berkenaan dari senarai gaji minimum, sekaligus mengakibatkan 500,000 pekerja hanya mendapat gaji kurang daripada $1 sehari.
  3. Menubuhkan syarikat-syarikat di bawah namanya untuk memonopoli semua perjanjian dan pengecualian cukai dari pelbagai sektor seperti media, pembalakan, insuran, perkapalan dan industri udara.
  4. Menggunakan proksi dan kroni untuk memiliki semua jenis perniagaan dengan kebanyakannya dilakukan oleh rakan bermain golf, saudara-mara dan sekutu politik. Syarikat-syarikat ini menggunakan nama mereka sebelum saham pemilikannya sebanyak 60% dipindahkan kepada seseorang tanpa dinyatakan siapa. Ramai mengesyaki pemilik 60% saham bisnes-bisnes sebegini merujuk kepada Marcos.
  5. Semua bentuk bantuan kewangan sama ada pinjaman atau bantuan negara asing dibolot dan dimasukkan dalam akaun bank Switzerlandnya. Dan Marcos tidak segan-silu mencuri simpanan emas dari Bank Pusat Filipina.
  6. Mewujudkan sistem perbankan sendiri dengan sesetengah kroni mengambil alih bank-bank persendirian sementara sesetengah lagi mengawal bank-bank negeri. Menerusi bank-bank ini, mereka mencuri lebih banyak duit melalui pinjaman dan akses kepada mata wang asing, ianya kemudian dikendalikan pakarnya sendiri menguruskan mata wang berkenaan di pasaran gelap. Staf-staf bank akan datang ke istana untuk mengutip wang dan cek sebelum ia didepositkan ke akaun-akaun yang dimiliki Marcos.

Hasil daripada kekayaan secara haram ini membolehkan keluarga Marcos membina rumah-rumah untuk saudara-mara mereka, memiliki sebuah kapal layar bernilai $5.5 juta, pesawat peribadi, helikopter dan puluhan kereta Mercedes Benz. Apabila anak bongsunya berkahwin pada tahun 1983, keluarga Marcos membina sebuah landasan kapal terbang dan sebuah hotel baru. Mereka juga turut mengubahsuai gereja berusia 200 tahun, memusnahkan rumah-rumah berhampiran dan membinanya semula mengikut gaya tradisional, mengimport kereta kuda dari Austria dan kuda-kuda dari Maghribi. Dan ini sesuatu yang menimbulkan kemarahan kebanyakan anggota PCGG yang melihat ramai rakyat Filipina amat terkesan dengan jenayah kewangan yang dilakukan Marcos. Mereka bukan saja mahukan semua kekayaan yang dibolot Marcos dikembalikan semula tetapi dipulihkan semula demi kepentingan negara.

Ini satu perjuangan yang bukan sedikit pengorbanannya. Pertimbangkan kisah lukisan-lukisan yang hilang dari Malacanang. Apabila PCGG memulakan pencarian di istana selepas Marcos melarikan diri, mereka mendapati 23 lukisan yang digantung di sebuah bilik hilang. Begitu juga koleksi lukisan yang digantung di rumah Imelda di East 66th Street, New York di mana seorang jiran memberitahu beberapa hari selepas keluarga Marcos duduk dalam buangan, pekerja-pekerja memindahkan koleksi lukisan dan barang antik ke dalam dua buah lori sebelum ia berlalu pergi. Selepas kediaman tersebut diperiksa, ulangan kisah sama di Malacanang berlaku di situ. Antara lukisan yang disimpan di kediaman berkenaan ialah beberapa lukisan Monet dan Madonna and Child oleh Michelangelo. Berdasarkan rekod, mereka memiliki sekurang-kurangnya 304 lukisan dan kebanyakannya masih hilang. Untuk mengelak lukisan-lukisan ini dijual di galeri atau dilelong, PCGG berjaya mendapat perintah mahkamah melarang galeri-galeri dan rumah lelong dari menjual mana-mana koleksi seni yang datang dari keluarga Marcos.

Pada tahun awal penubuhannya, PCGG hanya mendapat sedikit bantuan dari rakan-rakan dan sekutu Marcos. Apa yang mereka tahu ialah keterangan Rolando Gapud, pembantu kewangan Marcos yang mendedahkan lima akaun Switzerland mengandungi wang sebanyak $356 juta. Tetapi selepas ramai individu termasuk Gapud mendedahkan skala sebenar kekayaan Marcos, kerajaan menubuhkan mahkamah anti-rasuah pada akhir tahun 1986, sekaligus membolehkan PCGG mula membina kes terhadap keluarga Marcos dan sekutu-sekutunya. Salah satu individu yang tampil ke hadapan ialah bekas pengurus Bank Negara Filipina cawangan New York, Oscar Carino. Dalam akuan bersumpahnya, dia mendedahkan bekas diktator Filipina itu membuka dua akaun bank di bawah dua syarikat palsu untuk menyembunyikan kekayaannya. Dan sesetengah wang ini dipindahkan oleh pengedar senjata terkenal dari Arab Saudi, Adnan Khashoggi seperti didedahkan dalam sebuah dokumentari stesen televisyen Australia. Atas permintaan PCGG, polis Perancis menyerbu kediaman Khashoggi dan mendapati kediaman tersebut dipenuhi dengan pelbagai lukisan yang pernah dimiliki Marcos.

Figure 2: Adnan Khashoggi

Pengedar senjata itu berkeras kebanyakan pembeliannya bersifat bona fide membabitkan keluarga Marcos tetapi hujah tersebut ditolak pihak berkuasa Amerika Syarikat. Khashoggi kemudian bersama Marcos, Imelda dan ramai lagi anggota rangkaian terlibat didakwa di mahkamah atas dakwaan pelaburan wang haram. Bagaimanapun sebelum sempat beliau menghadapi hari perbicaraan, Marcos meninggal dunia di Hawaii pada tahun 1989 ketika berusia 72 tahun. Sesetengah bukti membabitkan Marcos tidak boleh digunakan di mahkamah dan wujud khabar angin Washington mahukan pendakwaraya bersifat lembut terhadap semua tertuduh. Imelda menyifatkan dirinya seorang balu yang tidak tahu apa-apa sementara Khashoggi pula mendakwa dirinya tidak bersalah. Kesemua tertuduh kemudian didapati tidak bersalah atas semua dakwaan dan ada sebabnya di sini. Untuk mengelak tindakan perundangan Amerika Syarikat, Khashoggi perlu menyerahkan semua lukisan dan hartanah pencakar langit kepada mereka. Malangnya apabila semua hartanah itu dijual, ianya sebenarnya dipajak dengan harga tinggi oleh Marcos dan menyebabkan pihak bandaraya mahukan cukai hartanahnya yang tertunggak dilangsaikan segera. Walaupun dijual dengan harga $50 juta, Filipina hanya mendapat $5.7 juta dari penjualan berkenaan. Kebanyakan lukisan yang dimiliki Khashoggi sudah bertukar tangan dan PCGG hanya mampu mendapatkan semula 26 lukisan.

Tetapi kisah sebegini hanyalah sekelumit daripada kisah mereka cuba mendakwa keluarga Marcos dan sekutu-sekutunya. PCGG tidak lagi diarahkan merampas aset Marcos dan orang yang ada kaitan dengannya, sebaliknya menggunakan saluran perundangan untuk mendapatkan semula aset. Entah di mana silapnya sama ada mengelak keruntuhan ekonomi kerana kebanyakannya dikawal oleh kroni dan sekutu bekas diktator itu atau tuduhan Aquino turut mengamalkan gaya hidup sama seperti Marcos, kita tidak tahu mengapa perintah sedemikian dikeluarkan. Tetapi itu sudah cukup bagi individu-individu tamak ini mengupah peguam-peguam terbaik dan melambat-lambatkan kes mereka melalui hujah teknikal di mahkamah.

Dan jika itu saja tidak mencukupi, sesetengah negara luar yang terpalit dengan isu kekayaan Marcos juga enggan bekerjasama dengan rejim baru pimpinan Aquino. Dua minggu selepas revolusi rakyat berjaya menjatuhkan Marcos, PCGG diberitahu sumber di New York bahawa CIA mengetahui Marcos mencuri wang sebanyak $10 bilion sebelum beliau disingkirkan pada Februari 1986. Kerajaan Jepun yang dipimpin Yasuhiro Nakasone pula enggan menyerahkan apa-apa maklumat berkenaan Marcos dan mengugut tidak akan menyerahkan pakej bantuan sekiranya PCGG berterusan mendesak kerjasama mereka. Sementara Britain melalui Perdana Menteri, Margaret Thatcher menegaskan apa-apa urusan membabitkan bekas diktator Filipina itu bukan urusan mereka. Sebab mengapa sesetengah kerajaan ini menutup sebelah mata permintaan Manila dan PCGG ialah sesetengah syarikat turut terlibat dalam gejala rasuah. Ada juga menerima sumbangan secara tidak langsung dari Marcos sendiri dalam kempen mereka seperti Jimmy Carter dan Ronald Reagan. Apabila dakwaan ini timbul pada tahun 1986, kedua-duanya mengeluarkan kenyataan tidak tahu dari mana wang tersebut datang.

Figure 3: Jimmy Carter antara individu yang terpalit dengan isu derma membabitkan kekayaan Marcos.

Dalam kesukaran mendapatkan keadilan bagi rakyat Filipina dan mengembalikan semula kekayaan negara ke perbendaharaan negara, PCGG masih lagi berjaya dalam memenuhi agenda penubuhan mereka. Pada tahun 2004, mereka berjaya mendapat semula $356 juta dari lima akaun Switzerland yang dinyatakan pada tahun 1986. PCGG juga berjaya merampas aset-aset dari enam buah syarikat kroni dan berjaya mendapatkan semula sebahagian besar levi kepala yang dikenakan ke atas petani oleh Marcos semasa pemerintahannya. Selain itu, PCGG turut melelong banyak barang milik keluarga Marcos seperti koleksi lukisan, barang kemas dan perak. Jika dikumpul semua bentuk kekayaan yang berjaya dikembalikan oleh PCGG termasuk penjualan hartanah, nilainya mencecah $3.7 bilion. Tapi perjuangan mereka masih belum selesai dengan kebanyakan kes mahkamah masih belum selesai walaupun sudah difailkan sejak tahun 1987. Dan tatkala itu juga, kebanyakan rakan sekutu Marcos hidup mewah dan bersenang-lenang dengan kekayaan yang diambil secara haram itu. Namun, itu mendorong PCGG berusaha lebih gigih bagi memastikan keadilan dapat dilunaskan kerana tiada had bagi mencari keadilan untuk mangsa-mangsa rejim Ferdinand Marcos.

SUMBER

Davies, Nick. (2016). The Guardian. The $10bn Question: what happened to the Marcos millions? https://www.theguardian.com/world/2016/may/07/10bn-dollar-question-marcos-millions-nick-davies

 

Previous articleKitab Ummul Barahin: Pelajaran Sifat 20 Dan Tasauf
Next articleDisebalik Kekalahan Jerman: Laksamana Yi, Jati Diri Dan Hang Tuah
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE