Bagi sesetengah daripada kita, kita terlalu sibuk dengan kehidupan seharian sehingga kadangkala terlupa mahukan seseorang yang kita cintai dalam kehidupan. Situasi ini membuatkan kita kadang-kadang merasa kesunyian dan mahukan peneman yang sekurang-kurangnya memahami siapa diri kita. Di Jepun, mana-mana lelaki atau wanita yang berhadapan dengan situasi ini melakukan satu perkara yang mengejutkan iaitu menyewa kekasih. Ya, ini bukan komedi fiksyen taraf Hantu Kak Limah atau Abang Long Fadil tetapi realiti yang berlaku di Jepun hari ini.

Bagi yang masih belum boleh mempercayai perkara ini, boleh rujuk video di bawah: https://www.youtube.com/watch?v=dLBNO33bMX0

Video yang anda baru saja lihat tadi ialah pengalaman seorang lelaki bernama Max yang keluar bersama seorang kekasih sewa bernama Shihomi atau panggilan manja Shiho-chan yang dirakam oleh saluran YouTube, Asian Boss. Semasa ditemubual dalam sesi temu janji itu, Shihomi mendedahkan syarikat tempat dia bekerja mengenakan kos sewaan 6,000 yen (RM 230.05) sejam untuk sewa minimum dua jam. Ini bermakna sekiranya anda mahu menyewa seorang teman wanita, kosnya boleh mencecah 12,000 yen (RM 460.10). Bagi penyewa kali pertama, tiada kos dikenakan bagi pemilihan teman wanita. Tetapi jika hendak memilih yang lain selepas keluar buat kali pertama, maka penyewa dikenakan kos tambahan 2,000 yen (RM 76.68).

Menurut Shiho, kekasih sewa sepertinya mendapat upah separuh daripada sewa yang dikenakan dan menerima pelanggan dari pelbagai latar belakang termasuk yang berumur pertengahan 20-an. Dia yang sudah bekerja dalam bidang ini selama enam bulan turut menceritakan kebanyakan pelanggan ialah lelaki yang tidak pernah mempunyai teman wanita atau keluar bertemu janji dan terlalu sibuk dengan urusan kerja mereka. Dan selalunya lelaki yang menyewa khidmatnya ialah lelaki pertengahan umur dan sudah bersara.

Tetapi jangan mengada-ada dengan menyangka kekasih sewa seperti Shiho ini boleh didekati macam orang biasa. Syarikat-syarikat yang mengadakan khidmat sewaan ini ada beberapa peraturan yang perlu dipatuhi pelanggan seperti:

– syarikat tidak akan menyewa kekasih kepada pelanggan yang mempunyai isu dadah atau rumah kotor.

– klien tidak dibenarkan berhubung secara terus dengan kekasih sewa.

– tidak dibenarkan mengadakan hubungan seksual atau melakukan perkara-perkara yang boleh menaikkan nafsu.

– tidak dibenarkan memasang mikrofon atau kamera tersembunyi semasa bertemu janji dengan kekasih sewa.

– kekasih sewa tidak dibenarkan menerima tips dan hadiah-hadiah yang mahal.

Jadi, mengapa syarikat-syarikat ini amat tegas dalam soal sebegini? Ini bagi mengelakkan kekasih sewa seperti Shiho ini dilabel sebagai pekerja sektor dewasa atau fuzoku. Fuzoku merujuk kepada pelbagai jenis pekerjaan sektor dewasa dari pelayan bar hinggalah penari tiang dan pelacur. Selain itu, ini membolehkan semua bentuk hubungan antara kekasih sewa dengan pelanggan masih lagi bersifat profesional, selamat dan mesra. Ini kerana tidak semua yang menyewa orang seperti Shiho untuk hubungan bersifat singkat, ada juga yang berbuat demikian untuk menghilangkan rasa sunyi. Dan dalam sesetengah kes, mereka juga membantu hikikomori (individu yang berkurung dalam rumah) untuk keluar dan melihat dunia yang serba indah.

‘Semua orang boleh disewa’

Tetapi khidmat sewaan ini tidak terpakai kepada kekasih sewa saja. Tahukah anda, ada sebuah syarikat yang menawarkan khidmat sewaan keluarga seperti dipaparkan dalam satu video yang menampilkan pengacara dan pelawak terkenal Conan O’Brien. Masih kata ini satu pembohongan? Boleh rujuk video di bawah:

https://www.youtube.com/watch?v=vzaXw2ztCqU

Walaupun video sebegini bersifat jenaka, hakikatnya ia menjadi antara industri penting di Jepun lebih-lebih lagi dalam menangani isu bilangan warga emas yang semakin meningkat di Jepun. Dan bagi salah seorang pemain industri, ia juga merupakan satu peluang untuk mengubah stigma masyarakat terhadap kelompok pertengahan umur di Jepun. Ini didedahkan oleh pengasas Ossan Rental, Takanobu Nishimoto yang mengasaskan syarikat tersebut pada tahun 2012. Sebelum terlibat dengan Ossan Rental, Nishimoto bekerja sebagai koordinator fesyen untuk individu dan pusat beli-belah terkenal serta menjadi pengajar di sekolah-sekolah vokasional dan universiti-universiti.

Satu hari, beliau terdengar umpatan sekumpulan pelajar perempuan sebuah sekolah tinggi berkenaan rupa lelaki pertengahan umur. Nishimoto berkata, “Pada masa itu, saya baru sedar pandangan umum terhadap lelaki pertengahan umur sebagai pengotor. Saya mahu melakukan sesuatu untuk memulihkan reputasi kami (lelaki pertengahan umur) dan membuktikan bahawa kami bukan saja berguna tetapi hebat.” Beliau kemudian mencipta satu laman sesawang dan meletakkan profil dirinya bersama gambar dengan tawaran membantu sesiapa saja dalam pelbagai cara yang mereka perlukan. Sejak itu, Nishimoto sudah mempunyai 3,000 klien yang menggunakan khidmat syarikatnya.

Walaupun dianggap sudah berjaya, beliau masih tetap menawarkan khidmat dirinya kerana mahu memastikan keselamatan pelanggannya terjamin. Ini kerana ramai pelanggan Nishimoto ialah wanita dan beliau mahukan mereka bukan saja selamat tetapi dilayan dengan elok. Nak menyertai Ossan Rental bukan sesuatu yang mudah kerana beliau bersama pasukan pengurusannya menapis mana-mana individu yang mahu menyertai mereka termasuk sesi temuduga secara berhadapan. Jika ada calon yang dianggap tidak layak, maka mereka akan ditolak seperti kes seorang warga emas berusia 82 tahun yang ditolak pihaknya atas alasan kesihatan.

Ketika ini, syarikat mempunyai 78 pekerja lelaki pertengahan umur dan berada di lokasi-lokasi sejauh Fukouka dan Aomori. Pekerja paling muda berusia 30-an manakala pekerja paling tua pula berusia 70-an. Menurut Nishimoto, kebanyakan orang mahu menyertai mereka kerana menganggap usahanya itu sebagai hebat dan dapat menyumbang kembali kepada masyarakat. Salah seorang daripada pekerja Ossan Rental ini ialah seorang pesara berusia 66 tahun bernama Hideki Nakahara. Sebelum menyertai Ossan Rental, dia pernah berkhidmat bersama Japan Airlines selama 34 tahun sebelum kemudiannya bekerja sebagai pembantu kanak-kanak keperluan khas dan tutor program selepas sekolah.

Selepas bekerja dengan Ossan Rental, Nakahara sudah berjaya mendapat lapan orang klien. Setiap klien mempunyai masalah tersendiri dan individu seperti Nakahara cuba menjadi pendengar yang baik. Kadang-kadang mereka perlu memenuhi peranan yang dianggap pelik seperti tukang marah hikikomori dan penyamar pelbagai peranan seperti saudara-mara atau kekasih gelap. Tetapi menurut Nakahara, mereka sentiasa bersikap profesional dan cuba mengekalkan jarak antara mereka dengan klien selepas sesi mereka selesai. Selagi mana jurang tersebut dihormati, ia mewujudkan satu pasaran yang unik dengan kedua-dua klien dan lelaki pertengahan umur seperti Nakahara mendapat manfaat dari semua ini.

Punca trend sewa individu

Jadi, apa pendorong kepada kewujudan trend sebegini? Menurut Profesor Masahiro Yamada dari Universiti Chuo, perkara sebegini bukan sesuatu yang asing bukan saja di Jepun tetapi di beberapa negara Asia yang lain. Yamada yang dikenali kerana memperkenalkan terma ‘parasit bujang’ kepada individu yang masih tinggal bersama ibu bapa mereka pada tahun 90-an mendapati kebanyakan lelaki yang berkunjung ke kelab-kelab malam dan maid cafe (sejenis restoran cosplay) hanya mahukan perbualan bersifat kasual dan sedikit elemen godaan. Beliau berkata, “Ramai orang sudah berkunjung ke tempat-tempat ini dan membayar untuk mendapatkan keselesaan atau keintiman. Justeru, idea menyewa orang ini dilihat tidak menimbulkan sebarang masalah pun.”

Tetapi trend sebegini turut dipengaruhi oleh stigma rakyat Jepun dalam banyak isu daripada jangkaan yang melampau hinggalah stigma berkenaan perkara-perkara tertentu. Contohnya bagi golongan bujang yang sentiasa didesak oleh keluarga untuk berkahwin dan mendapatkan anak. Bagi mengelakkan mereka sentiasa dileter oleh ibu bapa atau saudara-mara, mereka menemukan keluarga dengan kekasih sewa. Dan dalam sesetengah kes, sesetengah mengambil pendekatan radikal dengan mengadakan majlis perkahwinan palsu dengan kos sebanyak dua juta yen (RM 76,684).

Namun, ini tidak segila peminta maaf sewa. Ya, saya sebut sekali lagi: peminta maaf sewa. Individu ini akan memohon maaf bagi pihak yang bersalah tanpa pengetahuan pihak majikan. Dan kadangkala ini berlarutan sehingga membabitkan penyamar yang menyamar sebagai pengerusi syarikat! Ada pula yang menyamar sebagai kekasih gelap suami atau isteri dan memohon maaf kepada pihak berkenaan dengan harapan dapat memulihkan semula hubungan. Tetapi situasi sebegini boleh bertukar menjadi tegang dalam sekelip mata.

Wujudkah trend sewa individu di Malaysia?

Trend sebegini sudah wujud di Malaysia. Ya, jika anda terjatuh dari kerusi, jawapannya memang ya. Sudah wujud satu syarikat bernama Rent A Friend yang menawarkan khidmat rakan dengan kos RM37 sejam. Walaupun ia bertaraf antarabangsa, sudah ramai warga Malaysia yang mendaftar dengan portal ini. Ianya memang mengejutkan tetapi melihat kepada jangkaan melampau sesetengah orang terutama saudara-mara lagi-lagi semasa perayaan seperti sambutan Aidilfitri, tidak hairanlah mengapa ada yang sanggup berpaling kepada taktik sewa sebegini termasuk sewa kereta mahal hanya semata-mata nak memuaskan jangkaan sebegini.

Mungkin di sinilah kita harusnya mengambil pengajaran daripada situasi sewa individu di Jepun ini. Jangkaan melampau sebegini bukan saja menyusahkan ramai orang malah mendorong orang mengambil jalan singkat hanya semata-mata nak menunjukkan diri sudah berjaya. Biarlah orang nak mengata itu ini begitu begini. Sebab kita kena ingat, perkara-perkara bersifat material ini kadang-kadang tidak menjamin kebahagiaan yang dikatakan. Bahkan, ia boleh bikin kita tidak tidur lena pada waktu malam. Bahagia itu merupakan kurniaan-Nya yang terindah dan hanya diberi kepada hamba-hamba-Nya yang bersyukur.

RUJUKAN:

1. van der List, Bobbie. (2018). The Women You Can Rent as Your BFF. Vice.com. https://www.vice.com/en_us/article/43b9bw/the-women-you-can-rent-as-your-bff

2. Ito, Masami. (2018). Life for rent: Exploring the mysterious world of human rental services in Japan. The Japan Times. https://www.japantimes.co.jp/life/2018/04/07/lifestyle/life-rent-exploring-mysterious-world-human-rental-services-japan/

3. Zainal, MK. (2019). In Japan, You Can Rent A Fake Family, Fake Boyfriends, Even Fake Weddings. Stories.Travel360.com. https://stories.travel360.com/in-japan-you-can-rent-a-fake-family-fake-boyfriends-even-fake-weddings/

4. McGee, Oona. (2019). Renting a girlfriend in Japan: Relationship goals or just plain awkward? Japan Today. https://japantoday.com/category/features/lifestyle/renting-a-girlfriend-in-japan-relationship-goals-or-just-plain-awkward

5. Simonitch, Steven. (2012). A Website in Japan Lets You Rent a Boyfriend For $364. Gizmodo. https://gizmodo.com/a-website-in-japan-lets-you-rent-a-boyfriend-for-364-5966230


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.