Pada penghujung bulan ini, Vietnam bakal menjadi tuan rumah kepada sidang kemuncak Amerika Syarikat (AS) – Korea Utara (KU) berkenaan isu nuklear negara komunis itu. Persidangan ini menjadi pertemuan kedua membabitkan Presiden Donald Trump (AS) dan Kim Jong-un (KU) dan secara tidak langsung peluang bagi Jong-un mempelajari resepi kejayaan Vietnam sebagai antara negara yang sedang meningkat naik di Asia.

Seperti KU, Vietnam juga diperintah oleh Parti Komunis Vietnam (PKV) dan masih kekal berkuasa sebagai satu-satunya parti di negara itu. Namun seperti China, Vietnam memilih membuka pintu ekonomi seluas-luasnya pada tahun 1986 dan sejak itu mencatat pertumbuhan ekonomi paling pantas di Asia. Berdasarkan laporan Bank Dunia, kadar pertumbuhan kadar keluaran dalam kasar (KDNK) Vietnam dijangka mencecah 6.6% tahun ini.

Tetapi Vietnam juga tidak terlepas dari terpalit isu kontroversi termasuk isu hak asasi manusia dan diletakkan satu tangga di atas KU dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2018 oleh Reporters Without Borders. Namun, pemilihan Vietnam sebagai tuan rumah persidangan ini menunjukkan kemajuan yang dinikmati negara berkenaan selepas Perang Vietnam yang berakhir pada tahun 1975.

Dengan kemajuan ekonomi yang memberangsangkan dan peranannya sebagai pemain penting di pentas dunia tanpa melepaskan sedikit pun kawalan sosial, ini sudah pasti menarik minat Jong-un dan melihat apa cara terbaik untuk diaplikasikan kepada Pyongyang.

Melihat komen-komen yang beredar dalam laman media sosial, ramai warga Vietnam menzahirkan kebanggaan mereka kerana dipilih sebagai tuan rumah persidangan penting ini. Salah seorang individu penting yang bertanggungjawab membawa Vietnam ke tahap yang kita kenali hari ini ialah bekas penasihat ekonomi Perdana Menteri Vietnam, Le Dang Doanh. Dang Doanh melakukan pelbagai kajian terperinci berkenaan proses peralihan ekonomi Vietnam yang diharap dapat membantu Pyongyang. Buktinya, delegasi KU sudah mengadakan pertemuan sebanyak dua kali dengannya.

Permulaan dari ladang

Kisah kejayaan Vietnam ini seharusnya menjadi inspirasi kepada negara-negara komunis seperti Cuba dan KU dalam soal reformasi ekonomi mereka. Tetapi kisah sebegini dipandang sepi oleh beberapa sebab seperti bimbang kehilangan kawalan sosial, perebutan hierarki kuasa seperti berlaku di Cuba dan takut pengaruh kapitalisme meracuni rakyat.

Bagi KU sendiri, idea reformasi sebegini tidak pernah dipertimbang bapa Jong-un, Kim Jong-il dan beliau sendiri tidak pernah menjejakkan kaki ke Vietnam. Tetapi selepas mengambil alih kuasa pada tahun 2011, beliau sekurang-kurangnya menunjukkan minat untuk melakukan pembaharuan ekonomi di negaranya itu.

Sejak berkuasa pada tahun 2011, Jong-un memperkenalkan sedikit reformasi dalam bidang pertanian termasuk membenarkan golongan tani menyimpan sedikit dari hasil pertanian mereka. Dan selepas KU mencapai aspirasi penguasaan bidang nuklear pada April tahun lepas, tumpuan beliau yang seterusnya ialah menambahbaik taraf kehidupan rakyat.

Bagi Dang Doanh, kisah KU dilihat sama dengan kisah Vietnam pasca-Perang Vietnam. Seperti KU, Vietnam juga terkesan dengan impak sekatan perdagangan. Walaupun Hanoi berjaya menyingkirkan rejim Khmer Rouge pada tahun 1978, penguasaannya di Kemboja selama 11 tahun memberi peluang kepada AS untuk menekan Tabung Mata Wang Sedunia (IMF) dan Bank Dunia menghukum musuh lamanya itu.

Apabila berdepan situasi sebegini, Hanoi melaksanakan reformasi dalam bidang pertaniannya. Dang Doanh masih ingat satu masa dahulu, Vietnam merupakan pengimport utama beras dengan mengimport sejuta tan beras setahun. Tetapi kini terima kasih kepada reformasi yang diperkenalkan, Hanoi merupakan pengeksport utama beras dan produk-produk pertanian.

Vietnam juga turut menggubal undang-undang perdagangan antarabangsanya, menormalisasikan hubungan dengan negara-negara luar termasuk negara-negara ASEAN dan menswastakan banyak syarikat pemilikan negara itu. Hasilnya, Bill Clinton bersetuju menarik balik sekatan perdagangan yang dikenakan ke atas Vietnam pada tahun 1994. Setahun selepas itu, Vietnam menyertai ASEAN dan menjadi ahli WTO pada tahun 2007.

Sikap pragmatik beransur-ansur Vietnam ini boleh dicontohi KU dan ia boleh dimulakan dengan mereformasikan infrastruktur dan institusinya serta memperkenalkan visi pembangunan yang bercita-cita besar. Jika Malaysia mempunyai visi menerusi Wawasan 2020, Vietnam pula beraspirasi menjadi negara maju pada tahun 2045.

Menurut penasihat ekonomi Perdana Menteri Nguyen Xuan Phuc yang juga pakar akademik Vietnam di National University of Singapore Vu Minh Khuong, visi sebegini boleh menjadi pendorong untuk sesebuah negara lebih maju dengan kadar lebih pantas untuk tahun-tahun mendatang.

Semua perlu berada pada halaman sama

Bagaimanapun, untuk jangka pendek, terdapat banyak perkara yang perlu diselesaikan. Melainkan Washington dan Pyongyang bersetuju berkenaan polisi pengurangan nuklear dan bekerjasama ke arah itu, harapan untuk melihat sekatan yang dikenakan ditarik balik berkemungkinan tipis. Itu sudah pasti akan membuatkan pelabur asing berfikir dua kali sebelum melabur di Pyongyang.

Dan seperti Cuba, sebarang usaha reformasi yang digerakkan Jong-un perlu bersifat seperti menarik rambut dalam tepung. Dengan golongan elit memerhati setiap tindak-tanduknya, beliau perlu menyakinkan mereka bahawa polisi ini bersifat jangka panjang dan bukannya mengibar bendera putih.

Di sini, Vietnam boleh memainkan peranan sebagai mentor kepada KU. Selepas Tirai Besi tumbang pada tahun 1991, PKV sedar jika mereka mahu terus berkuasa, mereka perlu mengadaptasi dengan realiti politik dan ekonomi semasa. Ini mendorong mereka menggunakan falsafah pemikiran Ho Chi Minh sebagai panduan selain fahaman Marxisme-Leninisme. Hari ini walaupun perbincangan pembentukan parti-parti politik ditegah sama sekali, rakyat Vietnam menikmati lebih banyak kebebasan dari segi ekonomi, agama dan kehidupan sosial.

Cakaplah hendak mengembara ke mana-mana termasuk negara jiran, itu sudah dianggap norma. Walaupun Vietnam amat tegas dalam soal penapisan medianya, perbincangan bersifat kritis dan bernas tidak pernah dihalang termasuk di laman media sosial. Tetapi tidak diketahui sama ada KU bersedia menerima resepi ini atau tidak. Tetapi jika Jong-un masih mahukan model reformasi ekonomi dan melaksanakan liberalisasi politik secara terhad, Vietnam masih dilihat jalan terbaik berbanding China.

Ini kerana Hanoi memilih pendekatan hubungan luar pelbagai negara untuk mengelak mereka bergantung kepada ekonomi sesebuah negara dan membentuk sistem kewangan dan perbankan moden. Menurut Dang Doanh, KU juga perlu belajar kesilapan Vietnam yang gagal menguruskan sumber alamnya dan masih bergelut menangani masalah rasuah. Selain itu, KU juga perlu belajar menangani kewujudan puak-puak yang menolak atau menerima reformasi yang cuba dilaksanakan. Dan ini satu perkara yang menjadi cabaran terbesar KU jika ia ingin meniru China atau Vietnam.

SUMBER

Le Quynh. (2019). BBC. Trump-Kim summit: What might Kim learn from hosts Vietnam? https://www.bbc.com/news/world-asia-47222063


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.