Kejatuhan Kerajaan-Kerajaan Purba Kerana Perubahan Iklim

905

Mesopotamia purba, tanah yang berdiri antara sungai Tigris dan sungai Euphrates, merupakan pusat pemerintahan Empayar Neo-Assyria. Kuasa purba ini merupakan empayar terbesar pada waktu itu yang berdiri dari 912 SM hinggalah 609 SM. Pada waktu kemuncaknya, Neo-Assyria terdampar dari Mediterranean dan Mesir di Barat sehinggalah Teluk Parsi dan Barat Iran di Timur.

Kemudian, Empayar Neo-Assyria tumbang dari kemuncaknya (sekitar 650 SM) dan kuasa politiknya runtuh dalam tempoh beberapa dekad. Apa yang berlaku?

Banyak teori cuba untuk menjelaskan kejatuhan Assyria. Ramai pengkaji menjadikan perkembangan wilayah yang terlalu luas, perang saudara, perpecahan politik dan kekalahan tentera Assyria oleh persekutuan Babylon dan Median sebagai punca kejatuhan tersebut.

Namun, bagaimana dua kumpulan tentera yang kecil ini mampu memusnahkan kuasa ketenteraan yang terbesar pada ketika itu telah menghairankan para sejarawan dan ahli arkeologi lebih daripada ratusan tahun.

Suatu kajian baru diterbitkan oleh jurnal Science Advances, serba sedikit telah memberikan pencerahan tentang misteri ini. Kajian itu menunjukkan bahawa perubahan iklim (climate change) telah menyumbang kepada kemajuan dan kejatuhan Empayar Neo-Assyria.

Neo-Assyria merupakan empayar yang memunyai kuasa ekonomi yang hebat. Ia juga mempunyai pasukan tentera yang hebat. Lebih dari 200 tahun, orang Assyria telah melancarkan kempen perluasan wilayah. Mereka menakluk kuasa-kuasa wilayah di seluruh Timur Tengah kerana setiap raja Assyria mahu lebih gemilang dari pendahulunya.

Ashurbanipal, raja terakhir Assyria, memerintah empayar yang luas dari kota purba Nineveh. Nineveh merupakan metropolis yang mempunyai keluasan yang tidak pernah ada di mana-mana kota sebelumnya. Di dalamnya terdiri pelbagai kuil dan istana, taman eksotik disiram dengan sistem perparitan. Ini semua berakhir dalam tempoh beberapa hari? Bagaimana ia boleh berlaku?

Kajian dibuat dengan mengkaji keadaan iklim dalam tempoh beberapa ratus tahun ketika Empayar Neo-Assyria mula bertapak dan akhirnya runtuh. Mereka mendapati, sewaktu kerajaan Neo-Assyria sedang berkembang pesat, iklim basah  yang ganjil sedang berlaku dalam tempoh 200 tahun, berbanding dengan apa yang berlaku 4000 tahun sebelum itu. Pada waktu ini, hujan kerap turun, kemudian diikuti dengan tahap kemarau yang teruk. Kondisi kering pada masa ini agak teruk dan mula menandakan kejatuhan Empayar Neo-Assyria.

Perlu diingatkan bahawa perkaitan (correlation) bukan bermaksud punca (causation). Kajian ini dibuat untuk melihat bagaimana perubahan iklim memberikan pengaruh kepada empayar tersebut. Walaupun kerajaan Neo-Assyria begitu besar ketika dekad-dekad terakhirnya, teras ekonominya hanya terhad pada kawasan kecil. Kawasan kecil yang terletak di utara Mesopotamia telah dijadikan sebagai sumber utama agrikultur yang memberikan kekuatan dalam kempen ketenteraan Assyria.

Pengkaji menyatakan bahawa, kondisi basah luar biasa yang berlaku hampir 200 tahun itu telah membolehkan aktiviti agrikultur berkembang dengan baik dan meningkatkan ekonomi Assyria. Iklim tersebut berperanan sebagai katalis untuk menghasilkan rangkaian bandar yang padat dan penempatan di kawasan pedalaman yang asalnya tidak boleh diduduki kerana tidak dapat membangunkan pertanian.

Data yang dikaji menunjukkan, iklim basah tersebut berakhir secara mendadak dan kemarau pula melanda. Ketika munculnya kemarau, pusat pemerintahan dan kawasan pedalaman Assyria diselubungi zon yang kebimbangan – kawasan pertanian yang biasanya dilimpahi hujan akhirnya berubah berisiko besar menjadi tanaman yang gagal. Tanaman gagal yang kerap berulang akan memburukkan kekacauan politik di Assyria, menempangkan ekonominya dan meningkatkan kuasa kerajaan musuh yang berhampiran.

Di zaman moden, kawasan yang pernah menjadi pusat Assyria suatu masa dahulu telah kerap menerima kemarau yang teruk. Kemarau pada tahun 2007-2008 di utara Iraq dan Syria telah mengalami kegagalan pertanian di seluruh kawasan tersebut. Kemarau seperti ini telah memberikan gambaran apa yang dihadapi oleh Assyria ketika pertengahan kurun ke-7 sebelum masihi. Keruntuhan Empayar Neo-Assyria telah memberikan amaran kepada masyarakat pada hari ini.

RUJUKAN:

  1. There’s Now Evidence an Ancient ‘Political Superpower’ Failed Due to Climate Change. https://www.sciencealert.com/stalagmites-reveal-climate-change-fuelled-both-the-rise-and-fall-of-this-ancient-superpower
  2. Sinha, A., Kathayat, G., Weiss, H., Li, H., Cheng, H., Reuter, J., … & Edwards, R. L. (2019). Role of climate in the rise and fall of the Neo-Assyrian Empire. Science Advances5(11), eaax6656

Ruangan komen telah ditutup.