Kejatuhan Dinasti Ming Dan Kebangkitan Dinasti Qing

0
1276
views

Dinasti Ming yang memerintah China antara tahun 1368 hingga 1644 merupakan sebuah dinasti dan empayar yang masyhur, dan kaya yang pernah wujud dalam lipatan sejarah tamadun China. Dinasti Ming di asaskan oleh Zhu Yuanzhang (kemudian memakai gelaran Maharaja Hongwu) selepas kemenangan pihak pemberontak yang di gelar Pemberontakan Red Turban ke atas Dinasti Yuan iaitu sebuah dinasti yang di perintah oleh bangsa asing iaitu bangsa Mongol pimpinan Kublai Khan yang menjajah China. Dinasti Ming juga merupakan  kerajaan terakhir yang di perintah oleh bangsa Cina sebelum sekali lagi di jajah oleh bangsa asing iaitu bangsa Manchu yang menubuhkan Dinasti Qing (1636-1912).

Semasa zaman sekolah dahulu ketika pendedahan mengenai sejarah jatuh bangun sesebuah dinasti sangat terhad, penulis juga berasa pelik bagaimana Ming yang merupakan dinasti yang sangat masyhur boleh runtuh dan tumbang kepada puak Manchu yang merupakan kaum gasar. Setelah melalui beberapa pembacaan, penulis dapat menyimpulkan sejarahnya.

Dalam artikel ini penulis akan memecahkan artikel kepada dua bahagian iaitu yang pertama ialah kejatuhan Ming, dan yang kedua ialah kebangkitan puak pemberontak dan Manchu hingga berakhirnya Dinasti Ming.

Gambar 1: Kawasan kekuasaan Dinasti Ming
Sumber: http://www.nationsonline.org/oneworld/map/Chinese_dynasties/Ming_Dynasty_Map.htm

1. KEJATUHAN MING

Kejatuhan Dinasti Ming sebenarnya bermula sejak akhir abad ke-16 ketika pemerintahan Maharaja Wanli, iaitu ketika invasi besar-besaran orang Jepun ke atas wilayah Korea dan cubaan Jepun menakluk China antara tahun 1592-1598 yang dilancarkan oleh Toyotomi Hideyoshi. Peperangan tersebut memberi tekanan ekonomi kepada China kerana terpaksa menampung perbelanjaan yang tinggi ketika berhadapan ancaman Jepun. Selain itu, ekonomi China juga semakin tidak stabil ekoran kebangkitan kuasa-kuasa Barat menguasai perdagangan dunia dan penutupan pintu perdagangan Jepun kepada kuasa luar.

Keadaan semakin parah apabila berlaku banyak bencana alam seperti banjir, gempa bumi, dan cuaca sejuk ekstrem yang melanda utara China menyebabkan Ming kerugian besar dalam perdagangan pertanian. Kerajaan juga terpaksa menampung perbelanjaan untuk menguruskan sistem saliran dan pengairan yang terjejas akibat bencana alam tersebut. Bencana alam juga meninggalkan kesan yang mendalam kepada rakyat China apabila berlaku kebuluran yang agak dahsyat yang menjadi antara faktor utama kepada kebangkitan rakyat China yang dipimpin oleh Li Zicheng menentang kerajaan Ming yang disifatkan sangat lemah dalam pentadbiran, ditambah pula dengan kes-kes rasuah, salah guna kuasa, dan beberapa bentuk penindasan yang dilakukan oleh pembesar ke atas rakyat ekoran tekanan ekonomi yang mendesak kerajaan untuk menaikkan cukai.

2. KEBANGKITAN MANCHU DAN PEMBERONTAKAN DALAMAN

Ketika penghujung usia Dinasti Ming yang disertai beberapa siri masalah dalaman dan luaran yang serius, lahirnya satu lagi ancaman kepada Dinasti Ming iaitu penyatuan kamu Jurchen dari puak Aisin-Gioro oleh Nurhaci pada tahun 1616 yang menubuhkan Dinasti Jin Akhir. Sebelum itu, ketika abad ke-12 hingga 13 masihi, kaum Jurchen sudah pun membina empayar pertama iaitu Dinasti Jin (1115-1234) di Utara China yang kemudiannya di hancurkan oleh orang-orang Mongol.

Ketika penubuhan Dinasti Jurchen Akhir pada tahun 1616, wilayah Manchuria masih lagi berada dalam kawasan Dinasti Ming. Nurhaci tidak berpuas hati dengan tekanan yang dikenakan oleh Ming menyebabkan Nurhaci melancarkan pemberontakan menentang Dinasti Ming pada tahun 1618 bagi membebaskan Manchuria daripada Ming. Akibat daripada kurangnya fokus Ming untuk mempertahankan Manchuria membawa kepada deretan kekalahan Ming kepada Jin Akhir hingga dalam Pertempuran Ningyuan pada tahun 1626 yang di menangi oleh Ming selepas Ming mula sedar dengan bahayanya ancaman daripada puak Jurchen tetapi sudah terlambat kerana ketika itu puak Jurchen sudah mempunyai tentera yang ramai dan sokongan yang kuat daripada orang Han sendiri yang menentang Ming. Pertempuran tersebut juga menyebabkan Nurhaci mengalami kecederaan yang serius dan beliau terkorban beberapa bulan kemudian. Tempatnya di ganti oleh anaknya iaitu Hong Taiji (juga di kenali sebagai Abahai) yang bertanggungjawab menukarkan nama kaum Jurchen kepada Manchu pada tahun 1635, dan pada 1636 beliau menukarkan nama Dinasti Jin Akhir kepada Dinasti Qing. Beliau meneruskan pemberontakan dalam skala yang besar menentang Dinasti Ming dan memenangi banyak pertempuran.

Waqaf Saham


Gambar 2: situasi negara China pada tahun 1636 setelah terbentuknya Dinasti Qing
Sumber: https://www.youtube.com/watch?v=bdg8R-EZaJ0

Kemenangan Qing juga disebabkan oleh kemunculan satu lagi pemberontakan besar-besaran yang di cetuskan oleh orang Cina sendiri iaitu Pemberontakan Petani antara tahun 1628-1644 yang di pimpin oleh Li Zicheng (nama asalnya Li Hongji) dan Zhang Xianzhong yang tercetus di wilayah Shaanxi, Shanxi, dan Sichuan. Tentera Dinasti Ming semakin lemah kerana terpaksa berhadapan dengan dua serangan besar-besaran dari utara dan barat. Pemberontakan Petani yang berjaya menguasai beberapa wilayah di Barat China menubuhkan pemerintahan mereka sendiri iaitu Dinasti Shun pada Februari 1644 dengan menjadikan Xi’an sebagai ibu negara mereka.

Menyedari yang Pemberontakan Petani memberi ancaman yang lebih besar kerana berlaku dalam negara sendiri, kerajaan Ming yang ketika itu di pimpin oleh Maharaja Chongzhen memobilisasi ramai tenteranya berhadapan kira-kira 300,000 tentera pemberontak yang mara menuju ke arah Beijing iaitu ibu negara kerajaan Dinasti Ming. Pertempuran sengit berlaku antara tentera kerajaan Ming dengan pemberontakan menyebabkan kedua-dua pihak mengalami kehilangan tentera yang ramai dan akhirnya pemberontak berjaya menakluk kota Beijing daripada Ming. Maharaja Chongzhen membunuh diri dengan menggantungkan diri sebelum tentera pemberontak memasuki Istana Larangan. Dengan kematian Maharaja Chongzhen, Dinasti Ming mula bepecah belah mengikut pemerintahan berdasarkan wilayah.

Saki baki tentera Ming yang tinggal dipimpinan oleh Wu Sangui masih bertahan di Utara China. Beliau yang menyedari jumlah tentera di bawahnya yang sedikit berasa keliru sama ada hendak menyokong Qing atau pemberontak. Pada mulanya beliau ingin menyokong Li Zicheng kerana ayahnya di tangkap oleh pemberontak tetapi beliau menukar fikiran dengan menyokong Qing apabila mengetahui kekejaman terhadap tahanan dan sifat yang tidak bertamadun puak pemberontak. Puak pemberontak melancarkan invasi ke utara bagi menghancurkan saki baki tentera Ming. Dalam Pertempuran Yongping, tentera Wu mengalami kekalahan, dan dengan segera beliau mengirim surat kepada Putera Dorgon (pemimpin sebenar Qing walaupun raja Qing ketika itu ialah Shunzhi) menyatakan sokongannya kepada Qing bagi menghancurkan pemberontak. Wu Sangui yang tiada pilihan lain terpaksa membuka Pintu Gerbang Shanhai iaitu pintu utama Tembok Besar China bagi memberi laluan kepada tentera Qing untuk masuk ke wilayah China. Pertempuran berlaku antara tentera pemberontak pimpinan Li Zicheng yang berjumlah 100,000 menentang gabungan tentera Wu Sangui dan Puteri Dorgon dari Qing yang berjumlah 160,000 orang berpihak kepada Qing dan Wu.

Gambar 3: Pertempuran Pintu Gerbang Shanhai
Sumber: http://www.sinobanknote.net/show_article.php?language=english&section=place&title=wall

Antara faktor utama kekalahan Li Zicheng ialah kerana tenteranya keletihan akibat meredah perjalanan yang jauh dan baru sahaja selesai menempuh peperangan yang panjang menentang Dinasti Ming. Li dan saki baki tenteranya yang terselamat mengundurkan diri ke Beijing dan menghancurkan kota Beijing sebelum tentera Qing dan Wu tiba di Beijing. Kemudian Li melarikan diri ke Xi’an dan meninggal dunia di sana. Dengan kematian beliau (kematiannya masih lagi diperdebatkan oleh sejarawan moden) menanda berakhirnya Dinasti Shun yang kemudiannya wilayah kekuasaan Dinasti Shun di takluk oleh Qing. Wu Sangui pula di naikkan pangkat menjadi Putera dan menjadi orang yang bertanggungjawab menakluk Dinasti Ming Selatan, yang kemudiannya beliau pula bangkit memberontak melawan Dinasti Qing dengan melancarkan pemberontakan yang dikenali sebagai Revolusi Tiga Feudatori.

Gambar 4: situasi negara China pada tahun 1645 setelah kekalahan Li Zhicheng kepada Qing dan Wu Sangui

KESIMPULAN

Kesimpulannya, begitulah tragedi kejatuhan Dinasti Ming yang penuh dengan peperangan dan pembunuhan. Walau hebat macam mana sekalipun sesebuah kerajaan, akhirnya tumbang jua kepada orang asing tanpa perpaduan yang kukuh dalam kalangan masyarakat dan kelemahan pemimpin dalam menjaga rakyatnya. Satu lagi pengajaran yang perlu di ambil ialah, jangan sesekali kita meminta bantuan orang asing dalam menyelesaikan masalah dalaman demi kepentingan politik sebagai mana Wu Sangui yang meminta pertolongan Qing untuk menghancurkan kaum sendiri iaitu Li Zicheng, yang akhirnya beliau sendiri di serang oleh orang Manchu.

RUJUKAN

The Editors of Encyclopædia Britannica. “Qing dynasty”. Encyclopædia Britannica. Retrieved 12 March 2018.

Mote, Frederick W. (1999), Imperial China, 900-1800, Cambridge, Mass.: Harvard University Press, ISBN 0-674-44515-5.

Wakeman, Frederic (1985), The Great Enterprise: The Manchu Reconstruction of Imperial Order in Seventeenth-Century China, Berkeley, Los Angeles, and London: University of California Press, ISBN 0-520-04804-0. In two volumes.

Des Forges, Roger V. (2003). Cultural Centrality and Political Change in Chinese History : Northeast Henan in the Fall of the Ming. Stanford, California: Stanford University Press. pp. 206, 209. ISBN 0-8047-4044-5.