Pada Ahad lepas, seluruh negara menonton kelibat Datuk Azizulhasni Awang menggondol pingat perak acara keirin dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020. Walaupun keirin sudah menjadi sebahagian daripada acara berbasikal trek Sukan Olimpik sejak 20 tahun lepas, ia sebenarnya mempunyai sisi berbeza di Jepun.

Di Jepun di mana acara ini diperkenalkan sejak lebih 70 tahun yang lalu, ia lebih dikaitkan dengan aktiviti perjudian, rasuah dan keganasan. Warga Jepun amat menggemari acara ini kerana ia bersifat ringkas, tidak terlalu teknikal dan lebih mudah mengetahui siapa bergelar pemenang pada akhir perlumbaan.

Setiap kali perlumbaan keirin bermula, penunggang yang menetapkan kelajuan atau pacer mengayuh mengikut rentak perlahan sambil diikuti pelumba-pelumba. Pacer akan meningkatkan kelajuan kayuhan secara perlahan-lahan sebelum pelumba berlumba pecut untuk baki tiga pusingan terakhir.

Bagi peminat sukan berbasikal, pasti perasan jarang melihat kelibat pelumba Jepun dalam acara keirin antarabangsa. Sebabnya mudah menurut jurulatih keirin Jepun dari Perancis, Benoit Vetu: ia tidak membawa pulangan dari segi kewangan. Di peringkat domestik, mereka boleh saja meraih lebih AS$1 juta dengan perlumbaan Grand Prix akhir musim menjanjikan ganjaran ¥100 juta kepada pemenang.

Wartawan sukan berbasikal Junki Iwasawa mengakui amat berbangga dengan kehebatan acara berbasikal trek itu. Tetapi pada masa sama, beliau mengakui acara tersebut berdepan cabaran besar termasuk cubaan mengatur perlumbaan oleh pelumba.

Bagi mengelakkan isu mengatur perlumbaan timbul, pelumba diarah memasang basikal mereka sendiri dan diperiksa sebelum perlumbaan. Dan tidak seperti basikal yang digunakan oleh Datuk Azizulhasni semasa final acara keirin, basikal keirin Jepun merupakan basikal biasa rekaan lama yang tidak diubah sejak 50 tahun lalu.

Menurut wartawan akhbar The Guardian, Justin McCurry, keirin cuba ditampilkan sebagai sebuah acara yang bersih di mata dunia. Tetapi kaitannya dengan sub-budaya masyarakat Jepun yang mendalam membuatkan negara Matahari Terbit itu enggan membiarkan ia dilihat oleh orang luar.

Tidak seperti perlumbaan keirin biasa di mana sebarang kesalahan dikesan boleh mengakibatkan pelumba diberi amaran atau disingkirkan dari perlumbaan oleh komisar perlumbaan, lain pula halnya di Jepun. Bagi para pelumba, bertolak-tolak, berlanggar kepala atau perlanggaran bukan perkara baru. Ia dianggap norma dalam perlumbaan selagi mana ia menjanjikan kemenangan kepada pelaku.

Tetapi pada akhir perlumbaan, pemenang meredakan sebarang bentuk permusuhan dengan pelumba yang kalah. Caranya ialah sama ada menghulurkan air atau memberi hadiah tertentu seperti tayar atau sarung tangan.

Bagi rakyat Jepun, seorang pelumba harus bersikap jujur dan mampu mengawal dirinya sepanjang perlumbaan. Atas sebab itu, Institut Keirin Jepun merupakan tempat terbaik bagi mana-mana individu yang mahu menceburi acara ini. Bukan mudah untuk menyertai institut itu memandangkan mereka hanya memilih 70 orang peserta daripada 400 orang pemohon.

Dalam tempoh 10 bulan penyertaan mereka, peserta bukan saja akan diajar tentang aspek fizikal acara itu. Sebaliknya, tambah Vetou, mereka turut diminta menghadiri kelas yang mengajarkan aspek taktikal, undang-undang dan mekanikal. Acara keirin sememangnya dikawal selia dengan ketat tetapi dengan 4,000 orang pelumba di Jepun, prospek pekerjaan yang cerah menanti graduan institut.

Salah seorang pelajar institut ialah Yukoh Saito, 26, dari Tokyo. Dia berangan nak menjadi pemain besbol dan pernah ke Amerika Syarikat untuk menjalani pemilihan pemain. Bagaimanapun, selepas impiannya tidak kesampaian, Saito beralih kepada acara keirin kerana ia dilihat dapat merealisasikan impiannya sebagai atlet profesional.

Disebabkan ganjaran lumayan menanti para pelumba, pelumba harus mendedahkan taktik mereka kepada kaki judi yang membuat pertaruhan. Ini bagi memastikan mereka mendapat maklumat mencukupi sebelum membuat sebarang pertaruhan.

Sejak ia diperkenalkan di velodrom pada 1948, lebih AS$360 bilion dibelanjakan untuk judi keirin. Ini menunjukkan bukan saja bagaimana aktiviti perjudian mendefinisikan aktiviti sukan di Jepun. Malah, ia turut meneruskan kesinambungan sisi gelap yang memang diketahui termasuk yakuza.

McCurry yang juga penulis buku “War on Wheels, Inside the Keirin and Japan’s Cycling” mendedahkan pada masa lalu, keirin dicemari dengan aktiviti pengaturan perlumbaan dan pembabitan organisasi jenayah terancang termasuk yakuza.

Dan bukan sesuatu yang asing jika melihat kaki judi mabuk atau bergaduh di kawasan velodrom. Akibat semua isu yang dinyatakan, ada pemimpin kerajaan yang menggesa velodrom-velodrom ditutup bagi menghentikan perkara ini daripada terus berleluasa. Bagi mereka, velodrom-velodrom ini menonjolkan teladan buruk kepada generasi muda.

Siapa sangka, acara keirin yang diperkenalkan dalam temasya Sukan Olimpik 2000 di Sydney, Australia rupa-rupanya mempunyai sisi gelap tersendiri di Jepun. Dan itu juga menjelaskan mengapa Jepun hanya mempunyai seorang pemenang pingat untuk acara itu dalam sejarah Sukan Olimpik.

RUJUKAN:

AFP. (2021). The Unspoken And Mysterious World Of Japanese Keirin Racing.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.