Kehidupan Tragis Algojo & Kerusi Elektrik

Di antara tahun 1913 sehingga tahun 1926, John Hulbert merupakan seorang algojo atau lebih dikenali sebagai pelaksana hukuman mati (executioner) bagi negeri New York, Amerika Syarikat.

Beliau adalah orang yang bertanggungjawab ‘menarik suis’, seterusnya menghantarkan sejumlah 2000 voltan yang akhirnya menyebabkan kematian 142 banduan menggunakan kerusi elektrik.

Selama beliau bertugas sebagai algojo, Hulbert dikatakan telah menerima pelbagai ancaman terhadap nyawa beliau. Perkara ini akhirnya menyebabkan Hulbert sentiasa membawa senjata api kemana-mana beliau pergi.

Apabila Hulbert ingin keluar makan di luar, beliau akan makan di restoran yang sama, memesan makanan yang sama, serta meminta untuk diambil pesanan oleh pelayan yang sama. Ini kerana Hulbert menjadi paranoid dan takut terhadap kemungkinan makanan beliau akan diracun oleh mereka yang tidak puas hati dan berdendam dengan beliau.

Kerjaya Hulbert sebagai algojo ini semakin lama semakin memberi tekanan kepada taraf kesihatan mental beliau. Walau bagaimanapun, beliau bertahan dengan segala tekanan, oleh kerana menerima bayaran yang tinggi iaitu kira-kira $150 dollar (sekarang $1000 dollar) untuk 1 perlaksanaan hukuman mati.

Masa berlalu, Hulbert dikenali oleh orang ramai sebagai “the man who walks alone”, oleh kerana beliau hidup bagaikan seorang pertapa yang berada di dalam dunia sendiri.

Tidak lama kemudian, iaitu pada tahun 1926, keadaan mental dan psikologi Hulbert semakin parah disebabkan oleh kerjaya ‘mengambil nyawa manusia’ itu. Beliau akhirnya berbuat keputusan untuk meninggalkan pekerjaan sebagai algojo buat selama-lamanya.

Kemuncak kepada tekanan psikologi yang dialami oleh Hulbert terjadi apabila beliau kematian isteri pada tahun 1929. Kemudian pada tarikh 22 Februari 1929, Hulbert bertindak mengambil nyawa beliau sendiri, dengan menembak dada kiri beliau. Tidak mati, Hulbert sekali lagi melepaskan tembakan ke arah kepala.

Bagaimana perlaksanaan hukuman mati menggunakan kerusi elektrik ini dijalankan?

Pertama sekali, pesalah akan dicukur kepala terlebih dahulu. Seterusnya beliau akan diikat dengan kemas pada kerusi. Ikatan berupa tali pinggang juga dikenakan pada bahagian dada, pangkal peha (groin), kaki dan tangan.

Kemudian, span yang dibasahkan sedikit akan diletakkan pada kepala sebelum dipasangkan topi besi yang mempunyai elektrod, menutupi bahagian kulit kepala yang dicukur serta dahi pesalah. Span tidak boleh terlalu basah kerana ia akan merosakkan litar, dan tidak boleh terlalu kering kerana akan menyebabkan rintangan, menyukarkan kematian yang cepat.

Elektrod tambahan kemudian diletakkan sedikit pelembap konduktor arus elektrik berbentuk gel, sebelum dipasangkan ke bahagian kaki pesalah yang dicukur terlebih dahulu untuk meminimakan rintangan. (untuk sentuhan terus dengan kulit).

Pesalah kemudian akan ditutup matanya.

Pasukan pemerhati kemudian akan keluar dari bilik hukuman mati, dan seterusnya memberi isyarat kepada algojo untuk menarik suis.

Sejurus tuas atau suis itu ditarik, ia akan menghantarkan sejumlah 500 sehingga 2000 voltan arus elektrik ke seluruh badan pesalah, dan dibiarkan selama 30 saat.

Setelah 30 saat berakhir, suis akan ditutup dan mayat pesalah akan dibiarkan sementara untuk beri masa ia ‘sejuk’ terlebih dahulu.

Kemudian, pakar perubatan akan datang memeriksa mayat pesalah sama ada jantungnya masih berdenyut atau tidak. Jika masih berdenyut, suis akan kembali dibuka sehinggalah pesalah benar-benar mati.

Keadaan pesalah semasa dan selepas dihukum mati.

Kebiasaannya, semasa hukuman sedang dijalankan, kedua-dua tangan pesalah akan menggengam kuat kerusi elektrik tersebut dan pergerakan ganas anggota badan akan berlaku. Kadangkala pergerakan-pergerakan ganas ini akan mengakibatkan keretakan pada tulang pesalah.

Tisu-tisu badan akan membengkak, pesalah juga akan terberak. Stim dan asap naik ke siling bilik hukuman dan akan ada bauan terbakar yang tidak enak akan muncul.

Berikut adalah penceritaan Hakim Mahkamah Agung William Brennan yang menyaksikan perlaksanaan hukuman mati menggunakan kerusi elektrik:

“Bebola mata pesalah kadangkala akan terkeluar daripada soketnya kemudian akan jatuh ke pipi. Pesalah kebiasaannya akan terberak, terkencing selain daripada muntah darah dan meleleh air liurnya. Keadaan tubuh badan pesalah pula bertukar seakan warna merah. Daging pesalah membengkak dan kulitnya meregang dan kelihatan seperti akan terkoyak. Saksi akan mendengar bunyian seolah-olah seperti ‘bacon’ yang sedang digoreng, sebelum bau daging yang terbakar menerjah hidung masing-masing.”

Semasa postmortem, mayat pesalah itu sangat panas sehingga akan menyebabkan lecuran apabila disentuh. Autopsi akan ditanggungkan sehingga mayat dan organ dalaman tersebut sejuk sepenuhnya.

Menurut Robert H.Kirschner (Deputy Chief Medical Examiner) daerah Cook, “Keadaan otak akan kelihatan seperti ia masak sepenuhnya dalam kebanyakan kes.”

*Gambar Willie Mae Bragg yang dihukum mati menggunakan kerusi elektrik pada tarikh 11 Oktober 1941.

RUJUKAN:

W. Ecenbarger, “Perfecting Death: When the state kills it must do so humanely. Is that possible?,” The Philadelphia Inquirer Magazine, January 23, 1994.

H. Hillman, “The Possible Pain Experienced During Executions by Different Methods,” 22 Perception 745 (1992).

J. Weisberg, “This is Your Death,” The New Republic, July 1, 1991.