Kehidupan Sida-Sida Cina Yang Kita Tak Tahu

3,695

Kota Larangan merupakan kediaman peribadi maharaja, tempat di mana tiada siapa dibenarkan singgah terlalu lama. Para menteri, pegawai tentera, dan bahkan kerabat lelaki maharaja sendiri turut dikehendaki beredar daripada Istana Diraja menjelang malam. Satu-satunya golongan lelaki yang dibenarkan kekal berada di dalam Kota Larangan adalah sida-sida Cina, walaupun hakikatnya mereka bukanlah lelaki sejati memandangkan setiap seorang daripada mereka telah pun dikasi.

Walaupun Kota Larangan dibina pada zaman pemerintahan Dinasti Ming iaitu pada kurun ke-15 Masehi, amalan mengasi dan juga tradisi penggunaan sida-sida di Cina boleh dijejak sejarahnya pada tempoh masa yang cukup jauh. Di zaman Cina purba (menjangkau masa pemerintahan Dinasti Sui), kasi merupakan salah satu dari Lima Hukuman, iaitu sekumpulan hukuman fizikal yang dijatuhkan oleh sistem kehakiman Cina.

Walau bagaimanapun, kasi juga merupakan satu kaedah untuk mendapatkan kerja dalam bidang perkhidmatan di istana. Memandangkan tugasan mereka itu membolehkan mereka berada hampir dengan maharaja, maka sida-sida berpotensi untuk memberikan pengaruh yang cukup besar kepada maharaja (keputusan baginda misalnya) di sambil melebarkan pengaruh dalam urusan-urusan politik. 

Oleh kerana mereka juga tidak lagi berupaya untuk meraih zuriat sekaligus mencantas kemungkinan untuk menurunkan kuasa (atau pangkat), maka mereka tidak dianggap sebagai ancaman serius kepada dinasti yang memerintah. Para maharaja Cina kadangkala memiliki ribuan gundik di dalam Kota Larangan, tanpa perlu risau mereka diganggu oleh sida-sida yang berkhidmat di istana.

Ribuan sida-sida telah berkhidmat di Kota Larangan

Walaupun sida-sida tidak dianggap sebagai potensi ancaman lantaran ketidakupayaan mereka untuk menubuhkan dinasti tersendiri (tiada zuriat), mereka sebenarnya memiliki keupayaan untuk menjatuhkan sesebuah dinasti yang memerintah. Pengaruh besar yang dimiliki oleh beberapa sida-sida kadangkala membuatkan mereka menjadi korup, mengubah karakter mereka menjadi individu yang tamak, tidak berhati perut dan penuh bermuslihat.

Dalam drama dan filem Cina yang berkisar tentang kehidupan di dalam istana, sida-sida seringkali ditampilkan sebagai karakter jahat. Banyak contoh sida-sida yang jahat boleh didapati dalam sejarah Cina. Misalnya peristiwa kejatuhan Dinasti Qin boleh dipertanggungjawabkan pada seorang sida-sida yang bernama Zhao Gao.

Ribuan sida-sida telah berkhidmat di Kota Larangan

Menurut catatan-catatan sejarah, Zhao Gao berasal daripada keluarga yang berpengaruh besar di negeri Zhao, salah sebuah dari tujuh buah negeri yang wujud di Zaman Negara-Negara Berperang. Ketikamana orang tua Zhao Gao didakwa melakukan jenayah, mereka dijatuhi hukuman manakala adik-beradiknya pula dikasi. Hukuman yang sama diandaikan turut dijatuhkan ke atas Zhao Gao. Zhao Gao kemudiannya berkhidmat untuk Qin Shi Huang lantaran beliau merupakan seorang yang pakar dalam undang-undang dan kehakiman. Hal ini membolehkan Zhao Gao mendaki tangga kuasa dan menjadi salah seorang penasihat terdekat maharaja.

Tidak lama selepas kemangkatan Qin Shi Huang, Zhao Gao dan Perdana Menteri, iaitu Li Si, mengatur perampasan kuasa dengan merencanakan pembunuhan putera mahkota, iaitu Fu Su serta dua orang pengikut setianya yang bernama Meng Tian dan Meng Yi. Setelah itu, putera bongsu Qin Shi Huang iaitu Huhai ditabalkan sebagai maharaja boneka. Tiga tahun kemudian, pemberontakan pun meletus dan Zhao Gao memaksa Huhai membunuh diri.

Zhao Gao kemudiannya menaikkan Ziying (sama ada putera atau pakcik kepada Fu Su) sebagai maharaja yang baru. Menyedari bahawa Zhao Gao akan menghapuskannya kelak, Ziying mengambil keputusan untuk menentang Zhao Gao dan berhasil membunuhnya. Pun begitu, pemberontakan tetap jua tidak berjaya ditamatkan. Ziying tunduk di tangan Liu Bang yang mengasaskan Dinasti Han. Justeru, boleh dianggap bahawa tindakan-tindakan sida-sida Zhao Gao bertanggungjawab mengakibatkan kejatuhan Dinasti Qin hanya tiga tahun setelah kemangkatan Qin Shi Huang.

Walaupun dikenali dalam lipatan sejarah dengan reputasi yang agak buruk, tidaklah semua sida-sida itu jahat. Sebahagian daripada mereka bahkan memberi sumbangan yang besar kepada ketamadunan Cina. Kertas yang merupakan salah satu dari Empat Ciptaan Hebat, dikatakan telah dicipta oleh seorang sida-sida yang bernama Cai Lun di zaman pemerintahan Dinasti Han Timur.

Tambahan lagi, Zheng He, seorang sida-sida yang berkhidmat untuk Maharaja Ming Yongle mengepalai armada diraja dalam pengembaraan ke Asia Tenggara, India, Tanah Arab, Parsi dan juga Afrika Timur – ekspedisi lautan yang menghubungkan Cina dengan dunia-dunia luar menerusi jalan perdagangan. 

Selain itu, sida-sida Cina juga dicatatkan telah memberikan sumbangan dalam mainan musik di istana Cina. Misalnya sida-sida di zaman Dinasti Ming merupakan kelompok Cina pertama yang memainkan musik Klasik Barat, sementara Maharaja Qianlong dari Dinasti Qing pula menubuhkan sebuah kumpulan orchestra yang terdiri daripada sida-sida yang mengenakan pakaian Eropah.

Sida-sida di zaman Dinasti Qing

Tamatnya pemerintahan Dinasti Qing pada awal kurun ke-20 Masehi membawa pengakhiran kepada sistem diraja Cina sekaligus menamatkan juga kefungsian sida-sida. Pada tahun 1924, seramai 1500 orang sida-sida terakhir dibuang dari Kota Larangan. Sun Yaoting, sida-sida diraja terakhir, dicatatkan telah meninggal dunia pada bulan Disember 1996 sekaligus menamatkan suatu amalan zaman-berzaman yang sejarahnya menjangkau ribuan tahun.

DIOLAH DAN DITERJEMAHKAN DARI:

Wu Mingren. (3 January 2015). The Fascinating Life of a Chinese Eunuch in the Forbidden City of China. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history/fascinating-life-chinese-eunuch-forbidden-city-china-002524

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.