Kehidupan Mewah Anjing-Anjing Diraja Di Kota Larangan China

1,101

Pra-tempah hanya di Shopee

Bermula dari pakaian yang dijahit khas hinggalah sida-sida peribadi yang ditugaskan melayani setiap keperluannya, anjing-anjing di Kota Larangan China menikmati berbagai jenis kemewahan yang tidak semua manusia dapat kecapi.

Sebagaimana yang umum maklum, Kota Larangan merupakan kediaman peribadi maharaja-maharaja China sepanjang dua dinastinya yang terakhir, iaitu Dinasti Ming dan Dinasti Qing. Ia dibina pada tahun 1406 dan siap pada 1420 Masehi, dilengkapi dengan 980 buah bangunan dan meliputi kawasan seluas 720,000 meter persegi.

Kompleks kediaman diraja ini dikawal rapi sehingga tidak dapat dimasuki oleh masyarakat umum dan hanya boleh diakses oleh maharaja dan kaum kerabatnya sahaja, termasuklah ribuan gundik dan sida-sida. Pada tahun 1987, Kota Larangan diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia. Ia juga dinobatkan oleh UNESCO sebagai kompleks bangunan kayu paling besar di dunia.

Kehidupan maharaja China di Kota Larangan dipenuhi dengan kesenangan dan kemewahan, dan ia turut dinikmati oleh anjing-anjing peliharaan mereka. Menurut Chen Shen, ahli kurator di Muzium Diraja Ontario di Toronto di dalam bukunya yang berjudul ‘The Forbidden City: Inside the Court of China’s Emperors’, anjing-anjing maharaja China disediakan kediaman khusus di astaka-astaka yang berlantaikan batu marmar dan berkatilkan bantal-bantal sutera. Mereka juga disediakan dengan pelayan-pelayan khas dan sebuah jabatan khusus turut dibentuk bagi memenuhi keperluan mereka, iaitu Jabatan Penjagaan Anjing.

Sida-sida tersebut kebiasaannya diberikan latihan rapi untuk menjaga dan memenuhi setiap keperluan mereka, manakala kaum wanita dalam istana pula menjadikan aktiviti mendandan anjing sebagai antara aktiviti masa senggang pilihan. Pakaian yang dikenakan pada anjing tersebut kesemuanya dijahit khusus mengikut saiz dan baka mereka.

Pakaian anjing yang dikenakan pada seekor anjing bernama ‘Tuah Besar’ yang hidup dalam Istana Larangan China

Pada tahun 2014, pakaian salah seekor anjing diraja dari Kota Larangan pernah dipamerkan di muzium sebagaimana yang diterakan pada gambar. Pakaian tersebut dihasilkan daripada kain sutera dan dihiasi dengan corak bunga peon, cukup besar untuk menutupi tubuh si anjing, dari ekor hingga ke muncungnya.

Cuma, kemewahan yang dinikmati anjing-anjing diraja tersebut berakhir seiring dengan tum-bangnya pemerintahan Dinasti Qing. Selepas Pembe-rontakan Yihetuan ditundukkan, kuasa-kuasa asing menguasai Beijing dan menja-rah Kota Larangan pada tahun 1900. Sebelas tahun kemudian, Puyi, maharaja China terakhir yang masih kecil melarikan diri dari Kota Larangan dan dipaksa turun takhta sekali gus menamatkan pemerintahan Dinasti Qing. Turut terkubur bersama adalah kemewahan yang dinikmati oleh anjing-anjing istana.

TERJEMAHAN
April Holloway. (10 Mac 2014). The opulent life of royal dogs in the ancient Forbidden City of China. Ancient Origins.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.