Kehebatan orang Minangkabau bukan sekadar dalam penghasilan senjata tetapi juga dari segi kemahiran dan taktik peperangan. Pengalaman yang ditimba semasa Perang Padri dan melawan penjajah asing seperti Portugal dan Belanda menjadikan mereka satu etnik yang digeruni.

Selain itu, mereka juga bijak memanfaatkan kelebihan muka bumi dan alam semulajadi sebagai benteng pertahanan. Mungkin atas sebab itu juga, catatan seorang kapten tentera Belanda bernama Hendrix berkenaan pengalamannya berperang di Sumatera kemudiannya dibukukan sebagai panduan kepada mana-mana tentera yang dihantar bertempur di situ.

Rajah 1: Lukisan Perang Padri di mana kelihatan beberapa orang Melayu memegang senapang buatan Minang.

Orang Minang sudah mula menghasilkan senjata api dan peluru sejak abad ke-18 lagi. Kebanyakan klien mereka ialah kerajaan-kerajaan Melayu seperti Kesultanan Acheh dan pesaing mereka dalam Perang Tiga Segi, Portugal. Ya, siapa sangka penjajah Eropah yang menjadi duri dalam daging kepada Acheh dan Kesultanan Johor menjadi pelanggan mereka. Mereka bukan saja pembuat senjata api yang hebat bahkan turut digeruni sebagai penembak tepat. Ini berdasarkan catatan seorang pegawai Belanda semasa tercetusnya Perang Padri.

Kebijaksanaan mereka menambahbaik rekaan senapang yang berasal dari China dan Turki sambil mengaplikasikan pengalaman menembak menjadikan mereka arif tentang mutu dan kualiti senjata yang dihasilkan. Beza senapang yang diimport dari luar dengan senapang buatan orang Minang ialah kewujudan sumbu khas.

Rekaan sumbu itu hanya wujud pada senapang Minang sahaja dan tidak pernah dilihat dalam mana-mana rekaan senapang termasuk senapang keluaran Empayar Turki Uthmaniyyah. Sementara Rusli Amrin berpandangan rekaan senapang Minang serupa dengan senapang yang dimiliki Belanda tetapi hanya terlewat beberapa tahun.

Rajah 2: Istinggar Minangkabau. Sumber: https://www.gardanasional.id/post/9263/sejarah-bedil-minangkabau-diteliti-ilmuwan-malaysia

Daerah yang dikenalpasti terkenal sebagai tempat penghasilan senapang ialah Sungai Yani dan Sungai Puar. Selalunya, pembuatan peluru dibuat oleh kaum wanita memandangkan kaum lelaki selalunya turun ke medan perang. Ini juga membolehkan mereka memberi sumbangan kepada pertahanan orang Minangkabau biarpun berada di rumah. Peluru yang digunakan ialah peluru timah yang dicampur dengan pecahan porselin, besi dan beras dengan tujuan semua serpihan itu tersebar ke setiap penjuru badan pihak musuh selepas tembakan dilepaskan.

Untuk menghasilkan peluru ini, ia dibuat dengan mencampurkan kalium nitrat yang diambil daripada najis haiwan dengan belerang yang diambil dari kawasan gunung berapi, kolam air panas atau arang. Kedua-duanya kemudian akan dimasak di atas wajan besi pada suhu yang tinggi.

Menurut Profesor Anthony Reid, kaedah yang digunakan kelihatan sederhana tetapi merbahaya. Beliau juga merasa hairan bagaimana ia dapat dihasilkan di rumah-rumah penduduk dan bukannya di satu tempat tertentu seperti kilang khas. Ini menunjukkan betapa telitinya orang-orang dahulu dalam menghasilkan perkara sebegini bagi mengelak berlakunya kemalangan semasa pembuatan peluru berlaku.

Namun, ramai sejarawan tertanya-tanya bilakah orang Minangkabau ini mengenali dan berupaya menghasilkan senapang buatan sendiri. Pertama, ilmu penghasilan senapang dibawa dari China semasa era Dinasti Ming.

Melalui hubungan erat antara China dengan kerajaan-kerajaan Melayu ketika itu termasuk Kesultanan Melayu Melaka, ini membolehkan berlakunya perpindahan ilmu terutama ilmu persenjataan sekitar Kepulauan Nusantara termasuk Melaka dan Sumatera berpuluh-puluh tahun sebelum penjajah Eropah menjejakkan kaki di sini.

Sementara teori kedua pula menyatakan ilmu pembuatan senjata ini diperoleh daripada Empayar Turki Uthmaniyyah. Menjelang akhir abad ke-15 dan awal abad ke-16, pencerobohan Portugal di Lautan Hindi menggusarkan Kesultanan Acheh hingga memaksanya mendapatkan bantuan daripada Islambul dengan menghantar ufti dan mengakui kekuasaan Uthmaniyyah.

Sebagai balasan, Islambul menerusi wazirnya, Sinan Pasha mengirimkan pedang dan meriam Turki sebagai bantuan awal kepada Acheh pada tahun 1520. 17 tahun kemudian, satu armada laut dikirim oleh Sultan Suleiman al-Qanuni ke Gujerat untuk menghapuskan angkatan Portugal di situ sebelum berangkat ke Acheh untuk membantu kesultanan itu menentang pihak Batak dan angkatan perang Portugal di Melaka.

Pada tahun 1567, satu surat dikirim ke Islambul oleh Sultan Awaluddin untuk memohon bantuan ketenteraan Empayar Uthmaniyyah menghadapi ancaman Portugal. Sultan Selim II bukan saja menghantar angkatan tentera tetapi juga golongan artisan yang mahir dan berpengalaman dalam pembuatan senjata khususnya meriam dan senapang. Kehadiran kelompok pandai besi ini membolehkan berlakunya perpindahan maklumat yang membenarkan penduduk tempatan menghasilkan senjata sendiri. Jika tidak, bagaimana penduduk tempatan mempunyai senjata api yang banyak semasa digunakan dalam Perang Padri.

Namun, wujud kemungkinan ilmu penghasilan senapang ini datangnya dari China. Ini kerana kalium nitrat digelar garam China dan salji China mengikut catatan Arab dan Parsi. Selain itu, sumber kalium nitrat daripada najis haiwan diambil daripada teknologi China dalam mendapatkan sumber itu daripada najis haiwan.

Berdasarkan catatan, penghasilan kalium nitrat itu datang dari satu suku kaum China yang kini menetap di Laos dan selalunya digunakan sebagai bahan api roket semasa menyambut perayaan Bang Fei. Namun, tidak mustahil juga ilmu penghasilan senapang dari kedua-dua kerajaan ini dicedok dan ditambahbaik oleh pembuat senjata Minangkabau sebelum diubah mengikut keperluan dan estetika masing-masing.

RUJUKAN:

Mohd Ali, Muhamad Shafiq dan Ramli, Zuliskandar. (2015). TEKNOLOGI PERSENJATAAN MINANGKABAU. Seminar Teknologi Melayu. Universiti Kebangsaan Malaysia. https://www.researchgate.net/publication/305259464_TEKNOLOGI_PERSENJATAAN_MINANGKABAU


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.