Semenjak diutuskan Nabi Muhammad S.A.W. kepada umat manusia untuk menyebarkan risalah Islam, 2 sumber wahyu menjadi rujukan penting sebagai panduan iaitu Al-Quran dan Sunnah. Malah, Nabi Muhammad yang merupakan bangsa Arab semestinya bertutur dan memberi petunjuk menggunakan bahasa Arab, secara tidak langsung menjadikannya bahasa fundamental dan signifikan dalam agama Islam. Namun perlu ditegaskan, Islam bukan hanyasanya untuk bangsa Arab semata-mata tetapi Islam diutuskan kepada seluruh manusia tanpa mengenal warna kulit, bangsa dan budaya. Sepertimana firman Allah dalam Surah an-Nisa’ ayat 79 :

وَأَرْسَلْنَـٰكَ لِلنَّاسِ رَسُولًا ۚ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ شَهِيدًا

Maksudnya : “Dan Kami telah mengutus engkau (wahai Muhammad) kepada seluruh umat manusia sebagai seorang Rasul (yang membawa rahmat). Dan cukuplah Allah menjadi saksi (yang membuktikan kebenaran hakikat ini).”

2 sumber utama panduan dalam agama Islam tersebut dihurai panjang dan dibincangkan ilmu-ilmu yang terkandung di dalamnya seperti ilmu fiqh, ulum quran, mustolah hadis, aqidah, sejarah dan pelbagai lagi ilmu lain oleh para ulama dan cendekiawan Islam yang berbangsa Arab dan Parsi.

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Faktor Berlakunya Kegiatan Penterjemahan

Kebanyakannya ditulis di dalam bahasa Arab juga. Seiring dengan pertambahan umat Islam daripada pelbagai bangsa dan budaya hasil dari perkembangan agama Islam, bahasa Arab tidak mampu dikuasai golongan ‘ajam (bukan bangsa Arab) dengan baik. Justeru, keadaan ini menuntut untuk berlakunya proses terjemahan karya atau manuskrip penting dalam ilmu agama supaya ianya dapat difahami oleh orang Islam yang bukan berbangsa Arab.

Selain itu, pertembungan budaya dan tamadun turut menjadi pemangkin kepada gerakan penterjemahan yang berkembang. Kedudukan Baghdad iaitu ibu kota pemerintahan Abbasiyyah adalah berdekatan dengan tamadun India dan juga Rom. Wilayah Islam di Andalus pula berjiran dengan kawasan Eropah. Dan hal ini membawa kepada pertembungan pelbagai budaya, bahasa, adat dan warisan.

Setiap tamadun memiliki pencapaian masing-masing dalam menghasilkan penulisan dan manuskrip. Justeru, aktviti penterjemahan menjadi satu langkah penting untuk meneroka dan  memahami  catatan keilmuan tamadun lain yang semestinya mereka menghadapi kesukaran membaca dalam bahasa yang berbeza intonasi dan simbol tulisannya. Di sinilah kita tidak boleh menafikan signifikasi aktiviti penterjemahan dan tamadun Islam yang berkembang memanfaatkan peluang ini dengan sebaiknya untuk memajukan kegiatan intelektual yang seterusnya menyumbang kepada kemajuan negara.

Aktiviti penterjemahan sebenarnya sudah lama berlaku sejak zaman Arab Jahiliyyah lagi iaitu sebelum diutuskan Nabi Muhammad sebagai Rasul namun ianya tidaklah begitu ketara dan serancak zaman kebangkitan tamadun Islam. Hal ini kerana orang Arab Jahiliyyah telah pun berkecimpung dalam aktiviti perdagangan yang merentas sempadan. Pedagang-pedagang Arab telahpun berdagang sehingga ke Cina, India, Parsi, Ethiopia, Rom dan lain-lain. Justeru, interaksi budaya bersama masyarakat dari tamadun selain Arab turut berlaku.

Tidak terkecuali juga dengan kemunculan ramai penyair-penyair Arab. Mereka melantunkan puisi dan gurindam yang banyak menggunakan elemen-elemen yang tiada atau jarang dijumpai di tanah Arab seperti gajah, kera dan serigala. Semestinya istilah-istilah ini diketahui oleh mereka melalui terjemahan dari penceritaan komuniti tamadun lain.

Selepas kedatangan Islam, Nabi Muhammad menggalakkan dan menyuruh para sahabatnya untuk mempelajari bahasa asing demi tujuan dakwah dan diplomasi bersama kerajaan lain. Misalnya, Zaid ibn Thabit yang menguasai bahasa Hebrew untuk tujuan meluaskan dakwah ke bangsa Yahudi.

Tujuan Penterjemahan

Secara umum, aktiviti penterjemahan ini merangkumi satu objektif asas iaitu untuk memahami makna teks asal dan menukilkannya dalam bentuk laras bahasa yang baru. Misalnya, buku Kalilah wa Dimnah كليلة ودمنة  yang dikarang oleh Abdullah ibn al-Muqaffa’ pada kurun kedua hijrah semasa pemerintahan Abbasiyyah di Baghdad.

Karya ini adalah terjemahan dan adaptasi daripada tamadun India yang asalnya ia ditulis dalam bahasa Sanskrit. Buku ini mengisahkan tentang pengembaraan 2 ekor serigala dan terdapat banyak pengajaran yang boleh diambil daripada cerita tersebut. Justeru, Ibnu al-Muqaffa’ menterjemahkannya ke dalam bahasa Arab dan mengikut uslub Arab tanpa mengubah makna yang ingin disampaikan dalam teks asal.

Kriteria dan Syarat Menjadi Penterjemah

Terdapat beberapa kriteria yang dikehendaki kepada penterjemah. Pertama, sarjana-sarjana yang menterjemah perlulah terlebih dahulu menguasai bahasa teks yang ingin diterjemah. Syarat ini adalah yang paling penting dan semestinya tanpa memahami bahasa asing tersebut, mustahil untuk penterjemahan itu berlaku.

Kedua, mereka juga perlu untuk menguasai bidang ilmu di dalam buku yang ingin diterjemah. Misalnya, karya yang ingin diterjemah berkaitan falsafah, maka mahu atau tidak, si penterjemah perlu mengetahui asas dan perbincangan ilmu falsafah supaya pengisian hasil terjemahan tidak menyimpang daripada makna yang dikemukakan penulis asal.

Ketiga, mereka semestinya juga menguasai asas bahasa yang ingin ditulis. Dan hal ini tidaklah terlalu sukar jika seseorang yang berbangsa Arab yang bertutur bahasa Arab ingin menterjemahkan karya Greek ke dalam bahasa Arab. Namun, segala aspek tatabahasa, kosa kata dan struktur ayat juga perlulah diambil berat dalam proses penterjemahan tersebut.

Penterjemahan di Era Umayyah dan Abbasiyyah

Sewaktu era pemerintahan Umayyah di Damsyik, Muawiyah bin Abi Sufyan amat gemar dalam mendengar dan membaca kisah tentang raja-raja dan pemimpin dari seluruh pelusuk dunia. Justeru, beliau mempunyai beberapa orang penterjemah dan tukang cerita seperti Amru bin Syuryah. Dan dikatakan maharaja Cina turut menghadiahkan kepada Muawiyah yang memimpin satu-satunya tamadun Islam ketika itu buku-buku yang diterjemah.

Seterusnya, Khalid bin Yazid bin Muawiyah antara pelopor awal kegiatan penterjemahan sewaktu era Umayyah. Khalid bin Yazid sanggup menolak takhta kepimpinan Umayyah semata-mata untuk menjalankan projek terjemahan dan beliau sangat obses dan cinta dengan ilmu pengetuan. Khalid antara yang terawal menterjemahkan perbahasan ilmu kimia, perubatan, astronomi dan sains ke dalam bahasa Arab. Di atas dasar kecintaan yang begitu mendalam terhadap ilmu, Khalid yang digelar sebagai Hakim al-Marwan turut mengarahkan sarjana-sarjana Arab  untuk menterjemah koleksi karya ahli falsafah Yunani dan bangsa Qibti (Mesir).

Berkata Ibn Kathir : “Khalid adalah seorang sosok yang berpengetahuan luas dan penyair yang hebat. Beliau menguasai ilmu kimia dan baginyalah segala khazanah pengetahuan dari ilmu alam dan sains kehidupan.”

Demikianlah juga dengan pemerintah dan pemimpin Islam selepasnya. Kebanyakannya amat mementingkan kegiatan ilmu dan aktiviti penterjemahan seperti Khalifah al-Mansur yang mengasaskan gerakan penterjemahan secara sistematik serta amat meminati bidang astronomi. Berkata al-Mas’udi : “al-Mansur adalah khalifah terawal yang menterjemahkan buku-buku Aristotle dari bidang mantik (ilmu logik) dan lain-lain lagi”. Khalifah Harun ar-Rasyid pula menubuhkan pusat intelektual Baitul Hikmah yang menjadi institusi terpenting dalam aktiviti penterjemahan dan penyalinan manuskrip.

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Konklusinya, tamadun Islam membawa dimensi baru dalam bidang penterjemahan. Perkembangan yang berlaku memberi implikasi yang cukup besar dan mempengaruhi peradaban manusia. Namun, datangnya tentera Mongol yang menjarah dan memusnahkan khazanah ilmu Abbasiyyah menjadi detik hitam yang sangat dikesali. Buku-buku dan koleksi karya dicampak dan dibuang ke Sungai Furat demi membentuk jambatan untuk dilalui tentera-tentera kejam ini sehinggakan air sungai menjadi hitam pekat kesan dari dedakwat hitam yang terhakis. Sebahagiannya turut dibakar menjadi abu hitam. Sekiranya tinggalan ilmu Abbasiyyah masih wujud, tidak mustahil untuk kita menggapai kemajuan lebih awal dari Eropah.

Adlin Shaimi
Mahasiswa Tahun 2, Jabatan Sejarah & Tamadun Islam UM


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.