Keep Nil By Mouth/ KNBM/ Berpuasa

267

Salah satu terminologi lagi yang masyarakat perlu tahu adalah KNBM, keep nil by mouth, atau bahasa lainnya berpuasa. Mengapakah sesetengah pesakit disuruh puasa dan mengapa pula saya serta jururawat di wad meradang apabila saya suruh puasa, pesakit berdegil dan masih nak makan?

Teringat ada satu kes suruh puasa, dia pergi minum air laici dan makan durian, walhal dah terpampang tanda “Nil By Mouth” di katilnya. Siap boleh lawat pesakit katil sebelah lagi. Memang saya marah sebab dia tak lawat saya sekali. Baiklah, kembali serius.

Perlu saya tekankan di sini, kami tidak akan meyeksa anda, membiar anda kelaparan sesuka hati. Di sini saya senaraikan sebab dibelakang pesakit yang disuruh puasa

1. Anda ada pendarahan dalam perut, usus/ pendarahan akibat gastritis atau sebab-sebab lain.

Perut kita dilapisi oleh lapisan mukus (mucous), seperti hingus anda. dan keadaan di dalam perut kita adalah berasid, pH nya sehingga 2-3. dan kadar asid akan meningkat sekiranya otak kita mengesan adanya makanan di dalam mulut atau ketika kita melihat makanan. Dalam keadaan gastritis dan pendarahan dalam perut, sudah tentu kami suruh berpuasa kerana kemungkinan besar lapisan mucous tadi sudahpun hilang, dan asid yang berada di dalam perut menghakis dinding perut mengakibatkan pendarahan dan hakisan yang teruk mengakibatkan bocornya dinding perut anda. Mekanisma ini kita namakan sebagai autodigestion,

Adakah anda masih mahu memberi makan kepada pesakit sebegini? Mestilah tidak. Satu, makanan akan menyebabkan lebih banyak acid keluar di perut dan kedua, sisa makanan yang boleh keluar melalui dinding perut yang bocor, dan menyebabkan makanan masuk ke ruangan peritoneum menyebabkan peritonitis, satu jenis keradangan serta jangkitan yang mempunyai kadar kematian yang tinggi,

Jangan risau, kesemua pesakit yang berpuasa akan kami sambungkan dengan IV drip, bagi menambah garam serta jumlah air di dalam badan. Biasanya tenaga juga ditambah (air gula), walaupun tidak mencukupi untuk tenaga seharian, badan kita amat efisien dalam menggunakan tenaga yang disimpan (glycogen), jadi inilah gunanya lemak-lemak yang berada didalam badan, digunakan sewaktu kita berpuasa

2. Anda perlu menjalani pembedahan.

Tidak kira pembedahan apa sekalipun yang melibatkan bius seluruh badan, atau General Anesthesia. dan spinal (kerana kadang-kadang kegagalan spinal anaesthesia menyebabkan pakar bius mentukar kepada bius penuh). ini kerana, apabila anda telahpun dipengsankan dengan bius, dan sekiranya perut anda ada makanan, ada kemungkinan untuk ianya naik ke atas dan masuk kedalam paru-paru anda, mengakibatkan radang paru-paru (aspiration pneumonia).

Yang menyedihkan, kadang-kadang pesakit yang diletakkan dalam list menunggu terpaksa berpuasa shingga 2-3 hari sebelum mereka dipanggil kerana situasi kebanyakkan hospital di mana hanya sat dewan bedah kecemasan dibuka, Namun apa yang selalu saya pesan kepada mereka ialah tak berbaloi untuk sekiranya teringin sangat nak makan, tetapi bila operation theatre kosong, kes anda dibatalkan akibat tidak berpuasa. Itulah hakikat hospital kerajaan seperti di hospital kami,

Jadi, anda terpaksa menunggu giliran anda dibedah dibawah pembedahan kecemasan. Sekiranya kami dapat merasakan pembedahan tersebut bakal dilangsungkan lama lagi, kami akan bagi anda makan terlebih dahulu, kemudian berpuasa semula pada waktu yang ditetapkan.

Percayalah, kami juga kasihan melihat pesakit kelaparan. Apa yang saya selalu buat ialah menyuruh waris pesakit atau saya sendiri mengambill tissue paper dan membasahkan bibir mereka yang kering

3. Stroke/ Angin ahmar

Gag reflex, ataupun reflex batuk/muntah pada pesakit stroke selalunya tidak seelok orang biasa. Ada yang masih elok dan ada pula yang terus tiada. Dalam kes pesakit yang baru kena stroke, kami tidak menggalakan untuk memberi makan melalui oral/mulut kerana refleks batuk mereka kurang dan risiko untuk makanan masuk ke dalam paru-paru juga adalah tinggi.

Sebaliknya, kami akan buat swallowing test terlebih dahulu untuk menentukan tahap gag reflex pesakit. Jika gagal, satu tiub, dipanggil Ryle’s tube akan dimasukkan kedalam hidung pesakit dan terus ke perut. Jadi, apabila makanan diberikan melalui tiub tersebut, kuranglah kebarangkalian untuk ianya masuk ke dalam paru-paru pesakit.

Dalam masa untuk seseorang pesakit itu untuk sembuh, ramai antara mereka mempunyai gag relfex yang kembali normal. Jadi, anda perlu bersabar, kerana risiko aspiration pneumonia teramat tinggi, dan kebanyakkan pesakit stroke meninggal dunia bukan disebabkan oleh stroke itu, tetapi lebih kepada jangkitan kuman di paru-paru.

4. Colonoscopy/ OGDS

Sudah tentu jika kami ingin melihat saluran usus anda dari dalam, kami tidak memberi anda makan untuk beberapa hari. Apa yang kami nak lihat ketika scope adalah dinding usus atau perut anda.

Tiada guna kami buat sekiranya apa yang kami nampak adalah nasi, sayur-sayuran mahupun bihun. Perkara sebegini akan megakibatkan prosedur di batalkan dan perlu mengulang semula kemudian hari. Ini memaksa anda untuk duduk di hospital lebih lama dan membuang masa staff endoscopy.

Anda dibenarkan untuk mengambil air kosong sahaja. Jangan risau tuan-tuan, pihak hospital akan menyediakan pamplet untuk persediaan colonoscopy mahupun OGDS. Pastikan anda mengikuti setiap arahan yang tercatat di situ.

5. Sesetengah procedur scan

Ada juga sesetengah prosedur yang kami perlu pesakit untuk berpuasa. Sebabnya, adalah sama, kami ingin melihat struktur usus anda, dan bukannya makanan yang anda makan seperti Barium swallow.

Sama seperti persediaan untuk colonoscopy, pesakit-pesakit sebegini akan dibekalkan dengan pamplet yang mengandungi arahan untuk diikuti, sebelum prosedur dimulakan.

Jadi, itu sahajalah 5 sebab mengapa anda perlu puasa di hospital. Ingat, arahan ini adalah untuk kebaikan anda, serta mengelakkan diri anda daripada mengalami komplikasi atau risiko terpaksa mengulang semula prosedur yang banyak memakan masa serta kos sesebuah hospital.

Terima kasih.

#iMedArt

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.