Di Sparta, (hak) individu tidak penting. Segalanya diperuntukkan demi kepentingan negara. Mereka tidak membina tembok kerana mengalu-alukan sebarang serangan atau cabaran. Mereka tidak menyalakan api di waktu malam supaya dapat bergelap. Mereka bertutur kata dengan kurang dan sangat lurus sehingga mereka mencirikan kata adjektif ‘Iaconic’ (ringkas) yang nama itu diambil dari Wilayah Laconia, Sparta.

Walaupun ramai mengenang penduduk Sparta sebagai pahlawan gagah yang berdedikasi kepada negara, mereka juga menggamit perhatian pada layanan mereka terhadap kaum wanita yang dilihat sama rata, terutama dalam soal pendidikan dan perbincangan intelektual. Bagi kaum lelaki yang terkorban di medan p3rang dan kaum wanita Sparta yang meninggal dunia semasa bersalin, mereka dihorm4ti dan nama mereka dikenang dengan dipahat pada batu berhampiran kota.

Persoalannya, bagaimana boleh sebuah masyarakat yang mengamalkan konsep totalitarian (sistem berpemerintahan satu parti politik sahaja) seperti Sparta yang banyak mengekang dari aspek individu, bersifat begitu progresif dalam mengurniakan kebebasan dan pendidikan kepada kaum wanita mereka?

BERPENDIDIKAN DAN CERDAS FIKIRAN

Kebanyakan maklumat tentang kaum wanita Sparta boleh ditemui menerusi catatan ilmuwan dan pemuisi purba dari Zaman Archaic (kurun ke-8SM) hingga ke zaman klasik (kurun ke-5 hingga kurun ke-4SM). Kaum wanita di Yunani purba mengharungi kehidupan yang sukar dan penuh dengan penghambaan. Akan tetapi, kaum wanita di Sparta terkecuali.

Tidak seperti kaum wanita di Athens yang tidak mempunyai banyak hak dan didominasi sepenuhnya oleh suami mereka, kaum wanita di Sparta dilindungi oleh negara. Ketikamana wanita-wanita Yunani lain terikat dengan keluarga, kaum wanita Sparta disuruh bersenam dan kekal secergas mungkin. Satu lagi bentuk kebebasan lain yang diberikan kepada kaum wanita Sparta adalah pendidikan.

Gambaran wanita-wanita Sparta yang bebas bermain di luar sambil memegang alat muzik, mengisyaratkan minatnya dalam bidang muzik dan seni – suatu keadaan yang berbeza di wilayah Yunani yang lain

Menurut Sarah J. Pomeroy, “Kaum perempuan dibahagikan kepada kategori kanak-kanak perempuan, remaja perempuan, gadis sunti, dan wanita yang sudah berkahwin. Gaya rambut tertentu membezakan antara gadis sunti dan wanita yang sudah berkahwin. Mereka yang baru berkahwin ditetapkan supaya berambut pendek.”

Sebahagian wanita Sparta pandai menenun kain. Walau bagaimanapun, penghasilan dalam industri tekstil di Sparta kebiasaannya diserahkan kepada golongan helot (hamba), sekaligus membolehkan kaum lelaki dan wanita Sparta bebas dalam memenuhi komitmen terhadap negara. Bagi kaum lelaki, mereka dituntut untuk berkhidmat dalam bidang ketenteraan sementara kaum wanita Sparta pula diminta supaya mengekalkan kecergasan fizikal dan melahirkan anak yang sihat.

Seperti yang disebutkan sebelum ini, aspek individu hanyalah aspek kedua selepas kepentingan Sparta, yang lebih utama. Namun, daripada kekurangan hak individu inilah datangnya kebebasan kaum wanita Sparta yang hampir setanding dengan kaum lelaki di negara-kota Yunani lain.

Peranan wanita-wanita Sparta adalah kekal sihat, cergas dan bersedia untuk melahirkan anak-anak yang aktif. Antara aspek penting bagi memastikan kesihatan anak mereka adalah dengan menggalakkan kaum wanita Sparta terlibat dalam perbincangan mental dan intelektual, meliputi bidang politik, perundangan, pembacaan, penulisan dan mitologi. Kaum wanita dikehendaki menunjukkan kehebatan inteleknya kepada mana-mana lelaki yang mencabarnya.

Kaum wanita Sparta juga berlatih dan menyertai lumba lari bersama kaum lelaki. Walaupun mereka tidak pernah dibenarkan untuk menyertai agoge, iaitu sekolah ketenteraan Sparta yang wajib disertai oleh kesemua kanak-kanak lelaki menjelang usia 7 tahun, kaum wanita tetap diberikan pendidikan rasmi yang dinaungi negara.

Menurut anggota-anggota aliran Pythagoras yang disenaraikan oleh Lamblichos, “Kaum wanita Sparta sangat berpendidikan”. Namun, terdapat perbezaan pendapat tentang persoalan sama ada pendidikan hanya diberikan kepada kaum wanita elit Sparta atau kepada seluruh kelas. Apapun, jelas sekali kaum wanita Sparta mampu membaca sekaligus membolehkannya berbual dengan kaum lelaki.

Kaum wanita Sparta juga terkenal lantaran berupaya mengancam kaum lelaki Athens dengan ketajaman akal dan pendapat mereka yang lantang berkenaan perundangan negara yang tidak sealiran dengan Sparta.

Keberanian kaum wanita Sparta (Jean-Jacques-Francois le Barbier)

Kaum ibu mereka kebiasaannya mendidik anak-anak perempuan mereka di rumah. Kaum lelaki dan wanita akan diuji semasa pesta lumba lari dan mana-mana upacara bagi menggalakkan persaingan dalam kalangan anak-anak muda. Namun, kebebasan pendidikan yang diberikan kepada kaum wanita Sparta sehingga membolehkan mereka membaca dan menulis ternyata dicabar dengan lantas, sehingga memaksanya dihentikan sebelum kemudiannya disambung semula.

WANITA-WANITA SPARTA CERGAS DAN BEBAS

Menjadi suatu kelaziman bagi kaum wanita Yunani purba untuk memakai korset, atau penampung dada yang berfungsi sama seperti bra di zaman moden. Mereka juga memakai pengikat pinggang demi menonjolkan ciri kewanitaan di samping menahan gaun yang dipakai. Kebanyakan kaum wanita Yunani purba memakai pakaian yang diperbuat daripada kain yang dihasilkan secara terperinci. Dianggap sebagai suatu taboo bagi mana-mana kaum wanita Yunani untuk bertelanjang atau mendedahkan badan mereka.

Walau bagaimanapun, penampilan wanita-wanita Sparta berbeza berbanding di kota-kota lain. Menurut Hans Licht, penulis the Sexual Life of Ancient Greece, gambaran wanita-wanita Sparta pada pasu-pasu purba menunjukkan bahawa mereka berpakaian hampir telanjang, kalau bukan kerana Chiton pendek (kain singkat) yang dipakai.

Pun begitu, hampir seluruh kaki mereka terdedah. Keadaan ini sangat berbeza dengan kaum wanita Athens hinggakan “… wanita-wanita Sparta dicemuh. Mereka dipanggil sebagai pendedah-peha…” Latihan fizikal yang lazim dijalani dianggap sebagai faktor pemakaian sebegini.

Patung wanita yang memakai chiton pendek, menggambarkan penampilan kaum wanita Sparta

Sama seperti penafsiran Licht terhadap karya-karya Lycurgus, wanita-wanita Sparta dituntut supaya berlatih berlari, belajar bergusti, melempar tombak, dengan sebaik mungkin. Sikap totalitarian yang diamalkan oleh penduduk Sparta cenderung mendorong mereka untuk berandaian bahawa wanita yang secergas lelaki mampu melahirkan zuriat yang sihat. Tidak seperti kaum lelaki Sparta, kaum wanita diberikan lebih banyak makanan dan bekalan bagi memastikan mereka mendapat nutrisi yang lengkap.

Kaum wanita dan lelaki Sparta lazim berjalan dengan berpakaian yang hampir telanjang, berupaya untuk bertarung, dan diberikan kebebasan untuk menari dan bersosial hanya pada masa-masa keraian. Namun, detik-detik kebebasan yang terhad bagi kaum wanita lazim dibayangi oleh perundangan draconian yang menindas.

Kaum lelaki perlu hidup secara terpisah dengan kaum wanita, di mana mereka dituntut supaya menjalani kehidupan di barak (markas tentera) sehingga selesai tempoh perkhidmatan selama 30 tahun. Lelaki mahupun wanita hanya berpeluang bertemu secara rahsia untuk bersenggama dan menikm4ti masa-masa sebagai suami isteri, atau tidak mereka akan dicemuh dan dihukum dengan teruk.

PERKAHWINAN DAN KELAHIRAN DI SPARTA

Sepanjang perjalanan sejarah, perkahwinan lazimnya bersifat kontrak dan penduduk Sparta tidak terkecuali. Namun, penduduk Sparta mempunyai beberapa aspek yang unik dalam budaya mereka. Usia purata kaum wanita Sparta yang dibolehkan untuk berkahwin adalah 18 tahun, yang kadangkala dikahwinkan dengan lelaki berusia 30 tahun.

Walaupun jurang umurnya agak ketara, ia sedikit berbeza berbanding keadaan di Athens. Di kota itu, usia purata kaum wanita yang berkahwin adalah 14 tahun, dan dikahwinkan dengan lelaki yang berusia 30an. Pomeroy juga ada mencatatkan bahawa mana-mana lelaki Sparta yang tidak berkahwin setelah menginjak usia 30an akan dicemuh sebagai sampah masyarakat.

Berikutan kaum lelaki Sparta dikehendaki menyelesaikan komitmen selama 30 tahun untuk negara, perkahwinan lazimnya berlangsung singkat dan pasangan yang baru berkahwin perlu hidup secara terpisah, kecuali pada waktu-waktu tertentu di mana mereka dibenarkan untuk bersama. Sarah J. Pomeroy, penulis buku yang berjudul Ancient Greece menyebutkan bahawa dalam karya Plutarch, dicatatkan bahawa ‘Kaum lelaki Sparta lazimnya berasa berat hati untuk berkahwin melainkan Sparta memberikan insentif perkahwinan dan kelahiran.”

Salah satu faktor bagi keadaan ini adalah peraturan Sparta sendiri yang menuntut setiap lelaki dipencilkan ke dalam kumpulan yang sama jantina semenjak usia 7 tahun sehinggalah selesai khidmat ketenteraan yang ditetapkan. Hal ini membuatkan ramai lelaki Sparta yang baru berkahwin berasa canggung untuk berinteraksi dengan pasangan yang berbeza jantina.

Adat perkahwinan di Sparta bersifat pemilihan secara rawak, di mana seorang lelaki dan seorang wanita akan ditinggalkan sendirian di dalam sebuah bilik gelap. Perkahwinan yang bersifat percubaan itu akan dirahsiakan, dan jika persenggamaan di antara mereka berdua tidak berjaya melahikan zuriat, maka pasangan itu dipisahkan dan diatur dengan pasangan lain. Jika perkahwinannya berjaya, menjadi adat kebiasaan untuk si wanita itu memendekkan rambutnya, dan berpakaian tunik lelaki Sparta.

Setelah beberapa tempoh, kebiasaannya si suami akan curi-curi keluar dari barak dan melakukan hubungan intim dengan isterinya yang baru dikahwini, dan beliau akan pulang ke barak sebelum disedari oleh sesiapa. Seandainya mereka berdua tertangkap, si suami akan dikenakan hukuman kerana meninggalkan barak.

Tambahan lagi, menurut Hans Licht, penulis Sexual Practices of Greece, beliau mengulas karya Plutarch dengan menyatakan bahawa, “… Pertemuan sedemikian tidak hanya bertujuan untuk melatih mereka supaya bertindak secara tepat, berdisiplin dan bersederhana, tetapi juga untuk menggalakkan kelahiran dan menggamit mereka untuk berhubungan dengan lebih segar, lesu akibat terlampau kerap merasakan nikmat.”

Walaupun keadaan ini kelihatan agak aneh menurut piawai di zaman moden dan para pemerintah Athens di waktu itu sendiri, kaedah ini agak efisien dalam mengekalkan populasi dan mengehadkan kebergantungan emosi kepada ahli keluarga. Sparta merupakan sebuah negara-kota pahlawan yang membenci sebarang sifat lemah. Mereka sentiasa berusaha untuk menghapuskan kesemua potensi kelemahan baik dari aspek peribadi mahupun sosial. Hal ini termasuklah perkahwinan dan perhubungan intim.

KAUM WANITA SPARTA DIBERIKAN HAK DAN KEBEBASAN MEMILIKI DAN MENGUSAHAKAN TANAH

Hak pemilikan tanah di Sparta mencetuskan kontroversi dalam sejarah berikutan besarnya hak rakyat Sparta ke atas tanah-tanah mereka. Ramai ilmuwan seperti Stephan Hodskin yang meneroka karya Plutarch yang berjudul Lykourgous, dan menyatakan bahawa, “… Rakyat Sparta mengusahakan satu bahagian dari wilayah mereka dan membahagikannya menjadi pemilikan baru, dan hidup secara bersama di atas dasar kesatuan dan kesamarataan sebagai maksud kelangsungan hidup mereka…”

Namun, Hodskin juga meneroka sisi lain di mana pewarisan tanah menerusi pihak lelaki juga boleh berlaku. Apapun keadaannya, ketika kaum lelaki keluar ke medan p3rang dan tiada waris lelaki, maka kaum wanita Sparta akan menjadi pemegang sebahagian hartanah tersebut sehingga mereka berkahwin semula atau melahirkan waris lelaki.

Isu-isu berkenaan pewarisan hartanah ini juga boleh dirujuk dan bahkan ianya dicabar oleh karya-karya Aristotle pada kurun ke-4 Sebelum Masihi, di mana beliau meletakkan hak, kekayaan dan pengaruh wanita-wanita Sparta yang luas ke atas negara, pemilikan tanah dan pentadbiran sebagai faktor kemunduran Yunani.

Memetik kenyataan Pomeroy ketika mengulas kenyataan Aristotle, “… Kebebasan penduduk Sparta untuk mewasiatkan tanah mereka dengan sesuka hati, dan pada zamannya sebanyak dua perlima saiz tanah jatuh ke tangan wanita […]. Malah, berlaku keadaan di mana anak-anak perempuan di Sparta menerima hantaran sebanyak setengah, berbanding satu-perenam yang diterima oleh anak-anak perempuan di Athens…”

Sama ada negara memiliki hak sepenuhnya ke atas tanah-tanahnya ataupun tidak, apa yang lebih penting adalah kaum wanita Sparta merupakan pemegang harta isi rumah sebagaimana adat dan budaya Sparta itu sendiri. Kaum lelaki meluangkan hampir seluruh masanya di agoge dan seterusnya di barak sebelum terjun ke medan p3rang. Jika mereka cukup bertuah dan hidup cukup panjang untuk bersara pada usia 40 tahun, maka mereka akan pulang ke rumah yang dikawal oleh isteri atau ahli keluarga mereka yang masih hidup.

Gambaran wanita Sparta memberikan perisai kepada salah seorang anaknya sebelum keluar berperang, sambil menjaga anak-anaknya yang lain

Peranan kaum lelaki Sparta adalah untuk berkhidmat dalam bidang ketenteraan, manakala peranan kaum wanitanya pula adalah untuk kekal sihat dan melahirkan zuriat yang ramai. Tanggungjawab sebegini memberikan kelebihan buat kaum wanita Sparta berbanding kaum wanita-wanita Yunani yang lain yang kebanyakannya terhad kepada tugas tipikal seperti penenunan kain atau bergiat dalam industri tekstil.

Kebanyakan kaum wanita Sparta tidak menjahit pakaian, tetapi berperanan memastikan dan menuruskan hamba-hamba lelaki (helot) dan wanita mereka untuk menghasilkan tekstil dank ain-kain untuk kegunaan keluarga atau dijual di pasar.

Mereka juga berperanan sebagai pentadbir tertinggi rumah mereka. Memandangkan kebanyakan wanita Sparta yang sudah berkahwin lazimnya sendirian dan terpiash dengan suami mereka yang berlatih, atau berada di barak atau keluar berp3rang, maka kaum wanita Sparta berpeluang mendapatkan pendapatan menerusi pengusahaan tanah milik negara atau masyarakat awam. Atau secara khusus, mereka bergiat menguruskan tanah dan memperoleh sejumlah keuntungan daripada hasil pertanian yang dikerjakan oleh para hamba.

Merentas masa dan menghampiri Zaman Hellenistik, ramai wanita Sparta berupaya mengumpulkan harta kekayaan berkat keupayaan mereka menguruskan hartanah. Namun, pemilikan matawang syiling sebenar dilarang oleh pentadbiran negara kerana khuatir ianya akan menggalakkan mendorong kepada perseteruan sesama sendiri dan memalingkan perhatian mereka dari negara kepada individu. Apapun, Sparta membenarkan rakyatnya memiliki dan memanfaatkan tanah sebagai satu bentuk kekayaan.

Kaum wanita, lelaki, dan kanak-kanak di Sparta dididik bahawa tugas utama mereka adalah untuk negara. Satu kemuliaan terbesar buat kaum wanita Sparta jika anak atau suaminya terkorban demi negaranya

ZAMAN HELLENISTIK MENAFIKAN HAK KAUM WANITA

Agak ironik apabila sebuah negara-kota yang berdedikasi dalam menghapuskan individualiti berupaya menjadi negara-kota yang mempromosikan kesamarataan dan kebebasan kepada kaum wanita mereka. Namun, keadaan ini mengalami perubahan pada beberapa tempoh kemudian.

Walaupun kaum wanita dipandang tinggi dan bersungguh dalam menguruskan hal rumahtangga serta mengumpulkan kekayaan dari pengusahaan tanah, pandangan-pandangan terhadap wanita yang lahir dari semasa ke semasa menjadi semakin sinis, terutama apabila populasi kaum lelaki mula menyusut.

Penurunan populasi ini berlaku semenjak kekalahan tragik Sparta di Leuctra pada tahun 371SM, diikuti oleh beberapa buah pember0ntakan yang dicetuskan oleh helot. Berikutan negara yang semakin melemah akibat pep3rangan dan pember0ntakan berskala besar ini, populasi kaum lelaki merudum dengan ketara.

Namun, berbanding menyalahkan pep3rangan dan polisi atau perundangan Sparta yang menjadi punca sebenar malapetaka ini, ramai rakyat Sparta menudingkan jari ke arah kaum wanita.

Sama seperti isu pemilikan hartanah oleh kaum wanita sebagaimana yang disebutkan sebelum ini, Aristotle juga mengkritik kaum wanita yang berpendidikan dan memiliki kuasa atau pengaruh. Aristotle juga menyalahkan kaum wanita Sparta sebagai punca tunggal kemunduran tamadun Sparta berikutan kebebasan, pendidikan, prestij dan pengaruh yang dipunyai mereka.

Walaupun penilaiannya ini kedengaran lantang dan kerang, pendapat Aristotle ini memberikan pengaruh yang signifikan. Ketika memasuki Zaman Hellenistik, kaum wanita Sparta dilarang daripada diberikan pendidikan. Beberapa tempoh kemudian, raja-raja Sparta seperti Cleomenes III berjuang untuk mengembalikan hak pendidikan kepada wanita. Namun, usahanya itu dikesampingkan sekali lagi sehinggalah memasuki zaman Rom.

TERJEMAHAN:

B. Wagner. (23 Januari 2020). What Makes Spartan Women So Different From Other Ancients? Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-europe/spartan-women-0013188


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.