Antara isu yang menjadi titik perbahasan hangat ketika menjelang kemerdekaan lebih 60 tahun dahulu, ialah berkenaan bahasa apakah yang ingin diangkat sebagai bahasa kebangsaan. Pada ketika itu tiga kaum yang dominan di Tanah Melayu ialah Melayu, India dan Cina.

Banyak cadangan telah diterima oleh Suruhanjaya Reid, selaku suruhanjaya yang diamanahkan untuk menyiapkan cadangan intipati Perlembagaan bagi Persekutuan Tanah Melayu yang akan merdeka kelak. Sungguhpun ada cadangan untuk mengangkat bahasa-bahasa lain, seperti bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil seiring dengan bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan, tetapi Suruhanjaya Reid tetap tegas dengan memberikan syor bahawa hanya bahasa Melayu sahaja yang sewajarnya menjadi satu-satunya bahasa kebangsaan.

Pun demikian, dalam masa yang sama mengambil kira bahawa pada ketika itu masih ramai rakyat yang belum benar-benar fasih, maka Suruhanjaya tersebut turut mencadangkan tempoh peralihan, yakni selama tempoh 10 tahun dari tarikh merdeka, bahasa Inggeris dibenarkan untuk digunakan. Tetapi selepas 10 tahun tersebut Parlimen boleh menguatkuasakan bahasa Melayu sebagai satu-satunya bahasa yang wajib digunakan untuk semua urusan rasmi, dan ini telah pun dibuat pada tahun 1963/67 melalui pindaan Akta Bahasa Kebangsaan. Selain itu, sebagai membantu tempoh peralihan tersebut, Suruhanjaya Reid turut mengesyorkan kelonggaran untuk kenyataan media dan dokumen-dokumen awam oleh kerajaan diterjemah ke dalam bahasa Mandarin dan Tamil.

Tetapi jika kita teliti perenggan 170 Laporan Suruhanjaya Reid, terdapat penegasan bahawa kelonggaran terjemahan ke dalam bahasa Mandarin dan Tamil tersebut adalah hanya untuk sesuatu tempoh waktu sahaja (“for some considerable time….”), dan bukan dimaksudkan untuk selama-lamanya, apatah lagi setelah lebih 60 tahun kita menyambut kemerdekaan.

Bahkan dalam perenggan seterusnya, iaitu perenggan 171, Suruhanjaya tersebut turut memperuntukkan bahawa pengucapan bahasa Cina dan dan India seharusnya dielakkan selagi mungkin, dan bukan dijadikan sebagai aturan umum untuk digunakan dalam urusan rasmi — “Our recommendation is based on the view that speeches in Chinese or Indian languages should be exceptional and we would not think it right to open the door for the regular use of these languages….”

Atas hujah-hujah inilah saya fikir tindak tanduk Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang ingin mengangkat bahasa Mandarin dalam ruang rasmi, adalah sungguh-sungguh bercanggah dengan semangat asal Perlembagaan Persekutuan. Tindak tanduknya itu adalah biadab, kurang ajar, durjana dan tidak bertamadun.

Sungguhpun Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan membenarkan penggunaan, pengajaran dan pembelajran bahasa-bahasa selain daripada bahasa kebangsaan, tetapi ia tidak membenarkan penggunaan bahasa-bahasa lain itu untuk tujuan rasmi.

Semua urusan rasmi sepatutnya dan semestinya menggunakan bahasa kebangsaan. Sudahlah kita menghadapi masalah dengan Pak-Pak dan Mak-Mak Menteri yang berlumbak-lumba mengeluarkan kenyataan dalam bahasa Inggeris (yang juga merupakan percanggahan dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan), janganlah dirumitkan lagi ketidakpatuhan terhadap Perlembagaan ini dengan meluaskan penggunaannya kepada bahasa Cina dan bahasa-bahasa lain bagi urusan rasmi pula.

Belajarlah, dan kuasailah sebanyak mana bahasa sekalipun, kerana lebih banyak bahasa yang boleh dipelajari, maka itu lebih baik. Bahasa Arab, bahasa Korea, bahas Kadazan, bahasa Murut, bahasa Jawa, bahasa Makassar, bahasa Perancis — kuasailah semuanya. Tetapi berpada-padalah, terutamanya apabila tiba kepada maksud dan tujuan rasmi, maka bahasa kebangsaan wajib menjadi satu-satunya bahasa yang diangkat di negara ini.

Suka saya ingatkan kembali apa yang pernah ditegaskan oleh Mahkamah Persekutuan kita (selaku tingkat kehakiman tertinggi dalam negara) ketika memutuskan kes Merdeka University Berhad lwn Kerajaan Malaysia. Mahkamah menyatakan bahawa para perangka Perlembagaan kita telah dengan penuh sedar menekankan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, agar ia dapat menjadi teras penyatuan rakyat berbilang kaum:-

“The framers of the Constitution deliberately chose to use the expression ‘national language’,” kata Mahkamah, “because they intended that Bahasa … should be used not only for official purposes but also as an instrument for bringing together the diverse and polyglot races that live here and thus promote national unity… [T]he use of bahasa could and should be used as an instrument for unifying the whole nation.”


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.