Kedudukan Agama Pada Pandangan Marxisme-Komunisme

870

Komunisme adalah sebuah ideologi sayap kiri-radikal yang kuat menentang segala macam bentuk penindasan terhadap masyarakat. Dari segi sosial mahupun ekonomi. komunisme lantang melawan golongan kelas sosial yang bergelar Borjuis.

Marxisme mendefinisikan istilah Borjuis sebagai kelas sosial yang mempunyai keupayaan dari segi wang atau harta. Mudah kata, masyarakat kapitalis, bangsawan yang sering dikatakan menindas golongan kelas pekerja demi menjaga tembolok masing-masing.

Lanjutan daripada itu, Komunisme aliran tradisional juga terkenal dengan sikap mereka yang anti-agama. Menurut dari pengertian mereka agama menjadi punca perpecahan masyarakat. Dalam bab ini akan mengulas dengan lebih terperinci pandangan Karl Marx tentang agama.

Secara ringkas, Karl Marx merupakan seorang ahli falsafah Jerman dan pada awal riwayat hidup beliau merupakan seorang anak kelahiran Yahudi dan dibesarkan dalam keluarga beragama Kristian Protestant. Pada waktu muda Marx banyak menghabiskan waktunya dengan belajar falsafah dan sejarah.

Karl Marx – Ahli Falsafah Jerman dan Pelopor Komunisme

Pandangan Karl Marx Tentang Agama dan Falsafah Materialisme

Karl Marx pelopor Komunisme menghurai panjang lebar pandanganya tentang agama dalam bukunya “Die Heilige Familie” dan dalam sebuah akhbar “Deutsch-Franzoische Jahrbucher” mengatakan bahawa manusia, negara dan masyarakat itu yang menghasilkan agama. Melawan agama adalah melawan dunia ini secara tak langsung dan agama adalah punca dari segala perpecahan.

Dengan keras falsafah Marxisme mengkritik agama dengan mengatakan “Agama adalah reaksioner (ajaran usang dan penghalang kemajuan). Ia adalah alat penindas jiwa, ideologi untuk perhambaan golongan pekerja. Jalan usaha untuk memperkuatkan kekuasaan golongan menindas. Agama merupakan candu bagi masyarakat.” Ucapan ini adalah merupakan dasar daripada seluruh pandangan orang Marxis terhadap agama.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang Materialisme. Ia merupakan sejenis fahaman falsafah yang mendakwa bahawa satu-satunya perkara yang benar itu ialah bahan berjirim(kebendaan).

Sebagai contoh, pengikut Marxisme-Komunisme pada umumnya mengagumi dan menerima karya Charles Darwin tentang ‘Origin of Spicies’ (asal usul jenis) yang berpendapat bahawa segala sesuatu yang ada di dunia dan alam semesta ini berkembang secara evolusi.

Dengan penuh yakin Marx mengatakan dunia ini bersifat Materialisme(kebendaan). Dunia dan alam sentiasa bergerak. setiap perkara yang wujud di alam semesta ini ada sesuatu yang sentiasa bergerak.

Unsur kebendaan ini adalah abadi, tiada permulaan dan tiada pengakhiran.Tak pernah diciptakan oleh sesiapa. disana tak terdapat kekuatan ghaib dan juga tidak dapat dibinasakan. Ia merupakan intipati, dasar terakhir yang menentukan segala sesuatu yang ada.

Materialisme mengandungi arti atheis yang mendalam, Kerana pengertian tersebut menumbangkan segala cerita bohong agama. kononnya manusia dan alam ini terbentuk hasil daripada ciptaan tuhan.

Antropologi Marxisme-Komunisme Tentang Manusia

Menurut Marx, manusia bersifat autonomi. Manusia boleh berdiri dengan sendiri dan mampu berdikari, tidak bergantung pada sesiapa. Mana yang baik dan mana yang buruk ditentukan manusia. Seperti undang-undang yang dibuat oleh manusia untuk manusia patuh. Pilihan untuk melanggar atau patuh kepada undang-undang ditentukan oleh manusia itu sendiri.

Bahkan juga, kejadian manusia dan alam berpunca daripada unsur benda, iaitu wujud dan berkembang manusia berdiri atas kekuatan sendiri. Adanya tuhan kerana diada-adakan oleh manusia. Manusia yang mencipta tuhan, bukan sebaliknya. Tuhan dan dewa-dewa adalah bayangan dan imaginasi manusia.

Antara punca mengapa mereka begitu benci pada agama ialah kerana kaum yang berkuasa mempertahankan agama itu untuk menenangkan orang miskin. Agama menghiburkan manusia tentang akhirat yang bahagia agar supaya kaum miskin yang tertindas ini terus bersabar menahan penderitaan sengsara didunia ini.

Bagaimana ‘Humo Humanus’ menjadi makhluk yang berperikemanusiaan? Jawapannya ialah kerja. Kerja itulah hakikat manusia, kerana kerja adalah suatu perbuatan yang tiada pengakhiran.

Misalnya, jika anda meninggal atau pencen. Posisi dan tempat kerja anda tidak tamat begitu sahaja. Sebaliknya bekas majikan anda akan cari orang lain untuk gantikan tempat anda supaya manusia akan dapat terus bekerja.

Ludwig Feuerbach – Ahli Falsafah Jerman

Ludwig Feuerbach dalam dua buah bukunya “Das Wesen Des Christentums”(Hakikat agama Kristian) dan “Grundsatze der Philosphie der Zukunft”(Dasar Falsafah Masa Datang) beranggapan bahawa manusia yang mencipta tuhan.

Theologi (ilmu tentang tuhan) adalah sebenarnya antropologi (ilmu tentang manusia), dan Tuhan adalah impian manusia belaka. Karl Marx dan Engels sangat setuju dengan pendapat Feuerbach dan berkata “pada masa itu kami semua adalah penganut Feuerbach.”

Antara cita-cita hidup seseorang Marxisme-Komunisme. Buruh yang bekerja dengan lebih lama dan dapat menghasilkan lebih banyak ganjaran akan dipuji dan dipuja. Komunisme menghargai titik peluh kelas pekerja. Berbeza dengan masyarakat Kapitalis yang sering menindas kelas bawahan dan hanya menjaga kepentingan tembolok masing-masing.

Sebagai contoh, diceritakan dalam buku Dr. J. Verkuyl seorang ‘pahlawan kerja’ dan buruh muda bernama Alexey Stakhanov, seorang pelombong bekerja selama 6 jam dan berjaya mengeluarkan 102tan batu-bata, kemudian 227 tan, padahal orang lain sekitar 7 tan sahaja. Kerana prestasinya yang membanggakan dia dipuja sebagai ‘dewa kerja’. Itu antara ciri-ciri buruh komunis yang bersungguh-sungguh.

Alexey Stakhanov – ‘Pahlawan Kerja’ Zaman Soviet Rusia

Setelah kematian Marx. Ada pengikut-pengikutnya cuba ‘memperbaiki’ pemikiran fundamental Marx yang memusuhi agama. Mereka disebut sebagai golongan Revisionist/Reformist. Pendapat mereka tentang agama adalah soal individu dan peribadi. Manusia bebas memilih sama ada mahu beragama atau tidak. Tiada paksaan.

Eduard Bernstein merupakan tokoh Marxist-Revisionis awal yang mengkritik teori sejarah materialis Marxis. Revisionis masih mempraktikkan dan menerapkan nilai fahaman Marxis dan Engels akan tetapi ada beberapa bahagian signifikan dari teori Marxis yang tidak dipersetujui mereka.

Sebahagian revisionis bukan sekadar hendak menerima agama tetapi ada juga yang menerima sistem pemerintahan mesra borjuis yang mana Marxist tradisional menolak sepenuhnya.

Penyiasatan Islam Atas Ajaran Marxisme-Komunisme

Seperti yang telah diungkapkan oleh Karl Marx, Benda atau matter adalah satu-satunya realiti yang ada. Dan benda itu tumbuh dan berkembang dengan sendiri tanpa digerakkan oleh sesiapa.

Apa yang diterima oleh Marxisme-Komunisme adalah hanya berdasar kemampuan alat-alat kudrat yang ada pada manusia. Panca indera dan akal mereka tidak dapat menerima hal ghaib seperti Tuhan, Syurga, Neraka, Malaikat dan sebagainya. Hal yang tidak dapat dirasakan atau dlihat dengan mata zahir dianggap tidak nyata.

Dalam Islam tidak ada ragu-ragu lagi bahawa benda juga memang merupakan faktor yang penting dalam kehidupan manusia. Selama kita masih hidup, selagi itulah kita mencintai benda. Manusia menyenangi benda sudah menjadi ketentuan Illahi.

“Dan sesungguhnya manusia itu sangat suka kepada harta(kebendaan).” – (Surah Al ‘Adiyat 8)

Allah S.W.T mencipta seluruh makhluk yang berada di langit dan bumi serta segala isi didalamnya bertujuan untuk beribadat kepadaNya.

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. AdhDhariyat 56

Sesungguhnya pemikiran seperti Marx, Engels, Feuerbach dalam bab agama sangat terpesong dari akidah Islam. Mereka berpandukan logik akal apabila berbicara mengenai hal ghaib.

Walaupun falsafah ada sebahagian ditolak dan ada juga diterima, Hujjatul Islam Imam al Ghazali Rahimahullah di dalam kitab Al-Munqiz min Adh-Dhalal membahagikan ahli falsafah kepada 3 kelompok:-

–  Dahriyyun

Mereka yang menafikan kewujudan tuhan, setiap kejadian manusia dan alam ini terjadi dengan sendirinya. Imam Ghazali menyatakan mereka sebagai Zindiq.

–  Tabi’yyun

Golongan yang mengkaji antropologi(ilmu tentang manusia), haiwan, tumbuh-tumbuhan dan mempercayai kewujudan tuhan. tetapi mereka menafikan hari kebangkitan, syurga dan neraka. Mereka ini sama zindiq.

–  Ilahiyun

Ahli dalam bidang ini mengkaji ilmu tentang Matematik, Biologi, Kejuruteraan, Geografi. Mereka masih percaya kewujudan tuhan. Untuk golongan ini, Imam Ghazali tidak mengkufurkan keseluruhan pegangan kaum Illahiyun. Ada perkara asas yang ditolak oleh Imam al Ghazali adalah seperti perkara yang wajib dikufurkan dan perkara yang dibid’ahkan.

Ada hal-hal tertentu yang tidak mampu difikirkan oleh akal manusia seperti perkara-perkara ghaib. Bidang ilmu ini luas, Kita dapat menerima sesuatu ilmu dengan nilai-nilai yang baik dan menolak jika ianya bertentangan. Dan kita sebagai umat Islam seharusnya lebih peka dalam menerima doktrin luar yang sedaya upaya cuba mengelirukan umat Islam melalui pemikiran sesat demi merealisasikan matlamat mereka.

RUJUKAN: 

– Penyiasatan Islam Atas Marxisme-Komunisme – Dr Rustam E. Aruzal S.H

– Perjuangan dan Ajaran-Ajaran Karl Marx – D.N Aidit

– Islam Is The Misunderstood Religion – Muhammad Qutb

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.