Kebakaran Semak Di Australia

452

Bila berlakunya kebakaran terutama kebakaran hutan, selalunya yang menjadi keutamaan ialah menyelamatkan diri dan membawa barang sekadar yang perlu terutama dokumen pengenalan diri. Bagi yang berkemampuan memadamkan api, ada yang memilih untuk membantu pihak bomba memadamkan kebakaran. Tetapi ada pula yang mengambil kesempatan menambah lagi bahana seperti yang berlaku di Australia ketika ini.

Berdasarkan dua kajian baru-baru ini, terdapat 52,000 hingga 54,000 kes kebakaran semak berlaku di Australia setiap tahun. Tetapi menurut Dr Paul Read dari Pusat Penyelidikan Kebakaran Semak dan Arson Kebangsaan Australia, angka itu sebenarnya lebih tinggi iaitu 62,000 kes dan semakin bertambah. Daripada 62,000 kes, 13% kes berpunca dari arson sementara 37% punca kes kebakaran diklasifikasikan sebagai mencurigakan.

Ini bermakna 31,000 kes kebakaran semak di Australia berpunca daripada arson atau disyaki perbuatan arson setiap tahun. Angka ini tidak termasuk kebakaran yang berlaku secara tidak sengaja. Pendek kata, 85 kes kebakaran sehari apabila seseorang itu meninggalkan rumah mereka dan memutuskan untuk mencetuskan kebakaran. Menurut Dr Read, separuh daripada kebakaran ini dicetuskan oleh individu berusia bawah 21 tahun termasuk kanak-kanak yang bermain api, orang yang mengalami masalah pembangunan mental dan individu yang mempunyai kecenderungan terhadap masalah psikologi merbahaya.

Tetapi menurut Dr Read, selain kumpulan pelaku bawah 21 tahun, kumpulan pelaku berusia 30 tahun ke atas juga merupakan pelaku utama kebakaran semak di Australia. Kumpulan ini selalunya bertanggungjawab mencetuskan kebakaran pada hari yang panas terik lebih-lebih lagi bila kebakaran semak sedang marak. Dr Read menambah, “Kesibukan pihak bomba memadamkan kebakaran, memindahkan orang ramai, ini membenarkan mereka cuba untuk mengelak dikesan. Mereka tahu mereka akan sukar dikenalpasti pihak berkuasa. Ia seperti menanam pokok dalam hutan.”

Rabu lepas, polis di New South Wales menyiasat tujuh kes kebakaran yang mencurigakan dan pada Khamis, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun didakwa di mahkamah atas kesalahan arson. Kebanyakan pelaku yang mencetuskan kebakaran secara sengaja ini mempunyai motif sama: dendam terhadap bekas majikan atau bekas pasangan. Ini didedahkan dalam satu kajian yang dibuat oleh Matthew Willis. Contohnya, seorang lelaki memberitahu stesen televisyen Australia, ABC bahawa dia mencetuskan kebakaran semak selepas mendapat tahu teman wanitanya berlaku curang.

Ada pula kaki bakar yang dianggap pelik, dipinggirkan dan menyimpan rasa marah terhadap masyarakat. Justeru bila kebakaran semak berlaku, kaki bakar ini gembira menambah lagi kebakaran kerana dapat menyusahkan hidup penduduk yang merana akibat kebakaran semak. Tetapi ada pula arson yang sememangnya obses dengan api dan menurut Dr Read, orang yang paling cenderung untuk mencetuskan kebakaran semak pada hari panas. Dan ini membawa kepada individu bernama Brendan Sokaluk.

Pada Februari 2009, negeri Victoria bergelut dengan kebakaran semak yang menyaksikan 173 orang terbvnvh, 10 daripadanya di bandar Churchill di tangan Sokaluk. Menurut Dr Read, bila api marak menyala, lelaki itu akan duduk di atas bumbung dan memerhatikan kebakaran dengan penuh gembira. Dan melihat kepada profil kaki bakar berumur, dia memenuhi parameter iaitu berusia 39 tahun, selalu dibuli di sekolah dan mengalami masalah membaca dan menulis.

Tetapi Sokaluk bukan sekadar mencetuskan kebakaran tetapi dia juga kadangkala menjadi pemadam api. Ini bukan kali pertama si kaki bakar ini menjadi anggota bomba dengan bertahun-tahun sebelumnya, dia juga merupakan anggota sukarelawan briged pemadam api tempatan sebelum dibuang. Wujud kecurigaan pada tahun-tahun itu bahawa Sokaluk sengaja mencetuskan sesetengah kebakaran dengan tujuan memadamkannya. Pada tahun 2012, dia dihukum penjara selama 17 tahun kerana sengaja mencetuskan kebakaran di Churchill.

Walaupun wujud kes ahli bomba bertukar peranan sebagai arson, menurut Dr Read, kes sebegini dianggap terpencil dan arson masih lagi merupakan golongan yang terpinggir dalam masyarakat. Tambah beliau, kes Sokaluk tidak seharusnya dijadikan alasan untuk memaparkan bomba dari sudut negatif kerana yang melakukannya seorang sahaja dan bukan semua anggota bomba.

RUJUKAN:

Amos, Owen. (2019). Australian bushfires: Why do people start fires during fires?. BBC. https://www.bbc.com/news/world-australia-50400851

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.