Kebangkitan Dan Kejatuhan Kuasa Dunia

0
912
views

Sejarah manusia ialah sejarah kejatuhan dan kebangkitan tamadun. Dan telah menjadi lumrah atau hukum tabii, kuasa yang mendominasi dunia (“world power”) berubah-ubah. Dalam 200 tahun yang lalu sahaja, kita telah mengalami Pax Britanica (1815 hingga 1914) dan Pax Americana (sejak 1945) yang masing-masing didominasi oleh UK dan US. Dan ada yang kata, dunia kita sedang menuju ke Pax Sinica (didominasi oleh China).

Fenomena peralihan kuasa (“power shift”) berlaku di luar jangkaan manusia biasa. Siapa sangka Turki Uthmaniyyah yang pernah mengetuk pintu Eropah di Vienna akhirnya menjadi “Sick Man of Europe” yang dilapah oleh kuasa-kuasa Eropah? Sweden yang nampak “harmless” hari ini pernah seketika mendominasi utara Eropah, sebelum disingkirkan dari pentas politik dunia oleh Russia dalam Great Northern War (1700-1721). Siapa sangka Austria itu dulu empayar?

31 tahun yang lalu (1987), seorang sarjana US bernama Paul Kennedy telah menerbitkan buku berjudul “The Rise and Fall of the Great Powers”. Hasil daripada penelitian kebangkitan dan kejatuhan kuasa-kuasa dunia dari 1500 hingga 1987, Kennedy sangat yakin bahawa US akan jatuh atas faktor “overstretch” atau kehausan sumber ekonomi akibat perbelanjaan ketenteraan yang melampau. Namun tak sampai 4 tahun bukunya diterbit, Perang Dingin tamat dan US muncul menjadi kuasa unipolar. Jadi, masih awal lagi untuk kita kata hegemoni US tamat pada era Trump.

Kuasa yang pernah jatuh juga boleh bangkit semula, bagai phoenix yang bangkit dari abu. Jepun bangkit dari kekalahan Perang Dunia Kedua pada 1945. Dengan hanya mengambil masa 23 tahun, Jepun sekali lagi mengancam US dengan menjadi ekonomi kapitalis kedua besar di dunia selepas US. Siapa sangka China yang menggelar diri sebagai “Son of Heaven” akan jatuh menjadi “Sick Man of Asia”, dan siapa pula sangka ia dapat bangkit semula dan mencabar US pada abad ke-21?

Umat Islam dulu ialah watak utama dalam pertarungan kuasa politik dunia (“great power politics”), hari ini tinggal menjadi watak sampingan atau watak bantuan. Inilah umat yang pernah menundukkan Parsi dan Rum Timur/Byzantium, umat yang digeruni oleh Eropah dengan nama-nama Umayyah, Ayyubiyyah dan Uthmaniyyah. Persoalannya, adakah kita akan kekal menjadi lemah sehingga kemunculan Imam Mahdi pada akhir zaman, atau kita akan mengalami “renaissance” dan bangkit semula? Dan jika ya, bagaimana?