Artikel ini di tulis berdasarkan pelbagai sumber dan beberapa pandangan peribadi penulis yang di rasakan logik dan sesuai berdasarkan fakta sejarah.

Apabila menyebut bangsa Turki, kebanyakan daripada kita hanya mengetahui mengenai Empayar Kesultanan Turki Uthmaniyyah sahaja yang pernah menjadi penaung kepada dunia Islam. Ramai yang tidak tahu pernah satu masa, penulis berani mengatakan bahawa kira-kira 80% dunia Islam dikuasai oleh bangsa Turki dari pelbagai puak. Selepas kejatuhan bangsa Arab, bangsa Turki yang mengambil alih kuasa politik umat Islam daripada bangsa Arab, manakala dari segi ilmu pengetahuan, bangsa Parsi yang mendominasi dunia ilmuwan Islam hingga jatuhnya Tanah Parsi ke tangan puak Syiah.

1. Pengenalan

Bangsa Turki dipercayai berasal daripada Asia Tengah, iaitu satu kawasan yang terkenal dengan kemunculan bangsa-bangsa gasar yang ganas, kejam, dan hebat dalam peperangan seperti puak Xiongnu (atau Hun), Mongol, Manchu, dan lain-lain. Bangsa Turki ada diceritakan dalam manuskrip-manuskrip Cina kuno yang dipercayai mempunyai kaitan dengan puak Xiongnu yang sering menganggu Empayar Cina.

Ahli sejarah telah membahagikan bangsa Turki kepada 6 puak utama iaitu Oghuz, Kipchak, Karluk, Siberia, Chuvash, dan Yakut. Daripada 6 puak tersebut, 3 daripadanya puak yang besar iaitu Oghuz yang lahirnya bangsa Turki di negara Turki sekarang, Azeri (Azerbaijan), Turkmen dan lain-lain. Yang kedua ialah Kipchak, daripada puak Kipchak lahirnya bangsa Kazakh, Kyrgyz, Bashkir, Nogay, dan beberapa puak lagi yang kebanyakannya berwajah Mongol iaitu bermata sepet dan bermuka bulat. Seterusnya ialah puak Karluk yang melahirkan bangsa Uzbek dan Uyghur.

Gambar 1: taburan penduduk bangsa Turki dari pelbagai puak dan cabang
Sumber: http://www.languagesgulper.com/eng/Turkic.html

2. Kemunculan bangsa Turki

Untuk rekod, bangsa Turki mula membina empayar pertama pada abad ke-6 masihi iaitu Empayar Gokturk Khagan, yang merupakan empayar daratan Asia Tengah terbesar yang pernah dilihat. Empayar Goktuk di tubuhkan oleh Bumin Khagan yang melancarkan revolusi menentang Kerajaan Mongol Rouran Khagan.

Gambar 2:Saiz Empayar Gokturk Khagan
Sumber: https://still-ates.deviantart.com/art/Gokturk-empire-138685596

Kedudukan empayar di Asia Tengah menyebabkan Gokturk banyak berperang dengan negeri-negeri jiran seperti Parsi (Dinasti Sasaniyah), Cina (Dinasti Tang), dan Arab (Dinasti Umayyah). Empayar Gokturk kalah ketika bertembung dengan Bani Umayyah pada tahun 713.

Empayar Gokturk bertahan sehingga tahun 744 masihi dan mula berpecah kepada kerajaan-kerajaan kecil sebelum di kuasai sepenuhnya oleh kerajaan Uyghur Khagan yang juga kerajaan bangsa Turki dari puak Uyghur.

3. Kebangkitan bangsa Turki dalam dunia Islam

Selepas kejatuhan Empayar Gokturk, puak Turki membina beberapa kerajaan kecil, salah satunya ialah kerajaan Turgesh Khagan. Kerajaan Bani Umaiyyah kerap berperang dengan Turgesh sehingga Turgesh di kuasai Uyghur.

3.1 Kebangkitan Pertama Bangsa Turki (977-1231)

Ketika era Bani Abbasiyyah, selepas kemenangan dalam Pertempuran Talas 751 menentang Empayar Cina dari Dinasti Tang, kawasan Asia Tengah banyak di kuasai oleh Abbasiyyah, dengan itu ramai hamba-hamba dari wilayah Turki (atau di kenali Turkestan) di serap menjadi tentera kepada kerajaan Abbasiyyah. Bangsa Turki ketika itu terkenal dengan sifat pahlawan sehingga di percayai oleh khalifah untuk dijadikan tentera.

Menjelang abad ke-9 Masihi, banyak wilayah kekuasaan Abbasiyyah mula menuntut kuasa autonomi sehingga kerajaan Abbasiyyah semakin mengecil dan hanya berkuasa ke atas Mesopotamia sahaja. Ketika kejatuhan Abbasiyyah, bangsa Turki dan Parsi mula menguasai pentadbiran kerajaan. Pada tahun 945, bangsa Parsi dari puak Buwayh mula menguasai kerajaan Abbasiyyah dan menjadikan Syiah sebagai agama rasmi kerajaan, khalifah kehilangan kuasa politik dan ketenteraan.

Pada masa yang sama, bangsa Turki mula membina empayar Islam pertama iaitu Dinasti Ghaznawi selepas berjaya membebaskan diri daripada Empayar Parsi Samaniyyah di sebelah timur tanah Parsi dan menakluk Asia Tengah, utara India dan mara ke bumi Parsi melawan kerajaan Bani Buwayh. Selepas kematian Sultan Mahmud Ghaznawi, empayar semakin lemah dan dengan kemunculan kerajaan bangsa Turki yang baru iaitu Empayar Turki Seljuk menyebabkan empayar Ghaznawi tumbang ke tangan Turki Seljuk.

Gambar 3: Empayar Turki Seljuk tahun 1092 menjelang kematian Sultan Malik Shah
Sumber: https://commons.wikimedia.org/wiki/File:Seljuk_Empire_locator_map-es.svg

Pada tahun 1055, Turki Seljuk pimpinan Sultan Tughrul Beg berjaya menguasai Baghdad, secara tidak langsung menamatkan kekuasaan puak Parsi bani Buwayh ke atas Khalifah Abbasiyyah. Khalifah Abbasiyyah di letakkan di bawah kuasa Turki Seljuk yang berfahaman Sunni. Sultan kedua Empayar Turki Seljuk iaitu Alp Arslan, dan menterinya Nizam al-Mulk melebarkan empayar ke wilayah Empayar Rom Timur (Byzantine) dan menakluk Anatolia (negara Turki sekarang) selepas kemenangan membanggakan dalam Pertempuran Manzikert 1071.

Kemenangan ke atas Rom Timur membuka jalan kepada penghijrahan besar-besaran bangsa Turki ke wilayah Anatolia dan menjadi salah satu faktor kejatuhan mendadak Empayar Rom Timur. Selepas kematian Sultan Malik Shah pada tahun 1092, empayar Turki Seljuk mula lemah dengan kekalahan memalukan dalam Perang Seljuk-Georgia terutamanya dalam Pertempuran Didgori dan Basian yang menyaksikan lebih 1 juta tentera Turki tewas dalam kedua-dua pertempuran menentang tentera Georgia yang berjumlah hanya kira-kira 100,000 orang.

Selain itu, serangan pihak luar dari Dinasti Turki Khawarizmi, Turki Zengi, dan Kurdi Ayyubi serta serangan tentera Salib menyebabkan Turki Seljuk semakin lemah. Abbasiyyah juga berjaya membebaskan diri daripada Turki Seljuk pada tahun 1157. Pada 1194, Turki Seljuk akhirnya tumbang kepada satu lagi dinasti bangsa Turki iaitu Empayar Turki Khawarizmi. Kebangkitan bangsa Mongol melenyapkan Empayar Khawarizmi pada tahun 1231.

3.2 Kejatuhan Bangsa Arab

Menjelang abad ke-12, hanya Khalifah Abbasiyah dan Khalifah Syiah Fatimiyyah sahaja empayar besar dari bangsa Arab yang menguasai politik dunia Islam. Di sebelah Maghreb dan Iberia di kuasai oleh bangsa Berber, di Timur Tengah, Parsi, Indus, Asia Tengah, dan Utara India di kuasai oleh bangsa Turki. Pada tahun 1171, empayar besar bangsa Arab iaitu Fatimiyyah akhirnya tumbang ke tangan bangsa Kurdi pimpinan Salahuddin al-Ayyubi yang menubuhkan Kesultanan Mesir Dinasti Ayyubiyyah.

Di Utara India, puak Turki yang digelar Mamluk (Mamluk ialah gelaran kepada hamba yang dijadikan tentera oleh kerajaan) menubuhkan Kesultanan Delhi pada tahun 1206. Begitu juga di Mesir, bangsa Turki Mamluk menubuhkan Dinasti Mamluk di Mesir menggantikan Kesultanan Ayyubi. Pada tahun 1258, empayar terakhir bangsa Arab iaitu Abbasiyyah tumbang ke tangan Mongol pimpinan Hulagu Khan, keturunan Bani Abbas mengembalikan semula Khilafah Abbasiyyah di Mesir tetapi di bawah kuasa politik Kerajaan Mamluk Mesir.

Antara abad ke-13 hingga abad ke-15, walaupun bangsa Turki masih berkuasa di dua tempat iaitu di Mesir dan India tapi bangsa Mongol mendominasi dunia Islam ketika itu seperti Dinasti Ilkhan (Timur Tengah dan Parsi), Dinasti Altan Ord atau Golden Horde (Eropah Timur, dan Rusia), dan Chagatai Khan (Asia Tengah).

3.3 Kebangkitan Kedua Bangsa Turki (1421-1707)

Menjelang akhir abad ke-14, bangsa Mongol mula lemah, berpecah belah dan kehilangan kuasa politik. Bangsa Turki mula menunjukkan kebangkitan apabila tertubuhnya Kesultanan Turki Uthmaniyyah yang ditubuhkan oleh Uthman Ertughrul pada tahun 1299 tetapi hanyalah negeri kecil.

Bani Uthmani lahir daripada susur galur Empayar Turki Seljuk, dan penyambungnya iaitu Kesultanan Rom Seljuk yang kemudiannya berpecah menjadi negeri-negeri kecil yang di kenali beylik. Uthmaniyyah mula berkembang ketika era Sultan Murad I (1362-1389) dan Sultan Bayezid I (1389-1402).

Kebangkitan Turki Uthmaniyyah terhalang oleh kebangkitan semula bangsa Mongol pimpinan Amir Timur (atau Timurlenk, Tamerlane) yang menubuhkan Dinasti Timuriyyah (sesetengah pendapat mengatakan Amir Timur juga dari bangsa Turki puak Barlas, keturunan Uzbek sekarang). Amir Timur yang di gelar jelmaan Genghis Khan dan “Sword of Islam” membinasakan Asia Tengah, Parsi, India, Timur Tengah, dan mengalahkan Uthmaniyyah dalam pertempuran Ankara 1402.

Penjarahan kedua bangsa Mongol mengorbankan kira-kira 17 juta nyawa atau kira-kira 5% daripada penduduk dunia. Selepas kemangkatan Sultan Bayezid dalam tahanan Mongol pada tahun 1403, Empayar Uthmaniyyah berpecah dan bangkit semula ketika era Sultan Murad II the Great (1421-1444, 1446-1451). Ketika pemerintahan Sultan Muhammad al-Fatih (di Barat di kenali Mehmed the Conqueror atau Sang Penakluk) 1451-1481, empayar Turki Uthmaniyyah menjadi salah satu empayar terkuat di dunia apabila menamatkan riwayat Tamadun Rom yang berusia 2,206 tahun apabila menakluk kota Konstantinople, ibu kota Empayar Rom Timur yang dulunya di anggap mitos bagi mana-mana kerajaan untuk menundukkan Empayar Rom.

3.3.1 Gunpowder Empire, Tiga Gergasi Dunia (Uthaminyyah, Safawiyyah, dan Mughal)

Menjelang abad ke-16 masihi, bangsa Turki mulai menguasai satu-persatu wilayah Islam dan turut menakluk bahagian Eropah. Pada tahun 1501, Shah Ismail menubuhkan Dinasti Safawiyyah di Iran. Sesetengah sejarawan berpendapat, Shah Ismail dan keturunannya berbangsa Turki Oghuz dari puak Azeri, ada sesetengah membantah, tapi Empayar Safawiyyah lebih dikenali sebagai Empayar Parsi.

Pada tahun 1517, Sultan Selim dari Turki Uthmaniyyah menakluk Mesir daripada Kesultanan Mamluk dan Khilafah Abbasiyyah, secara tidak langsung bekas tanah jajahan Mamluk jatuh ke tangan Turki Uthmaniyyah. Sultan Selim menjadi Khalifah pertama Empayar Turki Uthmaniyyah menggantikan Khalifah Al-Mutawakkil III dari Bani Abbasiyyah.

Pada tahun 1526, susur galur keturunan Empayar Mongol Timuriyyah yang sudah bercampur antara Turki-Mongol-Parsi menubuhkan Empayar Mughal (juga dikenali Gurkaniyyah, gelaran sama untuk empayar Mongol) di utara India. Pada abad ke-16 hingga awal abad ke-18 masihi, ketiga-tiga empayar iaitu Turki Uthmaniyyah, Safawiyyah, dan Mughal menjadi antara empayar terkuat di dunia yang di gelar “gunpowder empire’ kerana menggunakan senjata belerang menundukkan musuh.

Empayar Turki Uthmaniyyah mencapai zaman kemuncak ketika era Sultan Suleiman al-Qanuni “the Magnificent” yang di geruni Eropah. Empayar Safawiyyah di bawah Shahanshan Abbas the Great (1588-1629), manakala Mughal ketika Maharaja Aurangzeb Alamgir “the world conqueror” (1658-1707).

Dari segi geografi, bangsa Turki di bawah Empayar Turki Uthmaniyyah menguasai Laut Mediterranean, Afrika Utara, Balkan, Timur Tengah, dan Anatolia. Empayar Safawiyyah menguasai Tanah Parsi. Manakala Mughal menguasai 90% benua India dan Afghanistan semasa era Maharaja Aurangzeb. Di Asia Tengah juga di kuasai oleh bangsa Turki tetapi hanya kerajaan kecil seperti Kazakh Khan, Khiva Khan, Emiriyyah Bukhara dan lain-lain.

Dengan itu, hanya Maghribi, negeri-negeri Afrika dan Alam Melayu sahaja bahagian dunia Islam yang tidak dikuasai oleh bangsa Turki. Di Alam Melayu, Aceh Darussalam turut menjadi negeri naungan kepada Uthmaniyyah. Walaupun keturunan sebenar Dinasti Safawiyyah tidak jelas, dan Mughal yang sudah bercampur, tetapi darah Turki yang terkenal dengan sifat pahlawan berjaya menaikkan semula sinar Islam ketika bangsa Arab mulai lemah dan alpa dengan kemewahan dunia.


Gambar 4: Peta dunia yang menunjukkan kerajaan dan empayar yang di kuasai oleh bangsa Turki pada tahun 1700
Sumber: https://www.youtube.com/watch?v=zHXAYq5VBj8

Menjelang akhir abad ke-17 dan awal abad ke-18, ketiga-tiga empayar mengalami kejatuhan. Turki Uthmaniyyah mula merosot sejak kegagalan dalam Pengepungan Vienna 1683, serta kekalahan dalam Perang Besar Turki (1683-1699). Empayar Safawiyyah mula merosot selepas kekalahan dalam Perang Russo-Persian dan kalah kepada Uthmaniyyah. Safawiyyah juga di serang oleh Dinasti Hotaki dan akhirnya dibubarkan oleh Nader Shah (digelar Second Alexander) yang menubuhkan Dinasti Afshari yang juga berbangsa Turki. Empayar Mughal pula merosot secara mendadak selepas kemangkatan Maharaja Aurangzeb pada tahun 1707. Pada 1724, kira-kira 3/4 empayar Mughal kehilangan wilayah.

4. Bangsa Turki sekarang

Sekarang bangsa Turki membentuk beberapa buah negara antaranya Turki, Azerbaijan, Turkmenistan, Uzbekistan, Kazakhstan, dan Kyrgyzstan. Enam buah negara tersebut bertutur dalam bahasa Turki tetapi menggunakan dialek tempatan.

Gambar 5: peta negara-negara bangsa Turki
Sumber: http://russiancouncil.ru/en/analytics-and-comments/analytics/russia-and-turkey-in-central-asia-partnership-or-rivalry/
Gambar 6: wanita etnik Turki
Sumber: https://www.flickr.com/photos/kei-kecil/4649670001
Gambar 7: lelaki etnik Uzbek
Sumber: https://orexca.com/photogallery/144/?p=2&ctg=3
Gambar 8: gadis etnik Kazakh
Sumber: https://samsky72.deviantart.com/art/Kazakh-girl-251358689

RUJUKAN

Peter Zieme: The Old Turkish Empires in Mongolia. In: Genghis Khan and his heirs. The Empire of the Mongols. Special tape for Exhibition 2005/2006, p. 64

Turkic people, Encyclopædia Britannica, Online Academic Edition, 2010

The Karakalpak Gene Pool (Spencer Wells, 2001); and discussion and conclusions at www.karakalpak.com/genetics.html

“Etienne de la Vaissiere”, Encyclopædia Iranica article:Sogdian Trade Archived 2009-12-20 at the Wayback Machine., 1 December 2004.

Gao Yang, “The Origin of the Turks and the Turkish Khanate”, X. Türk Tarih Kongresi: Ankara 22 – 26 Eylül 1986, Kongreye Sunulan Bildiriler, V. Cilt, Türk Tarih Kurumu, 1991, s. 731. (in English)

Carter V. Findley, The Turks in World History (Oxford University Press, October 2004) ISBN 0-19-517726-6

Encyclopædia Britannica, “Ghaznavid Dynasty”, Online Edition 2007

Princeton, University. “Dhu’l Qa’da 463/ August 1071 The Battle of Malazkirt (Manzikert)”. Retrieved 2007-09-08.

Delhi Sultanate, Encyclopædia Britannica

Anatol Khazanov. Nomads in the Sedentary World. Retrieved 2012-10-20.

“Mamluk | Islamic dynasty”. Encyclopædia Britannica. Retrieved 2015-11-13.

Finkel, Caroline. Osman’s Dream: The Story of the Ottoman Empire, 1300–1923. Basic Books. pp. 2, 7. ISBN 978-0-465-02396-7.

Streusand, Douglas E., Islamic Gunpowder Empires: Ottomans, Safavids, and Mughals (Boulder, Col : Westview Press, 2011) (“Streusand”), p. 135.

Andrew J. Newman, Safavid Iran: Rebirth of a Persian Empire, IB Tauris (March 30, 2006).

“BBC – Religions – Islam: Mughal Empire (1500s, 1600s)”. Retrieved 2017-11-25.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.