Istana Shuri di Okinawa merupakan antara khazanah warisan Jepun yang terkenal sehingga disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada tahun 2000. Dan bagi peminat Call of Duty terutama World at War, pasti perasan istana ini juga merupakan sebahagian daripada kempen Breaking Point. Tetapi beberapa hari lepas, ramai penduduk Okinawa berdukacita selepas mendapat khabar istana yang pernah jadi simbol kekuasaan kerajaan Ryukyu musnah dalam satu kebakaran.

Rajah 1: Keadaan pintu gerbang Istana Shuri selepas kebakaran. Gambar diambil dua hari selepas kebakaran berlaku pada 31 Oktober lepas.
Rajah 2: Keadaan Istana Shuri dua hari selepas kebakaran. Gambar diambil dari bahagian bukit.

Berdasarkan laporan media, kebakaran dikatakan bermula pada pukul 2.40 pagi dan hanya berjaya dipadamkan pada pukul 1.30 petang Khamis lepas. Anda boleh lihat bagaimana api memusnahkan Istana Shuri menerusi klip video ini:

Tujuh bangunan kayu musnah terbakar merangkumi kawasan seluas 4,000 meter per segi. Siasatan kebenaran sudah dijalankan sejak Jumaat lepas dengan fokus utama siasatan tertumpu kepada dewan utama di mana kebakaran dikatakan bermula. Pasukan penyiasat memberitahu stesen televisyen NHK pada Ahad salah seorang daripada pengawal yang memberi respon terhadap loceng kecemasan melihat asap tebal keluar dari tingkap aras pertama dewan utama. Mereka turut menemui sebuah panel elektrik yang terbakar di atas lantai dan masih menyiasat sama ada ia merupakan punca kebakaran atau tidak.

Yang pasti, barang-barang pameran terutama hasil seni yang dipamerkan di Istana Shuri berpotensi musnah dijilat api. Menurut Yayasan Churashima Okinawa, 420 daripada 1,500 hasil seni yang dipamerkan dikatakan musnah dalam kebakaran berkenaan kerana tidak disimpan di repositori yang kalis api berikutan ditempatkan di dewan utama Seiden dan kawasan lain sekitar istana. Ini diumumkan dalam satu sidang media di Naha pada Jumaat lepas. Yayasan ini bertanggungjawab mengendalikan aspek pengurusan dan pentadbiran Istana Shuri.

Daripada 1,000 barang yang disimpan dalam repositori, tiga merupakan barang berharga seperti sebuah lukisan yang dianggap harta warisan dan sebuah kraftangan yang berharga. Tetapi sejak Jumaat lepas, masih belum dipastikan sama ada barang-barang ini masih baik atau terjejas akibat kebakaran.

Begitu juga nasib dinding batu, batu asas dan sisa struktur dari struktur asal Istana Shuri  sama ada ia terselamat daripada kebakaran atau tidak. Pihak berkuasa turut memindahkan 30 penduduk akibat kebakaran tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Tetapi bagi penduduk Okinawa, mereka kehilangan lambang kebanggaan wilayah itu seperti dinyatakan Datuk Bandar Naha, Mikiko Shiroma, “Saya amat terkejut. Kami telah kehilangan simbol kami.”

Selepas kebakaran besar yang melanda Katedral Notre-Dame di Paris pada April lepas, pihak kerajaan berkira-kira mengadakan pemeriksaan mengejut di semua tapak khazanah warisan negara itu dan bersedia melaksanakan langkah tambahan termasuk memasang sistem pemadam api. Tetapi selepas apa yang berlaku pada 31 Oktober lalu, ia boleh dianggap sebagai terlambat. Bekas Menteri Pendidikan Jepun Masahiko Shibayama menulis di Twitter, “Saya tiada kata-kata. Selepas kebakaran Katedral Notre-Dame, kami baru sahaja memulakan langkah pencegahan kebakaran di aset-aset kebudayaan.”

Kerajaan Ryukyu muncul sebagai satu kerajaan yang berkuasa pada abad ke-15 selepas menyatukan tiga kerajaan yang berperang sebelumnya. Pengaruhnya dikatakan merentasi sempadan Okinawa termasuk di Kepulauan Melayu menerusi surat yang dibawa Hang Tuah kepada pemerintah kerajaan itu antara tahun 1480 dan 1481. Istana Shuri yang dibina 500 tahun lalu menggabungkan seni bina China dan Jepun sekaligus memperlihatkan penglibatan aktif kerajaan itu dalam bidang perdagangan dengan China.

Rajah 3: Istana Shuri sebelum berlakunya Perang Dunia Kedua.

Menelusuri sejarahnya yang panjang, istana ini musnah beberapa kali termasuk semasa Perang Dunia Kedua menerusi Pertempuran Okinawa seperti dipaparkan dalam Call of Duty: World at War. Kerajaan kemudiannya menjalankan aktiviti pemulihan besar pada setiap tapak bersejarah di Okinawa pada tahun 1990-an termasuk Istana Shuri. Usaha pemulihan yang teliti menyebabkan UNESCO menganugerahkan beberapa tapak bersejarah di Okinawa termasuk istana itu sebagai Tapak Warisan Dunia pada tahun 2000.

Kini dengan kebakaran ini, Tokyo berjanji akan membinanya semula. Tetapi ia tidak akan mengembalikan mana-mana artifak yang musnah. Bagi Profesor Kurayoshi Takara dari Universiti Ryukyu, berita kemusnahan artifak-artifak di Istana Shuri merupakan sesuatu yang sukar diterimanya.

RUJUKAN:

1. Katz, Brigit. (2019). Fire Ravages Japanese Heritage Site Shuri Castle. Smithsonian Magazine. https://www.smithsonianmag.com/smart-news/fire-ravages-shuri-castle-japanese-heritage-site-180973446/

2. The Straits Times. (2019). Japan’s Shuri Castle fire likely started from main hall, at least 420 artworks destroyed. https://www.straitstimes.com/asia/east-asia/at-least-420-artworks-at-japans-shuri-castle-likely-destroyed-by-fire


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.