Kebakaran Hutan Sumatera Mendedahkan Artifak Berharga Empayar Melayu Srivijaya

3,162

Isu jerebu yang tercetus gara-gara kebakaran hutan yang berlaku di Indonesia bukan isu baru yang dihadapi warga ASEAN sama ada di Malaysia, Indonesia, Singapura dan selatan Thailand saban tahun. Bukan sekali isu ini mencetuskan kemarahan ramai pihak yang muak dengan kegagalan pihak berkuasa sana menangani isu ini. Tetapi pada tahun ini, kebakaran hutan di Sumatera Selatan mendedahkan rahsianya yang tersembunyi iaitu artifak-artifak berharga dari era Empayar Srivijaya.

Artifak-artifak ini menjadi tarikan orang ramai selepas ditemui di kawasan bekas kebakaran tanah gambut di Kabupaten Ogan Komering Ilir (OKI) atau kawasan pesisir timur Sumatera. Menurut ahli arkeologi dari Badan Arkeologi Sumatera Selatan, Retno Purwanti, orang ramai datang ke tiga kawasan bekas kebakaran yang mendedahkan tapak arkeologi dari era Empayar Srivijaya itu. Tiga tapak tersebut terletak di Kecamatan Cengal, Tulung Selapan dan Air Sugihan. Artifak-artifak ini terdedah selepas tanah gambut yang dalam yang terbakar mengakibatkan ia timbul ke permukaan.

Terdapat banyak artifak menarik yang menjadi tumpuan. Retno berkata, “Ada artifak yang diperbuat daripada emas, perhiasan kuno mata kucing berbentuk kalung buatan Mesir dan negara Indopasifik. Ada juga yang menemukan perhiasan kuno yang lain. Kalau dilihat dari segi ukiran dan bentuknya, emas itu sudah wujud dari era Empayar Srivijaya dari abad kesembilan hingga abad ke-14 Masihi.”

Selain penemuan artifak-artifak berharga, pasukannya turut menemui artifak dari bangkai kapal lama seperti kemudi dan pendayung. Beliau berpandangan kawasan itu berkemungkinan merupakan pusat perdagangan atau pelabuhan antarabangsa yang wujud dari era Empayar Srivijaya hingga Kesultanan Palembang.

Aktiviti ekskavasi di kawasan tersebut sebenarnya sudah berjalan sejak tahun 2015 iaitu tahun di mana kebakaran hutan paling buruk berlaku di OKI. Berdasarkan penelitian mereka, artifak yang paling tua direkodkan ialah dari abad ketujuh di kawasan Karang Agung. Di Air Sugihan pula, artifak-artifak yang ditemui berasal dari era antara abad kesembilan hingga abad ke-12 iaitu semasa era Kesultanan Palembang. Menerusi artifak-artifak ini, wujud pertindihan lokasi pusat perdagangan dari era Srivijaya hingga Kesultanan Palembang.

Tambah Retno lagi, dengan meneliti aktiviti arkeologi di sungai-sungai lama di pesisir timur Sumatera dan penemuan artifak-artifak terbaru ini, kemungkinan besar aktiviti ekonomi yang berjalan ketika itu dibuat di atas air. Dan dengan aktiviti kebakaran hutan yang semakin tersebar terutama di kawasan tanah gambut, tidak mustahil lebih banyak lagi tapak-tapak arkeologi yang tersembunyi ditemui.

Namun pada masa sama, Retno turut meluahkan rasa kecewa apabila penduduk-penduduk mencari artifak tanpa melaporkan kepada pihak berkuasa. Tambah beliau, aktiviti ini akan menyukarkan usaha penyelidik untuk merungkai sejarah masa silam sesebuah tapak lebih-lebih lagi bila ianya sudah tiada. Retno berkata, “Kebanyakan mereka ini disuruh oleh pengumpul atau pemburu harta karun dari Lampung. Berikutan artifak-artifak bersejarah sudah tiada di Lampung, mereka beralih arah ke Sumatera Selatan. Orang ramai ditawarkan ganjaran lumayan apabila menemui artifak-artifak bersejarah itu.”

SUMBER

CNN Indonesia. (2019). Harta Karun Kerajaan Sriwijaya Bermunculan di Lahan Karhutla. https://www.cnnindonesia.com/nasional/20191003105734-20-436318/harta-karun-kerajaan-sriwijaya-bermunculan-di-lahan-karhutla

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.