Kearifan Ilmu Perubatan Melayu Tradisional Dan Pengaruh Islam

0
398
views

Orang Melayu sememangnya kaya dengan adat dan budaya . Tidak kurang juga dengan ilmu perubatan tradisional yang dimiliki orang melayu dahulu. Keintelektualan masyarakat Melayu dahulu tidak dapat dinafikan lagi kerana banyak manuskrip lama yang dibukukan sebagai satu khazanah yang tidak ternilai untuk dijadikan rujukan untuk masyarakat kita hari ini.

Zaman mula berubah, sesetengah dari masyarakat kita masih memandang negatif terhadap ilmu kepakaran perubatan kita ini. Mungkin ia berlaku disebabkan kemasukan pengaruh barat dan pemikiran jumud masyarakat kita tentang takrifan ilmu perubatan kita adalah tahyul dan khurafat. Kalau ilmu perubatan melayu sahaja mesti ada jampi dan mentera yang menyeru roh dan jin. Seberapa benar kenyataan tersebut akan dirungkaikan sedikit demi sedikit.

Namun begitu, masih ada lagi sesetengah masyarakat kita yang memartabatkan ilmu perubatan traditional melayu ke peringkat yang lebih tinggi. Untuk nak lebih faham lagi, kita akan menceritakan sedikit tentang takrifan ilmu perubatan traditional melayu, kaitannya antara budaya dan agama.

ILMU PERUBATAN TRADITIONAL MELAYU

Istilah perubatan traditional ialah untuk membezakan dengan istilah-istilah lain iaitu dari segi konsep dan amalan yang berbeza dan diantaranya ialah,  perubatan moden, alternatif,  islam, kesufian, homeopati, etnik dan lain-lain lagi. Konsep traditional itu sendiri membawa makna “lama” iaitu dari segi zaman kewujudan dan kehadirannya di dalam sesuatu bangsa.

Selain itu aspek kelangsungannya dalam masyarakat itu berterusan dari zaman dahulu, zaman kini dan zaman akan datang. Tradisional juga merujuk kepada ciri-ciri tersendiri yang berbeza dengan yang lain. Perubatan Melayu Tradisional misalnya mempunyai satu set sistem dan pendekatan yang eksklusif dari segi konsep terhadap penyakit, mendiagnosis penyakit, merawat penyakit, mengubat penyakit, pantang larang dan cara mengelak penyakit, demikian juga kaedah rawatan, ramuan dan proses pembuatan ubat, istilah-istilah yang digunakan dan lain-lain aspek secara keseluruhan . (Harun Mat Piah 2015)

Dalam takrifan Perlembagaan Malaysia, seseorang individu itu diklafikasikan sebagai melayu apabila beragama Islam, pandai berbahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat orang Melayu. Jadi dalam hal ini, islam itu merupakan pegangan dan kepercayaan bagi orang melayu semenjak dari zaman nenek moyang kita dahulu.

Hal agama itu sangat dipentingkan dalam kehidupan seharian orang melayu. Teringat kata-kata hikmah dari Almarhum Ustaz haji Hanafi, mantan guru silat cekak, “bukan budaya yang membentuk sesuatu agama, tetapi agamalah yang membentuk sesuatu budaya. Jadi , segala bentuk amalan, adat istiadat, dan segala jenis ilmu yang telah ada pada zaman nenek moyang kita dahulu adalah sejajar dengan Al-Quran dan Sunnah. Bahkan dari segi perkataan pun di ambil bulat-bulat dari agama islam itu sendiri contohnya, “cakap bernas”. Maksudnya di sini, orang dulu-dulu memberitahu, bila kita bercakap kena ber- nas Al-Quran dan Sunnah.

PETUA MELAYU

Petua merujuk kepada nasihat, petunjuk dan panduan yang berguna (biasanya oleh orang-orang tua dan pengalaman) cara melaksanakan sesuatu dengan berkesan.(Hamidah abdul Wahab 2013 ) ataupun dengan kata lainnya yang mudah nak faham,” kata orang-orang tua”. Petua ini, mesti ada perbuatan atau pekerjaan yang kita kena buat untuk mendapatkan hikmahnya bukan hanya doa semata-mata. Ia juga ada kaitan dengan adat dan kepercayaan.

Selain itu, unsur keadaan sekeliling juga mempengaruhi kewujudan nasihat, petunjuk, panduan yang kemudiannya dirumuskan sebagai petua Melayu. Masyarakat Melayu yang mendiami kepulauan Nusantara yang merupakan rumpun yang besar mempunyai pelbagai petua yang disaring, diubah suai dan disesuaikan, bergantung kepada suasana dan persekitaran masyarakat tersebut mengikut adat dan agama dengan bijaksana oleh para wali dulu-dulu. Ini kerana islam datang di tanah melayu pada masa itu tidak menghapuskan terus adat tetapi diteruskan dan diserap dengan nilai-nilai murni islam mengikut Al-Quran dan Sunnah.

Contohnya, adat kepercayaan memenggal kepala anak gadis untuk dijadikan korban kepada dewa-dewa . Setelah kedatangan islam, adat kepercayaan itu tidak dihapuskan tetapi diubah iaitu dari korban anak gadis kepada haiwan ternakan seperti kambing dan lembu dan disesuaikan dengan agama islam mengikut peringkat kefahaman pada masa itu. Jadi orang melayu pada masa itu boleh terima islam atau tidak? Ya boleh kerana islam tidak membuang tetapi menambah unsur islam mengikut kesesusaian persekitaran pada masa itu. Kalaulah ulama dulu dengan tegas mengatakan “amalan ini tak boleh, sesat”, silap-silap, mereka yang akan dijadikan korban.

1) PETUA UNTUK KESIHATAN DIRI

Seperti yang kita tahu, memelihara kesihatan diri di waktu tengah sihat ini adalah wajib bagi orang islam kerana ia dapat membantu kita melaksanakan syariat dan ibadah kepada Allah Taala seperti kata ulama yang di petik dalam kitab tib ( Harun Mat Piah),

“Wajib atas segala mukmin laki-laki dan perempuan memeliharakan tubuhnya, selama belum sampai penyakit kepadanya.”

Qala al-hukama telah berkata, tiga perkara yang merosakkan manusia itu ialah sentiasa minum arak, bersetubuh, dan makan dengan banyak dan gelojoh. Selain itu, Rasullulah S.A.W juga memberitahu ketika makan ialah makan pada waktu lapar dan berhenti sebelum kenyang. Kalau Tun Dr. Mahathir Mohamad pula kata, makan ketika lapar, berhenti ketika tengah sedap menikmati juadah yang ada. Daripada kata-kata tersebut, orang arif dibahagikan tiga perutnya itu, sebahagian adalah tempat makan, yang lainnya adalah tempat air dan nafas naik turun. Cuba kita makan terlalu kenyang , apa jadi? Kembung perut kan? Nak buat kerja dan ibadah pun tak boleh.

2) MEMELIHARA GERAK TUBUH

Selesai makan, apa yang biasa kita buat? Tidur? Duduk? Jadi dalam hal ini lebih menekankan kepada pemeliharaan pergerakan tubuh selepas makan. Jika tiada pergerakan yang dilakukan pada masa ini, kebarangkalian untuk mendapat penyakit itu besar. Jadi pergerakan macamana yang dianjurkan itu?  Pergerakan yang dimaksudkan ialah, cuba kita bawa berjalan dengan sederhana atapun dengan perlahan-lahan seperti basuh pinggan dulu ke, atau bersiar- siar dihadapan rumah  supayan tubuh kita jadi hangat atau panas supaya makanan dalam perut kita itu boleh dicerna dengan baik. Jadi janganlah sesekali selepas makan pergi berlari dengan kawan kerana boleh mendatangkan penyakit.

KEARIFAN ILMU PERUBATAN MELAYU DALAM SAKIT TUAN

Kalau cerita mengenai masalah sakit tuan ini, pasti ramai yang mengeluh. Kita boleh lihat di media sosial seperti Facebook, Whatsapp , Telegram dan seangkatan dengannya, ubat kuat merupakan produk yang boleh dikatakan terlaris di pasaran. Untung bagi mereka yang menjalankan business ini. Kenapa laris? Salah satu faktor adalah disebabkan masalah sakit tuan di atas. Majoriti rakyat Malaysia memang mempunyai masalah ini terutama bagi mereka yang bekeluarga. Ini disebabkan faktor pemakanan yang tidak seimbang dan kurang senaman.

Sakit tuan didefinisikan Mohd Ismail Tambi (1995) pakar andrologi Malaysia di dalam Jurnal Kearifan Melayu oleh Mohd Faizal Musa (2014) sebagai penyakit dan masalah fungsi pada zakar lelaki. Dalam hal ini, penyakit tersebut boleh berlaku pada ‘zakar, buah zakar, kerandur buah zakar dan anggota lain yang berkaitan’. Antara masalah yang sering dirujuk dalam konteks ini ialah ‘mati pucuk, masalah ketegangan zakar.

Jadi bagaimana orang lelaki melayu traditional iaitu zaman nenek moyang kita dahulu menyelesaikan masalah ini?  Dalam menceritakan permasalahan tersebut, salah satu manuskrip yang tersimpan mengenai perubatan traditional ialah “ HIKAYAT  NURUL LISAN MENJAWAB MASALAH”, TAJUL MULUK dan KITAB HUKUM JIMAK .  Manuskrip tersebut adalah salah satu contoh kearifan ilmu perubatan traditional melayu yang bersifat ilmiah macam buku perubatan yang ada sekarang mengenai pemahaman dan amalan menyediakan panduan untuk orang melayu dalam seluruh aspek kehidupan termasuklah masalah sakit tuan di atas.

Dalam perubatan melayu traditional, urutan merupakan intipati yang sangat penting dalam memberikan kesembuhan atau mengembalikan tenaga kepada pesakit.  Pernahkan kita lihat, kalau sakit, lenguh badan atau terseliuah dan patah anggota badan, mesti akan ada urutan kalau melalui perubatan traditional. Menurut  Abdullah Al- Qari (2005) di dalam Jurnal Kearifan Melayu oleh Mohd Faizal Musa (2014) , menjelaskan “ urutan ialah satu pemulihan tanpa ubat”.

Bagi beliau sendiri, urutan sangat rapat dengan “kepentingan darah” kerana ‘darah adalah bekalan yang membawa saripati makanan, minuman, mineral, enzim, antibiotik, ubat dan oksigen bagi kepentingan seluruh tubuh seseorang yang hidup’. Selain itu, aksi urutan dibuat untuk  menghurai atau melepaskan simpulan urat-urat bagi memberi laluan darah mengalir, selain mengendurkan urat saraf yang tegang dan menenangkan otot atau memberi laluan kepada darah untuk membersihkan darah daripada segala jenis kekotoran iaitu menerusi peluh, dan kentut; atau untuk memanaskan tubuh dan mengembalikan suhu badan. Beliau juga memberitahu, seni urut dilakukan dengan menggunakan ibu jari, tapak tangan, hujung jari tangan,  siku, ibu jari kaki, lutut dan tumit sakit tertentu.

Di dalam perubatan traditional ia dipanggil sebagai urut batin. Kaedah yang sangat baik untuk merawat sakit tuan ini ialah dengan urutan urat saraf.yang berkaitan untuk mengalirkan darah pada zakar.  Jadi, dalam urutan ini pula, ada 6 tempat yang biasa dituju untuk mereka yang lemah syahwat.

  • Ari –Ari
  • Tapak kaki kiri dan kanan
  • Celah kaki kiri dan kanan
  • Jantung betis kiri dan kanan ( bawah lutut hingga bawah pergelangan kaki)
  • Urat tunjang tenaga batin ( bahagian dalam peha)
  • Bahagian atas kemaluan lelaki kira dan kanan

Di dalam urutan tersebut akan diiringi dengan doa sebagai tanda memohon kepada Allah supaya memberi  kesembuhan segala penyakit dengan izinnya. Jadi dari segi doa kita lihat perbincangan yang seterusnya.

Jamia Azdina Jamal (2006) menjelaskan, bahawa  rawatan perubatan traditional banyak memanfaatkan bahan- bahan alam semulajadi seperti daun- daun dan akar kayu  selain menggunakan sepenuhnya aspek pemulihan dan pencegahan. Dan ia disokong oleh pakar sakit tuan moden seperti Mohd Ismail Tambi seorang pakar andrologi yang mengatakan bahawa, urutan kemaluan lelaki akan menjadikannya lebih besar dan tegap.

 

DOA , JAMPI DAN MENTERA

Doa dalam ilmu perubatan melayu tradisional tidak seakan-akan doa yang kita selalu lakukan. Tetapi ia dihiasi dengan kata-kata sastera seperti kita sedang memuja sesuatu. Jangan berburuk sangka pula, kerana secara umumnya, penggunaan ayat-ayat Al-Quran di dalam doa, tidak menyeluruh.

Kadang-kadang doa tersebut  mengandungi ayat Al-Quran secara rambang, tidak tersusun dan dicampur dari bahasa lain contohnya, Arab-Melayu, dan Parsi. Para tabib menjelaskan keseluruhan ayat di dalam doa, jampi dan mentera adalah gubahan kata-kata yang membawa maksud mengubat, menyembuh atau mengelak dari penyakit dan unsur-unsur yang berhubungan dengannya.

Kajian terhadap doa, jampi dan mentera di dalam perubatan tradisional melayu oleh para orientalis barat, menyatakan wujudnya hubungan erat di antara unsur-unsur islam di dalam ilmu tersebut. Oleh kerana itu, para pengkaji barat sering menggabungkan karya hikayat, mentera, ubat-ubatan dan farmakologi dengan karya islam kerana di dalamnya ada unsur-unsur yang spiritual dan mistik yang menurut fahaman mereka ia tergolong di dalam ilmu agama.

Walaubagaimanapun, setiap rangkap doa terdapat nama bahagian-bahagian anggota manusia yang dihubungkan dengan Allah misalnya :

Kepala : perisai Allah ,

Mata : cermin Allah,

Telinga : pendengaran Allah,

Hidung : jalan Allah,

Mulut : puji Allah,

Lidah : kalam Allah,

Leher : ikrar Allah,

Urat : titian Allah

Sendi : tekal Allah,

Kaki : bumi Allah

Contoh doa :

Bismillahirrahmanirrahim

Induk kunyit, induk melati

Ditanam Allah belakang bumi

Muka berseri-seri

Seperti anak Rasulullah yang menjadi

Seri naik ke dahi

Cahaya naik ke muka

Bendang naik ke belakang

Ya Allah, Ya Allah

Kukuhkan Allah

Berkat ku makei doa Rasulullah

(petikan dari jurnal Petua dan Pantang Larang Tradisional dalam Alam Melayu Sarawak oleh Hamidah Abdul Wahab (2013)

Bismillah ir –rahman ir – rahim

Hai alurun, tawar di embun setitik

Gugurlah tawar itu

Tawar Allah tawar Muhammad

Tawar Baginda Rasullulah

 Ah tawar, Maha tawar

Bukannya aku empunya tawar

Allah yang empunya tawar

Sidi guru, sidilah aku

Jadilah guru, jadilah aku

Dengan berkat kata

Lailaha illallah

Muhammad Rasullulah

(Petikan dari Kitab Tib ilmu perubatan melayu oleh Harun Mat Piah (2006)

Jadi, kedua-dua doa di atas membuktikan bahawa kehadiran unsur-unsur  islam dalam awal kalimah Bismillah, Allah dan Rasullulah di samping penggunaan perkataan bahan semula jadi seperti kunyit yang bermanfaat untuk kecantikan dan kesihan diri. Di samping itu, akhir kata dengan kalimah “ Lailaha illallah Muhammad Rasullulah” sebagai kalimah tauhid yang sebenar-benarnya membuktikan dengan kekuasaan Allah S.W.T sahaja yang mampu menyembuh, dan memberi kecantikan dan kesihatan yang baik kepada manusia.

Rujukan :

Hamidah Abdul Wahab  (2003) Petua dan Pantang Larang Tradisional dalam Alam Melayu Sarawak . Diakses di  journalarticle.ukm.my/6397/

Mohd Faizal Musa (2014) Beberapa Nota Kearifan Melayu tentang Sakit Tuan: Satu Pengenalan.Diakses di  journalarticle.ukm.my/7786/

Harun Mat Piah (2006) Kitab Tib ilmu perubatan melayu

Artikel oleh Mohd Fahmi Zaki untuk The Patriots.