Keanggunan Anak Gadis Zaman Pra-Sejarah

30,650

Sebelum ini manusia prasejarah sering digambarkan sebagai primitif, berbulu dan bagaikan beruk. Angkara gambaran ini juga ramai berpendapat bahawa Zaman-Zaman Batu tidak wujud, kerana Islam membahagikan zaman menggunakan nabi yang arif dan pintar. Namun perlu dikatakan bahawa (1) Zaman-Zaman Batu wujud dan (2) gambaran-gambaran sebegitu salah. Sekarang setiap manusia primitif digambarkan lebih cantik daripada manusia semasa.

Kenapa perkara ini berlaku? Kerana teknologi dan ilmu juga – yang pencapaian semasa lebih mudah menyingkap fakta. Mengenalpasti rupa paras daripada data genetik pun mempunyai had-hadnya, tetapi kemahiran ini semakin maju. Berkat usaha dari Universiti Copenhagen, para saintis berjaya menyingkap suatu rahsia daripada kulit kayu yang dibakar. Kulit kayu ini 5,700 tahun lepas dibuat bagaikan “gula-gula getah” oleh seorang perempuan dinamakan Lola. Kunyahan tersebut meninggalkan molekul warisan (DNA) Lola yang membenarkan para saintis melukis semula wajahnya.

Kejayaan ini membuktikan bahawa DNA boleh diperolehi selain daripada tulang-temulang. Apa yang lebih mengejutkan ialah penemuan organisme mikro mulut dan juga bakteria/virus terdahulu. DNA berkenaan juga berkaitan dengan virus Epstein-Barr yang berjeniskan herpes. Berkemungkinan besar Lola mengalami kelesuan, demam, keradangan tekak atau hati bengkak.

Inilah “gula-gula getah” yang dikunyah Lola. Kejayaan daripada penyelidikan ini memberikan pemahaman tentang bagaimana penyakit lama merebak – dan bagaimana ia mampu bertindak di masa depan.

Manusia meninggalkan DNA di mana-mana pun. Di dalam DNA ini tersimpannya maklumat penting seperti warna kulit, mata dan rambut. Sejak 2010 lagi industri forensik berupaya untuk menggunakan DNA dalam penentuan ini, bermula dengan anak mata terlebih dahulu. Dua tahun kemudian barulah warna rambut boleh dianggarkan. Dan sekitar 2017 warna kulit pula boleh ditentukan. Maka tempoh tujuh tahun ini sangatlah penting bagi dunia forensik. Dan bukan Lola sahaja mendapat keistimewaan pengenalpastian ini.

Pada tahun 1903, rangka seorang manusia ditemui di Somerset, England. “Cheddar Man” diberikan nama hidup sekitar 10,000 tahun dahulu. Dan analisis awal mendapati perjalanan hidup beliau berakhir pada usia 20-an dengan kesakitan. Di tulang mata kanannya, terdapat sejenis lubang yang berkemungkinan besar suatu jangkitan tulang.

Penggunaan DNA membolehkan saintis di Kolej Universiti London bina semula wajahnya. Kulit Cheddar Man pada asalnya dikatakan cerah. Namun setelah diteliti semula, Cheddar Man boleh dipastikan mempunyai rambut hitam (mungkin keriting), mata hijau (atau biru) dan kulit agak gelap seperti rakan sebangsa zaman itu. Lebih mengejutkan lagi, Cheddar Man juga mungkin juga mempunyai alahan terhadap susu (hipolaktasia).

Disebabkan itu juga teknologi ini semakin mudah digunakan sebagai perniagaan. Bayangkanlah jika manusia beribu-ribu tahun dahulu boleh dijejaki, bagaimana pula dengan masyarakat zaman ini? Di Australia, seorang lelaki sedang menggugat keselamatan para wanita dengan kegiatan buruk melibatkan syahwat. Dan dia juga sangat teliti berkaitan keselamatan diri. Pihak polis tidak dapat mengenalpasti identitinya meskipun dosa telahpun dilakukan terhadap lapan orang wanita – yang tidak mampu memberikan gambaran jelas kerana berlaku di lewat malam.

Jadi penyiasatan pun menggunakan DNA, dengan kerjasama melibatkan syarikat Parabon NanoLabs dari Amerika Syarikat. Berkemungkinan besar wajahnya boleh dilakarkan berdasarkan sampel seperti air liur ataupun cebisan kulit. Menggunakan DNA “orang asing” yang ditemui di empat tempat kejadian, algoritma syarikat berjaya mengenalpasti saiz muka, mata, rambut dan kulitnya.

Namun wajah ini hanya boleh digunakan sebagai rujukan semata-mata.

RUJUKAN:

Purcell, A. (2016, December 12). Could DNA phenotyping construct a likeness of the Gold Coast rapist? Retrieved from https://www.smh.com.au/national/drawing-an-offenders-face-from-a-drop-of-blood-20161118-gss377.html

Rincon, P. (2018, February 23). Cheddar Man: DNA shows early Briton had dark skin. Retrieved from https://www.bbc.com/news/science-environment-42939192

Rogers, J. (2019, December 18). Face of Stone Age woman revealed thanks to DNA from Neolithic 5,700-year-old ‘chewing gum’. Retrieved from https://www.foxnews.com/science/face-stone-age-woman-revealed-dna-neolithic-chewing-gum

 

 

Ruangan komen telah ditutup.