Final Liga Juara-Juara Eropah 2005 merupakan sesuatu yang amat istimewa bagi para penyokong Liverpool atau mesra dipanggil The Reds. Ini kerana inilah final yang menyaksikan sesuatu yang tidak disangka-sangka berlaku iaitu Liverpool berjaya mengatasi kelab gergasi Itali, A.C Milan melalui penentuan sepakan penalti selepas ketinggalan 3-0 pada satu ketika. Kejayaan ini membolehkan mereka memenangi kejohanan tersebut buat kali kelima dalam sejarah.

Untuk final 2005 ini, ini sebenarnya penampilan pertama The Reds sejak final Piala Eropah 1985 yang menyaksikan mereka tewas 1-0 kepada Juventus. Selepas itu, mereka digantung selama untuk tempoh yang tidak ditetapkan oleh Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) sebelum dibenarkan semula bertanding pada musim 1991-1992 selepas tragedi Stadium Heysel. Bagi A.C Milan pula, final ini merupakan penampilan mereka yang ke-10 selepas kali terakhir muncul di pentas final dua tahun sebelumnya.

Sebelum perlawanan, sudah timbul polemik berkenaan prospek Liverpool sebagai juara. Ini kerana pada musim 2004-2005 Liga Perdana Inggeris, Liverpool hanya berjaya menamatkan musim di tempat kelima, sekaligus layak ke kejohanan Piala UEFA. Sementara tempat keempat diisi oleh musuh setempat Merseyside mereka, Everton. UEFA bagaimanapun memberi jaminan akan meneliti permohonan The Reds sekiranya mereka berjaya memenangi Liga Juara-Juara Eropah. Permohonan tersebut turut disokong oleh Persatuan Bola Sepak (FA) melalui kenyataan ini, “Kami sudah menghantar pemohonan bertulis untuk mendapatkan tempat tambahan sekiranya mereka menang Liga Juara-Juara Eropah.” Bagi pengurus Rossoneri Carlo Ancelotti pula berpandangan pemenang piala seharusnya diberi peluang untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi. Tetapi beliau menambah, “Kami mungkin akan membantu persatuan bola sepak Inggeris dengan menyelesaikan permasalahan ini (mengalahkan Liverpool).”

Kedua-dua pasukan sudah menunjukkan keupayaan masing-masing dalam perjalanan mereka ke pentas final. A.C Milan menewaskan Manchester United, pasukan jiran setempat Inter Milan dan pasukan gergasi Belanda, PSV Eindhoven. Sementara Livepool pula menunjukkan reputasi pasukan bukan pilihan dengan mengatasi Bayer Leverkusen, satu lagi gergasi Itali iaitu Juventus dan juara liga musim 2004-2005 yang dibimbing Jose Mourinho, Chelsea. Il Diavolo dianggap pasukan pilihan kerana mempunyai ramai pemain berpengalaman yang sudah merasai pingat kejuaraan sama ada di peringkat domestik atau di peringkat Eropah. Antara pemain utama mereka ialah legenda Itali Paulo Maldini, jeneral tengah Belanda Clarence Seedorf dan Pemain Tengah Terbaik Eropah 2005, Kaka. Walaupun dianggap pasukan bukan pilihan, pengurus Liverpool ketika itu Rafael Benitez berkata, “Mungkin Milan pasukan pilihan tetapi kami mempunyai keyakinan dan kami boleh menang.” Kenyataan Benitez turut disokong oleh pengurus legenda Arsenal Arsene Wenger, “Liverpool merupakan pasukan pilihan kerana Milan kelihatan letih dari segi fizikal dan mental selepas kalah merebut kejuaraan Scudetto. Saya rasa mereka tidak pernah ada peluang sebaik ini untuk mengalahkan Milan.”

Rafa memilih formasi 4-4-1-1 dengan Harry Kewell sebagai pemain sokongan di belakang Milan Baros yang dipilih menggantikan penyerang Perancis, Djibril Cisse. Sementara pengendali di bahagian tengah ialah legenda Liverpool, Steven Gerrard dan bekas perancang Real Sociedad, Xabi Alonso dengan Dietmar Hamann berada di bangku simpanan. Ancelotti pula memilih formasi 4-4-2 dengan Hernan Crespo dipilih sebagai regu Andriy Shevchenko mengatasi Jon Dahl Tomasson dan Filippo Inzaghi. The Reds memilih warna merah sebagai jersi pilihan sementara Rossoneri memilih jersi berwarna putih.

Babak pertama menyaksikan Milan mendominasi permainan dengan Maldini menjaringkan gol pertama pada minit pertama perlawanan. Ini menjadikan beliau penjaring paling tua dalam sejarah kejohanan. Ini disusuli dengan jaringan kedua dan ketiga Milan melalui Crespo pada minit ke-39 dan ke-44 perlawanan. Liverpool cuba melawan tetapi kebanyakan percubaan mereka berjaya dinafikan Dida. Malah rayuan mereka untuk mendapatkan penalti tidak dilayan pengadil walaupun jelas pemain pertahanan Milan, Alessandro Nesta melakukan kesalahan. Milan juga beberapa kali berusaha menambah jaringan tetapi cubaan mereka dipatahkan oleh penjaga gol Jerzy Dudek dan dibatalkan pembantu pengadil kerana ofsaid. Selepas rehat separuh masa, penyokong Liverpool jelas merasakan ini bukan malam mereka dan berharap situasi memalukan ini berakhir dengan segera, satu sentimen yang dikongsi oleh bos legenda mereka pada masa rehat. Para pemain senior seperti Vladimir Smicer, Sami Hyypia dan Luis Garcia sedar mereka perlu bangkit pada babak kedua sekiranya mahu menang.

Untuk babak kedua, Benitez mengeluarkan bekas bek kanan Fulham, Steve Finnan dan membawa masuk Hamann untuk mengukuhkan jentera tengah. Hamann bergandingan dengan Alonso untuk merantai pergerakan Kaka dengan Gerrard diberi lesen untuk menyerang. Manakala Smicer yang menggantikan Kewell pada awal babak pertama dan bek kiri, John Arne Riise diberi peranan sebagai bek sayap kanan dan kiri. Bila mengenang saat itu Hamann bercerita, “Pengurus memberitahu saya untuk memanaskan badan sebelum rehat. Beliau mahukan saya mengawal Kaka. Saya tak fikir mustahil untuk kita ubah situasi ini. Tetapi dalam bilik persalinan semasa rehat, Rafa Benitez nampak tenang. Beliau berkata, “Kita merupakan Liverpool F.C, kita ada ramai penyokong, kita tidak akan disembelih. Kalau kita dapat menjaringkan gol, kita boleh meneruskan dari situ.” Ramai merasa muram termasuk Gerrard semasa Benitez berucap tetapi kembali bermotivasi untuk keluar dan menyerang Milan untuk lihat apa berlaku seterusnya. Keyakinan Rafa bersebab selepas melihat keadaan pemain Milan yang masih belum pulih dari saingan kejuaraan liga Scudetto.

Pada babak kedua, apa yang dikatakan Benitez menjadi kenyataan. Pada minit awal babak kedua, percubaan Shevchenko dinafikan oleh Dudek dan Gerrard memulakan kebangkitan The Reds dengan jaringan pada minit ke-54. Dua minit selepas itu, Smicer menjaringkan gol jarak jauh menewaskan Dida. Pada minit ke-60, Liverpool dihadiahkan sepakan penalti selepas Gennaro Gattuso menjatuhkan Baros dalam kotak penalti. Alonso mengambil penalti tersebut tetapi berjaya ditampan Dida namun Alonso berjaya menolak bola masuk ke dalam gawang. Tiada siapa boleh menceritakan apa yang berlaku dalam tempoh 10 minit itu. Ancelotti sendiri bila ditanya soal itu berkata, “Saya tak fikir sesiapa boleh menjelaskan apa yang berlaku.” Hamann pula berpandangan, “Tiga gol dalam tempoh enam minit. Mesti ada di luar sana fikir, “Ini khayalan semata-mata. Saya mesti bermimpi.” Dan bila Shevchenko terlepas peluang menjaringkan gol, saya tahu Liverpool boleh menang melalui penalti.” Crespo menambah, “Saya fikir gol saya telah membantu Milan menang tapi saya tahu bila Dudek berjaya menafikannya, kami sudah boleh ucap selamat tinggal kepada trofi Liga Juara-Juara.” Kedua-dua pasukan terus berusaha berjaya menambah jaringan tetapi Dida dan Dudek berjaya menafikan semua cubaan yang datang sehingga tamat permainan 90 minit.

Pada masa tambahan, kedua-dua pasukan berusaha memecah kebuntuan tetapi gagal walaupun kembali disegarkan dengan kehadiran pemain gantian masing-masing. Benitez mengeluarkan Baros dan membawa masuk Cisse sementara Milan yang terdesak mengeluarkan Seedorf dan Crespo serta memasukkan Tomasson dan Serginho. Dudek mengenang final tersebut dengan berkata, “Nampak macam sudah selesai pada separuh masa pertama. Ucapan pengurus ialah mengelakkan pasukan dimalukan tetapi pengurus turut menyatakan jika kami boleh menjaringkan gol dalam tempoh 10 minit selepas rehat, kami masih berpeluang. Itulah yang kami lakukan dan Milan amat terkejut. Anda boleh merasakan suasana berubah. Kami rasa gembira kerana dapat heret ke penentuan sepakan penalti sementara dari kedudukan Milan, mereka pasti kecewa.”

Ancelotti sendiri bersetuju dan berkata, “Penalti lebih banyak berkisar kepada psikologi dan juga teknik.” Atas sebab itulah apabila Serginho mengambil sepakan penalti pertama dan berjaya menyepak melepasi palang, ia sebenarnya menunjukkan Milan tidak mempunyai ketahanan mental dalam situasi sebegini. Dan The Reds turut bersedia dengan latihan sepakan penalti sehinggakan Dudek tahu siapa pemain Milan yang akan membuat sepakan tersebut. Malangnya, kebanyakan penyepak lebih memilih arah bertentangan berbanding nota yang disediakan pasukan kejurulatihan Benitez. Jadi penjaga gol Reds ini mengambil nasihat daripada Jamie Carragher dan membuat rutin tarian spageti seperti yang dilakukan Bruce Grobbelear pada final tahun 1984. Dudek berkata, “Saya turut melakukan rutin tersebut. Ia tidak memberi kesan kepada Jon Dahl Tomasson dan tidak mengganggu Kaka juga. Tetapi ia memberi kesan kepada yang lain. Jon kemudian menyebut selepas perlawanan berdiri di hadapan garisan gol sepatutnya tidak dibenarkan tetapi dibenarkan pengadil. Orang lupa Dida turut lakukan perkara sama bila Rossoneri menang final dua tahun lepas melalui sepakan penalti mengatasi La Vecchia Signora (Juventus). Orang cuma ingat siapa menang saja.”

Dudek kemudian menambah, “Penalti merupakan ujian ketahanan mental paling getir bagi mana-mana penjaga gol. Saya amat fokus sampai saya tidak sedar penalti Shevchenko yang saya selamatkan itu menandakan kami telah menang. Bila saya nampak rakan-rakan sepasukan berlari ke arah saya, baru saya tahu. Ianya amat bermakna untuk menyumbang kepada kemenangan ini bukan saja pada masa penalti tetapi pada permainan sebenar. Adik saya menelefon pada hari Khamis dan menggambarkan tindakan saya menyelamatkan sepakan percuma Shevchenko pada akhir masa tambahan seperti detik Tangan Tuhan Maradona. Tindakan menafikan sepakan percumanya pada awal separuh masa kedua sangat penting seperti pada akhirnya. Saya nampak pada saat akhir dan berjaya menampan sepakan tersebut. Sekiranya ia masuk, saya tak rasa ia akan berlarutan ke penentuan sepakan penalti.”

UEFA mengisytiharkan Gerrard sebagai pemain terbaik perlawanan akhir. Tetapi ada juga beberapa pemain yang patut dipertimbangkan untuk anugerah tersebut. Shevchenko tidak bernasib baik kerana empat kali dinafikan Dudek, satu percubaan dipatahkan pemain pertahanan Djimi Traore dan satu lagi dibatalkan kerana ofsaid. Dudek juga patut tersenarai kerana memberi persembahan cemerlang di hadapan gawang Liverpool untuk memastikan mereka terus berpeluang sampai ke penentuan sepakan penalti.

Kejayaan Liverpool ini sangat bermakna kerana mereka pasukan Inggeris pertama memenangi Liga Juara-Juara Eropah selepas Manchester United melakukannya pada tahun 1999. Memandangkan mereka berjaya menang buat kali kelima, mereka dibenarkan menyimpan trofi dan memakai lencana yang menunjukkan pencapaian kelab dalam Liga Juara-Juara Eropah. Perlawanan ini turut menjadi perlawanan terakhir bagi mana-mana pemain yang tidak diperbaharui kontrak seperti Smicer. Kontrak Smicer memang tidak akan diperbaharui sebelum perlawanan tersebut dan baginya, inilah peluang untuk menamatkan karier Liverpoolnya dengan bergaya. Beliau berkata, “Sebelum final, saya amat bersemangat untuk turun. Inilah perlawanan terakhir saya dengan Liverpool dan saya bertekad untuk menamatkannya dengan bergaya. Saya merasa bebas dalam kepala dan itulah motivasi saya, untuk lakukan yang terbaik pada perlawanan terakhir saya. Saya mahu menikmati perlawanan besar ini.” Selepas berjaya menyempurnakan penalti kedua The Reds, Smicer mencium lencana kelab di hadapan penyokong Liverpool.

Kejayaan Liverpool menjulang Liga Juara-Juara Eropah dilihat turut menyumbang kepada kejayaan mereka mengikat kontrak Gerrard selama empat tahun berikutnya. Bukanlah sesuatu yang baru khidmatnya diintai ramai termasuk Mourinho semasa tiba di Stamford Bridge setahun sebelumnya. Namun Gerrard terus setia bersama Liverpool sehingga tahun 2015 sebelum menamatkan karier bersama pasukan Major League Soccer (MLS), Los Angeles Galaxy. Kini selepas berkhidmat sebagai jurulatih bawah 18 Liverpool dari tahun 2017 hingga April 2018, beliau menjadi pengurus terbaru gergasi Scotland Glasgow Rangers. Kejayaan ini juga turut mengubah peraturan UEFA untuk membenarkan pemenang mempertahankan kejuaraan mereka dan layak secara automatik tetapi mengatasi pasukan terbawah yang mengisi kedudukan kelayakan ke Liga Juara-Juara Eropah.

Bagi dua jurulatih yang muncul pada pentas ini, mereka berdua kembali bertemu pada final 2007 di Stadium Olimpik Athens menerusi pasukan sama, Liverpool dan A.C Milan. Bagaimanapun, ulangan Istanbul tidak berlaku dengan Milan berjaya mengatasi The Reds 2-1 hasil dua jaringan Filippo Inzaghi. Benitez kemudiannya berkelana ke Inter Milan (2010), Chelsea (tugasan sementara 2012-2013), Napoli (2013-2015), Real Madrid (2015-2016) dan terbaru, Newcastle United. Sementara Ancelotti pula berkhidmat dengan Chelsea (2009-2011), Paris Saint Germain (2011-2013), Real Madrid (2013-2015) dan Bayern Munich (2016-2017).

Untuk final musim ini, semua sedia maklum Real Madrid dilihat pilihan utama mengatasi Liverpool. Tetapi jika Jurgen Klopp meneruskan magisnya seperti yang dilakukan ke atas Porto, Manchester City dan A.S Roma seperti yang pernah dilakukan Rafa 13 tahun lepas, siapa tahu ulangan Istanbul kembali berulang di Kiev.

SUMBER

Wilson, Paul, Oliver, Brian dan Mochlinski, Kaz. (2005). The Guardian. The miracle of Istanbul. https://www.theguardian.com/football/2005/may/29/newsstory.sport12

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.