Ke Arah Sistem Sekolah Satu Aliran

251

Jika sekolah vernakular dibenarkan, maka saya berpendapat bahawa ianya adalah SANGAT TIDAK ADIL DI MALAYISA. Di Malaysia bukan sahaja mempunyai rakyat Cina atau India, tetapi bangsa lain juga ada. 

Di manakah keadilan itu sekiranya bangsa lain perlu disumbat ke dalam sekolah kebangsaan, tetapi beberapa bangsa minoriti mempunyai keistimewaan mereka? Cadangan saya jika mahu mengekalkan sekolah vernakular, maka harus dibenarkan juga sekolah aliran Melayu, Bugis, Banjar, Acheh, Jawa, Mandaling, Batak (sekadar rumpun Melayu yang saya sebut).

Itu belum masuk suku-suku bumiputra yang lain selain daripada rumpun Melayu. Itu belum masuk bangsa seperti peranakan Portugis, Cina dan India, bukankah mereka ini lebih layak kerana mereka sendiri telah disahkan sebagai pribumi atau sedang dalam pertimbangan ke arah status pribumi di Malaysia. Di manakah hak bangsa-bangsa lain yang dinafikan? 

Masalah-masalah perkauman di Malaysia sebenarnya bermula daripada sekolah itu sendiri. Anda jangkakan mereka akan bersatu tatkala ketika kecil lagi mereka dipisahkan? Tidak… dan wujudnya persepsi-persepsi negatif yang bermain di kalangan mereka mengenai bangsa-bangsa lain selain mereka. 

Dan sekolah satu aliran adalah permulaan untuk kepada penghapusan segala sifat perkauman yang menebal dalam diri rakyat Malaysia. Ianya adalah permulaan kepada asimilasi secara semula jadi. 

Saya percaya perubahan bukan harus dilakukan serentak dan sekaligus, tetapi bermula perlahan-lahan. Antara langkah pertama kita mahu berubah ke arah kesatuan, adalah dengan penghapusan sekolah vernakular. 

Kata kunci kepada masalah ini ialah AKAR UMBI. Akar umbi yang patut dimulakan adalah anak-anak kita. Kita satukan mereka di bawah satu bumbung, daripada pisahkan mereka pada hari ini. Bagaimana anda jangkakan kesatuan akan berjaya, bilamana pada kecil lagi anda sudah ajarkan anak-anak anda untuk saling menjauhi?

Melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Kata orang, pada waktu seperti ini, mereka masih belum mengenali mengenai warna kulit, identiti diri dan tidak mengambil pusing mengenai perbezaan agama. Maka, pada waktu seperti inilah, kesatuan itu harus dilentur dengan harapan mereka membesar tanpa memandang perbezaan antara mereka.

Aneh, pada asas seperti ini pun masih belum mampu direalisasikan, maka mereka berani berbicara mengenai bangsa Malaysia, atau Malaysian Malaysia. Bahkan mereka sudah berani beretorik mendabik dada mengatakan bahawa diri mereka ialah seorang rakyat Malaysia, bukannya bangsa sekian-sekian walhal pada akar permasalahan ini, sekolah vernakular masih belum dihapuskan.

Saya tidak nampak bagaimana kita mampu menghapuskan parti-parti berasaskan perkauman adalah sebagai langkah permulaan untuk menghapuskan sentimen perkauman di Malaysia. Kerana perubahan bukan dilakukan dari atas ke bawah, tetapi dari bawah ke atas. Dan itulah yang dilakukan oleh Rasulullah ketika menyebarkan Islam. Kekuatan Rasullulah adalah dari akar umbi. Rasulullah pergi ke akar umbi, bukan mencuba untuk merubah mereka yang bersemayam di atas bumbung. 

Jangan salah faham… penghapusan ini bukan semata-mata penghapusan sistem pendidikan Cina atau India. Kita terapkan kepada mereka dan kekalkan pembelajaran bahasa ibunda mereka seperti mana di sekolah menengah kebangsaan. 

Kepentingan dalam sekolah satu aliran ini ialah menggalakkan integerasi antara bangsa di Malaysia, atau lebih baik asimilasi yang berlaku seperti mana di Indonesia, Thailand, US dan banyak negara. Bahkan ia juga menggalakkan mereka mengenali budaya antara satu sama lain, dan bukannya menghapuskan elemen kebudayaan Cina atau India itu sendiri.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.