Kaum Yunani Kuno adalah kaum yang membina tamadun Yunani Kuno, bermula dari Zaman Gelap Yunani sekitar abad ke-12 dan ke-9 SM hingga 146 Masihi. Tamadun Yunani Kuno bermula setelah tamatnya fasa Mycenaean iaitu fasa terakhir Zaman Logan Yunani.

Pada abad ke-8 SM, beberapa buah kota Yunani bernama polis telah dibina kemudian wujudlah fasa kuno di mana penempatan mula berkembang di lembangan Mediterranean. 200 tahun kemudian tamadun ini masuk ke fasa klasik iaitu fasa perkembangan budaya Yunani Kuno dan pertembungan dengan empayar Parsi yang bermula dari Perang Greco-Persian (499 – 449 SM).

Selepas kemangkatan Alexander the Great, tamadun Yunani Kuno masuk ke fasa Hellenistik di mana kebudayaan Yunani Kuno berkembang setelah penjajahan Alexander ke utara India. Kemudian, fasa Hellenistik berakhir dengan kebangkitan tamadun Rom menakluk wilayah Yunani Kuno termasuk Macedonia kemudian menakluk wilayah Achaea. Akhirnya runtuhlah tamadun Yunani Kuno setelah mengalami konflik perang dengan Rom sekaligus ia meresap masuk menjadi sebahagian tamadun Rom itu.

KELAHIRAN YUNANI KUNO

GAMBAR 1: Taburan negara-kota Yunani Kuno

Untuk memahami lebih dekat tentang tamadun ini, kita berundur ke abad ke-8 SM. Pada masa tersebut, lembangan Mediterranean mengalami zaman gelap selepas keruntuhan fasa Mycenaean. Fasa Mycenaean ini sebenarnya fasa klimaks dalam Zaman Logam Yunani dan teramat maju sehingga mampu menyaingi tamadun luar. Namun ia musnah atas sebab yang masih diperdebatkan dalam kalangan sejarahwan. Mungkin konflik dalaman ataupun invasi dari puak gasar, sehinggakan Zaman Gelap Yunani berlaku.

Orang Yunani Kuno ketika zaman gelap itu berusaha bangkit menubuhkan tamadun baru dengan meminjam alphabet orang Phoenicia untuk mencipta alphabet sendiri, iaitu alphabet Yunani. Kemudian mereka membentuk beberapa buah komuniti yang berkerajaan sendiri, terpisah oleh sempadan semula jadi seperti laut dan banjaran gunung, seterusnya membentuk sebuah negara-kota yang digelar sebagai polis. Pada abad ke-7  SM, aktiviti perdagangan Yunani Kuno berkembang dengan kehadiran para pedagang serta pengenalan mata wang pada 680 SM.

Perkembangan populasi kaum Yunani Kuno dan kekurangan tanah menyebabkan berlaku konflik dalaman antara rakyat kaya dan miskin dalam beberapa buah negara-kota. Di Sparta, rakyat bukan berasal dari Sparta mesti berkhidmat di bawah kerajaan dengan kerja pertanian dan perkhidmatan sementara para pemuda Sparta wajib menyertai ketenteraan untuk menjadi tentera Sparta. Pemuda dari keluarga kaya harus menjadi tentera supaya tiada diskriminasi antara rakyat kaya dan miskin.

Wilayah Athens melalui masalah yang sama pada abad ke-7 SM terutamanya krisis pertanian. Maka seorang Archon (pegawai majistret) Draco membuat beberapa reformasi undang-undang pada 621 namun gagal. Kemudian ahli politik Solon melakukan reformasi sama pada 594 SM. Dengan menambahbaikan kemampuan rakyat dan mengukuhkan kekuasaan pemerintahan, Athens kembali stabil.

Pada abad ke-6 SM, 4 buah negara-kota Yunani menjadi kota dominan iaitu Athens, Sparta, Corinth, dan Thebes. Masing-masing berusahan memiliki tanah di luar kota dan menjadikan perkampungan kecil sebagai wilayah mereka. Dalam penguasaan sektor maritim, Athens dan Corinth menjadi kuasa besar. Dalam abad yang sama, populasi Yunani Kuno berkembang mendadak dan perkara ini memaksa orang Yunani Kuno melakukan migrasi, membentuk beberapa koloni di kawasan Magna Graecia (selatan Itali dan Pulau Sicily) dan Asia Kecil (Turki).

Migrasi ini seterusnya membentuk dunia Yunani Kuno yang baru di wilayah luar Aegean iaitu tanah asal mereka. Manakala sector ekonomi seperti aktiviti perdagangan dan pembuatan hasil semakin berkembang maju. Perkembangan ini seterusnya menjadikan kehidupan rakyat selesa di mana seorang pekerja mendapat gaji sebanyak 12 kilogram gandum setelah seharian bekerja. Gaji ini 3 kali ganda lebih banyak dari pekerja Mesir Purba yang menya mendapat 3.75 kilogram gandum.

ZAMAN KLASIK YANG PENUH DENGAN SIRI PEPERANGAN

GAMBAR 2: Yunani Kuno ketika Perang Yunani – Parsi

Pada 499 SM, negara-kota Ionian di bawah pemerintahan Parsi cuba memberontak terhadap pemerintah tirani yang dilindungi oleh Parsi. Negara-kota Athens dan Eretria membantu Ionian dengan menghantar bala tentera ke kota Sardis milik Parsi, kemudian membedil kota itu sebelum diserang balik oleh Parsi. Pada 494 SM pemberontakan Ionian dihentikan. Raja Parsi iaitu Darius yang tidak berpuas hati dengan campur tangan Athens kemudian melancarkan kempen penaklukan Athens pada 490 SM. Namun, kempen itu gagal kerana selain kekuatan tenteranya kecil, gabungan Athens dan sekutunya iaitu kota Platean berjaya mengalahkan bala tentera Parsi dalam Perang Marathon.

Sepuluh tahun kemudian, kempen penaklukan Athens ke-2 dilancarkan oleh putera Darius, raja Xerxes. Negara-kota utara dan tengan Yunani Kuno menyerah kalah tanpa pertumpahan darah namun gabungan 31 buah negara-kota termasuk Athens dan Sparta berusaha menumbangkan bala tentera Parsi. Pada masa yang sama, Pulau Sicily milik Yunani Kuno diceroboh oleh bala tentera kota Carthage dari Afrika Utara.

Pada 480 SM, peperangan paling signifikan adalah Perang Thermopylae, di mana seramai 300 orang tentera Sparta diketuai oleh raja Leonidas I menentang 10,000 orang tentera penceroboh Parsi demi mengawal jalan masuk ke Athens. Manakala di Pulau Scily, tentera armada yang diketuai raja Gelon mengalahkan bala tentera armada Carthage dalam Perang Himera.

Perang Yunani Kuno – Parsi berterusan sehingga Parsi mengalami kekalahan teruk dalam perang maritime iaitu Perang Salamis dan perang infantry iaitu Perang Plataea pada tahun 479 SM. Pada 450 SM, peperangan antara kedua-dua kuasa berhenti setelah bala tentera Yunani Kuno menghalau saki-baki tentera Parsi dari tanah Aegean. Manakala negara-kota yang pernah menjadi milik Parsi berpindah tangan kepada milik Athens seterusnya tertubuhlah Empayar Athens.

GAMBAR 3: Empayar Athens

Sparta yang telah lama berjuang bersama Athens tidak berpuas hati akan Athens selepas perang Yunani Kuno – Parsi kerana mencurigai tindakan Athens yang menubuhkan empayarnya sendiri. Demi mengelakkan perang sivil antara negara-kota Yunani, Athens dan Sparta menandatangani perjanjian Thirty Years’ Peace pada tahun 446 SM.  Tahun 431 SM, Sparta melanggar perjanjian dengan menyerang Athens dalam Perang Peloponnesia. Konflik Athens – Sparta tiada kesudahan, sentiasa ada ketidakpuasan hati apabila kedua-kedua negara-kota ini berjaya menakluk kota jiran. Lebih-lebih lagi Sparta, amat cemburu dengan Athens yang sentiasa gah mempertahankan empayarnya.

Pada 405 SM, konflik Athens – Sparta akhirnya tamat dengan kemenangan Sparta dalam perang maritime iaitu Perang Aegospotami, di mana selepas Sparta menguasai pelabuhan-pelabuhan penting Athens, ia menyekat laluan perdagangan sehingga Athens kebulur. Rancangan tersebut berjaya. Athens kemudian menyerah kalah dan memohon pendamaian. Empayar Athens berakhir dan wilayah-wilayah Athens berada dalam kekuasaan Sparta.

Pemerintahan ketenteraan Sparta bertahan hanya 16 tahun. Pada 371 SM, Sparta kalah oleh kemaraan tentera kota Theban dalam Perang Leuctra. Kuasa pemerintahan berpindah tangan kepada Theban namun ia tidak bertahan lama juga. Pada 362 SM, pemerintahan ketenteraan Theban digulingkan dalam Perang Mantinea. Pada 338 SM, Philip II iaitu pemerintah kota Macedon muncul menguasai Athens setelah menang dalam Perang Chaeronea. Philip II kemudian menjadi pemerintah de facto seluruh tanah Yunani Kuno kecuali Sparta. Negara-kota di luar Athens telah Philip satukan bagi mengelakkan perang sivil berlaku lagi. Kemudian baginda melancarkan perang ke atas empayar Parsi Achaemenid namun telah dibunuh oleh orang kepercayaannya.

GAMBAR 4: Alexander The Great

Putera Philip II iaitu Alexander mengambil takhta Yunani Kuno dan meneruskan rancangan perang ayahandanya. Alexander berjaya mengalahkan Darius III, pemerintah empayar Parsi Achaemenid kemudian menggulingkan empayar tersebut. Kejayaan Alexander ini meletakkan nama ‘The Great’  sebagai gelaran baru dan meluaskan empayar ke utara Mesir, Mesopotamia, dan Parsi. Selepas kemangkatan Alexander pada 323 SM, tamadun Yunani Kuno masuk fasa Hellenistik, fasa di mana kebudayaan Yunani Kuno meluas keluar dari tanah Aegean kemudian menjadi amalan hidup masyarakat bukan Yunani.

ZAMAN HELLENISTIK: NYAWA TERAKHIR YUNANI

Empayar Yunani Kuno selepas kemangkatan Alexander terbahagi kepada tiga kerajaan: Dinasti Ptolemy (Mesir dan Afrika Utara), Empayar Dinasti Seleucid (Mesopotamia dan Parsi), dan Dinasti Antigonus (tanah Macedonia di utara Aegean). Ibu kota Hellenistik yang menjadi pusat perkembangan kebudayaan Hellenistik adalah Alexandria milik kerajaan Ptolemy dan Antioch milik Empayar Seleucid. Manakala tanah Aegean berpecah kepada dua liga yang terdiri dari gabungan beberapa negara-kota: Achaean League (kawasan Thebes, Corinth, dan Argos), dan Aetolian League (Sparta dan Athens). Kedua-dua liga ini kemudian berperang sesama sendiri sehingga muncul tentera Rom menceroboh.

GAMBAR 5: Pembentukan 3 kerajaan selepas kemangkatan Alexander The Great: Empayar Seleucid (kuning), Kerajaan Dinasti Ptolemy (biru laut), dan Kerajaan Antigonus yang berpecah kepada 3 wilayah kecil (oren, hijau, ungu)

Pada abad ke-3 SM, Republik Rom mengisytiharkan perang dengan kerajaan dinasti Antigous. Bergabung dengan Aetolian League, Rom berjaya menumpaskan kerajaan yang diperintah oleh Philip V kemudian meresap masuk dalam kerajaannya pada 149 SM. Achaean League pula pada mulanya melawan namun telah kalah pada 146 SM. Manakala Empayar Seleucid bertahan sehingga 64 SM dan kerajaan Ptolemy pula bertahan sehinggan 30 SM dan akhirnya dikuasai oleh Rom. Maka tamatlah sebuah tamadun terawal berdiri sendiri yang kemudian bergabung dengan tamadun yang lebih gah.

APAKAH SUMBANGAN TAMADUN YUNANI KUNO?

GAMBAR 6: Kuil Parthenon, kuil sembahan dewi Athena yang bertempat di kota purba Acropolis dalam wilayah Athens. Kuil ini kemudian simbolik kepada kewujudan serta kemegahan tamadun Yunani Kuno.

Terlalu banyak sumbangan yang telah tamadun ini sajikan kepada dunia sehingga ia disifatkan sebagai pelopor kebudayaan barat, terima kasih kepada tamadun Rom dan empayar Byzantine yang masih memanfaatkan amalan hidup dan kebudayaan Yunani Kuno. Ia merangkumi semua aspek seperti dalam bidang politik, Athens melahirkan sistem demokrasi. Dalam bidang pendidikan, penubuhan sekolah diwujudkan dalam zaman Hellenistik di mana lelaki harus belajar perkara asas seawall umur 7 tahun.

Bidang falsafah juga Yunani Kuno lahirkan. Ia berupa konsep inkuiri dan sebab sehingga konsep ini menjadi perkara penting dalam falsafah moden dan sains. Bidang falsafah masih dibawa oleh Rom dan berterusan sepanjang zaman sehingga kini. Ramai ahli falsafah Yunani Kuno lahir dan menjadi inspirasi ramai seperti Socrates dan Plato. Manakala dalam bidang sains, matematik adalah sains itu sendiri sehingga mewujudkan bidang astronomi. Pythagoras dan Archimedes adalah antara ahli matematik Yunani Kuno terkenal di seluruh dunia.

Dalam bidang sastera, Yunani Kuno menghasilkan puisi. Puisi adalah sebuah hiburan masyarakat di mana ia menyampaikan sebuah luahan atau kisah tragis terutamanya pada zaman klasik dan pelopor puisi ini adalah Homer. Seterusnya berkembang konsep lakonan komedi yang dihasilkan pada 486 SM dan pertandingan lakonan komedi pertama dunia dirasmikan di kota Dionysia. Bidang keagamaan Yunani Kuno pula berunsurkan mitologi. Dari sembahan alam kemudian membentuk sebuah agama neo-animisme iaitu penghasilan dawa-dewi untuk sembahan masyarakat. Zeus, Hades, Poseidon, Athena adalah antara dewa-dewi sembahan masyarakat Yunani.

RUJUKAN:

  1. Grant, Michael (1995). Greek and Roman historians: information and misinformation. Routledge, 1995. p. 74.
  2. Hadas, Moses (1950). A History of Greek Literature. Columbia University Press. p. 273.
  3. Martin, Thomas R. (2013). Ancient Greece: From Prehistoric to Hellenistic Times (2 ed.). New Haven: Yale University Press.
  4. Maura Ellyn; Maura McGinnis (2004). Greece: A Primary Source Cultural Guide. The Rosen Publishing Group. p. 8.
  5. Pomeroy, Sarah, Stanley M. Burstein, Walter Donlan, and Jennifer Tolbert Roberts. 2008. Ancient Greece: A political, social, and cultural history. 2d ed. New York: Oxford Univ. Press.
  1. Sealey, Raphael (1976). A history of the Greek city states, ca. 700–338 B.C. University of California Press. pp. 10–11.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang ulat buku dan pejuang alam sekitar. Penulis yang rajin tulis tentang flora dan fauna serta sejarah dunia. Dan tak terkecuali peminat Fate.

Comments are closed.