Kaum Turki atau Turks adalah salah satu etnik dari kumpulan besar orang Turkic yang tinggal di negara Turki dan pengamal bahasa Turkic terbesar di dunia. Kaum ini adalah rakyat majoriti di Turki tetapi terdapat juga kumpulan minority kaum ini bertebaran di negara bekas jajahan Empayar Turki Uthmaniyah. 

Dahulu, negara Turki digelar sebagai Anatolia atau Asia Kecil kerana kawasannya paling timur di Eropah dan terdekat dengan Asia Tengah. Anatolia pertama kali diduduki oleh kumpulan pemburu pada zaman Paleolitik, kemudian ia menjadi tumpuan kaum-kaum purba Anatolia. Selepas penaklukan Alexander The Great pada 334 SM, kebudayaan Hellenistik diserap dalam kawasan perkampungan Anatolia, kemudian pada abad pertama Masihi, akibat migrasi orang Indo-Eropah, kebudayaan dan bahasa Anatolia telah pupus.

Di Asia Tengah, kaum Turki hidup secara nomad. Walaupun nomad, mereka melakukan aktiviti berdagang dengan mendagangkan kayu, bulu, karpet, dan kuda; serta memperoleh kayu, sutera, sayur-sayuran dan biji-bijiran. Kaum ini juga mahir menukang besi dengan memiliki kawasan pertukangan yang terletak di selatan Pergunungan Altai sekitar tahun 600. Kaum Turki ini mengamalkan agama Tengrism, menyembah tuhan langit iaitu Tengri, walaupun ada golongan minoriti mengamal agama lain seperti Manichaeism (ajaran nabi bernama Mani dari Iran), Kristian Nestorian (salah satu ajaran teologi Kristian), dan Buddhism.  

Anatolia atau Asia Kecil

Walau bagaimanapun, semasa penaklukan tentera Arab Muslim, kaum Turki ini dijadikan sebagai hamba serta harta rampasan jajahan tentera. Mereka kemudian perlahan-lahan menganut agama Islam melalui usaha pendawah, para sufi, dan pedagang. Walaupun  kaum Arab yang melakukan dakwah keislaman, namun punca utama penghijrahan agama orang Turki ini adalah pengaruh budaya Parsi yang menarik perhatian orang Turki menganut Islam.

Di bawah pemerintahan khalifah Umayyah, para hamba Turki ini dilatih menjadi tentera dan pada abad ke-9 Masihi, kekuatan tentera Turki semakin meningkat sehingga mampu menggugat keselamatan khalifah Abbasiyah. Apabila Abbasiyah berada dalam zaman keruntuhan, dinasti Seljuk ditubuhkan oleh kaum Sunni Oghuz Turk dengan pemerintahan ketenteraan dan merampas beberapa jajahan dari Abbasiyah.

ZAMAN DINASTI SELJUK

Empayar Seljuk

Pada abad ke-11 Masihi, dinasti Seljuk merampas jajahan timur dari Abbasiyah. Pada 1055, Empayar Seljuk menakluk Baghdad dan memulakan serangan pertama di Anatolia yang menjadi jajahan Empayar Byzantine. Pada 1071, tentera Seljuk menang dalam Peperangan Manzikert melawan tentera Byzantine, menjadikan Anatolia sebagai jajahan baru Seljuk. Seterusnya, Kesultanan Rum ditubuhkan pada 1077 dengan menempatkan ibu kota di Iznik, Anatolia. Selain mengembangkan empayar, dinasti Seljuk berperanan dalam mengembangkan budaya Parsi ke seluruh empayar. Pengembangan budaya ini menjadikan kaum-kaum di Anatolia bertukar agama dan bahasa dari Kristian-Yunani kepada Islam-Turki.

Pada abad ke-12 Masihi, orang Eropah mula memanggil Anatolia sebagai ‘Turchia’ atau ‘Turkey’ yang bermaksud ‘tanah orang Turks’. Kelas sosial orang Turki Anatolia terbahagi kepada tiga: urban, perkampungan, dan nomad. Etnik lain dari populasi orang Turkic atau Turkoman juga tinggal di Anatolia namun mereka masih mengamalkan kehidupan nomad. Kaum Turki nomad lebih ramai dari Turki Seljuk dan mereka mengamalkan ajaran Islam yang bercampur dengan animism dan kebomohan dari budaya asal. Populasi Turki Muslim semakin bertambah terutamanya di Anatolia kerana perkahwinan campur dengan orang asal Anatolia.

Pada 1243, Anatolia dijajah oleh puak Mongol setelah menang bertempur dengan dinasti Seljuk dalam Pertempuran Köse Dağ. Anatolia yang gagal dinasti Seljuk pertahankan dijadikan sebagai kerajaan Ilkhan di bawah pengaruh empayar Mongol.  Selepas tahun 1277, dinasti Seljuk masuk dalam fasa keruntuhan kemudian menubuhkan ‘Beyliks’ iaitu fasa penubuhan kerajaan-kerajaan kecil Turki di kawasan barat dan selatan Anatolia.

ZAMAN BEYLIK

Beylik (kerajaan-kerajaan kecil) Turki pasca-Seljuk.

Pasca dinasti Seljuk memperlihatkan orang Turki menubuhkan banyak Beylik seperti kerajaan Karamanid dan Germiyanid yang menguasai tengah Anatolia. Pada 1300, orang Turki tiba di pinggir pantai Aegean kemudian menubuhkan Beylik seperti kerajaan Karasid, Sarukhanid, Aydinid, Mentese, dan Teke. Manakala kerajaan Jandarid menguasai kawasan Laut Hitam. Kerajaan Osmanoğlu yang kemudian menjadi dinasti dalam pemerintahan Turki Uthmaniyah juga adalah sebuah Beylik kecil yang menguasai kawasan Söğüt, barat laut Anatolia.

Masuk pemerintahan Osmanoğlu iaitu Osman I, baginda meluaskan kerajaannya ke selatan dan barat berdekatan dengan Laut Marmara pada awal kurun ke-14 Masihi. Setelah menyerap masuk kerajaan Beylik Karasi dan menakluk semenanjung Balkan pada 1354, Osmanoğlu menjadi kuasa besar bagi menentang pesaing terkuat, Karamanid. Akhir abad ke-14, Osmanoğlu mara ke Anatolia bagi perluasan jajahan melalui penaklukan, pemilikan kota dengan bayaran, dan perkahwinan politik. Manakala Karamanid pula berusaha mengekang perluasan kuasa Osmanoğlu dengan gabungan beylik lain serta kerajaan asing seperti Byzantine, Hungary, dan Pontic.

Waalupun Karamanid mempunyai ketenteraan besar, namun mereka semakin lemah akan kemaraan Osmanoğlu sehingga sebahagian besar jajahan Karamanid dirampas. Pada 1402, melalui Perang Ankara di mana Osmanoğlu berjaya menumpaskan Empayar Timurid di Asia Tengah, berakhirnya fasa Beylik dengan memperlihatkan Anatolia seratus-peratus milik Empayar Osmanoğlu atau Uthmaniyah.

ZAMAN TURKI UTHMANIYAH

Empayar Turki Uthmaniyah di zaman pemerintahan Suleiman the Magnificient.

Sejarah Turki Uthmaniyah atau Ottomans bermula dari pengasasnya iaitu Osman I. Bermula pemerintahannya, baginda mengasaskan dinasti Uthmaniyah dan menggantikan nama asal kerajaan Osmanoğlu kepada nama dinastinya. Kerajaan ini kemudian berkembang di sekitar Sungai Sakarya dan ke barat menuju Laut Marmara. Dari perluasan kuasa ini, populasi rakyat barat Asia Kecil berubah budaya kehidupan dengan mengamalkan bahasa Turkish dan menganut agama Islam.

Masuk pemerintahan putera Osman I iaitu Orhan I, pada 1326 baginda berjaya menakluk kota terpenting iaitu Bursa kemudian menjadikannya sebagai ibu kota Uthmaniyah. Pada 1354, tentera Uthmaniyah menuju ke Eropah, membina kubu di Semenanjung Gallipoli, kemudian meluaskan kuasa demi merampas kota Ankara. Kemaraan tentera Uthmaniyah merisaukan Empayar Byzantine yang semakin merosot kerana pada pertengahan tahun 1330-an, Sultan Orhan menyerap masuk bekas jajahan kerajaan Karasi. Masuk pemerintahan Murad I, empayar sekali lagi meluas sehingga 100,000 batu persegi meliputi Eropah dan Asia Kecil.

Setelah Uthmaniyah merampas kota Edirne (Adrianople) dan menjadi ibu kota seterusnya pada 1365, mereka berpeluang menjajah Bulgaria dan Macedonia dalam Perang Maritsa. Dengan memiliki tanah-tanah Eropah seperti Thrace, Macedonia, dan Bulgaria, para imigran Turki membuka penempatan di jajahan tersebut. Penempatan kaum Turki Uthmaniyah ini adalah strategi efektif dalam memperkukuhkan kuasa empayar di Balkans.

Pada 1453, tentera Uthmaniyah di bawah perintah Sultan Mehmed II telah menakluk kota Konstantinopel, kemudian melakukan baikpulih dan memindahkan rakyat bagi menjadikan Konstantinopel menjadi ibu kota baru. Selepas penaklukan kota tersebut, Uthmaniyah meneruskan kempen penaklukannya jauh di Eropah, Timur Tengah, dan Afrika Utara. Ini dibuktikan dalam pemerintahan Sultan Selim I di mana baginda berjaya meluaskan jajahan melalui Perang Chaldiran, sekaligus menjadi benteng kepada dua kota suci bagi para muslim: Mekah dan Madinah.

Perang Mohács pada 1526.

Pewarisnya iaitu Sultan Suleiman the Magnificient meneruskan kempen penjajahan dengan menakluk kota Belgrade pada 1521 dan dari penaklukan kota itu, ia menjadi pangkalan untuk menjajah kerajaan Eropah lain di sekeliling terutamanya Hungary dalam Perang Mohács pada 1526. Selepas kemangkatan Sultan Suleiman, kempen menjajahan tanah Eropah masih rancak di mana pada 1571 Pulau Cyprus dijajah sehingga Uthmaniyah dapat menguasai jalan maritim di timur Laut Mediterranean. Walau bagaimanapun, Uthmaniyah tidak dapat menaham lama dalam pengawalan jajahan yang terlalu luas.

Tahun 1683, Uthmaniyah kalah dalam Perang Vienna seterusnya mendapat ancaman berterusan oleh kerajaan-kerajaan Eropah Timur melalui perang bersiri iaitu Great Turkish War (1683 – 97). Tahun 1699, Perjanjian Karlowitz ditandatangani oleh Utmaniyah dan Liga Suci iaitu gabungan kerajaan Holy Roman Empire, Poland-Lithuania, Republik Venice, dan Dinasti Tsar Rusia. Perjanjian ini memaksa Uthmaniyah menyerahkan Hungary dan Transylvania, kemudian kedua-dua tanah ini menjadi milik Austria.

Pada abad ke-19 Masihi, kehadiran para etnik-nasionalis melemahkan empayar yang berkiblatkan monarki authoritarian kerana peranan Uthmaniyah sebagai sebahagian kuasa besar di Eropah semakin melemah. Pada awal abad ke-20, seramai 7 – 9 juta orang imigran non-Turki bermigrasi ke Anatolia dan peristiwa ini memaksa parti politik liberal bernama Committee of Union and Progress melakukan program ‘Turkification’ iaitu program meng-Turki-kan bangsa non-Turki bermula 1913. Tahun seterusnya, Perang Dunia Pertama berlaku dan Uthmaniyah memihak Kuasa Tengah bagi menentang Kuasa Bersekutu yang merampas jajahan dahulu Uthmaniyah.

Kehilangan jajahan Turki Uthmaniyah sejak 1800.

Tahun 1918 iaitu selepas Perang Dunia I, Kuasa Tengah kalah teruk dan pemerintah Uthmaniyah terakhir iaitu Sultan Mehmed IV menandatangani Perjanjian Sèvres pada 1920. Empayar Uthmaniyah dibubar dengan tanah Levant (Palestine, Syria, Lubnan, Jordan) dibahagi sesama negara kuasa Bersekutu dan Anatolia yang merupakan pusatnya berubah kepada Republik Turki.

Walaupun perjanjian ini ditandatangani oleh Sultan, namun organisasi nasionalis iaitu Turkish National Movement tidak mengiktirafnya kerana perjanjian ini bersifat mengawal kuasa Turki, kemudian mengadakan perang iaitu Turkish War of Independence. Akibat perang itu, perjanjian asal diubah dan ditandatangani semula pada 1923. Sistem khilafah Uthmaniyah juga dibubarkan akibat perang yang sama. Maka, berakhirnya kegemilangan Empayar Uthmaniyah selama 623 tahun.

SUMBER:

Ágoston, Gábor (2010), “Introduction”, in Ágoston, Gábor; Masters, Bruce Alan (eds.), Encyclopedia of the Ottoman Empire, Infobase Publishing

Çaǧaptay, Soner (2006), “Passage to Turkishness: immigration and religion in modern Turkey”, in Gülalp, Haldun (ed.), Citizenship And Ethnic Conflict: Challenging the Nation-state, Taylor & Francis

Findley, Carter V. (2005), The Turks in World History, Oxford University Press

Köprülü, Mehmet Fuat (1992), The Origins of the Ottoman Empire, SUNY Press

Kurbanov, Rafik Osman-Ogly; Kurbanov, Erjan Rafik-Ogly (1995), “Religion and Politics in the Caucasus”, in Bourdeaux, Michael (ed) (ed.), The Politics of Religion in Russia and the New States of Eurasia, M.E. Sharpe

Stokes, Jamie; Gorman, Anthony (2010), “Turkic Peoples”, Encyclopedia of the Peoples of Africa and the Middle East, Infobase Publishing


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang ulat buku dan pejuang alam sekitar. Penulis yang rajin tulis tentang flora dan fauna serta sejarah dunia. Dan tak terkecuali peminat Fate.

Comments are closed.