Kaum Sumer (5000 SM – 1900 SM): Pembina Peradaban Manusia Tertua Di Dunia

0
724
views

Tanah Mesopotamia yang terbentang luas di antara Sungai Tigris dan Euphrates serta berkedudukan di utara Teluk Parsi adalah tanah yang menjadi bukti wujudnya peradaban manusia paling pertama di dunia. Keadaan tanah yang lembab dan terdapat banyak lagun serta lopakkan air sepanjang laluan sungai berkembar itu menjadi penarik bagi manusia yang melalui kawasan tersebut yang mereka gelarkan sebagai Sabit Subur (The Fertile Crescent).

Manusia nomad yang berada di pergunungan Elam dari Timur dan dataran tinggi Anatolia di utara tertarik dengan kesuburan Sabit Subur kemudian menjalankan kehidupan tetap di sekitarnya. Kemudian dataran Sungai Tigris dan Euphrates dihuni manusia di mana bahagian hilir milik Orang Sumer dari timur manakala bahagian hulu milik Orang Amorite dari utara.

Orang Sumer yang menetap utara Teluk Parsi menganggap tanah itu adalah syurga yang diberkati tuhan. Sepanjang hilir Sungai Tigris hingga ke pantai Teluk Parsi, Orang Sumer mencapai peringkat teratas di mana tidak sekadar membina perumahan secara individu malah pada tahun 5,000 SM telah wujud perkampungan. Orang Sumer bermaksud ‘orang berkepala hitam’ berdasarkan perjumpaan patung-patung oleh para arkeologis, menunjukkan Orang Sumer mempunyai dahi leper, mata serong ke bawah, berkulit hitam serta mempunyai janggut dan kepala yang dicukur halus.

Kehidupan Orang Sumer bergantung dengan dua perkara saja: lumpur dan pokok kurma. Tidak lupa juga akan ternakan kambing biri-biri yang pernah menjadi sumber makanan ketika mereka menjadi nomad dulu. Selain kambing biri-biri sebagai sumber makanan, pokok kurma juga menjadi sumber tersebut kerana tumbuhan yang banyak meliar serta buahnya yang lebat menguntungkan penduduk Sumer bagi mengisi perut mereka. Bulu biri-biri dijadikan sebagai pakaian yang menutupi bahagian bawah pinggang.

Beberapa zaman kemudian, pakaian bulu tersebut ditukar kepada pakaian bertenun. Rumah Orang Sumer dahulu diperbuat dengan rami atau daun-daun pelepah pokok kurma. Daun pelepah tersebut dijadikan sebagai rangka rumah kemudian ditampal dengan lumpur bagi menutupi rongga-rongga yang hadir dari ikatan-ikatan pelepah tersebut. Kemudian Orang Sumer semakin maju dengan pembuatan tanah liat dan menjadikannya sebagai bahan asas membina rumah. Tanah liat yang dibentuk persegi pada mulanya dijemur dalam panas terik matahari. Seterusnya mereka tinggalkan tradisi jemur itu kerana bata boleh mengeras pantas dengan proses pembakaran yang sehingga kini masih diamalkan oleh peradaban kita.

GAMBAR 1: Gambaran rumah orang Sumer.

Manakala kawasan lebih tinggi, Orang Sumer memulakan penanaman biji-bijiran seperti gandum dan barli. Banyak ciptaan-ciptaan Orang Sumer bagi kegunaan seharian yang sehingga kini kita menggunakannya. Contohnya sabit. Sabit Orang Sumer guna berasaskan batu dan ada segelintir sabit berbentuk tulang belakang. Kemungkinan besar mereka menggunakan tulang belakang haiwan sebagai sabit. Jala dan kail juga dicipta bagi menangkap ikan di sungai. Orang Sumer juga dikatakan manusia pertama mencipta roda kerana seiring dengan penggunaan keldai sebagai kenderaan, andur dan roda direka bagi memudahkan pengangkutan barangan. Jarun batu juga direka kerana Orang Sumer ketika itu mahir menenun pakaian mereka menggantikan pakaian primitif.

Dengan hadirnya tanah liat, bermacam-macam Orang Sumer mencipta berasaskan bahan tersebut untuk kegunaan harian terutamanya pembinaan. Contoh paling utama adalah tembikar dan paku. Kepingan-kepingan tanah liat juga dibuat untuk kegunaan menulis dan dari situlah wujudnya tulisan paling pertama di dunia iaitu cuneiform (tulisan berpaku). Pada mulanya tulisan tersebut berbentuk lukisan kemudian seawal 3,000 SM terdapat 400 tanda direka.

Sebuah tanda menunjukkan suku kata, bukannya huruf. Kepingan-kepingan tanah liat ditulis menggunakan baji dan boleh dipadam menggunakan ibu jari jika salah tulis. Siap tulis, kepingan tersebut dibakar dan disimpan sebagai rekod atau rujukan masa depan. Kalendar Orang Sumer direka tidak setepat kalendar Orang Mesir Purba. Terdapat 12 bulan dalam kalendar mereka dalam genap setahun namun ia berubah-ubah mengikut cita rasa raja-raja yang memerintah. Walaupun begitu, dalam bidang matematik pengiraan yang biasa dipakai atau Orang Sumer kira adalah sistem 60. Sistem itulah asal-usul pengiraan jam, minit dan bulatan yang kita gunakan kini.

GAMBAR 2: Contoh rekod penulisan pepaku pada kepingan tanah liat, menceritakan tentang bayaran seorang pekerja yang membeli bir sekitar 3,000 SM.

Dalam sektor perdagangan, orang Sumer biasa berdagang dengan jiran-jiran di luar lembangan Sungai Tigris dan Euphrates. Yang paling signifikan adalah hubungan dagangan dengan tamadun Indus terutamanya kota Mohenjodaro. Perjumpaan mohor dari orang Sumer di Mohenjodaro membuktikan orang Indus pernah berdagang dengan orang Sumer. Mohor adalah penting untuk orang Sumer terutamanya pedagang sebagai lambang keluarga atau bukti bagi sebarang perjanjian perdagangan seperti tandatangan. Setiap kubur orang Sumer mesti mohor ditemui bersebelahan mayat.

Waqaf Saham

Ketika Orang Sumer sibuk memajukan tamadun, agama juga mereka titikberatkan kerana agama adalah elemen terpenting dalam kehidupan seharian. Antara tuhan terawal adalah Enkidu, dewa pembangunan dan ketamadunan dan Enlil, ketua para dewa dan dewa guntur, angina, dan hujan. Dewi pertama sembahan Sumer adalah Inanna, dewi kesuburan, cinta, pelacuran, dan perang. Biasanya setiap negara-kota mempunyai satu dewa/dewi yang patut disembah. Ziggurat iaitu kuil sembahan dewa/dewi dibina dalam setiap negara-kota. Tempat sembahan diletakkan di tingkat teratas ziggurat dan disediakan tangga terus menuju tempat sembahan tersebut.

Kepercayaan kepada dunia akhirat agak kabur bagi orang Sumer kerana bagi mereka para dewa/dewi tiada hak atas kehidupan selepas mati. Doa yang biasa mereka amalkan hanya berunsurkan kesejahteraan hidup seperti meminta dipanjangkan umur serta kekayaan harta benda. Urusan pengebumian amat mereka titkberatkan kerana jika mayat tidak dikubur nescaya rohnya merayau-rayau tiada tujuan. Bagi memastikan roh-roh itu tidak merayau, mayat dikubur di bawah lantai rumah agar roh tersebut tidak rasa dipinggir dan dapat bersama keluarganya. Mayatnya dikebumikan itu dibaring secara mengiring dan kakinya dibengkok ke atas serta tempayan berisi makanan diletakkan bersebelahan mayat agar roh tersebut tidak kelaparan. Selain makanan, tempayan berisi barangan lain diletakkan mengikut jantina mayat. Jika lelaki, barangan senjata harus diletakkan manakala wanita pula cermin dan tembaga yang bergilap menjadi peneman.

GAMBAR 3: Dewa Enki/Enkidu dan Dewa Enlil

Seiring dengan kemajuan tamadun Sumer, terbinalah negara-kota memenuhi lembangan Sungai Tigris dan Euphrates. Negara-kota terawal di dunia adalah Eridu, diikuti dengan Uruk. Kemudian lahirnya beberapa negara-kota seperti Ur dan Kish. Setiap negara-kota diperintah oleh setiap raja dan mempunyai paderi yang berpengaruh besar bernama patesi. Ada antara negara-kota yanhg rajanya juga berjawatan sebagai patesi dan ada beberapa negara-kota menjadikan anak raja sebagai patesi.

Biasanya sebuah negara-kota diletakkan di tebing sebuah terusan atau sungai yang berhadapan dengan hutan serta tamanan seperti pokok kurma, anggur, dan delima. Tujuan negara-kota dibina sedemikian kerana mengelak berlaku banjir dari sungai yang semakin cetek akibat mendapan lumpur. Selepas hutan, terbentang tanama-tanaman barli dan gandum. Seterusnya, terdapat padang rumpun untuk ragutan ternakan-ternakan para penternak. Setiap negara-kota mesti mempunyai terusan yang berselang-seli untuk tujuan pengaliran dan pertanian.

Terusan yang direka Orang Sumer begitu lengkap dan teratur sistemnya. Penciptaan ini boleh dikatakan tamadun Sumer mempunyai golongan arkitek yang cerdik dalam hal pengaliran selain pembinaan. Maka, setiap negara-kota mempunyai undang-undang perairan dan tanah yang ketat. Tuan tanah yang tidak mengusahakan tanah akan didenda manakala mereka yang membuka tanah baru terkecuali dari membayar cukai tanah baru.

GAMBAR 4: Seluruh negara-kota orang Sumer sepanjang lembangan Sungai Tigris dan Euphrates.

Hubungan sesama negara-kota kadang-kala bersifat musuh dan kawan. Bersifat musuh itu bermaksud negara-kota itu harus berperang denganh negara-kota lain demi penguasaan sungai dan terusan yang baginya amat strategik. Di mana ada terusan, di situ negara-kota perlu ditakluk. Begitulah mentaliti setiap raja Sumer. Akibatnya banyak negara-kota dimusnahkan dan ditakluk. Kadang-kala dalam satu generasi dua kali negara-kota dimusnahkan.

Namun, Orang Sumer bersifat move on. Ada kemusnahan, ia dibina semula menggunakan tapak yang sama. Dalam masa yang sama memperbaiki mana-mana binaan yang tidak kukuh. Yang bersifat kawan pula bermaksud apabila anasir luar datang bagi menakluk salah satu negara-kota Sumer, seluruh negara-kota bersatu demi menghapuskan anasir tersebut. Kesatuan itu amat menggerunkan setiap anasir yang cuba menceroboh tanah Sumer. Apabila anasir musuh tiada, negara-kota Sumer kembali dengan keadaan sedia kala. Begitulah hubungan musuh-kawan antara negara-kota Sumer.

Setiap tamadun mesti mempunyai unsur-unsur ketenteraan demi pertahanan kota, kerajaa, dan empayar. Maka, kaum Sumer menjadi kaum pertama lagi dalam pembentukan sektor ketenteraan. Merekalah yang terawal mengetahui teknik-teknik peperangan walaupun mereka bersifat kemanusiaan, mementingkan keagamaan, dan tiada cita-cita ketenteraan yang lebih tinggi seperti membina sebuah empayar. Peperangan pertama ada direkodkan dalam tiang batu stele bernama Stele of the Vultures, merekod peperangan antara kota Lagesh dan Umma pada tahun 2525 SM.

Diceritakan raja Lagesh mengetuai peperangan dengan angkatan tentera infantri. Para tentera memakai helmet perang kuprum, bersenjatakan lembing dan menggunakan perisai persegi. Para tentera tersebut mempunyai barisan yang utuh digelar sebagai phalanx formation, teknik memperisaikan diri dan meletakkan lembing di luar perisai, seterusnya membentuk barisan sebegitu. Kita boleh memahami bahawa tentera Sumer mempunyai disiplin yang tinggi.

Tentera Sumer juga mempunyai onager, kereta pembaling batu yang kukuh perisainya untuk tujuan menghancurkan pertahanan lawan. Kereta kuda perang atau chariot juga digunakan tetapi tidak sesuai untuk peperangan. Chariot tentera Sumer yang beroda empat dikhaskan untuk penghantaran senjata kapak dan lembing kepada para tentera yang kehilangan atau kerosakan senjata ketika perang. Setiap negara-kota mesti mempunyai benteng-benteng yang sentiasa dibina kukuh sepanjang masa sebagai pertahanan ketenteraan terakhir.

GAMBAR 5: Contoh phalanx formation. Tentera Sumer menjadikan perisai bersegi sebagai pelindung dan memacakkan lembing seperti gambar rajah berikut. Nak contoh senang difahami, sila tengok wayang Hercules lakonan Dwayne (The Rock) Johnson, lihat babak dia mengarahkan para tentera Yunani membentuk formasi serangan dan pertahanan.

Pada tahun 2750 SM, raja kota Akkad yang berada di utara lembangan sungai berkembar bernama Sargon berjaya menakluk dan menguasai kota-kota sekeliling Akkad, seterusnya menyerang kota-kota orang Sumer. Dalam siri peperangan yang hampir tiada penamatnya, Akkad berjaya menguasai kota-kota Sumer, menjadikan raja Sargon sebagai maharaja sebuah empayar bernama Empayar Akkad (2334 SM). Sepanjang pemerintahan raja tersebut, orang Akkad berbahasa semitik dan orang Sumer menjadi 2 kumpulan rakyat dominan yang berkongsi hidup di bawah Empayar Akkad. Akan datang saya bentangkan keadaan tanah Mesopotamia ketika diperintah orang Akkad dan Babylon.

RUJUKAN:

  1. Algaze, Guillermo (2005) “The Uruk World System: The Dynamics of Expansion of Early Mesopotamian Civilization”, (Second Edition, University of Chicago Press)
  2. Hallo, William W. (1996), “Review: Enki and the Theology of Eridu”, Journal of the American Oriental Society, 116(2)
  3. Jean-Jacques Glassner (2003). The Invention of Cuneiform: Writing in Sumer. p. 31.
  4. Kramer, Samuel Noah (1963). The Sumerians: Their History, Culture, and Character(PDF). The Univ. of Chicago Press.
  5. Maisels, Charles Keith (2001). “Early Civilizations of the Old World: The Formative Histories of Egypt, the Levant, Mesopotamia, India and China”
  6. Nemet-Nejat, Karen Rhea(1998), Daily Life in Ancient Mesopotamia, Daily Life, Greenwood, p. 132
  7. Hallo; W. Simpson (1971). The Ancient Near East. New York: Harcourt, Brace, Jovanovich. p. 28.
  8. Wolkstein, Diane; Kramer, Samuel Noah (1983). Inanna: Queen of Heaven and Earth: Her Stories and Hymns from Sumer. New York: Harper & Row.