Kaum Slav adalah kaum Indo-Eropah yang bertutur bahasa Slavic dari kumpulan linguistik Balto-Slavic. Mereka berasal dari Eurasia meliputi dari tengah dan timur Eropah sehingga ke Siberia dan Asia Tengah (termasuk negara Kazakhstan dan Turkmenistan) serta kaum ini berkembang ke Eropah Barat (Jerman Timur) dan Asia Barat. Kaum Slav juga wujud di Amerika Utara terutamanya Kanada disebabkan migrasi besar-besaran sehingga menjadi immigrant di sana.

Menurut sumber dari empayar Rom Purba, kaum Slav digelar sebagai Veneti yang mendiami Eropah Timur bersama kaum Suebi dari bahagian barat persekutuan Iran iaitu Sarmatian pada abad pertama dan kedua Masihi. Pada abad ke-6 Masihi, empayar Rom Timur mencatatkan tentang kaum Slav yang dikenali sebagai Antes dan Slaveni. Para sejarahwan Rom Timur dibawah kekuasaan Justinian I berpendapat kaum ini menetap di pergunungan Carpathian dan Danube serta Laut Hitam

Salah satu sejarahwan Rom Timur, Jordanes yang menulis buku Getica menerangkan kaum Veneti adalah kaum yang mempunyai ramai populasi, menetap di kawasan Vistula dan dianugerahkan ‘tanah makmur’. Beliau juga menerangkan kaum Veneti adalah generasi kemudian dari kedua-dua generasi terdahulu, kaum Antes dan Slaveni.

Tapi pendapat sejarahwan Procopius bertentangan dengan Jordanes yang menganggap kaum Antes dan Slaveni adalah kaum yang sama dibawah nama Sporoi. Kaum Sporoi diterangkan sebagai kaum gasar yang hidup dalam sistem demokrasi dan menyembah dewa kilat Perun, tuhan monotheism yang wajib mereka sembah. Mereka hidup secara nomad, mempunyai bahasa yang ‘kasar’, dan bertubuh besar serta tidak berkulit Kaukasia, lebih kepada berkulit separa gelap. Dikatakan bahawa tempat tinggal mereka adalah kawasan paya dan hutan.

Gambar 1: Migrasi kaum Slav sekitar abad ke-5 dan ke-6 Masihi.

Kaum Slav adalah sebahagian dari kaum yang menetap di beberapa kerajaan di Eurasia seperti kerajaan Hun dan Goth. Pada abad ke-5 dan ke-6 Masihi, ketika berlaku migrasi kaum-kaum Jerman serta kaum Hun pimpinan Attila ke bahagian barat, kaum Slav juga melakukan migrasi besar-besaran, menghuni tanah yang telah kaum Jerman tinggalkan, iaitu kawasan selatan Czech, Austria, Balkan, dan utara Sungai Dnieper. Ada pendapat menyatakan sebahagian kaum Slav bermigrasi bersama kaum Vandal ke Semenanjung Iberia dan sejauh kawasan utara Afrika.

Dari migrasi besar-besaran, kaum Slav berpecah kepada 3 kaum utama: Slav Barat, Slav Timur, dan Slav Selatan. Slav Barat adalah kaum Slav yang awal menduduki Eropah Tengah setelah kaum Jerman seperti Goth serta kaum Hun beralih lokasi penempatan ke selatan. Kaum ini dikatakan telah berkongsi ras dengan kaum Jerman, Magyar (Hungary), Celt, Prussia Purba, dan Avar. Tambahan pula, budaya mereka dipengaruhi dengan budaya empayar Rom Purba dan Kristian Rom Katolik.

Slav Timur pula adalah antara kaum Slav terawal yang berkongsi ras dengan kaum Finno-Ugric, Baltik, dan Kaukasia, antara kaum asal di Eropah Timur. Slav Timur dikatakan membina kerajaan persekutuan Kieven Rus’ (kesatuan bahagian barat Rusia dan Ukrain) pada permulaan abad ke-10 Masihi yang mempunyai pengaruh budaya dari kerajaan Byzantine dan Kristian Katolik Timur. Pada abad ke-16 Masihi Slav Timur membina ketamadunan di kawasan dataran Eropah Timur dan timur Ukrain kini.

Slav Selatan, kaum Slav awal ketiga pula bermigrasi ke selatan dan berkongsi ras dengan kaum asal lain seperti kaum-kaum Proto-Balkan, Celt, dan Rom, termasuk juga berkongsi ras dengan kaum invasi empayar Rom seperti Hun dan Bulgar. Masyarakat kini negara Slovenia dan Croatia adalah contoh masyarakat yang berdarah Slav Selatan. Slav Selatan di Slovenia dan Croatia mempunyai budaya sama dengan budaya Slav Barat manakala masyarakat Slav Selatan yang menghuni luar kedua-dua negara ini mempunyai budaya dipengaruhi dengan budaya Byzantine, Turki Uthmaniyah, Kristian Orthodox Timur dan Islam.

Gambar 2: Taburan kaum Slav selepas proses migrasi.

Migrasi kaum Slav mengundang masalah kepada empayar Rom yang bersempadan di tanah Balkan. Pada tahun 531 dan 534, empayar Rom mengisytiharkan perang ke atas kaum Slav bagi menyekat kemaraan mereka. Pada tahun 550-an, kaum Slav mara ke kawasan Thessalonica, memasuki kawasan Sungai Hebrus dan memusnahkan kota dan kubu Rom serta (mengikut sumber Rom) menjadikan para wanita dan kanak-kanak sebagai hamba. Namun mereka tidak berjaya menawan Thessalonica kerana rombongan tentera Rom pimpinan Germanus datang menumbangkan tentera Slav. Pada awal tahun 580-an invasi Slav tiba lagi, kali ini bergabung dengan tentera kerajaan Avar.

Pada abad ke-6 Masihi iaitu tahun 585, kaum Slav tinggal di kawasan sempadan empayar Byzantine dengan jumlah yang besar sehingga rekod Byzantine menyatakan rumput di kawasan tersebut mustahil akan tumbuh kembali saat kaum Slav tiba. Migrasi kaum Slav ini berlaku setelah berlaku perjanjian antara Rom dan Avar bagi menamatkan peperangan yang tiada kesudahannya. Tiba di Constantinople, pertahanan tentera Rom menyekat migrasi mereka. Maka, kaum Slav membalas dengan menyerang penempatan Rom sehingga mereka berjaya menduduki Semenanjung Peloponnese di selatan Greece dan Asia Kecil. Pada akhir abad ke-6 Masihi, kawasan Alps Timur menjadi milik kaum Slav.

Pada awal tahun 600-an, Rom sekali lagi melaksanakan kempen menghalau kaum Slav. Tahun 626 kaum Slav dan Avar bersatu menjadi sebuah ketumbukan tentera besar yang dipimpin oleh rombongan ketenteraan kerajaan Bulgar menyerang Constantinople. Kota Constantinople hamipr dapat ditakluk oleh gabungan tiga kaum namun Rom sekali lagi dapat mematahkannya. Akhirnya, kaum Slav hanya peroleh tanah Greece sehingga abad ke-9 di mana kerajaan Byzantine berjaya menghalau mereka.

Gambar 3: Kerajaan Bulgaria Pertama (681)

Tamat proses migrasi dan pertembungan dengan Rom, kaum Slav menubuhkan beberapa kerajaan yang diperintah oleh putera Slav yang mempunyai pengaruh besar, kekayaan harta benda, dan kekuatan tentera yang besar. Tidak pasti siapakah figura atau organisasi yang mengasaskan kerajaan keputeraan ini namun yang popular adalah pembinaan Empayar Samo, empayar Slav pertama di Eropah Tengah diasaskan oleh tentera upahan Perancis, Samo pada abad ke-7 Masihi.

Selain Empayar Samo, terdapat kerajaan keputeraan Slav terawal seperti Carantania, Nitra, dan Great Moravia. Manakala kaum Slav Barat pula menubuhkan kerajaan keputeraan mereka seperti Balaton yang dinaungi oleh kerajaan Perancis. Pada tahun 681, kerajaan Bulgaria ditubuhkan dan bahasa Slav menjadi bahasa kebangsaan pada tahun 864. Bulgaria menjadi kerajaan pertama menyebarkan ajaran Kristian di seluruh kaum Slav. Abad seterusnya, kaum Slav menubuhkan beberapa kerajaan iaitu persekutuan Kieven Rus’ (abad ke-9 hingga pertengahan ke-13 Masihi), Empayar Bulgaria Kedua (1185 – 1396), Kerajaan Poland (abad ke-10 hingga ke-14 Masihi), Kerajaan Monarki Bohemia (870), Kerajaan Croatia (925 – 1102), Kerajaan Persendirian Bosnia (pertengahan abad ke-12 Masihi hingga 1377), dan Kerajaan Keputeraan Serbia (1091).

Pada tahun 1878, hanya 3 buah kerajaan Slav yang kekal: Empayar Rusia, Bulgaria, dan Serbia. Kerajaan gabungan Austro – Hungary yang terdiri daripada 23 juta orang kaum Slav mengajak kaum Slav lain untuk menerima seruan nasionalism namun dibantah secara mentah kerana berbezaan sosio-budaya sesama mereka yang terpisah oleh sempadan kerajaan. Pada abad ke-19 Masihi, wujud gerakan Pan-Slavism iaitu gerakan penyatuan seluruh kaum Slav untuk melaksanakan misi nasionalism mereka yang terdiri dari para intelektual dan penggiat sastera namun gerakan ini tiada sokongan dari majoriti kerajaan Slav. Kemudian Empayar Rusia menggunakan Pan-Slavism sebagai sebuah ideologi perpaduan atau propaganda mempengaruhi kaum Slav bagi manakluk Eropah Tengah dan idea ini sebati dalam sistem imperialism Rusia.

Di zaman Perang Dunia Pertama (WWI), perwakilan dari kerajaan Czech, Slovakia, Poland, Serbia, Croatia, dan Slovenia berpihak kepada Negara-Negara Bersekutu untuk mendapatkan perlindungan ketenteraan. Pada tahun 1918 iaitu selepas WWI, kaum Slav menubuhkan negara merdeka seperti Czechoslovakia, Republik Kedua Poland, dan kerajaan Slovenia, Croatia, dan Serbia yang bersatu sebagai Yugoslavia.

Gambar 4: Negara-negara Eropah ketika Perang Dunia Pertama.

Dalam Perang Dunia Kedua (WWII), Jerman Nazi merancang untuk membunuh, mengasingkan, dan menghambakan kaum Yahudi dan Slav yang menghuni Eropah Timur bagi memperoleh ‘tempat tinggal’ (Living Space) untuk penduduk Jerman serta melaksanakan projek kelaparan kepada 80 juta orang di Soviet Union. Projek yang hampir berjaya ini telah mengakibatkan kematian seramai 19.3 juta orang. Selepas WWII, Soviet Union yang mempunyai majoriti penduduk kaum Slav bersatu dengan Blok Timur (perkumpulan negara sosialis Eropah Timur dan Tengah) melalui Perjanjian Warsaw bagi menghadapi Blok Kapitalis iaitu USA dalam Perang Dingin. Kini negara-negara satelit USSR menjadi negara merdeka mempunyai populasi minoriti kaum Slav seperti Poland, Belarus, Ukraine dan Kazakhstan.

RUJUKAN:

  1. Coon, Carleton S. (1939) The Peoples of Europe. Chapter VI, Sec. 7 New York: Macmillan Publishers.
  1. Curta, Florin (2001). The Making of the Slavs: History and Archaeology of the Lower Danube Region, c. 500–700. Cambridge: Cambridge University Press.
  1. T. Dennis (1984), Maurice’s Strategikon: handbook of Byzantine military strategy, trans., p. 120.
  2. Kobyliński, Zbigniew (1995). “The Slavs”. In McKitterick, RosamondThe New Cambridge Medieval History: Volume 1, C.500-c.700. The New Cambridge Medieval History. 1, C.500-c.700. Cambridge University Press. p. 531.
  3. Mark Harrison (2002). “Accounting for War: Soviet Production, Employment, and the Defence Burden, 1940–1945“. Cambridge University Press. p. 167.
  4. Roman Smal Stocki (1950). Slavs and Teutons: The Oldest Germanic-Slavic Relations. Bruce.
  5. Snyder, Timothy(2010). Bloodlands: Europe between Hitler and Stalin. New York: Basic Books. p. 416.
  6. Tachiaos, Anthony-Emil N. 2001. Cyril and Methodius of Thessalonica: The Acculturation of the Slavs. Crestwood, NY: St. Vladimir’s Seminary Press
  7. S. (10 September 2014), Slavs. Ancient History Encyclopedia. Retrieved from https://www.ancient.eu/Slavs/

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang ulat buku dan pejuang alam sekitar. Penulis yang rajin tulis tentang flora dan fauna serta sejarah dunia. Dan tak terkecuali peminat Fate.

Comments are closed.