Kaum Sioux atau dikenali sebagai First Nation adalah kumpulan etnik asal yang tinggal di Amerika Utara. Kaum Sioux terbahagi kepada tiga buah etnik besar berdasarkan kepelbagaian bahasa: Dakota, Lakota, dan Nakota.

Etnik Dakota berpecah kepada dua kumpulan iaitu Santee atau Dakota Timur yang menetap di dareah The Dakotas, Minnesota, dan utara Iowa. Yankton-Yanktonai Dakota atau Dakota Barat pula menetap di keliling Sungai Minnesota.

Manakala etnik Nakota dikenali sebagai Sioux Tengah dan mempunyai nama lain berdasarkan tempat tinggal mereka: etnik Assiniboine di Kanada Barat dan etnik Stoney di Montana. Etnik Lakota atau Sioux Barat adalah kaum yang terkenal kerana pendedahan budaya menunggang kuda dan kepewiraan mereka.

ETNIK SANTEE/DAKOTA TIMUR

GAMBAR 1: Kawasan Sungai Santee, penempatan asal orang Dakota Timur

Pada mulanya etnik Santee bermigrasi dari tenggara USA ke kawasan utara dan barat, terutamanya di Ohio. Sesetengah kumpulan berasal dari Sungai Santee dan Tasik Marion, kawasan selatan Carolina. Nama etnik ini diambil dari nama sungai tersebut dan dikatakan bahawa moyang mereka pernah membina penempatan di kawasan yang telah menjadi Tasik Morion. Mereka dikenali sebagai orang Woodland yang mengamalkan hidup berburu, menjala ikan, dan bertani.

Pada abad ke-17 dan ke-18 Masihi, migrasi kaum Ojibwedari kawasan timur Amerika memaksa etnik Santee bermigrasi lagi ke Minnesota. Kawasan barat, dan selatan Amerika. Kemudian kerajaan USA menamakan kawasan penempatan baru etnik Santee di utara dan barat Sungai Mississippi sebagai ‘Dakota Territory’. Kini, etnik ini menetap di dareah The Dakotas, Minnesota, dan utara Iowa.

ETNIK YANKTON-YANKTONAI/DAKOTA BARAT/NAKOTA

Etnik Yankton-Yanktonai atau Nakota adalah gabungan kumpulan kecil Dakota yang tinggal di kawasan barat Amerika. Etnik ini juga dikenali sebagai Sioux Tengah dan mempunyai nama lain berdasarkan tempat tinggal mereka: etnik Assiniboine di Kanada Barat dan etnik Stoney di Montana.

Kebanyakkan kaum Yankton tinggal di kawasan pemulihan yang terletak di tenggara negeri South Dakota, Yankton Indian Reservation. Sebahagian lain kaum Yankton tinggal di Lower Brule Indian Reservation dan Crow Creek Indian Reservation. Kaum Yanktonai juga tinggal di kawasan permulihan seperti Standing Rock Indian Reservation, dan Fort Peck Indian Reservation.

Pokoknya, kaum gabungan dua etnik kecil ini tinggal di kawasan permulihan di barat dan tengah Amerika. Kehidupan harian kaum Dakota Barat ini bergantung kepada perlombongan batu pipestone, sejenis batu galian yang menjadi sumber kepada penghasilan alatan keagamaan.

ETNIK LAKOTA/TETON

GAMBAR 2: Great Plains. Inilah tanah asal kaum Sioux berkuda, Lakota.

Pada abad ke-17 Masihi, kaum Sioux diperkenalkan tentang haiwan bernama kuda dari kaum asal lain iaitu Cheyenne. Dari pengenalan itu, wujud sebuah etnik baru yang mahir menunggang kuda iaitu etnik Lakota. Dengan penggunaan kuda, etnik Lakota mampu menguasai kawasan utara Great Plain sehingga ke pergunungan Rocky yang mereka gelarkan sebagai ‘Heska’, bermaksud gunung-ganang putih.

Etnik Lakota mengamalkan pemburuan haiwan bison dan penanaman jagung. Mereka juga melakukan aktiviti perdagangan dengan kaum Sioux Timur dan beberapa kaum yang mengamalkan bahasa yang sama seperti Mandan dan Hidatsa di sepanjang Sungai Missouri. Kini, etnik Lakota adalah etnik yang terbesar dari dua etnik Sioux lain dan memiliki tanah di negeri North Dakota dan South Dakota.

AGAMA DAN SOSIOPOLITIK SIOUX

GAMBAR 3: Upacara Tarian Sun Dance

Dari segi keagamaan, pengamalan kaum Sioux dan kebanyakkan kaum asal Amerika amat unik. Agama mereka berunsurkan persembahan, bersifat lisan, dan berubah bagi setiap komuniti kerana setiap generasi harus mengamalkan tradisi mereka bagi mereka sebuah bentuk keagamaan yang diperoleh dari pengalaman.

Dalam erti kata lain, agama kaum Sioux berasakan tarian yang diiringi lagu-laguan yang sarat dengan kisah hidup dan spiritual mereka.  Agama mereka di percayai lahir dari Wakan Tanka, iaitu Roh Terulung (Great Spirit). Upacara tarian keagamaan yang biasa kaum Sioux amalkan adalah Sun Dance dan Ghost Dance.

Seven Council Fires adalah sebuah majlis kaum Sioux yang berperanan dalam membincangkan masalah komuniti dan menghadiri upacara tarian Sun Dance. Majlis tersebut terdiri dari 7 orang ketua etnik dan mereka perlu melantik 4 orang dalam kalangan ketua etnik bagi menjadi sebuah perkumpulan ketua bernama Wičháša Yatápika.

Menjadi sebahagian dari Wičháša Yatápika adalah sebuah penghormatan tertinggi dari masyarakat kerana status tingginya yang mewakili 7 buah daerah Sioux. Kita boleh bayangkan Wičháša Yatápika macam raja yang menaungi jajahannya. Namun tugas ketua etnik lebih berat dari Wičháša Yatápika kerana pengurusan permasalahan komuniti dan perjumpaan tahunan diuruskan oleh ketua etnik di daerah masing-masing.

Manakala perlantikan ketua etnik tidak terikat dari pemilihan Seven Council Fires. Perlantikan ketua berdasarkan status kelahiran dari keluarga terhormat atau memperlihatkan sifat kepimpinan dari individu seperti keberanian, ketabahan, kemurahan hati, dan kebijaksanaan. Selain mengadakan perjumpaan, ketua etnik juga mahir menentukan kawasan pemburuan yang strategik, pergerakan khemah (kaum Sioux hidup nomad sebelum kedatangan penjajah), dan memilih perang atau perdamaian dengan kaum lain.

Ketua etnik atau dipanggil sebagai Wičháša Itȟáŋčhaŋ melantik 2 atau 4 orang Shirt Wearers. Shirt Wearers seperti wakil rakyat. Peranan mereka adalah meleraikan pergaduhan antara keluarga dan perbalahan dengan kaum jiran.

Masyarakat Sioux didominasi oleh kaum lelaki dan berpecah lagi kepada beberapa buah perkumpulan kecil bagi memudahkan urusan kemasyarakatan. Ada 2 jenis kumpulan sosial iaitu Akíčhita (perkumpulan remaja lelaki) dan Načá (perkumpulan lelaki dewasa dan bekas ketua etnik). Načá adalah perkumpulan yang penting kerana peranan mereka melantik ketua etnik.

Sebuah kumpulan sosial lagi iaitu Akíčhita, kumpulan pahlawan yang bertugas untuk melatih pemburu, pahlawan, dan menjaga keselamatan komuniti. Tambahan lagi, kelas bernama Wakíčhuŋza atau ‘Pipe Holder’ adalah kumpulan sosial lebih rendah dari Shirt Wearers namun mereka mempunyai peranan penting seperti mengadakah upacara keamanan, memilih lokasi penempatan, dan membimbing Akíčhita memburu kerbau atau bison.

HUBUNGAN DAN PERANG DENGAN EROPAH

Pada abad ke-17, orang Dakota pernah berhubung dengan Eropah di kawasan Sungai Mississippi dan The Great Lake namun hubungan tersebut terputus pada 1659 kerana mereka terlibat berperang dengan orang Iroquois. Pada akhir abad ke-17, orang Dakota mengadakan hubungan bersekutu dengan para pedagang Perancis. Hubungan dengan pedagang Perancis berlaku apabila pasangan lelaki pedagang bulu dan pengembara iaitu Radisson dan Groseilliers tiba di negeri Wisconsin, penempatan asal orang Dakota pada sekitar tahun 1659 – 1660.

Pada awal tahun 1700, pedagang bulu dan pendakwah Kristian turut muncul mengadakan hubungan dengan orang Dakota seperti  Claude-Jean Allouez , mubaligh Jesuit yang rajin berdakwah kepada kaum asal Amerika; dan Pierre-Charles Le Sueur, pengembara Eropah pertama mengembara lembah Sungai Minnesota. Tujuan asal pedagang Perancis mengadakan hubungan sebegitu adalah mereka ingin menguasai jalan perdagangan bulu Amerika Utara bagi bersaing dengan British dalam urusan perdagangan bulu.

A. Perang Dakota

Namun hubungan orang asal dengan pedagang asing kadang-kala tidak berterusan dengan aman. Maka berlaku peperangan pertama orang Sioux dengan Eropah melalui Perang Dakota pada 1862.  Tahun itu adalah tahun memeritkan kerana orang Sioux Dakota mengalami kebuluran disebabkan musim sejuk yang menggagalkan hasil pertanian.

Bila perkara ini berlaku, pampasan dari persekutuan Amerika akan diberi kepada pedagang Eropah, kemudian pampasan itu dibagi sama rata kepada orang Sioux Dakota. Tetapi tahun itu pampasan diberi lambat, jadi pedagang Eropah sengaja melambatkan pembayaran  dengan memberi alasan yang sama. Sehingga seorang pedagang bernama Andrew Myrick berlaku biadab kepada pekerja Dakota yang meminta segerakan pembayaran. Dia berkata kepada orang bawahannya: “Kalau mereka lapar, beri mereka rumput sebagai makanan!”

Kerana orang Sioux Dakota tidak berpuas hati atas layanan pedagang, pada 17 Ogos 1862, Perang Dakota berlaku apabila beberapa orang Dakota Timur/Santee membunuh keluarga petani Eropah. Serangan mereka berterusan dengan meyerang penempatan pedagang Eropah sepanjang Sungai Minnesota terutamanya di New Ulm, kemudian menyerang pos dagangan. Setelah serangan tersebut, para penghuni yang terselamat menemui mayat Andrew Mynick dengan mulutnya disumbat dengan rumput. Maka, jangan sekali-kali bangunkan ‘singa’ Dakota.

Pada 5 November, tahun yang sama di Minessota, 303 orang Santee didapati bersalah atas tuduhan membunuh dan merogol warga orang putih Amerika yang mendapat hukuman gantung sampai mati. Mana-mana peguam dan saksi tidak dibenarkan membela pesalah dan setiap pesalah dibicarakan hanya 5 minit saja di mahkamah.

Walaupun begitu, atas jasa baik presiden Amerika ketika itu, Abraham Lincoln (1861 – 1865), hukuman gantung 284 orang pesalah (bagi kaum asal, mereka ini adalah pejuang) diringankan kepada penjara seumur hidup manakala 38 orang pesalah lagi diluluskan hukuman gantung pada 26 Disember 1862. Inilah hukuman mati terbesar dalam sejarah USA.

GAMBAR 5: Illustrasi surat khabar mnegenai hukuman gantung sampai mati 38 orang pejuang Sioux

Selepas Perang Dakota, ramai orang Santee berpindah dari Minnesota ke Kanada. Ada antara mereka berpindah ke lembah Sungai James sebelum dipaksa berpindah ke kawasan pemuliharaan Crow Creek oleh persekutuan Amerika. Sebahagian orang Dakota lain bergabung dengan orang Nakota dan berpindah ke barat dan bersama kaum jiran mereka iaitu Lakota untuk meneruskan perjuangan menentang tentera Amerika yang sentiasa menggugat kehidupan orang asal Amerika.

B. Perang Red Cloud

GAMBAR 6: Kawasan Powder River Country yang pernah menjadi perebutan orang Sioux dan USA.

Perang yang dikenali sebagai Perang Bozeman adalah konflik bersenjata antara orang Lakota dan tentera Amerika di kawasan jajahan Wyoming dan Montana dari 1866 hingga 1868. Perang ini tercetus disebabkan penaklukan tentera Amerika di kawasan Powder River Country yang berada di utara Wyoming.

Perang ini dinamakan dari nama ketua Sioux iaitu Red Cloud yang mengisytiharkan perang ke atas Amerika berikut pemcerobohan tentera Amerika ke atas Powder River Country. Perang ini dimenangi oleh orang Lakota dan berakhir dengan Perjanjian Fort Laramie apabila USA mengetahui yang mereka tidak mampu hentikan serangan Lakota.

C. Perang Great Sioux 1876

Dikenali sebagai Perang Black Hills, perang ini adalah peperangan bersiri melibatkan orang Sioux Lakota, Cheyenne, dan USA. Perang ini tercetus akibat kerakusan USA ingin memiliki banjaran Black Hills. Pada asalnya, peneroka Amerika telah menemui emas di banjaran tersebut dan membina penempatan untuk tujuan perlombongan emas.

Namun, bagi kaum Lakota dan Cheyenne, tindakan Amerika sebenarnya menceroboh tanah tradisi mereka dan tidak mengiktiraf pemilikan Amerika ke atas banjaran Black Hills. Telah banyak perang tercetus sepanjang peperangan Great Sioux berlaku seperti Perang Powder River sebagai permulaan, dan berakhir dengan perang di Gunung Wolf.

Perang paling bersejarah dan menjadi bualan sepanjang generasi orang asal Amerika adalah Perang Little Bighorn atau Custer’s Last Stand/Perang Greasy Grass pada 25 – 26 Jun 1876. Ini adalah perang melibatkan gabungan para pejuang berkuda orang asal iaitu orang Lakota, Cheyenne, dan Arapaho menentang tentera Amerika iaitu Rejimen Berkuda ke-7.

GAMBAR 7: Ketua Perang Sioux, Sitting Bull. Bertanggungjawab atas Perang Little Bighorn.

Kekuatan pejuang berkuda orang asal seramai 2,500 orang yang diketuai oleh beberapa ketua perang seperti Crazy Horse, Chief Gall, dan Sitting Bull. Manakala Rejimen Berkuda ke-7 USA yang diketuai oleh Lefternan Kolonel George Armstrong Custer hanya seramai 700 orang.

Dari kekuatan kedua-dua pasukan, rejimen berkuda mengalami kekalahan teruk dengan 268 orang terbunuh dan 55 orang cedera manakala pejuang berkuda hanya sekitar 300 orang terbunuh dan 160 orang cedera. Perang yang berlangsung di Sungai Little Bighorn, Montana ini dimenangi oleh pejuang kaum asal dan inilah kemenangan terbesar mereka sejak perang bersiri Great Sioux. Sebuah monument bernama Little Bighorn Battlefield National Monument dibina bagi memperingati peristiwa tersebut.

Malangnya, kemenangan pejuang orang asal tidak berkekalan. USA di bawah pemerintahan presiden Ulysses S. Grant (1869 – 1877) dan Rutherford B. Hayes (1877 – 1881) berusaha memaksa orang asal Amerika menyerah kalah dengan memusnahkan perkampungan dan harta mereka.

Pada 28 Febuari 1877, Perjanjian 1877 ditandatangani oleh kedua-dua pihak sebagai penyelesaian bagi menamatkan perang bersiri ini dan tanah orang Sioux yang telah lama mereka pertahankan dibahagi dan merasmikannya sebagai kawasan pemuliharaan orang Indian.

D. Pembunuhan Beramai-ramai Wounded Knee

GAMBAR 8: Penguburan beramai-ramai mangsa tragedi Wounded Knee

Pembunuhan Beramai-ramai Wounded Knee adalah konflik bersenjata terakhir melibatkan pejuang Sioux dan USA. Ia sebenarnya perang namun bagi Jeneral Perang Nelson A. Miles, perang itu sebenarnya pembunuhan beramai-ramai ketika membuat laporan melalui surat dan menghantar ke Commissioner of Indian Affairs.

Pada 29 Disember 1890, Rejimen Tentera Ke-7 yang terdiri dari 500 orang bersama 5 buah meriam ringan Hotchkiss telah mengepung penempatan dua etnik Lakota iaitu Hunkpapa dan Miniconjou dan membawa mereka ke sungai Wounded Knee, pusat ketenteraan rejimen ini. Setibanya di sana, berlaku perang tidak terjangka sehingga pada akhirnya seramai 300 orang Lakota termasuk kanak-kanak dan wanita serta 25 orang tentera USA terbunuh. Entah siapa sebenarnya yang memulakan peperangan tetapi ada beberapa versi bagi memahaminya, antaranya versi salah satu tentera USA melakukan ‘friendly fire’ apabila kekacauan berlaku.

Antara perjuangan kaum asal Amerika menentang penjajah, orang Sioux adalah kaum yang tidak pernah berhenti menentang USA terutamanya mempertahankan tanah mereka dari tindakan melampau kerajaan, sehingga sekarang. Isu terbaru adalah sekitar musim panas 2016. Kaum Sioux Standing Rock yang tinggal di North Dakota memprotes atas pembinaan paip minyak yang melintasi kawasan mereka di bawah tanah.

Tindakan USA yang ingin membina paip sejauh setengah batu melintasi Sungai Missouri adalah berbahaya bagi orang Sioux kerana dikhuatiri pembinaan tersebut bakal mencemarkan sungai apabila berlaku pembocoran paip dan bakal meracuni mereka yang meminum sungai tersebut. Dari tindakan protes itu, banyak organisasi kaum asal, pejuang alam sekitar dan hak sivilmenyokong perjuangan tersebut.

GAMBAR 9: Demonstrasi protes pembinaan paip minyak di penempatan Dakota

RUJUKAN:

Hassrick, Royal B (1977). The Sioux: life and customs of a warrior society. University of Oklahoma Press. 

Gibbon, Guy E (2003). The Sioux: the Dakota and Lakota nations. Blackwell. 

Johnson, Michael (2000). The Tribes of the Sioux Nation. Osprey Publishing Oxford.

Liu, Louise (September 13, 2016). “Thousands of protesters are gathering in North Dakota — and it could lead to ‘nationwide reform'”Business Insider. Retrieved March 7, 2019

McLaughlin, Marie L (2010). Myths and Legends of the Sioux. BiblioBazaar.

Scott, Douglas D; et al. (2013). Archaeological Perspectives on the Battle of the Little Bighorn. Norman, OK: University of Oklahoma Press. p. 244. 

.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang ulat buku dan pejuang alam sekitar. Penulis yang rajin tulis tentang flora dan fauna serta sejarah dunia. Dan tak terkecuali peminat Fate.

Comments are closed.