TATKALA kita menyebut perkataan “naga” maka ramai antara kita akan mula memikirkan sosok-sosok fizikal seekor naga yang sering menghiasi cerita-cerita mistik dan lagenda seantero dunia. Ya, sesuai dengan tajuk artikel ini mungkin ramai mula mencongak benarkah ada sekelompok manusia yang menggelar dirinya sebagai Kaum Naga dan negara mereka dikenali sebagai Tanah Naga. Dunia kita ini cukup luas dan di dalamnya dihuni oleh pelbagai manusia yang mempunyai susurgalur mengkhusus dan kadangkala kebudayaan, bentuk fizikal juga hampir menyamai beberapa kaum yang ada di nusantara.

Orang Naga atau Kaum Naga merupakan sekelompok etnik yang menduduki bahagian timur laut India dan barat laut Myanmar. Kaum Naga mempunyai kepelbagaian etnik di dalamnya yang mana secara rasminya merangkumi 16 etnik dan antara yang terkenal sekali adalah etnik Angami, Ao, Chakhesang, Chang, Khiamniungan, Konyak, Lotha, Pochury, Phom, Poumai, Rengma, Sangtam, Sema, Memai, Yimchunger dan Zeliang.  Kesemua mereka berhimpun di negeri-negeri seperti Arunachal Pradesh, Assam, Nagaland di India. Manakala Kaum Naga seperti etnik Zeme, Liangmai, Mao, Nocte, Phom, Poumai Naga, Rongmei, Tangsa, Tutsa dan Wancho menjadikan Myanmar sebagai negara mereka bermastautin tetap.

Berdasarkan konsensus dunia menyatakan populasi Kaum Naga adalah sekitar tiga juta orang dengan hampir 70% daripada mereka mendiami Negara India. Dan apabila berkata mengenai bahasa pula kesemua Kaum Naga mempunyai kepelbagaian dialek mengikut lokasi kediaman mereka. Walau dihimpun sebagai satu kaum iaitu Kaum Naga dikatakan setiap etnik tidak mempunyai persamaan bahasa atau dialek yang dipertuturkan.  Persamaan mereka hanyalah dari segi bentuk fizikal, ritual, perayaan, sejarah dan juga kulinari tradisional.

Sehingga ke hari ini, para antropologis di dunia masih lagi belum mendapat jawapan yang tuntas di dalam menyatakan dari mana asal keturunan kaum yang unik ini sehingga membawa kepada keberadaan mereka di Tanah Naga. Berdasarkan kepada cerita legenda yang dipercayai oleh kaum Naga mempercayai bahawa mereka berasal dari Chindwin dan Lembah Irrawady sebelum mereka bermigrasi ke Tanah Naga. Dan ada juga sekelompok daripada mereka mempercayai bahawa mereka suatu waktu dahulu tinggal berdekatan dengan pulau atau laut dan kemudian ada sekelompok dari mereka merentas ke selatan lantas membentuk kaum pribumi-pribumi yang berada di sebelah nusantara.

Dan yang pasti di dalam mengkaji kewujudan Kaum Naga di Tanah Naga ini ada titik persamaan mereka dengan kaum pribumi di Borneo apabila di dalam sastera rakyat mereka turut berkongsi tentang teori banjir besar iaitu tatkala pentas Sunda tenggelam serta seekor penyu gergasi yang menyelamatkan mereka sewaktu survival kaum mengharungi bah besar beribu-ribu tahun yang lalu. Sastera rakyat ini turut menjadi antara yang mengwarnai cerita-ceriti kaum pribumi di Borneo seperti Iban, Penan, Lun Bawang, Kelabit, Kayan, Kenyah serta banyak lagi.

Jika Pulau Borneo, pulau ketiga terbesar di dunia digelar oleh pengembara barat sebagai “The Land of Headhunters” begitulah juga untuk Tanah Naga kerana kaum Naga turut mempunyai budaya yang sama iaitu memburu kepala manusia. Pribumi di Borneo seperti Iban misalnya terkenal dengan budaya masa lalu mereka iaitu mengayau untuk pembuktian kejantanan serta perluasan wilayah maka begitulah juga Kaum Naga. Suatu waktu dahulu yang berjantina lelaki tidak akan dianggap sebagai lelaki dewasa dan dibenarkan berkahwin sekiranya tidak pernah memotong kepala musuh. Kepala manusia itu merupakan satu trofi kemenangan dan akan menjadi pengangkat maruah keluarga lantas dipamerkan di murong-murong (rumah tradisional) buat tontonan umum.

Di samping itu, berbicara dari segi tatu pula cukup menarik kerana dikatakan Kaum Naga turut mempunyai penceritaan pada tatu-tatu yang berselerakan di badan dan muka mereka. Dan tatu-tatu tradisional pada kaum Naga turut mempunyai perbezaan untuk yang lelaki dan wanita.  Ianya bersamaan dengan makna tatu-tatu tradisional yang dilakar pada anggota badan Dayak di Borneo. Bagi kaum Iban terkenal dengan tatu “bungai terung” yang merupakan tanda satu perjalanan penghidupan seorang lelaki dayak dan begitulah juga untuk kaum Naga walaupun rekabentuk tatu mereka tidak sama. Selain itu, para pahlawan Kaum Naga turut mempunyai beberapa tatu-tatu yang menunjukkan pencapaian mereka di dalam perang-perang sama seperti pahlawan dayak di Borneo.  Dan tatu-tatu ini tidak sewenang-wenangnya dilakar di badan dan muka tanpa ada firasat mahupun didatangi mimpi-mimpi di kalangan orang tua-tua mereka.

Burung enggang atau burung kenyalang sudah tentu sinonim dengan Borneo kerana ianya dianggap burung suci bagi etnik Dayak di Borneo.  Bulu burung kenyalang sudah sebati antara penghias busana tradisional mereka. Untuk kaum Naga, burung enggang juga sebenarnya burung suci bagi mereka. Busana tradisional mereka sentiasa ada secebis bulu enggang di dalamnya. Malah jika di Borneo mempunyai perayaan-perayaan yang mengkhusus iaitu Gawai Kenyalang maka begitulah juga Kaum Naga yang mana perayaan mereka dikenali sebagai Perayaan Kenyalang (Hornbill Festival) yang diraikan dari tanggal 1 hingga 10 Disember saban tahun.  Kaum Naga seantero Tanah Naga akan berkumpul di Kohima iaitu satu bandar pergunungan yang dikenali sebagai bandar suci Kaum Naga.  Di sinilah mereka akan mengangkat semula ritual-ritual nenek moyang mereka, tarian-tarian tradisional dan sebagainya sehingga mampu menjadikan Perayaan Kenyalang itu menjadi destinasi pelancongan di India ketika ianya berlangsung.

Di kalangan kaum Dayak di Borneo terkenal dengan rumah panjang atau lamin-lamin yang menjadi tempat kediaman. Bukan sedikit yang mendiami satu rumah panjang kerana ada sesetengahnya mampu mempunyai 100 pintu yang memuatkan 100 keluarga di dalamnya. Di kalangan Kaum Naga pula turut mempunyai rumah-rumah tradisional cuma ianya hanya dihuni oleh satu keluarga yang sama. Dan perbezaannya setiap anak lelaki dan anak perempuan yang sudah berstatus bujang tidak akan dibenarkan tinggal di rumah keluarga sebaliknya akan dipisahkan untuk mendiami rumah-rumah yang seakan berbentuk asrama. Di asrama inilah lelaki dan wanita bujang akan diajar untuk hidup mandiri sehinggalah mereka bertemu jodoh dan kemudian kembali ke rumah keluarga atau murong bersama pasangan masing-masing.

Dahulu nenek moyang Kaum Naga adalah antara mereka yang mempercayai kekuasaan alam dan banyak ritual-ritual yang mereka lestarikan sebagai pengantara antara manusia dan alam. Dan sejak kedatangan misionari ke tanah Naga pada kurun ke-18 Masihi, ramai antara mereka adalah penganut agama Kristian dengan tidak pernah melupakan ritual-ritual adat nenek moyang dahulukala. Ini juga masih lagi mempunyai persamaan dengan kaum Dayak di Borneo yang walaupun sudah beragama Kristian tetap masih mempertahankan ritual-ritual adat yang tidak bercanggah dengan agama yang mereka anuti sekarang.

Kaum Naga mungkin minoriti di negara India mahupun Myammar tetapi kepahlawanan mereka di dalam berperang untuk keamanan dunia sejagat sudah dijana sejak Perang Dunia Pertama lagi. British misalnya bersandarkan kepada kudrat mereka suatu waktu dahulu dan begitu juga sewaktu Perang Dunia Kedua berlangsung.  Takut-takut berani tiada di dalam diari penghidupan mereka kerana pahlawan pemburu kepala bukanlah mereka yang sembrono sahaja.

Sejak di tahun 1950-an, Kaum Naga masih lagi berjuang untuk kemerdekaan Tanah Naga di India.  Kerajaan India berusaha keras untuk membasmi suara-suara mereka sehingga pernah mengistiharkan darurat di Tanah Naga bagi membendung suara minoriti ini. Sekarang di zaman dunia maya dan media sosial, ramai golongan muda Kaum Naga masih lagi berjuang dengan menggunakan pengaruh dunia maya untuk melestarikan kehendak mereka. Biar seribu tahun lagi, Kaum Naga akan terus menuntut kemerdekaan daripada Negara India.

Serupa tetapi tidak sama.

-HB-

#KamekSayangSarawakBah!

Rujukan:

  1. The Last Headhunters of Nagaland

https://thediplomat.com/2018/04/the-last-headhunters-of-nagaland/

  1. Nagaland Tourism – Hornbill Festival

http://tourismnagaland.com/?page_id=77

  1. The Konyaks, Tattooed Headhunters are a vanishing tribe

https://qz.com/india/1136007/the-konyaks-of-nagaland-indias-famed-tattooed-headhunters-are-a-vanishing-tribe/

  1. Nagaland

https://www.webindia123.com/NAGALAND/People/PeopleS.htm

  1. Misteri antara suku naga India dan kaum Dayak di Borneo

https://www.fortunanetworks.com/2015/05/misteri-affinity-antara-suku-naga-india.html


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Memartabatkan sejarah Sarawak dan Borneo agar mampu diketahui sebaik mungkin oleh masyarakat Malaysia merupakan visi dan misi yang utama di dalam penulisannya. Seorang jurutera automatif yang terjun ke dunia penulisan bagi memvariasikan kebolehan dirinya.

Comments are closed.