Kaum Melayu (600 SM – Kini): Pembina Tamadun Terawal Asia Tenggara

0
964
views

Asal-usul orang Melayu masih dalam perbahasan diantara sejarawan, ahli linguistik ahli antropologi dan arkeologis. Pelbagai teori yang dibangkitkan, namun tiga ini merupakan teori-teori dalam sejarah yang membahaskan asal-usul orang Melayu.

  1. Berasal dari Yunnan
  2. Berasal dari Taiwan
  3. Berasal dari Sundaland (Kepulauan Melayu) itu sendiri.

Etimologi Melayu dalam sejarah juga pelbagai. Terdapat hipotesis yang menyarankan bahawa Melayu adalah berasal dari perkataan malayo yang berasal dari bahasa Tagalog bermaksud jauh yang diambil daripada kata dasar “layo” atau “layoh”, iaitu kognat kepada perkataan Jauh dalam bahasa melayu. Malaya pula dalam Bahasa Tagalog yang bermaksud bebas ialah daripada perkataan “laya”, kognat kepada kata dasar “layar” dalam Bahasa Melayu.

Namun, antara rekod terawal yang merujuk kepada nama Melayu itu sendiri adalah pada rekod lukisan Ptolemy dilukiskan seawal 150 Masihi yang meletakkan nama Μαλεου Κώλον atau Meleu-Kolon. Perkataan Melayu juga dikatakan disebut dalam kitab Hindu yang terkenal bernama Vayu Purana pada perkataan Malaya Dvipa yang merujuk kepada Tanah Melayu, yang bentuk muka buminya bergunung ganang.

Kerajaan yang bernama Melayu yang lokasinya di seitar Jambi, yang lahirnya pula pada abad ke-7 Masihi yang kemudian dikunjungi oleh I-Ching dalam pengembaraan agung yang terkenal itu. I-Ching dicatatkan seperti berikut:

“…tiba dan menginap selama 6 bulan. Mempelajari tatabahasa Sanskrit di sini. Sang raja memberikan daku bantuan dan menghantar daku ke negeri yang bernama Moloyu…

Begitulah sejarah ringkas yang membahaskan mengenai etimologi nama Melayu itu. Nama ini kemudian kuat menjadi identiti sebuah bangsa pada zaman Kesultanan Melayu Melaka apabila identiti Melayu itu dibentuk lalu menjadi batu asas kepada kebudayaan Melayu moden hari ini.

Adapun, Asia Tenggara pula ialah sebuah kawasan yang melihatkan terdapat antara penempatan terawal manusia di dunia. Sebagai contoh, penemuan kapak di Lenggong memberikan angka sekurang-kurangnya 1.8 juta tahun, memberitahu kepada kita bahawa betapa tuanya usia penempatan manusia di Asia Tenggara. Usianya sekaligus meletakkan sebagai kapak batu tertua manusia, lebih tua daripada yang berada di Afrika yang berusia 1.6 juta tahun. Selain itu, penempatan-penempatan pra-sejarah yang terkenal di Semenanjung Tanah Melayu ialah seperti Perak Man yang berusia 11, 000 tahun,

Namun, walaupun sejauh 11, 000 tahun rangka manusia zaman pra-sejarah ditemui, hanya pada tahun 600 SM, atau angka yang lebih tepat 535 SM berdirinya peradaban zaman besi terawal di Asia Tenggara dan Malaysia khususnya. Penemuan-penemuan seperti jeti pelabuhan purba, industri membuat besi dan tapak kota metropolitian yang pernah berdiri di sekitar Sungai Merbok ini dicadangkan sebagai sebuah peradaban milik bangsa Melayu berdasarkan faktor seperti seni bina, pentarikhan, dan seumpama dengannya.

Prof Mokhtar Saidin, ketua arkeologis yang bertugas di Sungai Batu ketika menyampaikan syarahannya.

Dari peradaban disekitar Sungai Batu itu, lahirnya pelbagai kerajaan seperti Kedah Tua yang dicadangkan sebagai warisan Sungai Batu yang berdiri lebih awal. Selain Kedah Tua, kerajaan orang Melayu turut dikaitkan lokasinya di utara Tanah Melayu adalah Langkasuka yang turut dicatat kewujudannya dalam kronikel-kronikel China yang sezaman dengannya. Selain itu, negara-negara kota dan kerajaan kecil ini tumbuh disekitar Kepulauan Melayu seawal abad ke-2 dan ke-3 Masihi, bahkan pada zaman kemuncaknya, catatan China mengatakan terdapat 30 buah negara kota Melayu berdiri sepanjang Tanah Melayu.

Negara-negara kota ini kemudiannya disatukan dibawah sebuah empayar bernama Srivijaya yang menganut agama Buddha sebagai anutan utama. Raja pertama Srivijaya iaitu Dapunta Hyang Sri Jayanasa disebut namanya dalam antara prasasti terawal dalam Bahasa Melayu Kuno iaitu Prasasti Kedukan Bukit yang dipahat dalam Bahasa Melayu Kuno.

Empayar ini berdiri untuk selewat-lewatnya selama 600 tahun (650-1280), bermula pada abad ke-7 ekpedisi penakukan dilakukan oleh Dapunta Hyang Sri Jayanasa. Empayar ini kemudian berkembang menakluk pelbagai negara kota dan kerajaan kecil dan disatukan dibayar empayar.

Luas empayar Srivijaya.

Antara maharaja-maharaja terkenal dalam sejarah Srivijaya ialah Sri Indravarman yang dikatakan telah mengirim surat kepada Khalifah Umar Abdul Aziz dari Dinasti Umaiyyah supaya menghantarkan orang untuk mengajar agama Islam kepada Srivijaya. Terdapat pendapat yang mengatakan bahawa baginda memeluk Islam.

Keluasan empayar Srivijaya mencapai zaman kemuncaknya ialah ketika era pemerintahan Maharaja Dharanindra daripada Dinasti Sailendra yang memerintah Srivijaya dari Pulau Jawa sehingga digelar “penumpas musuh-musuh perwira.” Walaupun demikian, pengaruh Srivijaya itu sampai di Filipina apabila ditemui prasasti berbahasa Melayu-Kuno sejauh di Manila yang dikenali sebagai Prasasti Keping Tembaga Laguna.

Srivijaya ialah sebuah empayar yang mendapat manfaat daripada kedudukannya yang strategik di tengah-tengah laluan perdagangan antara Timur dan Barat. Lagi-lagi apabila berjaya menyatukan seluruh negara-negara kota dan kerajaan kecil Melayu sepanjang Selat Melaka (Tanah Melayu dan Sumatera).

Dasar Srivijaya menguasai negara-negara kota Melayu adalah untuk menguasai sebahagian laluan perdagangan maritim yang dipanggil “International Nanhai Trade”. Laluan perdagangan ini adalah laluan perdagangan antara China dengan kerajaan-kerajaan di selatan yang kemudiannya menjalur hingga ke Timur Tengah dan Afrika. Rekod terawal mengenai “Nanhai Trade” antara China dan Semenanjung Tanah Melayu sudah wujud sejak 140 BC lagi, seperti yang tercatat dalam Han Shu.

Srivijaya lebih awal selama beratus tahun dari Melaka menjadikan pelabuhan-pelabuhan dibawah empayarnya sebagai empayar entrepot terpenting dunia ketika itu. Betapa dalam catatan China menjelaskan betapa pentingnya wilayah ini dalam keadaan aman dan stabil demi memastikan kapal-kapal China yang berlayar dalam keadaan selamat sehingga ke Tanah Arab. Pelbagai barang dagangan didagangkan bermula dengan Dinasti Tang, Song sehinggalah ke Yuan China.

Kekayaan Srivijaya adalah sangat masyur dalam pelbagai catatan China dan Arab datang daripada aktiviti perdagangan pada pelabuhan-pelabuhan entreportnya. Antara kisah kekayaan yang masyur adalah bagaimana maharajanya akan mencampakkan jongkong emas ke dalam tasik di hadapan istana pada setiap hari. Apabila mangkatnya maharaja itu, jongkong emas akan diambil dari dasar tasik dan ditimbang. Prestij maharaja akan diukur pada beratnya tambangan tersebut.

Selain itu, kisah ekpedisi ketenteraaan Srivijaya juga masyur dalam sejarah. Antara yang disebut dalam legenda adalah bagaimana maharaja Srivijaya menyerang Empayar Chenla yang ketika itu rajanya dengan angkuh mengimpikan kepala Maharaja Srivijaya di atas dulang makanannya. Pengakhirannya, kepala maharaja Chenla itu yang dipancung oleh Srivijaya manakala Chenla menjadi “vassal-state” kepada Srivijaya untuk beberapa tempoh yang lama.

Srivijaya mula memasuki zaman-zaman kejatuhannya apabila dijarah oleh Rajendra Chola daripada Selatan India. Penjarahan ini meskipun tidak menjatuhkan Srivijaya, telah melemahkan empayar itu. Zaman kejatuhan turut bermula apabila pemberontakan negara-negara kota Melayu dibawahnya yang cuba melepaskan diri dari pengaruh Srivijaya. Akhirnya, pada tahun 1280, Srivijaya telah ditakluk oleh kerajaan Singhari dari Kepulauan Jawa.

Rentetan kejatuhan Srivijaya, bangkitlah beberapa kerajaan Melayu, sebagai contoh seperti Kerajaan Melayu Purba. Namun, orang Melayu bangkit semula dengan Empayar Melaka yang ditubuhkan oleh waris-waris bangsawan Srivijaya itu sendiri. Ketika inilah, nama Melayu yang sebelum ini lebih merujuk kepada nama dinasti dan kerajaan mula berevolusi mencapai maksud negara bangsa yang kita kenali seperti hari ini. Ketika waktu ini jugalah, identiti Melayu seperti kebudayaan, bahasa dan pakaian menjadi seperti yang kita kenali hari ini.

Melaka tidak kurang hebatnya juga seperti Srivijaya. Parameswara yang lari dari Singapura Purba selepas kerajaan itu ditakluk oleh Majapahit telah mengasaskan Melaka. Dari sebuah negara kota dan pelabuhan kecil di Melaka, Parameswara membangunkan Melaka menjadi sebuah empayar yang kaya-raya.

Kekayaan Melaka pada zaman kemuncaknya sehingga Tom Pires berani mengatakan sesiapa yang menakluk Melaka, maka dia akan memegang kerongkong Venice. Bahkan Duerto Barbarossa mengatakan seperti berikut:

“Bandaraya Melaka adalah pelabuhan terkaya dengan jumlah perdagangan borong yang terbesar dan perkapalan serta perdagangan yang sungguh banyak yang boleh didapati di seluruh dunia.”

Ini tidaklah dihairankan mengenai kekayaan Empayar Melaka ini kerana dalam satu-satu hari sahaja, Melaka memperlihatkan terdapat 2000 buah kapal yang berdagang di sana, sehinggakan disamakan oleh sarjana sama sibuk dengan pelabuhan Singapura moden hari ini, menjadikan Melaka sebagai pelabuhan tersibuk dan terkaya di dunia ketika itu.

Zaman kegemilangan Melaka adalah dibawah pemerintahan Sultan Mansur Shah. Pada zaman pemerintahannya, Melaka telah menakluk beberapa buah negeri seperti Pahang, Kampar dan Siak. Manakala Majapahit pula telah menyerankan wilayah-wilayahnya secara sukarela kepada Sultan Mansur Shah seperti Indragiri, Jambi, Tungkal dan Siantan.

Pada ketika inilah, kemuncak kekuatan ketenteraan Melaka itu menjadi perbualan. Konflik tercetus antara Melaka dan Dai-Viet yang telah mengasari utusan-utusan Melaka. Selepas mendapat restu Dinasti Ming, maka Melaka telah berhadapan dengan 90, 000 orang tentera Dai-Viet dan berjaya mengalahkan Dai-Viet.

Pada kemuncak zaman Melaka, terdapat sekurang-kurangnya 23 buah kerajaan tunduk kepada Melaka sama ada ditakluk atau menyerah secara rela untuk berada dibawah naungan Empayar Melaka. Kelantan ialah wilayah terakhir yang ditakluk oleh Melaka.

Empayar Melaka zaman kegemilangannya.

Namun, pada sesuatu yang agung itu, tentu ada penamatnya. Zaman penamat Empayar Melaka adalaj bermula pada serangan Portugis ke atas Melaka pada tahun 1511. Walaupun Melaka jatuh, catatan-catatan Portugis mengenai kekayaan Melaka sepatutnya dikenang oleh orang Melayu itu sendiri.

Semasa Portugis menawan Istana Sultan Mahmud Syah Melaka, mereka mendapati istana ini memiliki sebuah peti besar berkaki dan dipenuhi dengan permata yang bernilai 60,000 cruzado. Selain itu juga, terdapat empat balang emas yang mengandungi minyak wangi, bekas emas yang mengandungi butiran mutiara selain gadis cantik yang bertugas sebagai dayang istana. Emas simpanan Sultan Alaudin Riayat Syah sahaja yang ditemui adalah seberat 3 tan!

Bahkan, antara rekod harta harun yang hilang yang dijangka paling mahal dalam sejarah dunia ialah harta kekayaan Melaka yang dirampas oleh Portugis ketika mereka menakluk kota Melaka sebelum kapal Flor De La Mar tenggelam di Selat Melaka.

Kejatuhan Melaka tidaklah memberitahu bahawa peradaban Melayu sudah tamat. Jauh nun di Pulau Borneo, terdapat sebuah empayar Melayu yang sedang bangkit menakluk kerajaan-kerajaan dan negara kota Melayu serta etnik lain. Nahkoda Ragam atau Sultan Bolkiah (1485 Masihi – 1524 Masihi) sedang membina nama sebagai penakluk agung. Kemuncaknya, wilayah di persisiran Pulau Borneo seperti Sambas, Tanjungpura, Kota Waringin, Banjarmasin, Pasir, Kutai, Bulungan dan lain–lain lagi berjaya ditakluknya. Luar dari Borneo, empayarnya sampai pula ke Kepulauan Sulu, Palawan, Mindoro, Keramian hingga Luzon dan Manila.

Baginda digelar Nakhoda Ragam kerana kegemarannya bermain kecapi dan gendang semasa mengembara di seluruh kepulauan miliknya. Baginda juga gemar membawa segantang lada hitam dlm kembaranya. Sepanjang perjalanan, baginda akan mencampakkan sebiji lada di kawasan jajahannya, sehingga habis segantang menunjukkan keluasan empayarnya.

Empayar Brunei pada zaman keemasannya.

Selain terkenal dengan kerajaan-kerajaan yang hebat, orang Melayu juga merupakan bangsa pelaut agung dalam sejarah. Lynda Shaffler dipetik berkata demikian dalam bukunya yang menceritakan seperti berikut:

“Orang Cina juga tahu penduduk pulau ini sebagai pembina dan kru kapal laut serta akan terlibat perdagangan laut. Orang Cina sebenarnya telah banyak belajar daripada mereka. Orang Melayu mula membina kapal yang diperbuat dari tikar anyaman yang diperkukuhkan dengan buluh, sekurang-kurangnya beberapa beratus-ratus tahun SM dan ketika masa Dinasti Han (206 SM hingga 221 SM), orang Cina telah menggunakan layar itu.”

Catatan berikut juga boleh dijadikan bukti ilmu perlayaran bangsa Melayu:

“Kewibawaan Melaka ke atas Selat Melaka dipastikan apabila Iskandar Syah menghantar kapal dan perahu peronda yang dikendalikan oleh orang Laut untuk memaksa kapal-kapal singgah di Melaka seperti dalam zaman Srivijaya, laut itu menjadi laut persendirian.”

(P.Wheatly, The Golden Khersonese, Kuala Lumpur, Penerbitan Universiti Malaya, 1980, halaman 308)

Catatan mengenai kapal-kapal Melayu juga diceritakan seperti berikut:

“Flor De La Mar mempunyai geladak haluan dan geladak buritan yang tertinggi antara galleon milik Portugis, dan ini cuma sekadar hampir menyamai geladak Jong Melayu sahaja…”

“Dinding Jong Melayu begitu tinggi sekali sehinggakan orang Portugis tidak mampu memanjatnya (apabila menyerang jong), dan dinding jong setebal empat lapis tidak rosak sedikitpun oleh peluru meriam”

(Portuguese Documents On Malacca mukasurat 213)

Tamadun orang Melayu berterusan mengaum melalui kerajaan-kerajaan yang wujud selepas Srivijaya, Melaka dan Brunei. Meskipun dijajah oleh, Inggeris, Belanda, Portugis dan Sepanyol. Meskipun sedemikian, bangsa ini tidak pernah menyerah lalu bangkit buat sekian kalinya dalam sejarah. Hari ini Malaysia, Brunei, Selatan Filipina dan Selatan Thailand ialah gambaran kepada zaman keemasan peradaban Melayu pada waktu silam.

Rujukan:

Md. Salleh Yaapar. (2014) Peri Nama, Asal Usul dan Identiti Melayu: Ke arah Pencerahan yang Dinantikan. Dewan Bahasa Dan Pustaka

Mohamed Anwar Mohd Din (2011). Asal Usul Orang Melayu: Menulis Semula Sejarahnya. UKM

Abdul Rashid Melebek; Amat Juhari Moain (2004), Sejarah Bahasa Melayu (History of the Malay language). Utusan Malaysia.

Iklil Izzati Zakaria, Mokhtar Saidin, Jeffrey Abdullah (2011) Ancient Jetty at Sungai Batu Complex, Bujang Valley, Kedah.

Zuliskandar Ramli, Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman, Adnan Jusoh & Muhammad Rizal Razman (2014) Candi Sungai Batu (Tapak SB1): Kearifan Tempatan dalam Teknologi Pembuatan Bata dan Seni Bina Candi. Jurnal Antarabangsa Alam dan Tamadun Melayu (Iman)

Paul Michel Munez (2004) Early Kingdom Of The Indonesian Archipelago And The Malay Peninsula.

Slamet Muljana. (1981). Kuntala, Sriwijaya Dan Suwarnabhumi.

Ahmad Jelaini Halimi. (2008) Sejarah dan Tamadun Bangsa Melayu. Utusan Publication.

A. Samad, Ahmad (1979), Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), Dewan Bahasa dan Pustaka

Farahana Suhaimi (2018) Tasjil Anis Salatin; Rahsia Agung Melaka. Patriots Publications.

J. Wilkinson. (1935) The Malacca Sultanate

Nhung Tuyet Tran, Anthony Reid (2016) Viet Nam: Borderless Histories. University of Wisconsin Press

Asyraf Farique (2017) Kemajuan dan Kekayaan Empayar Melayu Melaka. Focus

Srikandi, Al-Semantani, Ibnu-Rusydi. (2015) Membongkar Rahsia Dunia Melayu. Pribumi Asia Tenggara Menjawab Kekeliruan Sejarah. HR Publishing.

Joaquin, Nick, Manila (1990) My Manila: A History for the Young. City of Manila: Anvil Publishing,

Saunders, Graham E (2002) A History of Brunei. RoutledgeCurzon

The Brunei Museum Journal, Brown, D. E., Spanish Accounts of their Expeditions against Brunei in 1578-79, volume 3, 180-221.

John S Carroll, “Francisco de Sande’s Invasion of Brunei in 1578: An Anonymous Spanish Account”.

Lynda Norene Shaffer (1995) Maritime Southeast Asia to 1500.

M.J Pintando (2012) Portuguese Document on Malacca from 1509-1511.

Thesimplestway1001 (2018) Malay Origin – Melayu : Dari Mana?. Youtube. https://www.youtube.com/watch?v=9GH1_h0AZD4&t=723

Jefferey Hais (2015) Early Man In South East Asia. Fact And Detail. http://factsanddetails.com/asian/cat62/sub406/entry-2811.html

Sabrizain. The Malay History: Early Malay Kingdom. http://www.sabrizain.org/malaya/early.htm

Alan Teh Leam Seng (2017) Old-new History Of Ancient Kedah. News Straits Times. https://www.nst.com.my/lifestyle/pulse/2017/11/301995/old-new-history-ancient-kedah

Arkeologi USM (2015) Ekskavasi Sungai Batu Ubah Sejarah Tamadun Asia Tenggara

https://arkeologi.usm.my/index.php/en/berita/26-ekskavasi-sungai-batu-ubah-sejarah-tamadun-asia-tenggara

Malay Mail Online (2016) Tapak arkeologi Sg Batu diisytihar tamadun tertua Asia Tenggara. https://projek.malaymail.com/projekmmo/berita/article/tapak-arkeologi-sg-batu-diisytihar-tamadun-tertua-asia-tenggara

Utusan Online (2016) Kompleks Arkeologi Sungai Batu diisytihar tamadun terawal, tertua Asia Tenggara http://www.utusan.com.my/berita/nasional/kompleks-arkeologi-sungai-batu-diisytihar-tamadun-terawal-tertua-asia-tenggara-1.333689

 

 

 

Previous articleNabi Yusuf, Firaun Akhenaten, Al-Malikul Misr Dan Al-aziz.
Next articleKisah Kegagalan Microsoft
Graduan Diploma dalam bidang Mass Com ini meminati bidang sejarah sejak bangku sekolah lagi. Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 12 buah buku (setakat April 2017). Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!
SHARE