Kalash (juga dikenali sebagai Kalasha) merupakan masyarakat asli yang hidup di wilayah Pakistan moden. Walaupun Pakistan adalah sebuah Republik Islam dengan lebih 95% popuasinya terdiri dari penganut agama berkenaan, kaum Kalash masih berpegang teguh dengan kepercayaan, identiti, gaya hidup dan bahasa mereka yang tersendiri.

Kaum Kalash juga masyhur dengan kulit mereka yang mulus dan mata mereka yang berwarna biru indah. Sifat-sifat sebegini turut membawa kepada lahirnya hipotesis kononnya mereka itu berketurunan Yunani atau secara spesifik, keturunan tentera-tentera Alexander Agung yang mengikutinya dalam kempen ketenteraan di India.

Kaum Kalash boleh ditemui di Daerah Chitral yang terletak di barat laut Khyber Pakhtunkhwa, Pakistan. Mereak mendiami tiga buah lembah yang ada di wilayah berkenaan, iaitu Bumboret, Birir dan Rumbur. Dalam sebuah artikel tahun 2016, dianggarkan bahawa komuniti Kalash terdiri daripada 3000 orang sekaligus menjadikan mereka sebagai komuniti minoriti terkecil di Pakistan.

Walau bagaimanapun, komuniti ini sangat masyhur dengan budaya mereka yang unik lagi terpelihara sehingga kini justeru disenaraikan oleh UNESCO sebagai calon Warisan Kebudayaan Yang Terpeihara. Hakikatnya, langkah untuk mendapatkan perakuan dunia ini merupakan satu usaha oleh kaum Kalash sendiri untuk memelihara kebudayaan mereka.

Lembah Kalash terletak di Daerah Chitral, Khyber Pakhtunkhwa, Pakistan
Seorang pemain gendang semasa berlangsungnya festival Joshi di Bumberet, Pakistan

 


LEGENDA ASAL-USUL KAUM KALASH

Ciri unik budaya Kalash juga membolehkan mereka menumpukan perhatian kepada sektor pelancongan untuk dijadikan sebagai sumber pendapatan. Kelompok ilmuwan terutama ahli-ahli sosiologi, antropologi dan sejarahwan serta jurugambar secara khusus digamit untuk melawat kaum Kalash pada setiap tahun. Misalnya pada tahun 1990an, ribuan pelancong mengunjungi kawasan tersebut secara tahunan walaupun angka ini dicatatkan merudum sejak berlakunya peristiwa 9/11. Satu aspek utama kaum Kalash yang membuatkan para ilmuwan mahupun pelancong berasa terpesona adalah asal-usul mereka yang unik.

Terdapat dua hipotesis utama berkenaan asal-usul kaum Kalash. Salah satu hipotesis tersebut mengatakan bahawa mereka adalah keturunan tentera-tentera Yunani yang mengikuti Alexander Agung dalam kempen ketenteraannya di India. Perkaitan antara kaum Kalash dan raja Macedonia ini mungkin dapat dilihat secara ketara menerusi tulisan masyhur Rudyard Kipling yang berjudul ‘The Man Who Would be King’ di mana hikayat ini dipercayai berasas daripada kaitan antara dua pihak tersebut.

Pada tahun 2014, ahli-ahli genetik memberikan perhatian terhadap hipotesis ini dan mendapati bahawa sebahagian DNA kaum Kalash datang dari penduduk Eropah purba. Malahan, ketika warga-warga tua Kalash berbicara tentang hikayat nenek-moyang mereka semasa dalam majlis-majlis keraian, mereka sering menyebut tentang seorang lelaki yang dipercayai sebagai salah seorang panglima Alexander, iaitu Shalakash. Kononnya, Shalakash menetap di rantau berkenaan.

Sebahagian ilmuwan berpendapat bahawa nama tersebut mungkin merujuk kepada Seleucus Nicator, salah seorang panglima Alexander yang sememangnya memerintah rantau berkenaan selepas pasukan tentera Yunani berangkat pergi.

Tambahan lagi, nama dewata Kalash juga kedengaran mirip dengan dewa-dewi masyarakat Yunani. Terdapat juga banyak perkataan dalam bahasa Kalash (atau Kalasha) yang mirip dengan perkataan dalam bahasa Yunani. Walau bagaimanapun, bahasa Kalash tidak memiliki sebarang manuskrip atau tulisan tangan untuk para ilmuwan membuat perbandingan dengan bahasa Yunani. Cerita-cerita tradisional Kalash hanya diturunkan secara lisan.

Seorang pemain gendang semasa berlangsungnya festival Joshi di Bumberet, Pakistan


Kajian ini sama sekali tidak menyokong pendapat yang menyatakan bahawa kaum Kalash mempunyai kaitan dengan tentera-tentera Alexander. Selain itu, wujud kepercayaan dalam kalangan kaum Kalash bahawa nenek-moyang mereka hanya tiba di rantau tempat mereka diami itu setelah berpindah darisebuah lokasi yang dikenali sebagai Tsiyam yang mungkin wujud di Asia Tenggara.

Walau bagaimanapun, masih tiada siapa yang boleh mengenal pasti lokasi tersebut secara tepat. Selain itu, terdapat juga hipotesis yang menyatakan bahawa Kalash adalah cabang dari Indo-Aryan.

Kajian tahun 2015 mengemukakan bukti bahawa kaum Kalash mempunyai kaitan genetik dengan komuniti pemburu-pengumpul dari Siberia di Zaman Paleolitik. Hal ini sekaligus memberikan gambaran bahawa sekumpulan penduduk dari Eurasia utara berpindah secara besar-besaran sekaligus menyumbang kepada lahirnya populasi di Eropah dan Timur Dekat, jika menurut kajian berkenaan.

TEKANAN TERHADAP KEPERCAYAAN NENEK-MOYANG

Jika dibandingkan dengan komuniti Muslim yang hidup di negara yang sama dengan mereka, kaum Kalash mempunyai gaya hidup dan budaya yang sangat berbeza. Misalnya, cara hidup dan hak yang dimiliki wanita-wanita Kalash agak berlainan dengan pegangan wanita-wanita Islam. Wanita-wanita Kalash dibenarkan untuk mengahwini sesiapa sahaja yang mereka ingini, menceraikan suami dan malah berkahwin lari.

Kaum Kalash berpegang kepada kepercayaan politeisme dan masih mengamalkan kepercayaan pagan purba. Dalam karya Kipling yang berjudul The Man Who Would be King, kaum Kalash yang berpegang kepada amalan nenek moyang dipanggil sebagai ‘kafir hitam’ – suatu istilah yang tidak digemari oleh kaum Kalash.

Jiran mereka iaitu kaum Kalash yang dipaksa memeluk Islam oleh pemerintah Afghan yang bernama Abdur Rahman Khan pada lewat kurun ke-19 dikenali sebagai ‘kafir merah’. Setelah menukar agama, mereka ini dirujuk sebagai Nuristanis (orang yang menerima pencerahan).

Kaum wanita dan kanak-kanak Kalash dalam kostum tradisional yang cerah warnanya


Seiring peredaran masa, tekanan sebegini meletuskan keganasan. Misalnya pada tahun 2016, terdapat laporan berlakunya pergaduhan atau keganasan rentetan seorang remaja perempuan memeluk Islam. Semenjak itu, pihak penguasa Pakistan mengharamkan Jemaah Tabligh dari memasuki lembah tempat keganasan tersebut tercetus.
Sememangnya, penukaran agama merupakan salah satu isu yang dihadapi oleh kaum Kalash pada hari ini. Berlaku tekanan secara langsung mahupun tidak langsung terhadap kaum Kalash.

Misalnya, mereka menerima tekanan langsung apabila terdapat pihak ekstremis yang menyerang golongan lemah dan mewujudkan perpecahan dalam kalangan kaum Kalash. Tekanan secara tidak langsung pula melibatkan kesan-kesan pengaruh daripada janji yang dihamburkan untuk memberi layanan dan khidmat yang diberikan kepada mereka seandainya menukar agama.

Namun, terdapat juga laporan di Radio Free Europe/Radio Liberty yang menunjukkan bahawa penyebaran Islam diusahakan dengan cara lain. Antaranya, ahli-ahli komuniti Kalash yang telah memeluk Islam mengajak ahli keluarga masing-masing untuk mengikuti jejak langkah mereka di samping perbincangan tentang budaya, bahasa dan sejarah Kalash di sekolah semakin berkurangan. Dalam pada itu, kanak-kanak Kalash diajarkan tentang teologi Islam dan al-Quran bersama rakan-rakan Muslim yang lain.

Dianggarkan bahawa bilangan ahli komuniti Kalash yang memeluk agama Islam mencecah 300 orang sejak tahun 2016. Namun, beberapa laporan tempatan mengatakan bahawa anggaran sebenar tidaklah setinggi itu. Dengan hanya 3000 orang sahaja yang membentuk komuniti itu secara keseluruhan, para pemimpin tempatan semestinya akan cakna dan prihatin terhadap jumlah individu yang meninggalkan kepercayaan nenek-moyang mereka.

Selain itu, Radio Free Europe/Radio Liberty turut melaporkan bahawa orang tua-tua dalam kalangan kaum Kalash secara tegas mengharamkan mereka-mereka yang telah meninggalkan kepercayaan nenek-moyang untuk kembali menganutinya. Walau bagaimanapun, hal ini berkemungkinan bukanlah suatu hukuman. Sebalikya, ada yang berpendapat bahawa pengetatan itu bertujuan untuk melindungi mereka dari kemungkinan tindak-balas agresif atas perbuatan mereka meninggalkan kepercayaan nenek-moyang.

Ahli-ahli komuniti Kalash

Satu lagi ancaman yang diterima oleh kaum Kalash adalah arus modenisasi. Ramai dari kalangan gadis Kalash yang berpendidikan tinggi memeluk agama Islam dan mengahwini individu daripada komuniti luar. Sebahagian pemuda Kalash malah berpindah ke kota untuk mencari kerja atau dipengaruhi arus kemodenan dan kemajuan teknologi. Lantaran itu, lahir kekhuatiran bahawa keadaan sebgini akan membawa kepada lunturnya kebudayaan Kalash.

KAUM KALASH DAN MODENISASI

Walau bagaimanapun, di kala modenisasi secara umum dilihat sebagai pembunuh budaya tradisional, sebahagian masyarakat beranggapan sebaliknya. Menurut mereka, dengan wujudnya hubungan antara Kalash dan dunia luar, kaum Kalash dapat memperkenalkan orang luar kepada budaya mereka.

Rasa bangga yang tersemat dalam diri kaum Kalash terhadap kebudayaan dan gaya hidup mereka tidak dapat dinafikan, amat penting dalam memelihara warisan tersebut untuk kemudiannya nanti diperturunkan kepada generasi akan datang.

TERJEMAHAN:

Wu Mingren. (16 April 2019). Are the Distinctive Kalash People of Pakistan Really Descendants of Alexander the Great’s Army? Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-ancient-traditions/are-distinctive-kalash-people-pakistan-really-descendants-alexander-great-021731


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.