SEMANGAT anti penyerahan Sarawak 1946 (Anti Cession 1946) merupakan antara satu peristiwa yang pernah terjadi di bumi Sarawak suatu waktu dahulu. Dan peristiwa ini telah berjaya membuatkan pihak Koloni British ‘pusing kepala’ kerana ternyata ianya benar-benar menggugat kedudukan mereka di bumi Sarawak pada waktu itu.

 

Melalui sejarah lepas kita turut mengetahui bahawa pelbagai cara telah dilakukan oleh pihak Koloni British yang dikenali dengan nama Kerajaan Koloni Mahkota Sarawak British bagi mematahkan semangat kesepaduan yang ditunjukkan oleh rakyat Sarawak pada masa itu. Perlulah diketahui bukan hanya yang berjantina lelaki sahaja yang menentang malah turut sama adalah barisan wanita-wanita berjiwa kental yang berada di sebalik tabir gerakan anti-cessionist pada masa itu.

 

Seperti yang sering kita lihat di dalam gambar-gambar bersejarah tentang gerakan anti-cessionist 1946, akan ada beberapa gambar yang menunjukkan barisan wanita-wanita Sarawak yang bersama-sama mengadakan demonstrasi membantah penyerahan Sarawak suatu waktu dahulu dan siapakah mereka ini sudah tentu ramai yang tidak mengetahuinya.

 

Walaupun diketika itu boleh dikatakan ramai wanita Sarawak masih kurang berpendidikan tetapi itu bukan satu halangan di dalam menerapkan nilai-nilai patriotisma di sanubari mereka. Inilah salah satu faktor yang memeningkan pentadbiran Koloni British pada waktu itu. Bantahan keras dari lelaki itu biasa tetapi apabila wanita yang terkenal dengan kelembutan serta sentiasa dibuai dengan dogma  hanya suri-suri dapur semata-mata sudah tentu ianya sesuatu yang menggerunkan.

 

Nama-nama seperti Cikgu Lily Eberwein, Datuk Ajibah Abol, Cikgu Sharifah Sipah, Puan Duri bte Dull adalah antara nama-nama pengasas Kaum Ibu Sarawak yang sudah tentu jarang-jarang didengar oleh kita sebagai generasi Sarawak sekarang. Inilah wanita-wanita besi dari Kaum Ibu yang sanggup melakukan apa sahaja bagi tanahair tercinta agar tidak diserahkan menjadi sebahagian daripada tanah jajahan Koloni British.

 

Tanggal 16hb Mac 1947, Kesatuan Kaum Ibu ditubuhkan dan penubuhannya mendapat sokongan sepenuhnya daripada ramai wanita di Sarawak ketika itu.  Difahamkan keahlian mereka yang seramai 1000 orang didominasi oleh bekas tenaga pengajar wanita yang telah turut sama meletakkan jawatan bagi membantah Circular 9/46 yang diusulkan oleh pihak pentadbiran Kerajaan Koloni British pada waktu itu.

 

Kebanyakan daripada ahli-ahli Kesatuan Kaum Ibu ramai dianggotai oleh wanita-wanita daripada Kuching dan Sibu. Pengerusi Kaum Ibu pada waktu itu adalah Cikgu Lily Eberwein, seorang Guru Besar di Permaisuri Malay’s School. Beliau merupakan seorang wanita berbangsa Eurasian hasil perkahwinan Melayu Sarawak dan seorang penjawat awam Kerajaan Brooke. Inilah juga ibu kepada seorang mantan menteri kabinet Sarawak iaitu Datuk Habsah Harun.

 

Wanita besi kedua adalah Setiausaha kepada Kesatuan Kaum Ibu iaitu Datuk Ajibah Abol. Beliau merupakan seorang guru dan rakan sekerja kepada Cikgu Lily Eberwein di Permaisuri Malay’s School. Datuk Ajibah Abol merupakan mantan menteri wanita pertama di dalam Kabinet Sarawak suatu waktu dahulu iaitu dari tahun 1973 sehingga 1976. Mereka berdualah yang telah menjadi wakil kepada Kesatuan Kaum Ibu di dalam setiap mesyuarat Anti Cessionist yang dikelolakan oleh Datuk Patinggi Abang Abdillah di rumahnya di “Darul Kurnia”. Di setiap mesyuarat inilah mereka bersama-sama mengatur strategi tindakan dan aksi Gerakan Anti Cessionist 1946.

 

Komuniti pengelola Anti Cessionist Sarawak mengetahui bahawa kejayaan gerakan anti penyerahan tidak hanya boleh diadakan di kawasan Bandar-bandar sahaja malah ianya harus disemarakkan di seluruh ceruk rantau bumi Sarawak pada waktu itu. Maka tugas itu telah dipikul oleh Kesatuan Kaum Ibu yang telah secara relahati memikul tugas berat ini. Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa di ketika itu hampir majoriti daripada mereka yang berada di dalam pergerakan ini tidak mempunyai sumber pendapatan lagi kerana mereka telah meletak jawatan kerana membantah circular 9/46.

 

Namun dek kerana inginkan gerakan membantah ini menjadi satu kenyataan, maka tampillah Kesatuan Kaum Ibu yang telah sanggup mengorbankan segala wang ringgit malah bergolok bergadai dengan barang kemas mereka bagi menampung perbelanjaan untuk ke kawasan pendalaman di Sarawak. Maka bermulalah episod sesi penerangan dan sokongan terhadap Gerakan Anti-Cessionist 1946 di rumah-rumah panjang dan kampung-kampung terpencil di seluruh Sarawak.

 

Wanita-wanita besi ini telah mempertaruhkan nyawa mereka samada dengan berjalan kaki melalui perjalanan darat dan juga menggunakan perahu untuk kawasan kampung yang terpencil. Hasilnya ramai wanita-wanita dari pelbagai lapisan di rumah-rumah panjang dan kampung-kampung yang selama ini jarang-jarang mengetahui hal yang diluar kediaman mereka turut mula sedar akan apa yang harus mereka perjuangkan.  Dan tanpa mengira bangsa dan budaya mahupun agama mereka turut turun  bersama-sama menyokong pergerakan ini.

 

Mereka yang berada di dalam Persatuan Kaum Ib Sarawak 1947 inilah wanita-wanita besi di sebalik Gerakan Anti-Cessionist 1946.  Jangan pandang sipi-sipi kehebatan wanita dulu-dulu.  Biar taraf pendidikan mungkin tidak sama seperti sekarang namun semangat kental dan percaya itu penting bagi melaungkan apa yang seharusnya untuk tanahair tercinta.

 

“Tangan yang menghayun buaian itu mampu menggoncangkan dunia”.

 

-HB-

 

#KamekSayangSarawakBah!

#HariMalaysia16September

 

Rujukan:

  1. Asas-asas Gerakan Anti-Penyerahan Sarawak (The Making Of Anti-Cession Movement In Sarawak) – Suffian bin Mansoor (2000)
  2. Penyerahan Sarawak Kepada Kerajaan British, 1946-1951 – Ho Hui Ling

http://myrepositori.pnm.gov.my/bitstream/123456789/1326/1/MDSS_2001_Bil29_04.pdf

  1. 50 Tahun Sarawak Merdeka: Anti-Penyerahan Sarawak Kepada Kerajaan British http://www.jasa.gov.my/bm
  1. Lily Eberwein: Her life and involvement in Anti- cession Movement in Sarawak .In: Women in Southeast Asian Nationalist Movements. NUS Press. ISBN 978-9971-69-674-0 Jeffrey, Jehom, Welyne (2013) 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Memartabatkan sejarah Sarawak dan Borneo agar mampu diketahui sebaik mungkin oleh masyarakat Malaysia merupakan visi dan misi yang utama di dalam penulisannya. Seorang jurutera automatif yang terjun ke dunia penulisan bagi memvariasikan kebolehan dirinya.

Leave A Reply