Kaum Britons/British/English (500 – Kini): Pelopor Bahasa Inggeris

1100
views

Sekitar 400 Masihi, kepulauan British mengalami zaman kegelapan selama berabad setelah para tentera Rom mengundur ke Gaul (Perancis sekarang) sehingga tiada rekod bertulis ditemui pada zaman itu. Kebudayaan Roman-British yang wujud selama 400 tahun di bawah pemerintahan empayar Rom pupus disebabkan pencerobohan dan migrasi tanpa henti oleh puak-puak gasar. Kepulauan British menjadi jajahan perebutan dari kaum Celt dari Scotland, kaum Saxon dan Angles dari Jerman, kaum Frisian dari Holland (sebahagian dari Belanda), dan kaum Jut dari Denmark. Pada 600 Masihi, kaum Saxon dan Angles telah menguasai hampir kesemua bahagian selatan tanah besar kepulauan British. Sehingga 800 Masihi, kaum Celt hanya dapat menakluk Wales, Scotland dan Cornwall Barat.

Penjajah baru yang kuasai bahagian selatan tanah besar itu adalah kaum Anglo – Saxon yang berasal dari Jerman itu. Kebudayaan baru kaum Anglo – Saxon wujud dengan menggantikan bahasa Celtic dengan bahasa Inggeris, bahasa yang ‘diimport’ dari Jerman. Nama jajahan pun digelar kepada Angle-land yang kemudian telah diubahsuai sebutannya menjadi England. Sepanjang penempatan dan penjajahan kaum Anglo – Saxon, jajahan mereka meliputi bahagian selatan dan timur tanah besar kepulauan British sehingga membentuk negeri England (dengan rakyat berbahasa Inggeris) sehingga kini.

GAMBAR 1: Kepulauan British di zaman invasi Anglo-Saxon.

Pada tahun 865 Masihi, muncul lagi invasi baru yang mengganggu keamanan England milik kaum Anglo – Saxon. Kaum Viking yang telah menjajah Perancis dan Jerman membentuk sebuah angkatan tentera besar dan fokuskan penjajahan ke England. Selama 10 tahun, kebanyakkan kerajaan Anglo – Saxon tumpas atau menyerah. Hanya Saxons Barat (Wessex kini) yang bertahan di bawah pemerintahan Alfred, satu-satunya pemerintah kaum English mempunyai gelaran “The Great”. (P/S: kaum English = kaum Anglo – Saxon di England).

Selama 200 tahun lamanya England dibahagi oleh kaum Viking dan hanya Saxons Barat dan saki-baki kerajaan kaum English yang bertahan. Kaum Viking mengenakan cukai tinggi kepada kaum English, dipanggil sebagai Danegeld (emas orang Denmark) untuk keamanan bersama. Kebanyakkan kaum Viking ketika itu menganut agama Kristian dan terus tinggal tetap, meninggalkan budaya nomad dan ajaran mitos mereka. Pada tahun 954 Masihi, kaum English memberontak dan raja Viking terakhir di York telah dibunuh. England terus bersatu pertama kalinya di bawah pemerintahan raja dari Wessex.

Pada 1066 Masihi, organisasi Witan (majlis raja-raja) bersepakat menabal Harold, anak lelaki raja Earl of Wessex menjadi raja England baru. Harold mempunyai dua pesaing yang menuntut takhta England iaitu Harald Hardrada, raja Norway dan Duke William dari Normandy (Perancis kini). Pasukan tentera Norwegian di bawah Duke William melakukan pencerobohan pertama di York, England tetapi telah dipatahkan oleh Harold dalam pertempuran Stamford Bridge. Pasukan tentera Harold kemudian menuju selatan untuk bertemu dengan William di Hastings. Peperangan antara Harold dan William berterusan tanpa henti berhari-hari sehingga di akhir perang Harold cedera teruk dengan matanya dipanah. Dua tahun kemudian, akhirnya William dari Normandy menjadi raja England baru.

GAMBAR 2: Duke William dari Normandy atau William The Conqueror.
Raja England pertama dari keturunan Perancis.

Di zaman pertengahan Eropah, England berdepan pelbagai konfrontasi dan peperangan. Para pewaris takhta William berada dalam konflik dalam meluaskan jajahan serta mempertahankan kota mereka di Perancis. Akibat konflik politik yang semakin renggang antara England dan Perancis, Peperangan Seratus Tahun (The Hundred Years War) berlaku dari 1337 ke 1453 Masihi. Perang itu tercetus akibat tindakan raja English menuntut takhta di Perancis atas alasan perkahwinan campuran raja itu. Selain itu, peperangan itu juga menentukan nasib perdagangan kapas yang menguntungkan kedua-dua kuasa dan sokongan Perancis atas kemerdekaan Scotland. Di awal peperangan mustahil pasukan tentera England melawan Perancis. Tapi mereka telah menang dalam beberapa siri peperangan kerana England mempunyai pasukan tentera memanah yang mampu menumbangkan pasukan tentera berkuda dan para satria hanya menggunakan busur panjang.

Di akhir Peperangan Seratus Tahun, Perancis dapat menghentikan peperangan hasil dari usaha seorang anak perempuan petani. Joan of Arc, anak perempuan petani yang mengaku mempunyai bimbingan dari Tuhan, menyemarakkan semangat para tentera Perancis, seterusnya menamatkan peperangan dengan menakluk Bordeaux pada 1453 Masihi. Para tentera England hanya dapat menahan kawasan Calais dan tanah besar.

Sekarang, England masih wujud  dan menjadi sebuah negeri yang bersatu dengan Scotland, Wales dan Utara Ireland, membentuk sebuah persekutuan bernama United Kingdom. Dari segi pembentukan bahasa, bahasa Inggeris mengalami perubahan baru setelah penempatan orang Normandy. Bahasa Inggeris dulunya mempunyai kata-kata dari bahasa Jerman meminjam kata-kata bahasa Perancis, seterusnya tatabahasa Inggeris berubah dan menjadi bahasa mudah difahami pada abad ke-3 dan ke-4 Masihi. Kini, bahasa Inggeris menjadi bahasa utama. Jika penaklukan Normandy tidak wujud, kemungkinan bahasa antarabangsa dunia sekarang adalah bahasa Jerman.

RUJUKAN:

  1. Sejarah ringkar dari video game Age og Empires II.
  2. Bradshaw, Brendan; Roberts, Peter (2003),British Consciousness and Identity: The Making of Britain, 1533–1707, Cambridge University Press
  3. Marshall, Peter James (2001),The Cambridge Illustrated History of the British Empire, Cambridge University Press
  4. Richards, Eric (2004),Britannia’s Children: Emigration from England, Scotland, Wales and Ireland since 1600