Aku diperkenalkan oleh permainan video ini oleh rakan aku yang merupakan admin page ini juga. Sebenarnya untuk memanggilnya sebagai permainan video pun tak berapa sesuai. Genre yang aku mainkan ini dikenali sebagai visual novel. Atau sebenarnya ia adalah sebuah hasil seni yang baru. Ia melibatkan sedikit imej watak dan latar belakang, tugas kau hanya perlu membaca dialog, naratif yang dibantu oleh imej dan latar belakang. Perjalanan ceritanya bergantung pada pilihan yang kau buat, sekaligus mewujudkan elemen “butterfly effect” di mana pilihan kecil yang kau buat akan mempengaruhi masa dapan atau penamat kepada ceritanya.

Amaran, review ini mengandungi minor spoiler. Pembacaan adalah atas tanggungjawab dan risiko anda sendiri.

Jadi, untuk visual novel Katawa Shoujo (Maksud: Gadis Cacat) ini, setiap pilihan kau akan membawa kau kepada 5 buah jalan cerita. Ceritanya adalah tentang seorang lelaki bernama Hisao yang dihantar ke sekolah yang menempatkan mereka yang mengalami kecatatan sama ada secara fizikal, bahkan mental sekali (bukan gila). Hisao mempunyai masalah jantung yang dikenali sebagai cardiac arrhythmia yang agak kronik berserta dengan congenital heart defect (CHD) – aku tak tahu nak terjemahkan ke dalam Bahasa Melayu. Sekolah tempat Hisao dihantar oleh ibu dan bapa ini, Sekolah Tinggi Yamaku dikatakan berupaya untuk memberikan pendidikan terbaik untuk Hisao disamping merawat dan memantau perkembangan kesihatannya.

Dipendekkan cerita, ini ialah kisah Hisao bertemu dengan 5 orang watak berbeza, jatuh cinta dengan mereka (bergantung pada setiap pilihan yang akan kau buat), dan sungguh, 5 orang itu menawarkan jalan cerita yang berbeza yang membawa kau menyelami dunia mereka yang kurang upaya dari segala sudut. Aku yakin, selepas kau bermain visual novel ini, kau akan menjadi seseorang yang lebih memahami. Oh tidak lupa juga kau mungkin akan menangis, dan selepas itu kau akan duduk bercangkung di sudut bilik kau, memikirkan tentang maksud kehidupan.  Jadi, hari ini, aku nak bawa kau bersama aku dalam feel trip ini, mungkin menyelami sisi unik visual novel yang mungkin dapat yakinkan kau orang untuk dapatkannya.

Setiap watak perempuan yang Hisao bakal jatuh cinta ini juga ada kecatatan mereka sendiri. Dibawah ialah kecatatan yang gariskan untuk memudahkan kalian memahami mengapa aku katakan bahawa Katawa Shoujou mempunyai simbolik yang sangat unik, meski untuk seorang penulis novel seperti aku.

  1. Emi Ibarazaki – Gadis yang hilang kedua-dua kakinya dalam kemalangan
  2. Rin Tezuka – Gadis yang dilahirkan dengan kedua-dua tangannya hampir tidak wujud
  3. Lilly Satou – Gadis kacukan Jepun-Scottish ini dilahirkan sebagai buta
  4. ]Hanako Ikezawa – Separuh wajahnya terbakar dalam kebakaran, mempunyai simptom depression dan juga seorang yang pemalu
  5. Shizune Hakamichi – Gadis bisu yang merupakan ketua kelas Hisao

Aku rasa mungkin tidak habis untuk aku bahaskan setiap simbolik unik pada kecatatan mereka. Tetapi tidak mengapa, aku mulakan dengan watak Hisao yang kalian gunakan sebagai watak utama. Dia mengalami masalah jantung, namun sebenarnya kecatatan jantung sengaja diletakkan pada wataknya kerana Hisao asalnya seorang yang agak judgemental, dan hari pertama dia masuk pun ke Yamaku pun kerja dia ialah menghakimi setiap watak baru yang dijumpainya.

Walau tidaklah dilahirkan secara vokal bagaimana dia menghakimi watak-watak baru yang disekelilingnya, namun dia memerlukan sifat memahami dan bukan menghakimi bila dia mula tenggelam dalam dunia mereka yang kurang upaya. Untuk mencintai, Hisao harus belajar untuk memahami. Untuk mendapatkan kepercayaan dan cinta wanita yang dia dambakan, Hisao harus lebih dalam daripada memahami, iaitu menyelami. Biasanya untuk simbolik kepada perkara seperti di atas, ialah hati dan jantung. Ya, Hisao masuk ke Yamaku dengan kekurangan sifat memahami dan menyelami, dan akhirnya kehidupannya di Yamaku merawat kecatatan pada jantungnya – memahami mereka disekitarnya.

Bagi aku, dalam usaha Hisao untuk memahami setiap watak disekitarnya, paling sukar tentunya untuk memahami dan menyelami dua watak ini. Hanako Ikezawa dan juga Rin Tezuka. Setiap daripadanya mempunyai watak yang berbeza. Hanako seorang pemalu, dan agak kekok untuk bergaul dengan orang kerana kecatatan pada wajahnya. Dia juga kehilangan kedua-dua orang tuanya. Itu membentuk personaliti Hanako yang sangat pemalu.

Pada usia kecilnya, Hanako dibuli oleh rakan-rakannya. Jadi, setelah sekian lama menutup pintu dunianya untuk orang luar masuk kecuali sahabatnya iaitu Lilly, datangnya Hisao, lagi-lagi Hisao ialah seorang lelaki yang berbeza jantina dengan Hisao, ia agak sukar untuk Hanako. Untuk mendekati seseorang seperti Hanako, dan memiki hatinya, Hisao harus begitu bersabar untuk membiarkan Hanako sendiri membuka pintu hatinya.

Dalam setiap tindak tanduk Hisao untuk membantu, dan mencuri hati Hanako, adalah dilarang sama sekali untuk kau terus menyerbu ke dalam dunianya. Kau juga tidak boleh membuatkan tindak-tanduk kau kelihatan seperti kau menganggap Hanako seorang lemah, dan sentiasa memerlukan orang lain.

Hanako tidak lemah, tetapi dunia Hanako yang sadis mengajar Hanako untuk tidak menerima semua orang dengan mudah. Pintu dunia Hanako yang tertutup rapat adalah salah satu bentuk mekanisme pertahanan diri Hanako itu sendiri. Hanako tidak memerlukan seorang knight in shining armor di dalam hidupnya.

Hisao dan Hanako.

Tetapi percayalah, hubungan cinta Hisao-Hanako tidak sekompleks antara Hisao dan Rin. Rin ialah seorang gadis pelik, yang aku kira sisi pelik yang dimilikinya adalah berpunca daripada Aspergers Syndrom (hipotesis aku), atau juga mental disorder yang lain. Rin tidak tahu untuk menterjemahkan perasaannya melalui kata-kata dan tindak-tanduk. Mungkin sebab Rin tenggelam dalam seni, kerana seni sesuatu yang sangat abstrak untuk difahami. Untuk Hisao memahami Rin, ia adalah seperti untuk memahami lukisan-lukisan abstrak.

Sepanjang kau cuba untuk mengenali diri Rin, kau akan dihadapkan dengan sikap-sikap pelik yang dipaparkan oleh Rin. Antaranya ialah dia akan merenung langit seorang diri pada setiap hari hanya kerana dia tertarik pada bentuk awan padanya. Selebihnya, ciri-ciri seperti tidak menyedari kayu ukur masyarakat disekitarnya pada sebuah perkara normal. Dia bukan gadis tipikal yang kau jumpa dalam kalangan masyarakat. Rin memang sudah mula jatuh cinta kepada Hisao, namun Hisao meraguinya kerana betapa Rin tidak tahu untuk menunjukkan dia memang menyayangi Hisao. Betapa juga, Rin tidak tahu untuk menyatakan setiap keinginannya pada manusia disekitar hidupnya.

Hisao pula merasakan bahawa betapa Rin hanya menggunakan diri dia. Kalau cinta, mengapa tidak dinyatakan? Kalau cinta, mengapa Rin melakukan dirinya seperti alatan. Dicari ketika diperlukan, ditinggalkan bila tidak diperlukan. Hubungan mereka berdua saling menarik dan merenggangkan antara satu sama lain. Ia penuh dengan kegembiraan, juga air mata. Masalah utamanya ialah kerana komunikasi. Ya, komunikasi di sini. Cinta antara dua insan yang berbeza adalah kerana komunikasi. Komunikasi mendatangkan kefahaman.

Hisao dan Rin berjalan dibawah hujan.

Bagaimana mahu memahami sesuatu yang tidak mampu menterjemahkan setiap perasannya pada kata-kata dan tindak tanduk? Seperti juga seni, seseorang itu harus mengenali seni itu dahulu barulah jatuh cinta. Proses Hisao untuk mendalami watak seorang pelukis seperti Rin ialah proses Hisao memahami seni tuhan paling abstrak. Kau rasa untuk memahami teman wanita kau pun dah susah? Cuba Rin, ia adalah seperti kau duduk tercongok di galeri seni, cuba memahami apa yang cuba disampaikan pelukis pada setiap lukisan yang kau tatap dengan mata kau. Semoga berjaya!

Pada aku, kecacatan paling nyata pada Hisao ialah bukan jantungnya, tetapi jantung itu hanyalah simbolik penulis untuk mengambarkan betapa Hisao perlu belajar untuk memahami dan menyelami sebelum mencintai.

Simbolik lain yang kau boleh dapati dalam visual novel ini pada kecacatan watak wanita adalah seperti berikut. Emi dikatakan sangat suka berlari, namun hakikatnya dia sebenarnya sedang lari dari masa silamnya. Siapa yang memilih jalan cerita Emi pasti mengetahui betapa dia cuba lari dari kisah silam yang menimpa ayahnya. Atau tentu hubungan persahabatan antara Lily dan Hanako. Betapa walau Lily seorang buta, Lilly seorang paling nampak apa yang sedang berlaku pada sahabat-sahabatnya, sesuatu yang rakan-rakannya yang celik pengelihatan tidak menyedarinya.

Lily yang berdirkari.

Selain itu, simbolik yang aku nampak ditonjolkan dalam karya ini ialah bagaimana kita sebagai manusia memerlukan antara satu sama lain. Mungkin apa yang ditonjolkan dalam cerita ini ialah kecatatan fizikal. Namun, percayalah setiap manusia mempunyai kecatatan, atau dalam kata lain ialah kelemahan. Namun, dalam kehidupan, bukanlah kecacatan itu yang menjadi titik fokusnya. Tetapi bagaimana mereka disekeliling kita mengisi kecatatan dan kelemahan itu lalu menyempurnakan diri kita.

Dalam Katawa Shojo, kau akan dihadapan dengan beberapa pasangan. Rin dan Emi biasanya bersahabat. Emi kehilangan kakinya dalam kemalangannya, manakala Rin pula kehilangan tangannya. Dari sudut personalitinya pula, Rin seorang yang kekok bergaul, tidak mampu menterjemahkan perasannya, manakala Emi seorang yang agak berterus terang, ceria dan mudah berkawan dengan semua orang. Jadi, kehidupan mereka berdua saling melengkapi antara satu sama lain.

Shizune dan sahabatnya yang bernama Misha ialah contoh lain, Shizune seorang yang bisu, namun Misha sangat petah dan becok bila bertutur. Kehadiran Misha yang juga memahami bahasa isyarat sentiasa menterjemahkan setiap kata-kata yang diluahkan melalui bahasa isyarat oleh Shizune.

Walaupun tidak mempunyai kaki, ia tidak menghalang Emi mengejar impiannya.

Bahagian lain yang aku mahu ulas mengenai Katawa Shoujo ialah bagaimana kelemahan kita bukanlah penghalang dalam hidup kita. Emi yang kehilangan kakinya tidak pernah melupakan hobi, minat dan bakatnya. Tiada kaki, dia menggunakan kaki palsu yang membolehkan dia berlari sehingga memenangi pertandingan. Rin tidak mempunyai tangan, namun bakat melukis menggunakan kakinya sehingga menarik perhatian pelukis professional. Lilly meski seorang yang buta, namun dia paling berdikari antara watak-watak lain. Ini memberikan gambaran bahawa kelemahan dalam hidup kita bukanlah batu penghalang untuk kemajuan kita!

Ya, aku tahu kebanyakan isi artikel ini ialah banyak berkisar mengenai cinta. Tapi nak buat macam mana dah namapun sebuah visual novel bergenre cinta. Cuma tentunya, genre cinta dalam visual novel ini bukanlah kisah cinta cliché dalam novel cinta di pasaran atau drama pukul 7 yang banyak berkisarkan tentang kahwin paksa dan cinta selepas kahwin. Ia lebih daripada itu.

Kenapa aku mengulas mengenai lelaki memahami wanita? Kenapa tidak mereka memahami kita? Brader… kita ni kaum lelaki kena sedar dalam perhubungan, perempuan sentiasa betul. Hanya kau sahaja yang perlu memahami mereka. :P: (#gurau)

Selebihnya, aku sangat memuji latar muzik yang digunakan dalam visual novel ini, bahkan ia sangat membantu aku sebagai penulis. Selain dari latar muzik siri game Persona, aku turut menggunakan latar muzik dan runut bunyi yang diciptakan untuk Katawa Shojou sebagai peneman ketika aku menyiapkan setiap naskah mahakarya aku sendiri.

Akhir kata, selamat berperang di ruangan komen tentang waifu terbaik bagi kau orang yang dah main visual novel ni.

Pautan ini (433 Mb saiznya) untuk kepada sesiapa yang nak muat turun visual novel ini. Jangan risau, ia percuma. Tak perlu bayar dan aku tak berikan versi lanun punya sebab visual novel ini diedarkan secara percuma oleh pembangun novel visual ini. (Leaf Four Studio).


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 16 buah buku (setakat Mac 2021). Merupakan pengasas bersama The Patriots, dan memegang jawatan Chief Content Officer untuk Patriots Holding Sdn Bhd. Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!

Comments are closed.