Kata-Kata Terbaik Orang Bukan Islam Mengenai Baginda Rasullulah S.A.W

700
  • WILLIAM MONGOMERY WATT (1909-2006) – Orientalis, Ahli Sejarah, Profesor (Emeritus) dalam Bahasa Arab dan Pengajian Islam, Universiti Edinburgh.

“Kesediaan Muhammad untuk menghadapi ujian dan penganiayaan terhadap keyakinan Baginda (berkenaan Islam), kepercayaan yang diberikan oleh para pengikutnya yang tinggi nilai moral dan menganggap Baginda sebagai seorang pemimpin membuatkan ini sebagai satu kejayaan terbesar buatnya dalam membuktikan asas integriti dalam membawa Islam.

Untuk menganggap bahawa Muhammad ialah seorang pendusta dan hanya akan membangkitkan lebih banyak persoalan daripada penyelesaiannya. Tiada seorang pun pemimpin yang paling parah diporak-perandakan sejarahnya oleh Barat selain Baginda.”

(Mohammad at Mecca, Oxford, 1953, hlm. 52)

  • ALPHONSE DE LAMARTINE (1790-1869) – Penulis Puisi dan Ahli Politik dari Perancis.

“Ahli falsafah, pemidato, Rasul, penggubal undang-undang, pejuang, penakluk kepada idea, pemulih kepada dogma rasional, sebuah simbol tanpa imej. Bahkan dialah perintis kepada 20 empayar yang digabungkan bawah satu empayar ‘spiritual’. Itulah dia, Muhammad. Dengan mengambil kira semua aspek dan kayu ukur untuk seorang insan yang luar biasa, maka bolehlah kita menimbulkan persoalan; adakah manusia yang lebih hebat selain Baginda?”

(Translated from Histoire De La Turquie, Paris, 1854, vol. II, hlm. 276-277)

  • REVEREND BOSWORTH SMITH (1794-1884) BEKAS AHLI KOLEJ TRINITI, OXFORD.

“Baginda ialah Caesar dan Pope dalam satu jasad. Tetapi Baginda ialah Pope tanpa hipokritnya, Caesar tanpa bala tenteranya. Tanpa tentera tersendiri, pengawal dan istana, bahkan tanpa ada sumber kewangan yang hebat. Sekiranya wujud manusia yang mengatakan bahawa dia membawa perintah Tuhan, orang itu ialah Muhammad. Sebab Baginda mempunyai seluruh kekuasaan sebagai seorang Rasul dan pemimpin tetapi tanpa infrastruktur dan sokongan seperti yang diperlukan layaknya manusia biasa yang lain.”

(Mohammed and Mohammedanism, London, 1874, hlm. 235)

  • MOHANDAS KARAMCHAND GANDHI (1869-1948) – Pemimpin, Pemikir, Ahli Politik dan Ahli Falsafah dari India.

“Saya menjadi lebih yakin bahawa bukan semata-mata dengan pedang Islam itu tertegak pada zaman Muhammad. Ia tertegak kerana kemudahan dalam mengamalkan Islam dengan penghapusan ideologi individualistik oleh Muhammad. Bersama dengan ketelitian terhadap semua gerakan dakwahnya, penumpuan kasih sayang terhadap umatnya, keberanian dan keyakinan Baginda kepada Tuhan serta misi yang diserahkan kepadanya. Sesungguhnya, semua ini bukanlah datangnya daripada mata pedang seperti yang menjadi kepercayaan semua.”

(Young India Periodcial, 1928, Volume X)

  • EDWARD GIBBON (1737-1794) – Sejarawan Agung dari British.

“Kejayaan terbesar Muhammad ialah keberhasilan Baginda mengubah dan menyentuh soal kehidupan orang lain dengan hanya menerusi teladan serta contoh yang baik. Bukannya melalui mata pedang.”

(History of Saracen Empire, London, 1870)

  • JOHN WILLIAM DRAPER (1811-1882) – Saintis, Ahli Falsafah dan Sejarawan dari Amerika Syarikat.

“Empat tahun selepas kematian Justinian (A.D. 569) di Makkah, maka lahirlah seorang lelaki berbangsa Arab yang menjadi manusia terhebat dalam semua sejarah dan begitu besar pengaruhnya kepada semua insan. Orang itu ialah Muhammad.”

(A History of The Intelectual Development of Europe, London, 1875, vol. I, hlm. 329-330)

  • DAVID GEORGE HOGARTH (1862-1927) – Ahli Arkeologis, Penulis dan Penjaga Muzium Ashmoelan, Oxford.

“Penting atau remeh akhlak Baginda masih menjadi ikutan dan panduan berjuta-juta umat manusia sampailah ke hari ini. Tiada manusia lain yang dijadikan ikutan dan teladan sebagai ‘manusia sempurna’ selain Muhammad. Pengasas Kristianiti pun tidak pernah menjadi contoh kepada para pengikutnya malah tiada satu pun pengasas agama lain yang boleh mencapai kemuliaan seperti Rasul umat Islam ini.”

(Arabia Oxford, 1922, hlm. 53)

  1. WASHINGTON IRVING (1783-1859) – Penulis dan Sejarawan dari Amerika Syarikat.

“Baginda sentiasa mengawal pemakanannya dan sangat mementingkan puasa. Baginda tidak bermegah-megah dengan pakaian – Salah satu petanda kepada minda yang lemah – Dan tidak pula Baginda berpakaian compang-camping sekaligus menjadi bukti bahawa Baginda tidak melihat kepada perkara-perkara remeh. Dalam kehidupan seharian, Baginda berlaku sangat adil. Baginda melayani sahabat dan orang asing, miskin atau kaya, yang berkuasa mahupun rakyat jelata dengan sangat saksama. Baginda dicintai oleh kebanyakan masyarakat kerana sentiasa menjadi pendengar yang baik terhadap semua keluhan mereka.

Kejayaan dalam peperangan tidak pernah menampakkan yang Baginda mempunyai sifat penjajah atau kepentingan peribadi. Dalam kegemilangan sebagai seorang pemimpin, Baginda masih mengekalkan konsep berbudi bahasa yang tidak pernah luntur. Meskipun Baginda menerima pelbagai kutukan dan cacian bahkan sehingga dibenci. Namun apabila bertemu sahaja dengan musuh, Baginda pasti menonjolkan rasa hormat kepada mereka.”

(Life of Mohamet, London, 1899, hlm. 192-199)

  • ANNIE BESANT (1847-1933) – Sosialis dan Teosofis dari British, Pejuang Hak Wanita dan Penulis.

“Sangat mustahil kepada sesiapa yang mengkaji berkenaan kehidupan dan keperibadian putera Arab ini dan tahu selok-belok perjalanan Baginda dalam mengajar dan menjalani kehidupannya untuk berasa tidak kagum dan hormat terhadap Nabi yang luar biasa ini. Baginda merupakan salah seorang Rasul (utusan) daripada Tuhan. Walau apa-apa pun yang saya ceritakan kepada anda hari ini tentang kehebatan dan pengajaran daripada Muhammad, saya akan sentiasa menjumpai kehebatan dan pengajaran yang baharu jikalau saya mengkaji semula berkaitan Baginda. Muhammad merupakan seorang guru yang hebat dari Tanah Arab.”

(The Life and Teachings of Muhammad, Madras, 1932, hlm. 4)

  • MICHAEL H. HART (1932–Hari ini) – Penulis serta Guru Besar Astronomi dan Fizik, Maryland.

“Pilihan saya untuk meletakkan Muhammad (SAW) pada urutan paling atas (tempat pertama daripada 100 orang berpengaruh) mungkin mengagetkan semua pihak. Namun, saya berpegang pada keyakinan bahawa Muhammad (SAW) merupakan satu-satunya manusia yang berhasil mengecapi kemanisan kejayaan yang sungguh luar biasa baik ditilik daripada perihal agama mahupun ruang lingkup duniawi.

 Apakah pengaruh Muhammad (SAW) yang paling asas terhadap sejarah umat manusia? Layaknya agama lain, Islam mempunyai pengaruh yang luar biasa terhadap para penganutnya. Itulah antara sebab penyebar-penyebar agama besar dan utama di dunia mendapatkan tempat dalam buku ini.

Kalau diikutkan, pada saat saya menulis buku ini sebenarnya jumlah penganut agama Nasrani adalah dua kali ganda besarnya berbanding penganut agama Islam. Secara tidak langsung, pasti timbul tanda tanya atas alasan apakah saya menempatkan Muhammad (SAW) lebih tinggi berbanding Isa (AS)?

Secara peribadi, saya berpegang kepada dua alasan penting di sebalik keputusan saya itu. Pertamanya, Muhammad (SAW) memainkan peranan yang sangat signifikan dalam perkembangan agama Islam berbanding Isa (AS) terhadap agama Nasrani. Walaupun Isa (AS) bertanggungjawab atas ajaran-ajaran dan fondasi serta etika Kristian, tetapi Saint Paul (Santo Paulus) memegang watak penting dalam mengembangkan teologi atau ilmu ketuhanan dan pembikin dasar baharu di samping sebagai penulis utama dalam Kitab Perjanjian Baharu (New Tastement).

Perkara ini menjadi satu kontradiksi kepada agama Islam. Dalam Islam, Muhammad (SAW) sendiri yang bertanggungjawab terhadap semua kaedah akhlak dan asas-asas pendidikan dalam beragama. Muhammad (SAW) sendiri yang telah membentuk dan mencorakkan selok-belok Islam dan Baginda menjadi perancang serta membangunkan pendidikan juga pengajaran Islam.

Kemudian, kitab suci orang-orang Islam iaitu al-Quran telah diwahyukan oleh Allah (SWT) kepada Muhammad (SAW). Sebahagian besar daripada wahyu ini dihimpun (dihafal, disalin dan ditulis) dengan penuh kesungguhan selama Muhammad (SAW) masih hidup. Lalu setelah kewafatannya, wahyu ini mula dihimpunkan secara menyeluruh dan tidak terlindungi (tidak goyah). Al-Quran dengan demikian sangat berkait rapat dengan pandangan-pandangan Muhammad (SAW) serta semua ajarannya. Oleh hal yang demikian, al-Quran merupakan wahyu yang lengkap dan tidak ada daripada ajaran dalam Injil yang selengkap ini.

Muhammad SAW bukan semata-mata seorang pemimpin agama malahan juga seorang ketua bagi hal-hal keduniaan. Akan tetapi, Isa (AS) tidak mendapatkan kedudukan seperti itu. Pendek kata, keteladanan dan kecantikan sahsiah Muhammad (SAW) dalam setiap perkara memberi gambaran bahawa Baginda mempunyai keperibadian yang suci dalam corak yang semakin lama bertambah keterangannya.

(The 100: A Ranking of The Most Influential Persons In History)

  • KAREN ARMSTRONG (1944-Hari ini) – Pengarang, Feminis dan Penulis tentang Agama Yudaisme, Kristian, Islam dan Buddhisme.

Untuk mengajarkan masalah kerohanian berdasarkan tauhid, Muhammad (SAW) secara amalinya harus bermula dari bawah. Pada saat ingin memulakan misi menyampaikan dakwah, Baginda tahu benar bahawa bangsa Arab masih belum mampu dan bersedia untuk menerima ajaran tauhid yang dibawanya.

Memperkenalkan ajaran tauhid kepada masyarakat yang ganas dan keras benar-benar merupakan tamparan besar serta sangat berbahaya kepada Muhammad (SAW). Sesungguhnya, nyawa Muhammad (SAW) sentiasa berada di hujung tanduk dan terselamatnya nyawa Baginda merupakan salah satu mukjizat agung Baginda yang dikurniakan oleh Allah SWT. Walau bagaimanapun, Muhammad (SAW) tetap berwaspada dan akhirnya berjaya menumpaskan serangan kabilah-kabilah yang cukup ganas.

Akhirnya, orang-orang Baratlah (bukan orang Islam) yang melarang untuk diadakan diskusi mengenai hal keagamaan. Pada zaman intuisi (Renaissance) dan Perang Salib, kelihatan Eropah sedang berusaha dengan gigih untuk mengetepikan pendapat-pendapat yang diberikan oleh bangsa lain. Hukuman-hukuman yang dijatuhkan kepada para penentang amat kejam dan tidak masuk dek akal sehingga tiada padanya tandingan dalam suatu sejarah agama apa pun.

 Kezaliman dan kekejaman terhadap orang-orang yang menentang pendirian mereka, kezaliman orang-orang Protestan terhadap para penganut fahaman Katolik dan sebaliknya merupakan konflik yang berakar tunjang daripada perbezaan akidah agama sahaja. Perbezaan ini hanyalah berkaitan dengan urusan peribadi belaka.”

(Muhammad: A Biography of The Prophet)

  • GODFREY HIGGINS (1772-1833) – Arkeologis, Aktivis Kemanusiaan dan Penulis.

“Berbicara tentang perkara ini tidak apa-apa sekiranya majoriti pendeta Kristian memusuhi dan mencaci agama yang dibawa oleh Muhammad (SAW) disebabkan oleh kefanatikan dan tidak wujudnya sikap toleransi. Perkara tersebut sungguh menghairankan dan dianggap sebagai satu kemunafikan yang sangat aneh. Siapa gerangan yang mengusir orang-orang Islam dari Sepanyol hanya kerana setelah mereka menjadi Kristian lalu dianggap sebagai orang Kristian yang tidak baik?

Siapa gerangan yang membunuh ribuan orang di Meksiko (Mexico) dan Peru lalu menjadikan mereka budak hanya kerana mereka tidak mahu menjadi Kristian? Demikianlah jurang yang sangat ketara dan ketinggian akhlak serta teladan oleh orang-orang Muslim saat mereka menguasai Yunani. Beratus-ratus tahun mereka membiarkan orang-orang Yunani pada agama mereka, para pendeta boleh bergerak bebas dan para rahib serta biarawan mampu beribadah dengan tenang dan aman di gereja masing-masing.”

(Apology for Mohamed, 1829)

  • LEFTENAN JENERAL SIR JOHN BAGOT GLUBB (1897-1986) – Leftenan Jeneral, Agamawan dan Penulis.

“Pendapat apa pun yang dikemukakan oleh para pembaca sekalian adalah tidak dapat diingkari bahawa Muhammad (SAW) mempunyai persamaan pengalaman kerohanian dengan para leluhur dan orang-orang suci Kristian. Perkara yang sangat aneh adalah Muhammad (SAW) telah tercatat dalam Kitab Perjanjian Lama dan Kitab Perjanjian Baharu. Boleh jadi Baginda mempunyai persamaan dengan para leluhur dan orang-orang suci penerima wahyu serta kasyaf daripada agama Hindu dan yang lain. Tambahan pula, pengalaman yang seperti itu merupakan antara tanda bagi sebuah permulaan lembaran kehidupan orang-orang suci dan mulia.

Menganggap bahawa semua pengalaman dan peristiwa yang dialaminya adalah sebagai sebuah penipuan merupakan sebuah penghakiman yang tidak patut. Bahkan dengan menilai saja bilangan orang Islam yang sedikit tetapi tetap setia mengikuti Muhammad (SAW) di tengah-tengah masyarakat Makkah bermati-matian memusuhi Baginda jelas menunjukkan bahawa Muhammad (SAW) mempunyai akhlak, keyakinan dan keberanian yang sangat tinggi.”

(The Life and Times of Muhammad, 1970)

  • SIR THOMAS CARLYLE (1795-1881) – Penulis dan Sejarawan dari Scotland.

“Satu perkara yang tidak dapat dilupakan adalah Muhammad (SAW) tidak mendapat sebarang pendidikan di mana-mana sekolah. Walaupun di sebuah sekolah yang digelar ‘school learning’ pun Baginda tidak pernah belajar. Kebudayaan dan kemahiran menulis merupakan sesuatu yang masih baharu dalam kalangan bangsa Arab. Pendapat yang mengatakan Muhammad (SAW) tidak pandai menulis adalah benar. Pendidikan Baginda berlaku berdasarkan pengalaman di kawasan gurun Sahara dan keadaan bukit-bukau yang tandus. Dengan keadaan dan fasiliti yang sangat terbatas, dari tempat yang gelap diiringi dengan daya kekuatan mata dan daya fikir sendiri, secara logiknya; apakah yang mampu dicapainya?

Lebih menghairankan lagi, tidak ada sebarang buku atau tulisan di sana. Bahkan keadaan gurun Sahara yang gelap lagi sepi, seseorang akan mendapatkan kesukaran untuk menimba ilmu di situ. Tutur kata hikmah sudah pun wujud semenjak Muhammad (SAW) belum ada lagi. Namun disebabkan kurangnya kemudahan dan prasarana, maka perkara tersebut tidak dapat disampaikan kepada Baginda. Oleh hal yang demikian, manusia yang sungguh agung ini tidak pernah mengada-adakan perkataan atau perbuatan saat bersama ulama dan pemimpin lain. Baginda tinggal berseorangan di tengah-tengah gurun Sahara yang tandus dalam alam yang menjadi gurunya.”

(On Heroes, Hero-Worship and The Heroic in History, 1846)

  • PROFESOR H. G. WELLS (1886-1946) – Penulis Sejarah.

“Sebuah bukti kebenaran yang besar tentang Nabi ini ialah Baginda mengetahui banyak perkara tentang peribadi dan orang pertama beriman kepada Tuhan. Muhammad (SAW) bukanlah seorang pendusta. Hakikat ini tidak dapat disangkal lagi bahawa dalam Islam terdapat banyak sekali kelebihan dan keistimewaan serta sifat agung dalam dirinya. Nabi Islam ini telah meletakkan asas kemasyarakatan dan menghapuskan kezaliman serta kekejaman.”

(Part II: Muhammad and Islam In: The Outline of History, 1920)

Anda sedang membaca sebahagian daripada buku terbaru keluaran kami iaitu Muhammad: Dakwah Dan Diplomasi. Mahu membaca lebih banyak kandungan hebat seperti ini? Cepat dapatkan di nombor wassap yang tertera www.wasap.my/60195812791 <– WASSAP SEGERA!!!

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.