Selepas tamat Perang Dunia Kedua, status quo kembali kepada sediakala dengan Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet kembali bermusuhan. Dan semasa Perang Dingin, kedua-dua pihak berusaha mencari jalan mengatasi antara satu sama lain termasuk perang perisikan membabitkan Jawatankuasa Keselamatan Negara (KGB) dengan Agensi Perisikan Pusat (CIA). Ada satu individu yang menjadi senjata utama KGB dalam menangkis cubaan CIA antara tahun 60-an hingga 80-an. Individu yang dimaksudkan ialah bekas perisik Czechoslovakia, Karl Koecher yang menyusup masuk ke Langley bagi pihak agensi perisikan Czech, (StB).

Anak jati Bratislava (kini ibu negara Slovakia) dilahirkan pada 21 September 1934. Ibu Koecher, Irena merupakan seorang Yahudi Slovakia sementara bapanya seorang Czech yang lahir di Vienna, Austria. Walaupun kehidupan semasa kecilnya tidak memuaskan, bapanya juga seorang Anglophile dan rumah mereka di Prague penuh dengan buku-buku dalam Bahasa Inggeris. Ini membolehkan beliau dapat menguasai Bahasa Inggeris dengan lancar dan pernah menghadiri sekolah Bahasa Inggeris bersama anak-anak golongan elit.

Tetapi semua itu berubah bila komunis mengambil alih tampuk pemerintahan pada Februari 1948. Pada ketika itu, ramai penentang rejim dibunuh dan polis-polis rahsia berada di merata tempat untuk mengintip dan mendapatkan maklumat. Koecher sendiri pernah diminta menjadi perisik untuk mengintip rakan-rakan sekolahnya tetapi menolak, sekaligus membawa kepada tindakan dibuang sekolah. Pada usia 15 tahun, Koecher sudah menarik tumpuan StB bukan sebagai perisik tetapi subjek pemerhatian agensi berkenaan.

Berdasarkan fail StB, dari tahun 1949 hingga 1950, Koecher dikatakan menjadi sebahagian daripada kumpulan anti-rejim yang mahu terlibat dengan kegiatan perisikan. Kumpulan itu turut dikatakan mengadakan hubungan dengan perisik Amerika dengan tujuan mendapatkan sokongan Kedutaan Amerika Syarikat. Semasa berumur 16 tahun, Koecher dan sekumpulan rakannya ditahan selama semalam selepas pihak keselamatan menemui senjata api yang disembunyikan. Beliau dilepaskan tetapi pada tahun 1951, apabila salah seorang rakannya menembak seorang askar, Koecher dianggap bersalah dan ini memberi sebab kukuh untuk StB untuk menjejaki anak jati Bratislava itu. Rakannya itu didapati bersalah oleh mahkamah dan dihukum gantung sampai mati.

Koecher kemudiannya melanjutkan pelajaran di Charles University dalam jurusan fizik dan sains serta filem di Akademi Seni Persembahan Prague. Tetapi era ini boleh dianggap kontroversi kerana beliau kemudiannya dihukum penjara antara tiga bulan hingga setahun atas kesalahan menghina penjawat awam. Menurut fail StB, Koecher dianggap menghina penjawat awam kerana mencium sekumpulan wanita tatkala seorang polis berdiri berhampiran. Selepas tamat pengajian, beliau mencuba beberapa pekerjaan seperti guru, wartawan stesen televisyen kerajaan dan penulis komedi untuk stesen radio. Semasa bekerja sebagai penulis skrip komedi, Koecher sentiasa diganggu pihak berkuasa kerana skrip satiranya dilihat sentiasa mengejek rejim. Kemuncak kepada semua ini ialah bila beliau dihukum penjara bersifat penggantungan antara lapan bulan hingga dua tahun atas kesalahan melanggar moral dengan menganjurkan parti dan kemunculan perempuan bawah umur pada Mei 1962.

Bagi Koecher, ini sesuatu yang tidak boleh diterima dan ini mendorongnya menyertai StB. Dan kemampuannya bertutur dalam Bahasa Inggeris menarik perhatian orang atasan agensi berkenaan. Selepas berlatih selama dua tahun untuk latihan risik balas terhadap Jerman Barat, kejutan menanti Koecher. Beliau diberitahu tugasnya ialah menyusup masuk ke CIA dan bukan lagi ke Jerman Barat. Apabila diminta mengimbau pertemuannya, Koecher menambah, “Saya fikir, ini satu cabaran. Bolehkah saya lakukan? Ianya gila tetapi saya katakan ya dengan pantas.” StB menganggap beliau orang paling layak untuk tugas berkenaan kerana bersikap yakin, mudah sensitif dan terdorong dengan pengaruh duit berdasarkan penilaian psikologi terhadapnya.

Ini berlaku dua tahun selepas mengahwini kekasih hatinya, Hana Pardemecova dan bagi Hana sendiri, beliau lebih suka berada di belakang tabir. Katanya, “Saya lebih suka menjadi Puan Colombo, jika anda tahu apa yang anda maksudkan,” merujuk kepada isteri watak detektif siri televisyen Amerika Syarikat itu. Pasangan ini memasuki Amerika Syarikat pada tahun 1965 dengan menyamar sebagai penentang yang mahu berpaling tadah. Koecher menambah, “Saya tidak mempunyai sebarang permusuhan terhadap Amerika Syarikat, saya tak tahu apa-apa. Saya fikir jika saya tak suka, mungkin saya akan berhenti. Saya tak melihat ia sebagai komitmen mengintip Amerika Syarikat.”

Tidak ramai tahu bahawa kedua-duanya merupakan pengintip bagi Kesatuan Soviet dan ini termasuklah CIA sendiri. Melihat kepada kelayakannya dan kemahirannya dalam beberapa bahasa di Eropah Timur, tidak hairanlah mengapa CIA mengupahnya bekerja di Radio Free Europe sebelum menyambung fellowship untuk belajar di Universiti Indiana selama setahun. Pada tahun 1967, beliau kembali berpindah ke Bandaraya New York untuk menyambung pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam jurusan falsafah di Universiti Colombia dengan pengajian Rusia sebagai tambahan. Koecher yang mengimbau saat-saat itu menambah, “Ia buatkan saya rasa bersalah sebab secara etika, ia patut dipersoalkan. Anda meraih faedah dari kebebasan dan pergerakan yang ditawarkan, dan anda salahguna semua kelebihan itu. Pada ketika itu, saya masih berfikir ia atas sebab yang baik, bahawa saya menipu atas sebab yang baik. Ini kerana wujud ancaman terhadap negara saya dan saya di situ untuk menepis ancaman, ideanya untuk tidak merosakkan Amerika Syarikat.”

Figure 2: Zbigniew Brzezinski (kanan) bersama Jimmy Carter dan Cyrus Vance

Pada mulanya, akses maklumat yang diminta StB sedikit saja tetapi apabila Koecher terus mendapat kepercayaan komuniti perisikan Amerika, akses yang diminta juga bertambah. Dan salah seorang yang menjadi pengajar beliau di Colombia ialah Zbigniew Brzezinski, bakal penasihat keselamatan negara semasa era Jimmy Carter dan dikatakan bertanggungjawab mencadangkan namanya kepada CIA. Bagaimanapun, kenyataan ini masih belum dapat disahihkan. Sementara itu di Czechoslovakia, bila Kesatuan Soviet menyerang negara berkenaan pada tahun 1968 menamatkan terus harapan rakyat mengakhiri era diktator negara itu. Malah, ramai pegawai StB yang disingkirkan dan Koecher dibiarkan terkapai-kapai di Amerika. Koecher cuba menyerah diri kepada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) tetapi keinginannya itu tidak dilayan atas alasan maklumat yang diberikan tidak berkualiti. Beliau menganggap FBI lebih sibuk mengejar mafia dari mengejar ejen-ejen asing yang beroperasi di negara Uncle Sam itu. Fail StB turut mendedahkan kesetiaannya yang semakin pudar di mana beliau membuat pengakuan, “Saya sedia berpaling tadah dengan rela hati.”

Dengan maklumat yang berkualiti rendah, tidak mengejutkan apabila StB mengecam Koecher kerana gagal mendapatkan maklumat yang lebih baik termasuk berbaik dengan kakitangan Radio Free Europe. Selepas mendapat kerakyatan Amerika Syarikat pada tahun 1971, beliau melepasi ujian pra-pekerjaan CIA dan dalam tempoh setahun, menyertai agensi berkenaan sebagai penterjemah dan penganalisis yang mengendalikan dokumen, transkrip dan senarai yang bersifat sensitif. Walau bagaimanapun, itu tidak bermakna konflik dengan StB sudah berakhir. Ini kerana walaupun dianggap aset berharga oleh KGB, kualiti maklumat yang kurang baik dan gaya hidup mewah diamalkan Koechner lebih-lebih lagi dengan pekerjaan isterinya sebagai peniaga berlian sudah cukup menimbulkan konflik dengan kedua-dua agensi berkenaan.

Tetapi itu tidak menghalangnya memberi maklumat berguna kepada Soviet terutama berkenaan individu yang disyaki aset CIA. Antara usahanya ialah membantu Moscow mensabotaj usaha CIA merekrut aset di negara Latin Amerika termasuk kematian seorang diplomat Soviet bernama Aleksandr Ogorodnik. Ogorodnik didekati agensi perisikan Colombia dan CIA pada tahun 1973 untuk mengintip Soviet dan pada mulanya, info yang didapati hanya bersifat kecil. Tetapi selepas ditempatkan di Kementerian Luar Soviet, beliau menyalurkan banyak kabel diplomatik Soviet bersifat sensitif kepada Langley dan Rumah Putih. Tetapi pada tahun 1975, menurut sumber CIA, Koecher dikatakan bertanggungjawab membocorkan namanya kepada pihak Soviet. Selepas ditahan pada tahun 1977, Ogorodnik membunuh diri dengan mengambil pil sianida yang tersembunyi dalam sebatang pen miliknya. Bagaimanapun, Koecher menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu. Sebaliknya, beliau memberi jaminan kesetiaan diplomat itu terhadap Mother Russia masih kekal seperti biasa.

Pada tahun 1976, semasa pulang ke Czechoslovakia, beliau menyangka pertemuannya dengan KGB sekadar pertemuan biasa. Tetapi sebaliknya, Koecher ditahan oleh KGB dan StB selama seminggu di sebuah vila milik StB di Ctyrkoly, 30 kilometer di tenggara Prague. Alasan mereka, mereka mengesyaki kesetiaannya kepada Czechoslovakia dan Soviet sudah terjejas selepas menghabiskan masa lebih sedekad di luar negara. Individu bertanggungjawab menyoal siasat Koecher ialah ketua risikan balas KGB, Oleg Kalugin dan beliau tidak teragak-agak menyoal kesetiaan anak jati Bratislava itu. Walaupun pernah mempertimbang untuk berpaling tadah, beliau tidak pernah berbuat demikian. Tetapi di mata Kalugin, itu sudah cukup baginya untuk menyingkirkan Koechner terus dari menjadi aset StB dan KGB. Selepas dibebaskan pada 16 September 1976, StB memberinya pilihan sama ada berhenti atau dibunuh. Koecher merasakan dirinya sudah terlalu tua dan enggan lagi menipu orang, lalu mengambil keputusan berundur dari agensi berkenaan.

Selepas berhenti dari Langley, Koecher kembali semula ke New York dan bekerja sebagai pensyarah falsafah sementara isterinya, Hana bekerja sebagai peniaga berlian. Ada ketikanya, pihak agensi memanggilnya untuk mendapatkan khidmat nasihat untuk sesetengah kes yang dihadapi mereka. Bagi pasangan ini, mereka menyangka dapat hidup aman di Amerika. Tetapi semua itu berubah pada tahun 1982 apabila Koecher menerima satu surat memintanya untuk bertemu. Selepas datang ke tempat pertemuan yang diaturkan, beliau bertemu dengan ejen Czech iaitu Jan Fila dan diberitahu StB mahu mengaktifkan semula khidmatnya sebagai perisik. Kedua-dua agensi berbuat demikian kerana bimbang dengan kenyataan-kenyataan bersifat provokatif yang dikeluarkan Washington terutamanya presiden ketika itu, Ronald Reagan. Ini ditambah dengan keyakinan KGB terhadap kredibiliti Koecher selepas kejatuhan Kalugin di mana beliau dilantik timbalan ketua KGB di Leningrad (kini St. Petersburg) pada tahun 1980.

Kini aktif semula sebagai aset StB dan KGB, Koecher kembali menyalurkan maklumat sensitif kepada Moscow. Malah, Hana juga kadangkala berperanan sebagai kurier dengan menghantar maklumat dalam bentuk rokok atau gula-gula getah di tempat pengumpulan aset. Beliau dibayar $500 sekali bagi setiap penghantaran maklumat. Koecher juga mengusulkan idea menubuhkan satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai samaran untuk melaksanakan kerja perisikan. Idea tersebut dianggap karut oleh StB tetapi kini menjadi pilihan semua agensi perisikan hari ini.

Tetapi sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. FBI sudah mula mengekori pasangan Koecher selama tiga tahun dan memasang peranti pendengar pada kereta dan rumah mereka. Pada 27 November 1984, Koecher ditahan FBI atas dakwaan pengintipan. Pihak pendakwaan diketuai bakal datuk bandar New York dan peguam presiden Donald Trump, Rudolph Giuliani. Semasa sidang media, Giuliani mendakwa semua maklumat yang dimiliki Koecher sudah diserahkan kepada StB. Tetapi tidak ramai tahu, kes Koecher sebenarnya sudah bermasalah sejak dari awal lagi.

Sebelum ditahan, FBI ada menawarkan perjanjian kepada beliau untuk menjadi perisik talam dua muka bagi pihak CIA dan mengintip Soviet. Tetapi bagi pegawai risik balas FBI, David Major, ia satu perjanjian yang tidak menguntungkan Washington dan hanya menguntungkan Koecher saja. Bagi empunya badan pula, itu satu tawaran yang menarik dan sudah bersedia untuk berpaling tadah kerana beliau lebih suka menetap di Amerika Syarikat. Hana ditahan sebagai saksi pendakwaan selepas enggan memberi keterangan. Apabila FBI menarik balik tawaran imuniti Koecher, pengakuan yang dibuat sebelumnya sudah tidak boleh digunakan di mahkamah. Hanya Hana saja yang dilihat dapat membantu kes Giuliani terhadap Koecher tetapi bagi Major, beliau tahu kes ini tidak akan berakhir dengan baik.

Jabatan Keadilan Amerika Syarikat cuba mendakwa Hana atas tuduhan menghina mahkamah yang membawa kepada hukuman penjara selama empat bulan. Selepas itu, beliau dibebaskan sementara menanti rayuan. Hana akhirnya menang kes berkenaan tetapi Jabatan Keadilan cuba membawa kes berkenaan ke Mahkamah Agung. Ini mendorong Kesatuan Kebebasan Sivil Amerika mewakili Hana di mahkamah dengan pensyarah undang-undang Universiti Colombia, Gerald Lynch sebagai peguamnya. Tetapi semasa berhujah, Lynch sudah merasakan akan ada perjanjian yang akan diatur pihak kerajaan.

Bagi Koecher pula, semasa di penjara, beliau mempunyai ramai kenalan baru termasuk anggota kumpulan samseng bermotorsikal Hells Angel, Sandy Alexander. Menurut Alexander, semasa waktu makan tengah hari, seorang banduan baru tiba-tiba datang membawa sebilah gunting tajam dan cuba menikam perisik StB itu. Tetapi rakan penjaranya itu berjaya menjatuhkan penyerang berkenaan dan banduan itu dibawa pergi oleh pengawal. Bimbang banduan baru itu sebenarnya ejen CIA yang dihantar untuk membunuhnya, Koecher mengarahkan peguamnya mengirimkan surat kepada ketua KGB, Vladimir Kryuchkov. Beliau percaya cubaan bunuh itu sebenarnya cubaan terdesak Washington untuk menutup malu kerana mereka sedar, Koecher boleh dibebaskan oleh mahkamah kerana kes yang dibina tidak kukuh sejak dari awal lagi. Dalam surat berkenaan, beliau meminta untuk ditukarkan dengan bakal ahli politik Israel, Natan Sharansky. Hajatnya itu tertunai dengan menjadi sebahagian daripada pertukarannya dengan Sharansky pada 11 Februari 1986. Menariknya, pertukaran itu diatur oleh peguam Wolfgang Vogel dan dibuat di Jambatan Glienicke, lokasi sama yang digunakan kedua-dua pihak semasa proses pertukaran Francis Gary Powers dan Frederic Pryor dengan Rudolf Abel pada tahun 1962.

Selepas kembali ke Czechoslovakia, Koecher diraikan sebagai wira negara dan diberikan hadiah berupa sebuah rumah dan kereta Volvo atas sumbangannya kepada negara. Tetapi siapa sangka beberapa tahun selepas itu, Kesatuan Soviet akhirnya tumbang menyembah bumi dengan Czechoslovakia turut menyaksikan berlakunya Revolusi Baldu pada tahun 1989. Tetapi ramai tertanya-tanya siapa yang membocorkan nama Koecher kepada FBI. Rekod rasmi KGB sudah pasti menyalahkan Kalugin lebih-lebih lagi selepas pendedahan beliau sebenarnya aset CIA semasa bekerja sebagai ketua risik balas KGB. Tetapi Major berpandangan, “Saya jamin nama Koecher tidak dibocorkan oleh Kalugin. Anda boleh pegang dengan jaminan saya.” Sebaliknya, sejarawan agensi Benjamin Fischer berpandangan pengkhianat sebenar yang mengkhianati Koecher ialah Fila, orang bertanggungjawab merekrut beliau sebagai ejen pada tahun 1982. Fila sendiri dikatakan hilang sebulan selepas Revolusi Baldu dan ramai mengesyaki perisik Czech itu sudah melarikan diri ke Amerika.

Tetapi bagi Koecher sendiri yang berusia 83 tahun, ironi itu tidak pernah akan hilang. Tetapi bila mengimbau semula pengalamannya sebagai perisik yang penuh dengan elemen kepura-puraan dan keseronokan, satu fakta yang tidak akan dapat disangkal muncul. Koecher berkata, “Dunia ini sudah jahanam dan semuanya ada kaitan dengan agensi-agensi perisikan yang bertanggungjawab kepada kerosakannya.”

SUMBER

  1. Cunningham, Benjamin. (2016). The Guardian. How a Czech ‘super-spy’ infiltrated the CIA. https://www.theguardian.com/world/2016/jun/30/how-a-czech-super-spy-infiltrated-cia-karel-koecher
  2. Frost, Natasha. (2018). History.com. The Sex Party-Loving Soviet Spy Who Infiltrated the CIA. https://www.history.com/news/soviet-spy-sex-parties-cia-agent

 

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.