Pada kurun ke-13 Masihi, tidak keterlaluan andai kita menyebutkan Karakorum sebagai salah sebuah kota paling penting di dunia. Kota tersebut berperanan sebagai ibu kota Empayar Monggol.

Sejak mengalami kehancuran, lokasi Karakorum lenyap dimamah zaman. Namun, sisa runtuhan Karakorum kemudiannya berjaya ditemukan semula dan menerusi gabungan usaha arkeologi dan penyelidikan teks sejarah, ilmuwan berupaya melengkapkan bayangan rupa kota itu pada zaman kemuncaknya.

SEJARAH AWAL KARAKORUM

Karakorum (juga dieja sebagai Khara-khorin, Har Horin, Kharakhorum, dan Qara Qorum) merupakan sebuah tapak bersejarah yang terletak di Lembah Orkhon, utara Monggolia. Kawasan ini sudah pun dihuni sejak sebelum kemunculan Monggol lagi.

Rekod-rekod arkeologi mendapati Karakorum bermula sebagai petempatan khemah bagi leluhur Uighur sekitar kurun ke-8 atau ke-9 di Zaman Gangsa. Hanya pada era terkemudian, iaitu pada tahun 1220 Masihi, barulah Karakorum dijadikan sebagai sebuah petempatan kekal oleh Genghis Khan.

Patung kura-kura kurun ke-13 ini merupakan salah satu tinggalan dari era kegemilangan Karakorum

Kawasan di sekeliling Karakorum tidaklah subur untuk bercucuk tanam. Namun, faktor yang mendorong Genghis Khan untuk memilih Karakorum adalah lokasi strategiknya yang terletak di persimpangan utara-selatan dan timur-barat Laluan Sutera. Dalam erti kata lain, kota ini menyimpan potensi besar untuk tumbuh sebagai sebuah kota perdagangan yang signifikan. Karakorum juga berfungsi sebagai pangkalan Genghis Khan semasa melancarkan serangannya ke atas China.

ISTANA KHAN DI KARAKORUM

Walaupun kota Karakorum didirikan oleh Genghis Khan, tidak banyak pembangunan berlaku pada eranya. Hanya pada zaman pemerintahan Ogedei Khan si pengganti Genghis Khan, barulah Karakorum mula berubah menjadi sebuah kota yang gemilang – sesuai dengan statusnya sebagai ibu kota Empayar Monggol.

Pada tahun 1235, Dinasti Jin dihancurkan oleh Monggol dan kerja-kerja pembinaan lanjut pun dijalankan di Karakorum. Sebuah istana yang disokong oleh 64 batang tiang kayu di atas batu granit dibina sebagai kediaman Khan Agung. Tembok lumpur juga dibina di sekeliling kota bagi tujuan pertahanan.

Karakorum terus menyandang posisi sebagai ibu kota Empayar Monggol sehingga tahun 1264, sebelum Kublai Khan memindahkan pusat pemerintahannya ke Khanbaliq. Kira-kira tiga tahun kemudian, Karakorum ditinggalkan hampir secara total.

Pada tahun 1368, Bilikt Khan, iaitu pemerintah terakhir Dinasti Yuan, diusir dari Beijing dan beliau membawa diri ke Karakorum. Sebahagian kota itu lalu dibina semula. Pun begitu, Dinasti Ming yang menggulingkan Dinasti Yuan bertindak menghambat penyokong-penyokong setia Yuan hingga ke Monggolia. Justeru sekitar lewat kurun ke-14 Masihi, Karakorum dihancurkan oleh mereka.

Model miniatur Istana Khan di Karakorum yang dipamerkan di Muzium Sejarah Negara di Ulan Bator

POKOK PERAK KARAKORUM

Menerusi catatan para pengembara di zaman pertengahan, perincian-perincian tentang Karakorum pada era kemuncaknya dapat dipelihara. Salah seorang penulis yang menyumbang jasa dalam hal ini ialah William dari Rubruck. Beliau merupakan seorang mubaligh Flemish Franciscan yang berkhidmat di istana Monggol sebagai duta Raja Louis IX dari Perancis.

William mencatatkan bahawa pada era pemerintahan Mongke si Khan Agung yang ke-4, terdapat seorang penempa emas dari Paris yang bernama William Bouchier di Karakorum. Beliau bertanggungjawab menghasilkan sebatang pokok perak yang ditempatkan di gerbang istana khan.

Di bawah pokok tersebut terdapat empat patung singa daripada perak yang mengalir keluar susu kuda betina dari mulut mereka. Selain itu, terdapat juga empat patung ular yang bertatah permata melilit pada pokok itu tadi, di mana setiap satunya memancurkan minuman yang berbeza.

Gambaran pokok perak di Karakorum pada wang kertas tugrik 5000 Monggolia

William juga mencatatkan bahawa kota itu mempunyai 12 buah kuil pagan, dua buah masjid, dan sebuah gereja. Hal ini mengisyaratkan wujudnya kepelbagaian dan keharmonian agama di Karakorum.

PENEMUAN SEMULA KARAKORUM

Setelah dihancurkan, Karakorum secara bertahap tetapi pasti hilang daripada ingatan manusia. Hanya pada tahun 1889, barulah lokasi Karakorum dikenal pasti oleh dua orang Orientalis Russia yang kebetulan sedang menumpah khidmat di sana pada waktu itu. Ekskavasi-ekskavasi arkeologi di tapak berkenaan dimulakan pada kurun berikutnya.

Antara lain, ekskavasi-ekskavasi yang dikelolakan berupaya menemukan tanur tembikar, bengkel penempaan besi, dan sebuah tanah perkuburan Muslim. Walaupun ahli-ahli arkeologi yang terlibat dalam cari gali di Karakorum pada 1940an itu yakin bahawa apa yang mereka temukan itu adalah runtuhan istana khan, hasil ekskavasi-ekskavasi yang lebih terkini menemukan hasil yang berbeza dengan dakwaan tersebut.

Diandaikan bahawa apa yang disangka sebagai istana oleh ahli-ahli arkeologi lalu hanyalah sebuah kuil. Apapun, diharapkan lingkungan arkeologi dapat terus mendedahkan sejarah-sejarah yang sejak sekian lama hilang dari ingatan kita.

Tanur kurun ke-13 yang ditemui di Karakorum, Monggolia. Tanur lazimnya digunakan untuk menghangat dan mengeraskan batu-bata

TERJEMAHAN:

Wu Mingren. (10 Oktober 2018). Karakorum: A Silver Tree and Other Unique Elements of a 13th Century Mongol Capital. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/karakorum-0010820


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.