Kapu – Undang-Undang Adat Masyarakat Hawaii

951

Pra-tempah hanya di Shopee

Bagi masyarakat asli yang hidup di Kepulauan Hawaii, kapu merupakan elemen penting dalam kehidupan seharian. Ia dianggap sebagai satu perundangan yang mendasari urusan keagamaan dan pentadbiran masyarakat, di samping banyak mempengaruhi gaya hidup dan peranan jantina.

Kapu sangat ditaati hinggakan sesiapa sahaja yang melanggarnya akan dijatuhi hukuman ma-ti. Satu-satunya tempat perlindungan bagi mereka yang melanggar kapu ialah Pulau Pu’uhonua o Honaunau. Sebaik berada di sana, tiada siapa yang dapat mengapa-apakan mereka. Hal ini kerana pulau tersebut dianggap keramat, justeru kadangkala ia turut dijadikan sebagai kawasan perlindungan semasa waktu pepe-rangan.

Berbalik kepada kapu, secara bahasa ia membawa maksud ‘larangan’ atau ‘hal keramat’. Antonim bagi kapu pula adalah noa yang bermaksud ‘bebas dari peraturan’. Kapu biasanya dimanfaatkan oleh golongan penguasa dan pendeta untuk mengekalkan pengaruh mereka. Kononnya, setiap kapu yang ditetapkan ke atas manusia adalah perintah dari dewa-dewi. Maka, penguasa dan pendeta bertanggungjawab memastikan kapu ditegakkan.

Sebahagian ketetapan kapu bertujuan memelihara mana (kuasa rohani) dalam diri kahuna (penguasa) dan ali’i (pendeta)

Antara kapu yang boleh dijadikan contoh adalah ai’kapu, iaitu perundangan yang menetapkan batas-batas pergaulan antara kaum lelaki dan wanita. Kapu ini juga melarang individu yang berlainan jantina dari makan bersama.

Menurut legenda, peraturan ini berasal-usul dari kisah Wakea (Bapa Langit) yang mahu meniduri anak perempuannya, Ho’ohokulani. Untuk mencapai hasratnya itu, Wakea mencipta alasan yang membolehkannya menemui Ho’ohokulani tanpa membangkitkan amarah mahupun syak wasangka isterinya. Susulannya, lahirlah ketetapan ai’kapu yang menjadi amalan masyarakat asli di Kepulauan Hawaii.

Seiring peredaran waktu, larangan demi larangan tambahan dalam hal pemakanan dikenakan ke atas kaum wanita. Mereka tidak dibenarkan memakan daging khinzir (kerana ia adalah tubuh Dewa Lono), pisang (tubuh Dewa Kanaloa), kelapa (tubuh Dewa Ku), dan ikan merah atau ikan bersaiz besar. Dek kerana itu, kebanyakan kaum wanita asli di Hawaii menjadikan rumpai laut sebagai makanan ruji.

Antara ketetapan penting yang lain adalah kapuhiliKapu yang satu ini merangkumi dua elemen, iaitu kapu ku mamao (waktu di mana masyarakat umum dilarang berada berhampiran penguasa) dan kapu noho (waktu untuk menghadap penguasa). Menurut mereka, ketetapan ini digubal bagi memelihara mana (kuasa rohani) dalam diri penguasa (kahuna) dan pendeta (ali’i). Dua golongan tersebut diyakini sebagai perantara di muka bumi – menghubungkan antara manusia dan dewa-dewi.

Ai’kapu adalah salah satu contoh ketetapan kapu yang menggariskan batas-batas pergaulan antara kaum lelaki dan wanita

Di dalam catatan David Malo (1795-1853) yang berjudul Hawaiian Antiquities, ada disenaraikan beberapa kapu utama secara ringkas. Antaranya adalah sebagaimana berikut:

  1. Kaum lelaki dan wanita perlu makan secara berasingan.
  2. Makanan bagi kaum lelaki dan wanita perlu dimasak di dalam imu (ketuhar tanah) yang berasingan.
  3. Isteri dilarang memasuki rumah ketika suaminya sedang menjamu makanan.
  4. Kaum wanita dilarang menjamah makanan-makanan tertentu. Antaranya daging babi, buah pisang, kelapa, dan beberapa jenis ikan.
  5. Masyarakat awam boleh dijatuhi hukuman ma-ti jika bayang-bayangnya menyentuh rumah pendeta atau apa sahaja barangan milik mereka.
  6. Jika seseorang pendeta (ali’i) berkedudukan tinggi sedang menikmati makanan, orang di sekelilingnya perlu melutut.
  7. Sebelum pokok kayu ditebang untuk dibuat kanu, dewa-dewi perlu dipersembahkan dengan kor-ban daging babi, buah kelapa, ikan merah, dan awa (kava; sejenis minuman).
  8. Jika berlaku pepe-rangan, dua perajurit terawal yang terbu-nuh akan dijadikan kor-ban untuk dipersembahkan kepada dewa-dewi.
  9. Nelayan-nelayan yang mahu keluar menangkap ikan opelu (ikan jenis mackerel scad) perlu berkumpul di heiau (kuil) khusus pada waktu malam bagi memuja dewa nelayan.
  10. Pada musim panas Hawaii (disebut sebagai kau; dari Mei hingga Oktober), ikan aku (ikan skipjack tuna) dianggap sebagai kapu dan tidak boleh dimakan.
  11. Sewaktu nelayan menebarkan sauk ikan, kesemua masyarakat di kampung dilarang membuat bising.
  12. Untuk memastikan bekalan pokok-pokok ‘iliahi (pokok cendana) tidak kehabisan, Raja Kamehameha I menggubal satu ketetapan yang ketat berkaitan penebangan pokok tersebut.
Individu yang melanggar kapu dapat menyelamatkan diri dari dijatuhi hukuman ma-ti dengan berlindungi di Pulau Pu’uhonua yang dianggap keramat

Pelaksanaan kapu kebiasaannya dipantau oleh seorang petugas yang disebut sebagai ‘ilamuku. Jika ada mana-mana anggota masyarakat yang didapati melanggar undang-undang tersebut, hukuman ma-ti akan segera dijatuhkan ke atasnya tanpa dakwa-dakwi lagi. Ia dijalankan dengan berbagai-bagai cara; dicemeti, direjam, dijerut, direndam (hingga lemas), atau diba-kar hidup-hidup.

Belas ihsan sama sekali tiada tempat di dalam hukuman. Bagi mereka, pendekatan berlembut hanya akan memburukkan lagi keadaan, di samping mengundang malapetaka yang besar. Sebabnya, melanggar kapu adalah umpama membangkitkan kemurkaan dewa-dewi.

Satu-satunya harapan buat pelanggar kapu adalah membawa diri ke Pulau Pu’uhonua, pantas sebelum diberkas oleh ‘ilamuku. Sebaik sahaja berada di sana, kahuna (penguasa tempatan) sendiri akan memberikan perlindungan, tempat berteduh, dan kadangkala pengampunan. Dosa pelanggar kapu biasanya diampunkan setelah mereka melakukan ritual-ritual tertentu, di mana sesudah itu, kehadiran mereka akan diterima semula dalam kalangan masyarakat.

Bagaimanapun, perundangan kapu dihapuskan pada tahun 1819 oleh Raja Kamehameha II atas dorongan Keopuolani (ibundanya) dan Ka’ahumanu (ratu ayahandanya). Polisi baru ini bertujuan meningkatkan kondisi hidup kaum wanita asli Hawaii.

Penghapu-san tersebut disimbolisasikan menerusi upacara jamuan yang dihadiri oleh kaum lelaki dan wanita, yang selama ini dilarang makan bersama. Secara tidak langsung, polisi tersebut juga melonjakkan nama Raja Kamehameha II dalam lembaran sejarah.

Pada hari ini, kapu masih wujud di Hawaii dalam bentuk perundangan berkaitan pemeliharaan alam sekitar. Perkataan ‘kapu’ biasanya ditulis pada papan tanda sebagai larangan memasuki kawasan-kawasan tertentu bagi tujuan memeliharanya dari anasir luar.

Hari ini, kapu kebiasaannya ditulis pada papan tanda bagi melarang kemasukan ke tempat-tempat tertentu

TERJEMAHAN
Kerry Sullivan. (9 Disember 2016). The City of Refuge: Ancient Hawaiian Sanctuary Protected Law Breakers from Death Sentence. Ancient Origins.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.