1- KISAH Left. Adnan Saidin yang diangkat dan disebut berulang kali di dalam lipatan sejarah bahawasanya orang melayu dari golongan biasa bukan sahaja menjadi pemimpin dan pejuang berkaliber, tetapi juga mempunyai jati diri dan sanggup mati untuk tanah air menerbitkan rasa sayu masyarakat Malaysia. Beliau dijadikan Idola dan contoh perjuangan menentang penjajah yang bukan hanya satu retorik semata-mata.

2- Adakah golongan Diraja atau Bangsawan juga terlibat secara langsung dengan menumpahkan darah mereka untuk negara? Apa nak dibangga dengan keturunan Bangsawan, mereka sewaktu perang hanya jaga diri sendiri dan keluarga mereka sahaja. Kata seorang pentaksub politik apabila kisah seorang pejuang negara yang berdarah Bangsawan diangkat sebagai wira dan seterusnya memegang tampuk pemerintahan negara.

3- Kisah keluarga Bangsawan yang meninggalkan harta dan darjat sebenarnya tidak terhenti disitu sahaja. Ada yang kisah mereka jarang diangkat dan diketengahkan kerana kekurangan sumber dan penulisan berbentuk sejarah ini perlu melalui beberapa cabaran mendapatkan sumber yang kadang-kadang hilang ditelan zaman.

4- Tapi tahukah anda, terdapat juga kalangan mereka yang berketurunan Diraja terlibat bersama-sama rakyat sewaktu perjuangan menentang kemaraan dan pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Kisah yang begitu menyayat hati ini dan tidak pernah terfikir didalam benak bahawa keberanian dan ketaatan mereka ini diakhiri dengan kematian yang meninggalkan kesan bukan sahaja kepada pasukan Rejimen Melayu, tetapi jua terpahat didalam sejarah negara-negara yang terlibat didalam perang menentang kezaliman tentera Jepun ini.

KENALI YANG MULIA RAJA AMAN SHAH

1- YM Kapten Raja Aman Shah merupakan anak kepada YAM Raja Haji Harun al-Rashid ibni Almarhum Sultan Idris Murshidul Azzam Shah, Raja Kechil Sulong Perak pada tahun 1918 hingga 1945. Beliau dilahirkan pada tahun 1902 dan mendapat pendidikan di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Beliau telah berkahwin dengan YAM Tunku Baharum binti Almarhum Sultan Abdul Hamid yang merupakan puteri Sultan Kedah, dan seorang dari anak beliau merupakan pegawai dalam Angkatan Tentera Malaysia iaitu YM Mejar (B) Raja Ahmad Feisal Raja Aman Shah.

2- Raja Aman Shah ditauliahkan sebagai Leftenan Muda pasukan Batalion-1 Perak didalam pasukan “ Federated Malay States Volunteer Force” (FMSVF) pada tahun 1929. Sebelum itu, beliau juga merupakan Pembantu Pegawai Daerah dibeberapa daerah dalam wilayah Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, beliau ditugaskan di daerah Ulu Selangor dalam tahun 1933 hingga 1934, Kuala Langat pada tahun 1934 hingga 1936 dan Jelebu pada tahun 1936 hingga 1938, dan akhirnya beliau dilantik menjadi Pegawai Daerah Port Dickson pada 1938.

4- Raja Aman Shah kemudianya dilantik sebagai Kapten dalam Batalion-3, Negeri Sembilan dan berkhidmat di dalam Perang Dunia Kedua setelah penjajah Jepun mula menyerang Malaya pada tahun 1941. Ketika pasukan bersenjata Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-Negeri Selat mula digerakkan untuk menghadapi tentera Jepun, beliau menghantar surat perletakan jawatan sebagai Pegawai Daerah Port Dickson untuk menumpukan perhatian mempertahankan Malaya, sedangkan beliau boleh berkhidmat tanpa meletakkan jawatan sebagai Pegawai Daerah.

BEBASNYA AKU DAN MATI KU HANYA KERNA ALLAH – Kapten Raja Aman Shah, Feb 1942

1- Apabila perang mula meletus secara besar-besaran dan serangan pihak Jepun yang begitu lancar dan penuh kejutan tidak dapat dihalang lagi oleh pasukan pimpinan British. Kapten Raja Aman Shah dan bersama-sama rakan seperjuangannya dalam Pasukan Sukarela berjuang menentang Jepun dengan penuh keberanian sewaktu di Johor dan akhirnya di Singapura pada tahun 1942.

2- Setelah jatuhnya Singapura ke tangan Jepun pada 15 Februari 1942, Kapten Raja Aman Shah bersama tentera dari Rejimen Askar Melayu Diraja dan Pasukan Sukarelawan British telah ditahan di Pusat Tahanan Farrer Park. Di dalam sebuah buku yang bertajuk “Kebangkitan Nasionalisme Melayu Sebelum UMNO” ada menyebut bahawa Kapten Raja Aman Shah menolak untuk cuba melarikan diri dari Pusat Tahanan Farrer Park dan beliau sanggup untuk melindungi rakan-rakan seperjuangannya di dalam tahanan perang terutamanya dari Pasukan Rejimen Melayu jika pihak Jepun menjalankan soal siasat.

3- Beliau pernah mengungkap sebaris ayat  yang diangkat menjadi prinsip pengorbanan dan dijadikan ayat motivasi kesetiaan pada negara. Beliau merupakan antara yang diberi peluang untuk dibebaskan oleh pihak Jepun namun beliau menolak tawaran tersebut apabila beliau tahu hanya beliau seorang sahaja yang akan diberikan peluang untuk dibebaskan dari pusat tahanan dan yang lainnya tidak sama sekali.

4- Beliau kemudiannya berkata; “Ianya merupakan kehendak Allah, jika aku akan dibebaskan, dan juga merupakan kehendak Allah jika Aku dan rakan-rakan seperjuanganku mati bersama”.

“If God wills, we shall all be freed. If not, let us die together.”

Kapten Raja Aman Shah juga sedar, jika beliau menerima tawaran Tentera Jepun, sudah tentu beliau dijadikan alat perang saraf untuk Jepun meluaskan pengaruh mereka ke atas orang-orang melayu dan akan menjadi alat untuk pemecahan kaum. Lebih-lebih lagi beliau merupakan berdarah kerabat DiRaja.

5- Sebelum dijalankan hukuman tembak (firing squad) terhadap mereka, mereka dijadikan tawanan perang atas penyerahan kalah oleh tentera British pada 15 Feb 1942. Tentera Jepun sekali lagi memberi peluang kepada mereka semua di dalam tahanan dengan memberi tiga pilihan serta masa selama empat belas hari atau dua minggu untuk berfikir dan membuat keputusan.

6- Sepanjang tempoh berfikir dan membuat keputusan yang diberi oleh tentera Jepun selama dua minggu itu, mereka semua yang berada di dalam tahanan didera dalam pelbagai jenis dan bentuk seksaan dengan teruk. Antaranya adalah didera dalam bentuk fizikal, mental dan sebagainya. Ianya umpama neraka dunia bagi kita rakyat biasa jika kita letakkan diri di tempat mereka yang menghadapi pelbagai bentuk deraan dari tentera Jepun. Hanya orang-orang yang cekal dan tabah sahaja mampu laluinya.

7- Tiga pilihan tersebut adalah menanggalkan uniform tentera dan pulang ke kampung dan menjadi orang awam biasa (lucutkan maruah), atau pilihan kedua masuk berkhidmat dengan tentera Jepun (jadilah pengkhianat), atau pilihan yang terakhir masih beruniform dan masih hendak menentang tentera Jepun(Mati).

GUGURNYA PERWIRA – 7 TUBUH YANG SYAHID

1- Pada 28 Februari 1942, beliau bersama-sama tahanan perang yang lain dipaksa berarak dari Farrer Park ke Geylang. Ketika ramai sukarelawan Melayu dibenarkan pulang kerumah oleh tentera Jepun. Kebanyakkan pegawai tentera berbangsa Melayu tetap ditahan dan dibawa ke Bedok dimana mereka semua akan ditembak mati oleh skuad penembak tentera Jepun. Jenazah pegawai-pegawai tentera Melayu bersama-sama dengan jenazah Kapten Raja Aman Shah ditinggalkan ditempat mereka ditembak tanpa diberikan penghormatan pengebumian seperti mana yang sepatutnya.

2- Kapten Raja Aman Shah serta nama-nama pejuang lain yang gugur telah disemadikan dalam sebuah plak peringatan di St Andrew’s Cathedral Singapura. Kapten Raja Aman Shah selepas kematiannya juga telah diberikan darjah kebesaran tentera dan juga diabadikan dalam Tugu Peringatan Singapura di Perkuburan Perang Kranji Singapura.

3- Rakan-rakan seperjuangan yang merupakan pegawai Askar Melayu yang bersama dengan YM Kapten Raja Aman Shah sewaktu dihukum tembak sehingga mati pada hari tersebut ialah:

1. Lt Yazid Ahmad
2. Lt Ibrahim Sidek
3. Lt Abbas Mohamed Said
4. Lt Ariffin Hj Sulaiman
5. Lt Wahid Mat Kidam
6. Kapt Raja Aman Shah
7. Lt Abdullah Saad

Kenapa mereka semua ketujuh-tujuh pegawai tentera Askar Melayu bertindak sebulat suara memilih pilihan ketiga untuk terus beruniform dan masih hendak menentang tentera Jepun? Pendapat dari salah seorang  cucu pejuang yang syahid bernama Omar Din;

Mereka tidak mahu agama Islam yang diamal oleh rakyat di Tanah Air di perkotak-katikan oleh Jepun, mereka tidak mahu bangsa melayu dijajah lagi, mereka tidak mahu kekayaan negara dirampas oleh Jepun, mereka tidak mahu adat melayu diubah dan mungkin mati mereka untuk memberi contoh jati diri anak melayu yang tidak mengalah sehingga akhir hayat kepada generasi muda.

Dan jika anda salah seorang Pegawai Tentera Askar Melayu tersebut, apakah pilihan anda? Apa jua pilihan yang bakal anda pilih, anda akan ditembak mati oleh tentera Jepun kerana mereka tidak boleh dipercayai dan sangat tidak berperikemanusian

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas pemergian mereka yang telah berjuang untuk agama, bangsa dan negara. Al-Fatihah

Rujukan:

1- YM Kapten Raja Aman Shah
https://sembangkuala.wordpress.com
2- remember-sacrifice-sovereignty
http://www.ideas.org.my
3- families-and-kin-to-honour-fallen-heroes
https://www.thestar.com.my


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Sebelum ini merupakan penulis artikel berbentuk "copywriting" dalam membantu perniagaan dalam talian. Seorang yang mempunyai kelulusan kejuruteraan Elektronik tetapi amat meminati sejarah. Gemar menulis kembali artikel sejarah yang mula dilupakan. Seorang penulis yang terkesan dengan hilangnya jati diri anak bangsa yang tidak tahu menilai kehebatan bangsa dan ikhlas dalam membantu menarik minat golongan muda kembali menghayati sejarah.

Comments are closed.